by Faiz Riziq | Feb 29, 2024 | Kewangan, Keberhutangan & Pelaburan, Tips, Tinjauan & Statistik
Menjelang hari raya, pasti ramai yang sibuk membuat persiapan seperti membeli pakaian raya baharu, perabot dan kelengkapan rumah baharu dan banyak lagi. Dalam keghairahan membuat persiapan raya, beberapa tindakan terutamanya berkaitan cara urus kewangan perlu diambil. Ia bagi mengelakkan pembaziran atau berbelanja melebihi bajet dan kemampuan.
Bajet Hari Raya: Cara Urus Kewangan untuk Elakkan Bebanan Hutang Selepas Aidilfitri
Dalam kemeriahan dan kesibukan membuat persiapan untuk menyambut Aidilfitri, aspek pengurusan kewangan perlu dititikberatkan. Ini kerana, ramai yang sanggup berhutang pinjaman peribadi dan mengeluarkan duit daripada tabung simpanan semata-mata untuk tampil serba baharu di pagi raya. Jika tidak dikawal, ia boleh menyebabkan anda terjerat dengan komitmen hutang yang tinggi selepas hari raya.
1. Baju Raya
Setiap kali menjelang hari raya, ramai memilih untuk membeli baju raya. Ada sesetengah orang tak sah jika baju rayanya tidak ‘tailored-made’. Namun, baju yang dijahit secara khas ini kebiasaannya lebih mahal daripada biasa. Oleh tu, anda disarankan untuk membuat berbelanja dengan kemampuan sendiri. Elakkan diri daripada terpaksa berhutang sana sini.
Antara perkara yang anda boleh praktikkan adalah elak beli baju raya setiap tahun. Ini kerana ada yang memakai baju raya tersebut untuk dipakai sekali sahaja dan tersimpan usang di dalam almari. Sekiranya kemahuan anda untuk membeli itu tinggi, pilih baju dengan harga yang sederhana dan boleh digunapakai berulang kali selepas raya.
Selain itu, tetapkan had belanja untuk setiap baju. Contohnya RM100 hingga RM150 diperuntukkan untuk baju raya dewasa dan RM60 hingga RM70 untuk baju raya kanak-kanak. Sekiranya anda mempunyai enam ahli keluarga, anda boleh ikuti bajet seperti di bawah:
- Suami: RM100
- Isteri: RM150
- Anak pertama: RM70
- Anak kedua: RM70
- Anak ketiga: RM70
- Anak keempat: RM70
- Jumlah: RM530
Walau bagaimanapun, bajet ini boleh dikecilkan lagi seperti menggunakan baju raya lama yang masih baik mengikut kemampuan anda. Yang paling penting, baju raya yang dibeli mestilah sesuai untuk dipakai lebih dari sekali supaya tidak dibazirkan.
2. Kuih Muih dan Ketupat Rendang
Tak sah lah raya bila tak ada ketupat rendang dan kuih-muih. Walau bagaimanapun, mana satu yang lebih jimat, buat sendiri atau beli? Sekiranya anda inginkan kuih raya dalam kuantiti yang banyak, lebih jimat jika dibuat sendiri. Kalau sekadar inginkan dalam kuantiti yang sedikit, beli di pasaraya lebih jimat. Ini juga terpakai untuk makanan-makanan raya yang lain seperti ketupat, rendang, lemang dan bermacam-macam lagi.
Sebagai contoh, ini bajet untuk makanan raya yang anda boleh ikuti:
- Kuih Raya – RM100
- Ketupat – RM30
- Lemang – RM40
- Rendang ayam dan daging – RM200
Jumlah yang anda perlu peruntukkan untuk juadah hari raya adalah: RM320
Sekiranya anda mempunyai bajet yang lebih kecil, apa yang anda boleh lakukan anda dengan mengurangkan bajet dari segi kuih raya dan lemang.
