by Faiz Riziq | Oct 1, 2024 | Ekonomi, Perniagaan & Korporat, Luar Negara, English & Other Country, Perbankan
Mengambilkira paras inflasi yang rendah bersama prospek pertumbuhan pasaran terus mengukuh, terdapat potensi bahawa Kadar Dasar Semalaman (OPR) kekal di paras 3.0% sebelum dikurangkan pada tahun 2026.
Pengamatan firma penyelidikan BMI-Fitch Solutions ini disusuli perancangan negara untuk melaksanakan pelan rasionalisasi subsidi pada pasaran negara kelak. Situasi itu berupaya meningkatkan harga domestik secara langsung menuntut pelarasan OPR yang lebih rendah.
Secara menyeluruh, berlandaskan petunjuk pasaran semasa, prestasi negara kekal di bawah kawalan. Ini termasuklah kedudukan ringgit berikutan kadar faedah yang semakin mengecil antara AS dan Malaysia, di mana AS berpotensi menurunkan kadar faedah kepada 4.25% pada akhir 2024, disusuli 3.00% pada akhir 2025. Situasi tersebut secara jelas memberi kelebihan kepada kedudukan mata wang negara.
Tambahan keyakinan ke atas pasaran eksport turut mengukuhkan lagi keyakinan ke atas pasaran negara berikutan dorongan kenaikan kemasukan pelaburan berkaitan teknologi global.
by Faiz Riziq | Oct 1, 2024 | Luar Negara, English & Other Country
Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) kini memaklumkan jumlah pengagihan pendapatan bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2024 adalah melibatkan 4.75 sen seunit kepada pemegang unit dana harga tetapnya, Amanah Saham Malaysia 3 (ASM 3).
Pengagihan pendapatan ASM 3 ini menurut ASNB akan merangkumi pembayaran berjumlah RM837.89 juta dan akan memanfaatkan sejumlah 650,487 pemegang unit – meliputi pemegang 17.64 bilion unit.
Menurut ASNB, pengagihan 4.50 sen seunit ini telah mengatasi sasaran awal yang ditetapkan pada pulangan Deposit Tetap 12 Bulan Maybank pada paras 2.69% sebanyak 206 mata asas. Menerusi prestasi ini ia antaranya disumbangkan pada aliran dividen, pelaburan domestik dan antarabangsa.
Secara menyeluruh sejumlah RM820.32 juta pendapatan bersih direalisasikan bagi rekod ASM 3. Maka berlandaskan pengagihan tersebut, ASNB menjelaskan aturan itu akan dilaburkan semula secara automatik selaku unit tambahan pada akaun pengguna pada 1 Oktober ini.

by Faiz Riziq | Sep 26, 2024 | Ekonomi, Perniagaan & Korporat, Fakta & Informasi, Luar Negara, English & Other Country
Setelah aturan rasionalisasi minyak diesel dilaksanakan, kini tumpuan pengguna negara beralih kepada pelaksanaan yang sama ke atas subsidi petrol RON95 yang lebih bersasar tidak lama lagi. Berdasarkan permerhati ekonomi negara, aturan itu berpotensi diumumkan pada pembentangan Belanjawan 2025 pada 18 Oktober ini.
RHB Investment Bank menjangkakan perincian tindakan rasionalisasi subsidi petrol RON95 itu berupaya disertakan dalam perbincangan pada sidang bajet kelak. Jangkaan ini dilihat selari dengan komitmen yang pernah dizahirkan Kementerian Ekonomi negara pada tahun lalu dengan menyasarkan pelaksanaan tersebut pada separuh kedua 2024 ini.
Sekadar imbasan buat makluman pembaca, penggunaan petrol RON95 ketika ini telah menjadi antara penggunaan utama bagi kelas pendapatan tinggi, T20. Berlandaskan tinjauan DOSM sebelum ini, sekitar 32% golongan T20 menggunakan RON95 diikuti M40 sekitar 46% dan B40 pula 22%.
Pecahan itu secara langsung membawa kepada sejumlah RM8 bilion subsidi telah dimanfaatkan T20, sementara M40 (RM13 bilion) dan B40 pula RM6 bilion). Data ini secara jelas menunjukkan jumlah subsidi yang dimanfaatkan T20 adalah tinggi dan hampir menyamai peruntukan bantuan tunai pada tahun 2022.
Oleh itu, adanya pelaksanaan subsidi yang lebih bersasar pada penggunaan RON95 ini – ia dijangka dapat meluaskan lagi manfaat kepada kumpulan yang memerlukan di Malaysia. Usaha ini sekaligus akan memberi nilai tambah kepada aliran perbelanjaan di pasaran negara kelak.
by Faiz Riziq | Sep 24, 2024 | Luar Negara, English & Other Country, Perbankan
Setelah melalui proses rundingan berhubung kelulusan bersyarat bersama Bank Negara Malaysia (BNM) sejak beberapa bulan yang lalu – Sarawak kini dijangka akan memuktamadkan aturan tambahan 15% peralihan pegangan Affin Bank bersama pemegang terbesar entiti tersebut iaitu Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dengan Boustead Holdings.