3. Bagi Duit Raya Ikut Kemampuan
Ini juga merupakan satu dilema. Berapa duit raya yang perlu diberi? Amalan memberi duit raya adalah amalan yang baik kerana dalam Islam sendiri amat digalakkan untuk bersedekah. Namun, anda disarankan untuk memberi duit raya mengikut kemampuan sendiri. Antara tips yang boleh digunapakai adalah:
- Tukar awal pecahan duit raya kepada not matawang yang lebih kecil seperti RM1 atau RM5 untuk diberikan kepada anak saudara atau anak tetamu yang berkunjung
Utamakan duit raya untuk ibu bapa, dan anak terlebih dahulu.
Contohnya: RM50 x 4 = RM 200 untuk ibu bapa termasuk belah suami/ isteri:
- RM50 x 3 = RM150 untuk tiga orang anak.
- Peruntukkan lagi RM100 – RM150 untuk diberikan kepada anak saudara atau anak tetamu yang datang menziarahi.
Sekali lagi diingatkan, ubah dan sesuaikan tips di atas mengikut kemampuan kewangan semasa anda.
4. Elak Guna Kad Kredit
Bagi perbelanjaan raya, anda dinasihatkan untuk mengelakkan penggunaan kad kredit. Ini kerana anda akan cenderung untuk berbelanja mengikut nafsu dan bukan dalam bajet raya yang sesuai. Jika tidak, anda terpaksa menanggung bil hutang kad kredit yang tinggi kemudian hari. Meskipun raya adalah perayaan setahun sekali, jadi elakkan diri daripada berhutang.
Anda perlu memastikan keperluan dan keutamaan dengan betul. Panduan pecahan yang disyorkan oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) iaitu:
- Keperluan barangan runcit untuk rumah dan juga hari raya – 20 peratus
- Keperluan pakaian raya – 10 peratus (Atau gunakan baju yang sedia ada)
- Keperluan duit raya – 10 peratus
- Keperluan kecemasan – 10 peratus
Jika diikutkan panduan ini, hanya 40 peratus perbelanjaan yang dikatakan sebagai keutamaan atau keperluan. Jadi, elakkan berbelanja mengikut nafsu dan disiplin dalam mengikut bajet yang anda telah tetapkan.
Sebenarnya, banyak perbelanjaan yang dapat dikurangkan dan wang lebihan boleh digunakan untuk menambah simpanan yang boleh digunakan kemudian hari. Ini juga adalah waktu yang sesuai untuk membina dana simpanan dan dana kecemasan.
5. Dana Kecemasan
Bukan sahaja perlu disediakan untuk keperluan harian, tetapi bajet raya anda juga memerlukan dana kecemasan. Misalnya, jika anda dalam perjalanan pulang ke kampung halaman dan kenderaan anda meragam atau kereta mati tepi jalan. Dana kecemasan ini boleh digunapakai untuk membaiki kenderaan tersebut. Sebagai contoh, anda boleh asingkan 25 peratus daripada keseluruhan bajet raya anda untuk dana kecemasan. Bak kata pepatah, sediakan payung sebelum hujan.
Amalkan Sikap Bersederhana, Rancang Perbelanjaan untuk Ketenangan Fikiran
Secara asasnya, anda disarankan untuk amalkan sikap berhemah dan bersederhana dalam berbelanja. Dalam keadaan ekonomi semasa, pendekatan terbaik yang boleh diamalkan adalah berbelanja secara berhemah dan bersederhana, elakkan berhutang dan amalkan cara urus kewangan dengan teliti. Hari raya semestinya perlu disambut dengan meriah, tetapi tidak semestinya anda perlu membelanjakan semua wang simpanan dan harta yang anda miliki.
by Faiz Riziq | Feb 28, 2024 | Ekonomi, Perniagaan & Korporat, Kewangan, Keberhutangan & Pelaburan
Gabenor Bank Negara Malaysia kini berkongsi berkenaan dengan perkembangan semasa mata wang Malaysia, Ringgit. Menurut beliau, Ringgit pada masa ini adalah terkurang nilai, atau undervalued. Berkongsi lanjut, ia dikatakan memandangkan asas dan prospek ekonomi Malaysia adalah positif, ringgit sewajarnya didagangkan pada tahap yang lebih tinggi lagi banding nilai semasa.
BNM telah meningkatkan perbincangan dengan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan, GLC, syarikat korporat dan pelabur untuk menggalakkan aliran masuk yang berterusan ke dalam pasaran pertukaran asing. Sebelum ini, nilai matawang ringgit jatuh kepada RM4.80 untuk setiap dolar Amerika Syarikat, sekaligus membawa kepada tahap terendah sejak tahun 1998 lepas.
by Faiz Riziq | Feb 27, 2024 | Fakta & Informasi, Tips, Tinjauan & Statistik
Tiada kesepakatan dan perbalahan antara waris untuk tukar nama rumah pemilik meninggal atau merasakan proses tuntutan harta pusaka terlalu rumit untuk diuruskan merupakan antara sebab harta pusaka tidak dituntut. Ketidakfahaman tentang cara tukar nama rumah pemilik meninggal dunia juga antara penyumbang kepada peningkatan kes harta pusaka tidak dituntut di Malaysia.
Tukar Nama Rumah Pemilik Meninggal: Cara Tukar Nama Tanah Pusaka kepada Waris yang Masih Hidup
Masalah harta pusaka tidak diuruskan banyak berlaku di Malaysia. Berdasarkan laporan Utusan Malaysia, dianggarkan hampir RM90 bilion jumlah harta beku dan tidak dituntut. Malah, hampir 90 peratus daripada jumlah harta tidak dituntut ini milik orang Melayu. Bagaimana proses tukar nama rumah pemilik meninggal dunia ini boleh dilakukan?
Apabila pemilik hartanah meninggal dunia tanpa meninggalkan sebarang wasiat, waris-waris disarankan untuk berbincang dengan sebaik mungkin bagi mendapatkan kata putus. Lantik seorang wakil dalam kalangan waris-waris si mati sebagai Pentadbir Harta. Pelantikan Pentadbir Harta bertujuan untuk menguruskan pembahagian harta si mati kepada waris-waris mengikut persetujuan bersama.
Sekiranya persetujuan untuk pembahagian harta yang ditinggalkan tidak berjaya dicapai antara waris-waris si mati, Pentadbir Harta perlu memfailkan permohonan di Mahkamah Syariat untuk mendapatkan Perintah Faraid.
Namun begitu, jika kesemua waris bersetuju dengan pembahagian harta tersebut, maka Pentadbir Harta tadi perlu memfailkan permohonan di Pejabat Pusaka Kecil (untuk nilai hartanah keseluruhan kurang daripada RM2 juta). Atau, anda juga boleh memfailkan permohonan Perintah Pusaka dan Pentadbir Harta di Mahkamah Tinggi sekiranya nilai keseluruhan hartanah melebihi RM2 juta.
1. Nilai Harta Kurang daripada RM2 Juta
Untuk kategori Harta Tak Alih (seperti rumah atau tanah) yang kurang atau tidak melebihi RM2 juta, segala urusan berkaitan bagi mendapatkan hak mentadbir harta boleh dilakukan di Pejabat Tanah (Bahagian Pusaka Kecil) di daerah masing-masing atau di mana-mana Pejabat Tanah berhampiran atau mengikut lokasi harta tersebut berada.
Pentadbir Harta atau wakil yang dipersetujui perlu memfailkan permohonan di Pejabat Pusaka Kecil bagi mendapatkan Perintah Pusaka dan Perintah Pentadbir Harta. ini bagi membolehkan hartanah yang ditinggalkan boleh dibahagikan kepada waris seperti yang dipersetujui atau mengikut bahagian faraid masing-masing.
2. Nilai Harta Melebihi RM2 Juta
Namun sekiranya nilai keseluruhan hartanah yang dimiliki bernilai melebihi RM2 juta, sebarang urusan pentadbiran atau penjualan harta berkenaan perlu dilakukan di Mahkamah Tinggi. Wakil yg dilantik perlu memfailkan permohonan Perintah Pusaka dan Pentadbir Harta di Mahkamah Tinggi.
Selepas Perintah Pusaka dan Pentadbir Harta diterima, Pentadbir Harta yang dilantik perlu membuat serahan Permohonan Pindahan di bawah Seksyen 346(1) Kanun Tanah Negara di pejabat Tanah yang berkenaan. Semasa proses serahan ini dilakukan, anda perlu sertakan bersama Salinan Asal atau Salinan Diperakui Sah Perintah Pusaka dan Pentadbir Harta.