Kesepakatan perjanjian itu disasarkan akan dimeterai pada Jumaat ini, 27 September kelak. Buat pengetahuan umum, setakat akhir 2023 Sarawak memiliki sekitar 4.79% kepentingan pada Affin Bank dan melalui penyelesaian perjanjian jual-beli (SPA) ia berpotensi ditingkatkan kepada 30%. Sekiranya kesepakatan itu berjaya direalisasikan – ia akan meletakkan Sarawak selaku pemegang saham utama Affin Bank di pasaran Malaysia.
Selain Sarawak, ketika ini LTAT memiliki sejumlah 28.8% pegangan pada Affin Bank disusuli anak syarikatnya iaitu Boustead Holdings dengan 20.65%.
by Faiz Riziq | Sep 20, 2024 | Luar Negara, English & Other Country
Semua orang boleh nikmati kehidupan bebas hutang asalkan ada disiplin, ilmu dan kesedaran yang tinggi. Meskipun misi bebas hutang bukanlah sesuatu yang mudah, ia bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dilakukan. Ramai orang khususnya golongan muda gagal merancang kewangan dengan baik sehinggakan golongan ini terjerat dalam hutang yang membebankan.
3 Tanda Pengurusan Kewangan Anda Masih Belum Merdeka
Erti #MerdekaKewangan yang sebenar ialah bebas dari hutang dan mempunyai pendapatan yang stabil. Dalam usaha untuk #MerdekaKewangan dan bebas hutang, disiplin diri memainkan peranan penting terutamanya dari segi pengurusan perbelanjaan kehendak. Jika tidak dikawal, ia boleh mengakibatkan masalah kewangan yang serius.
Apa tanda-tanda pengurusan kewangan peribadi anda masih belum merdeka?
1. Tidak Mampu Menyimpan Setiap Bulan
Amalan menabung atau menyimpan bukanlah sesuatu perkara yang mudah terutamanya dalam kalangan generasi muda hari ini. Menurut laporan kajian Bank Negara Malaysia (BNM), 75 peratus daripada rakyat Malaysia tidak mempunyai simpanan minimum sekurang-kurangnya RM1,000.
Simpanan adalah satu elemen penting dalam membantu usaha anda mencapai misi bebas hutang. Menurut pakar, anda disarankan untuk menyimpan minimum 10 peratus daripada pendapatan kasar yang diterima setiap bulan. Maksudnya, anda perlu simpan sekurang-kurangnya RM300 sebulan jika gaji anda RM3,000 sebulan.
Namun begitu, dengan kos sara hidup yang semakin tinggi, memadai untuk anda simpan mengikut kemampuan kewangan anda sendiri. Jika anda mampu untuk simpan RM100 sahaja sebulan, itu lebih baik daripada tidak menyimpan langsung. Tiada gunanya jika simpan dalam jumlah yang besar setiap bulan tetapi pada akhirnya terpaksa dikeluarkan akibat terdesak.
2. Baki Akaun Bank Negatif Setiap Bulan
Jika anda tergolong dalam kategori individu yang sentiasa menanti-nantikan hari gaji masuk setiap bulan untuk berbelanja, anda perlu menilai semula pengurusan kewangan anda. Ini kerana, anda berkemungkinan ada masalah dalam menguruskan komitmen dan perbelanjaan anda.
Pengurusan kewangan yang baik boleh membantu anda merancang perbelanjaan bulanan dengan lebih terkawal tanpa menunggu gaji yang seterusnya. Berikut antara tip yang boleh anda praktikkan untuk menguruskan hutang anda dengan lebih baik:
- Rekod aliran keluar dan masuk kewangan anda bagi memastikan anda tahu ke mana wang anda dibelanjakan;
- Kurangkan perbelanjaan untuk beli barangan kehendak. Dalam misi bebas hutang, fokus kepada perbelanjaan barang keperluan sahaja;
- Kurangkan komitmen bulanan yang tidak perlu seperti siaran televisyen berbayar, penapis air dan sebagainya;
- Tingkatkan pendapatan dengan menjana pendapatan pasif tambahan;
- Fokus pada misi melangsaikan hutang yang paling rendah atau hutang dengan kadar faedah yang tinggi terlebih dahulu.
3. Hutang Tertunggak Lebih Sebulan
Ramai dalam kalangan orang muda khususnya hanyut dalam mengejar gaya hidup mewah sehingga memberi kesan pada perbelanjaan bulanan. Mereka terikut-ikut dengan gaya hidup masa kini seperti sering bertukar-tukar telefon pintar, beli kereta import dan sebagainya.