Tujuan Permohonan Pindahan ini dilakukan adalah untuk membolehkan hartanah yang ditinggalkan atas nama si mati (pemilik berdaftar) dipindahkan kepada Pentadbir Harta sebagai pentadbir atau pemegang amanah kepada harta tersebut. Ia membolehkan hartanah tersebut dipindah milik daripada nama Pentadbir Harta kepada nama waris-waris yang berhak seperti yang dinyatakan dalam Perintah Pusaka tadi.
Oleh sebab itu, anda perlu melantik wakil yang amanah, jujur dan bertanggungjawab bagi mengelakkan sebarang kesulitan semasa proses tukar nama pemilik rumah meninggal dilakukan.
7 Proses Mudah Tukar Nama Rumah Pemilik Meninggal
Setelah pemilik harta meninggal dunia, Pejabat Tanah biasanya akan membekukan atau menghalang sebarang transaksi atau turun milik nama setelah mendapat makluman. Ini bermaksud, setelah kematian pemilik asal, waris perlu membuat urusan tukar nama dengan berurusan di Pejabat Tanah mengikut prosedur-prosedur tertentu.
Secara ringkasnya, cara tukar nama tanah pemilik meninggal dunia adalah seperti berikut:
- Lantik Pentadbir Harta dalam kalangan waris-waris si mati;
- Failkan tuntutan pusaka di Pejabat Tanah (Bahagian Pusaka Kecil) atau Mahkamah Tinggi Sivil (jika nilai hartanah melebihi RM2 juta) bagi mencairkan harta tersebut;
- Selepas Pindahan difailkan, Pejabat Tanah atau Mahkamah Tinggi (mana-mana berkaitan) akan keluarkan Perintah Pusaka dengan menetapkan bahagian setiap waris yang berhak ke atas hartanah yang ditinggalkan dan masukkan nama Pentadbir Harta pada Surat Hak Milik Hartanah (geran tanah);
- Setelah nama Pentadbir Harta dimasukkan dalam geran tanah, hartanah tersebut kini boleh dipindah milik kepada waris-waris yang layak mengikut bahagian masing-masing dan tertakluk pada Perintah Pusaka;
- Bawa perintah pusaka tersebut ke Pejabat Tanah untuk urusan turun milik;
- Nama waris akan dicetak pada geran;
- Selesai.
Sekiranya pembahagian hartanah tersebut melibatkan Faraid, Pejabat Tanah biasanya akan terus memasukkan nama Pentadbir Harta dan waris-waris sebagai pemilik berdaftar baharu pada geran tanah mengikut bahagian masing-masing. Selepas kesemua nama waris direkodkan di dalam geran, satu geran tanah baharu akan dikeluarkan oleh Pejabat Tanah.
Sekiranya pemilik berdaftar di dalam geran lebih daripada seorang, Pentadbir Tanah biasanya akan dipertanggungjawabkan untuk memegang geran asal tanah tersebut. Untuk prosedur yang lebih terperinci atau sebarang pertanyaan berkaitan proses ini, anda disarankan untuk merujuk Pejabat Pusaka Kecil untuk info lanjut.
Perkara Perlu Anda Lakukan Setelah Urusan Jualan & Turun Milik Selesai
Urusan turun milik rumah atau tukar nama rumah pemilik meninggal perlu dilakukan dengan kadar segera sebaik sahaja pemilik hartanah tersebut meninggal dunia. Lebih baik jika proses ini dilakukan setelah mencapai persetujuan bersama. Berbincang terlebih dahulu dengan waris lain bagi mencapai persetujuan untuk mengelakkan salah faham atau perbalahan.
Secara asasnya, persetujuan boleh dicapai dengan tiga kaedah berikut antaranya kaedah faraid, muafakat atau bertolak ansur (beri kepada pewaris atau adik-beradik yang lebih memerlukan). Namun begitu, setelah selesai proses tukar nama rumah pemilik meninggal atau jualan harta selesai, pewaris perlu selesaikan segala perbelanjaan berkaitan si mati dengan hasil penjualan tersebut sebelum diagihkan kepada waris termasuklah:
- Perbelanjaan pengebumian si mati;
- Membayar segala hutang-piutang si mati;
- Bayaran kepada ejen, peguam atau apa-apa bayaran tertangguh lain yang berkaitan si mati.
Semoga panduan tukar nama rumah pemilik meninggal dunia ini membantu anda.
by Faiz Riziq | Feb 26, 2024 | Kewangan, Keberhutangan & Pelaburan, Tips, Tinjauan & Statistik
Siapa yang beli kereta secara pembiayaan, membayar ansuran bulanan kereta sudah tentu menjadi perkara wajib bagi setiap bulan. Tetapi pernahkah anda terfikir untuk menyelesaikan pembiayaan kereta secara cepat dan pantas? Selalunya, untuk menyelesaikan pembiayaan kereta secepatnya adalah dengan cara membayar jumlah ansuran kereta dengan jumlah yang lebih banyak. Selain itu, terdapat beberapa cara lain untuk menyelesaikan pembiayaan kereta dengan cepat yang boleh kita lakukan.
Untuk membayar ansuran kereta dengan jumlah yang lebih besar setiap bulan adalah tidak mampu dilakukan oleh semua orang kerana setiap daripada kita memiliki jumlah pendapatan yang berbeza. Jadi, bagaimanakah cara untuk menyelesaikan pembiayaan kereta dengan cepat? Jom lihat beberapa tips bayar ansuran kereta dengan cepat yang perlu dicuba.
Jangan Biar Tertunggak Untuk Membayar Ansuran Bulanan Kereta
Biasanya pemilik syarikat kenderaan atau pihak pemberi pinjaman akan membenarkan anda untuk melangkaui ansuran bulanan kereta dalam tempoh satu atau dua kali setahun. Pastikan anda tidak termakan dengan pujuk rayu mereka untuk melangkaui pembayaran tersebut kerana ia akan memanjangkan lagi tempoh pembiayaan tersebut.
Selain itu, dengan melangkaui bayaran ansuran bulanan kereta tersebut, anda pasti akan dikenakan pelbagai caj faedah yang lain. Oleh itu, jangan biarkan bayaran ansuran bulanan kereta anda tertunggak. Membayar ansuran kereta secara tetap setiap bulan akan menyelesaikan pembiayaan tersebut dengan lebih cepat.
Jangan Memanjangkan Tempoh Pembiayaan Kereta
Biasanya masyarakat kita suka untuk mendapatkan jumlah ansuran bulanan yang sangat rendah dengan memanjangkan tempoh pembiayaan kereta mereka. Namun perlu diketahui bahawa dengan memanjangkan tempoh pembiayaan kereta, ia akan membuatkan jumlah pembiayaan tersebut semakin bertambah. Jadi, jangan sesekali panjangkan tempoh pembiayaan kereta tetapi bayarlah mengikut tempoh sependek yang mungkin.
Dapatkan Pendapatan Sampingan
Bagi anda yang mempunyai banyak waktu, anda boleh membuat kerja secara sampingan untuk menyelesaikan pembiayaan kereta dengan cepat. Biasanya kerja secara sampingan ini tidak memerlukan komitmen yang terlalu tinggi dan boleh dilakukan ketika mempunyai waktu terluang ataupun ketika cuti mingguan.
Penting sekali, pekerjaan tersebut mestilah seiring dengan minat dan juga kemahiran yang dimiliki. Antara kerja sampingan yang boleh dilakukan adalah menjual barang secara atas talian, menjual makanan, menjadi pemandu e-hailing, tutor secara atas talian dan lain-lain lagi.
Membuat Simpanan
Membuat simpanan juga merupakan antara cara untuk selesaikain pembiayaan kereta dengan cepat. Jika anda membuat simpanan sekurang-kurangnya 20% daripada pendapatan bulanan anda, anda boleh menambah bayaran ansuran bulanan kereta anda dengan jumlah yang lebih banyak. Semakin banyak jumlah ansuran bulanan yang dibayar, semakin cepatlah tempoh waktu untuk menyelesaikan pembiayaan tersebut.