Akibatnya, golongan ini terbeban dengan komitmen bulanan yang terlampau tinggi sehingga menghadapi masalah untuk bayar balik pinjaman. Malah, ada yang miliki komitmen bulanan yang tinggi melebihi pendapatan bulanan sehingga berlaku tunggakan hutang.
Lebih membimbangkan sehinggakan sampai ada yang sanggup ambil pinjaman peribadi dengan kadar faedah yang tinggi atau meminjam duit dari orang lain untuk meneruskan kehidupan.
Penting untuk anda tahu tunggakan untuk pinjaman tidak kira pinjaman rumah, kad kredit atau pinjaman pendidikan boleh jejaskan skor kredit anda. Pihak bank akan melihat skor kredit yang baik sebelum meluluskan apa-apa pinjaman baharu – skor kredit 650 dan ke atas dikira baik.

Lindungi Masa Depan Anda, Satukan Hutang Anda Dengan Kami Di KMC
Tanpa tabiat kewangan yang baik, ia boleh memberi kesan negatif kepada kehidupan anda. Keadaan kewangan yang tidak stabil boleh beri kesan pada tekanan emosi dan psikologi. Ini termasuk kebimbangan, kemurungan dan masalah kesihatan mental yang lain. Oleh sebab itu, penting untuk anda merancang kewangan anda bagi memastikan anda #MerdekaKewangan.
Perancangan kewangan yang baik boleh membantu memberikan ketenangan fikiran dan perlindungan untuk masa depan. Sebagai contoh, jika anda ingin bersara dengan selesa, anda perlu simpan sebahagian daripada pendapatan dan tidak berbelanja secara berlebihan bermula dari sekarang, Namun begitu, tabiat baharu ini semestinya memerlukan perancangan jangka panjang dan disiplin diri yang tinggi. Ini kerana, bukan mudah untuk mengubah gaya hidup lama kepada amalan baharu yang lebih baik.
by Faiz Riziq | Sep 20, 2024 | Luar Negara, English & Other Country
Seiring dengan keputusan untuk keluar dari pasaran Malaysia susulan berdepan peralihan strategik di peringkat kumpulan – bermula hari ini, Raiz memaklumkan semua akaun pengguna Malaysia kini ditutup. Aturan ini bukanlah langkah baharu, ia telahpun diberi peringatan pada akhir Julai lalu – di mana pada 2 September lalu pengguna tidak lagi boleh laksana pelaburan dan menukar portfolio, hanya pengeluaran sahaja dibenarkan.
Jelas Raiz lagi, proses penutupan ini akan dilaksanakan secara berperingkat, bagi memastikan pengendalian aset pelanggan kekal cekap dan dilindungi. Raiz menjangkakan aturan penutupan itu dapat diselesaikan pada akhir 30 September ini.
Akaun Raiz Kini Ditutup – Jadi Apa Pengguna Malaysia Perlu Buat?
Pada penutupan akaun pengguna Raiz Malaysia hari ini (20 September), sebarang baki yang terdapat pada akaun terlibat dimaklumkan akan dikeluarkan secara automatik dan dimasukkan ke Akaun Pengeluaran yang telahpun dipautkan oleh pengguna pada tetapan aplikasi.
Bagaimanapun proses pengeluaran dimaklumkan akan mengambil masa sekitar 7 hari bekerja dan pengguna perlu pastikan akaun yang dipautkan tersebut adalah didaftarkan di bawah nama pengguna bukan pihak lain, bagi memudahkan proses pemindahan baki dicapai.
Pemindahan Wang Berdepan Masalah? Baki Pengguna Akan Diklasifikasi Selaku Wang Tak Dituntut
Selanjutnya sekiranya pihak Raiz gagal melaksanakan pemindahan wang kepada akaun yang dipautkan dan tiada tuntutan lanjut daripada pengguna – maka baki tersebut akan diklasifikasikan sebagai wang yang tidak dituntut dan akan dipindahkan ke Pendaftar Wang Tak Dituntut di bawah Jabatan Akauntan Negara Malaysia.
Berikutan situasi ini, Raiz menjangkakan akan terdapat kelewatan pada aturan pemindahan wang pengguna. Susulan itu, pengguna dinasihati untuk kekal peka akan tempoh pemindahan wang bersama Raiz.
Menerusi penamatan platform pelaburan ini, Raiz memberi galakan kepada pengguna untuk meneroka produk dan perkhidmatan di bawah myASNB dan langkah itu dapat dilaksanakan secara automatik bagi kumpulan yang berminat dengan merujuk bersama pihak Raiz PNB. Secara menyeluruh, bermula 16 Oktober ini akaun Raiz tidak lagi dapat diakses oleh para pengguna Malaysia.
Recent Comments