Genapkan Bayaran Ansuran
Selain itu, cara cepat untuk menyelesaikan pembiayaan kereta adalah dengan menggenapkan jumlah ansuran bulanan yang perlu dibayar. Dengan menggenapkan bayaran pembiayaan, anda tidak akan mempunyai sebarang tunggakan ansuran.
Tunggakan hutang akan melambatkan tempoh masa untuk keseluruhan pembiayaan kereta tersebut dilunaskan. Selain itu, faedah juga tidak akan dikenakan untuk anda yang sering membayar ansuran bulanan kereta secara genap.
Dapatkan Insurans/Takaful Kereta Yang Lebih Murah
Bagi menyelesaikan pembiayaan kereta dengan cepat, anda juga mungkin boleh mendapatkan insurans kereta yang lebih murah. Semakin murah insurans kereta, maka semakin jimatlah wang yang ada untuk membayar ansuran bulanan kereta dengan cepat. Namun perlu diingatkan juga, tidak semua insurans yang murah itu mampu melindungi apa yang diinginkan oleh anda.
Seelok-eloknya, pastikan insurans yang dipilih oleh anda tidak terlalu membebankan dalam membiayai kereta tersebut. Jika anda kurang yakin dengan pelan insurans yang bersesuaian dengan anda, anda boleh rujuk kepada ejen insurans di kawasan anda.
Membayar Ansuran Kereta Dengan Memajak Emas
Adakah anda mempunyai banyak emas perhiasan yang jarang digunakan? Jika ya, anda mungkin boleh memajak emas tersebut untuk menyelesaikan pembiayaan kereta dengan cepat. Cara ini boleh dikatakan antara cara yang berkesan kerana dapat menjimatkan tempoh pembiayaan kereta tersebut.
Selain itu, kadar faedah untuk tebus balik emas yang dipajak tersebut lebih rendah berbanding dengan faedah ansuran kereta. Jadi, bagi anda yang mempunyai emas yang banyak, tips ini boleh anda cuba untuk menjelaskan ansuran bulanan kereta dengan cepat.
Menyediakan Bajet Kewangan
Tips terakhir untuk menyeleaikan pembiayaan kereta dengan cepat juga adalah dengan menyediakan bajet kewangan. Dengan mempunyai bajet kewangan, ia akan membantu anda menyelesaikan pembiayaan kereta anda dengan lebih cepat. Walaupun tidak ramai yang mampu mengikuti bajet kewangan dengan konsisten, tetapi percayalah dengan mengikuti bajet kewangan yang dirancang, ia dapat menyelamatkan kewangan anda dari masa ke semasa.
Kesimpulannya, tips yang kami senaraikan di atas mungkin boleh digunakan oleh anda yang ingin menyelesaikan pembiayaan kereta dengan cepat. Paling penting, pastikan jumlah yang dikenakan sebagai ansuran bulanan kereta anda itu tidak membebankan dalam kehidupan anda. Janganlah kerana mahukan kereta yang mewah, sehinggakan kehidupan anda merana seperti pepatah lama ‘biar papa, asal bergaya’.
by Faiz Riziq | Feb 23, 2024 | Ekonomi, Perniagaan & Korporat, Fakta & Informasi
Penurunan nilai mata wang Ringgit Malaysia (RM) sejak beberapa tahun ini semakin membimbangkan situasi ekonomi tempatan. Ia akan turut menjejaskan sosioekonomi serta meningkatkan harga barangan import. Ramai sudah mula bosan dengan penurunan nilai mata wang ringgit sejak beberapa tahun ini. Seringkali timbul persoalan, bilakah ia akan bangkit? Sebelum berfikir lebih jauh, artikel ini akan berkongsikan 6 faktor utama kenapa mata wang ringgit susah sangat nak mengukuh sejak dua menjak ini.
1. Perubahan Pasaran Global
Perubahan naik turun mata wang ringgit dalam tempoh jangka masa pendek kini lebih bergantung kepada situasi pasaran global di Amerika Syarikat dan China. Pertumbuhan ekonomi dan paras kadar faedah yang tinggi di Amerika Syarikat memberi kelebihan kepada kekuatan mata wang dolar AS. Secara tidak langsung, ini akan menonjolkan jarak yang ketara dalam perbezaan nilai mata wang berbanding ekonomi negara Malaysia yang kecil ini.
Selain itu, situasi pasaran ekonomi China yang alami kelembapan turut menarik pandangan pelabur pertukaran mata wang asing global yang beranggapan bahawa ekonomi Asia kurang memberi impak dalam meraih keuntungan.
2. Kadar Faedah
Penetapan kadar faedah yang kekal 3.0 peratus pada penghujung 2023 telah menyebabkan pergerakan ekonomi tempatan kekal stabil. Keputusan itu merupakan satu respon oleh Bank Negara Malaysia (BNM) bahawa situasi ekonomi negara masih dalam keadaan terkawal dan baik. Itu merupakan keputusan tidak berubah untuk empat kali berturut-turut sejak Mei 2023 hingga sekarang.
3. Data Inflasi
Kini, kadar inflasi keseluruhan Malaysia yang diukur menerusi Indeks Harga Pengguna (IHP) masih kekal pada tahap 1.5% pada Disember 2023. Ini menjadikan inflasi keseluruhan secara tahunan pada 2023 meningkat 2.5 peratus berbanding 3.3 peratus pada 2022. Dorongan positif ini akan terus membantu nilai mata wang ringgit untuk terus bertahan. Jika terdapat kebimbangan tentang kenaikan inflasi yang tidak terkawal, ia boleh menyebabkan penurunan daya beli ringgit dan menyebabkan kelemahan mata wang.
4. Keyakinan Pasaran Tempatan
Peningkatan bilangan pelabur domestik terutama melibatkan syarikat tempatan di Malaysia menunjukkan keyakinan dalam kalangan pelabur semakin tinggi berbanding tahun-tahun sebelum ini. Sepanjang tahun lepas, Malaysia telah meluluskan pelaburan bernilai RM225 bilion dalam sektor perkhidmatan, pembuatan dan utama dalam tempoh Januari hingga September 2023. Laporan itu meningkat 6.6 peratus daripada pelaburan RM211 bilion yang diluluskan dalam tempoh yang sama tahun lepas. Namun, sentimen pasaran mampu berubah arah disebabkan oleh faktor-faktor seperti ketidakstabilan politik, kelemahan ekonomi atau ketidakpastian dasar kewangan yang boleh menyebabkan kehilangan keyakinan para pelabur.
5. Pergerakan Harga Minyak Sawit
Malaysia merupakan pengeluar dan pengeksport minyak sawit yang signifikan di peringkat global. Jika harga minyak turun, ia boleh menjejaskan pendapatan negara dan memberi tekanan kepada mata wang. Harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka didagangkan lebih tinggi melepasi paras RM4,000 satu tan pada 2024 berikutan kekangan bekalan ekoran ancaman El Nino yang sederhana dan aktiviti pembajaan yang lebih rendah pada 2021 dan 2022.
6. Ketidakpastian Politik & Dasar Ekonomi
Ketidakstabilan politik dalam negara atau ketidakpastian mengenai dasar-dasar ekonomi boleh memberi kesan negatif kepada kepercayaan pelabur dalam ringgit. Sejak Pilihan Raya Umum Ke-15, kekacauan dalaman politik telah menjadi topik utama di media tempatan selepas Kerajaan Madani di bawah kepimpinan Dato Seri Anwar Ibrahim berjaya membentuk sebuah kerajaan perpaduan hasil gabungan beberapa buah parti untuk membentuk majoriti.
Namun, sejauh manakah kredibiliti yang mampu dibawa kerajaan ini dalam menstabilkan atmosfera politik serta dasar ekonomi tempatan yang lebih mampan? Jadi, ini merupakan 6 faktor besar yang menjadi penyebab utama dalam pergerakan naik turun mata wang ringgit sejak beberapa tahun ini. Semoga perkongsian ini dapat memberikan manfaat kepada semua pembaca!
Recent Comments