by Faiz Riziq | Dec 22, 2023 | Kewangan, Keberhutangan & Pelaburan, Tips, Tinjauan & Statistik
Sudah berumahtangga? Tahniah kami ucapkan. Ada masalah pasangan seperti tak berapa nak ambil kisah pasal masa depan dan keluarga? Buat korang yang baru mendirikan rumah tangga, hadamkan artikel ini. Tidak kira pasangan kita bekerja di sektor swasta atau sektor kerajaan.
Tuhan menemukan seseorang untuk melengkapkan kita. Jika pasangan kita gila modified kereta, pasangan dia mesti seorang yang bijak menguruskan kewangan. Jika pasangan kita gila beli baju online, baju dua almari tetapi masih mengadu kata takde baju nak pakai, pasangan dia mesti power kawal kewangan. Jadi, apa yang kita boleh buat untuk ajar dan beri kesedaran kepada pasangan kita tentang pengurusan kewangan?
1. Ajar Cipta Matlamat Kewangan
Pengurusan kewangan yang baik membabitkan matlamat kewangan jangka pendek, sederhana dan panjang. Untuk permulaan, bina matlamat paling senang nak capai. Contohnya matlamat nak simpan RM600 dalam sebulan. Jadi, istiqamah simpan RM20 setiap hari. Bila dah capai, ini akan menyuntik rasa semangat untuk menyimpan lebih banyak lagi.
2. Ajar Simpan Sebelum Berbelanja
Ajar si dia untuk simpan sebelum berbelanja. Contohnya gaji RM2000. Simpan siap-siap RM200. Kalau rasa berat, cuba simpan RM100 sebulan. Jika belanja semua pendapatan terlebih dulu dan lebih baru nak simpan, itu boleh mencipta masalah kewangan yang kronik pada masa akan datang.
Ajar dia gunakan formula ini:
Pendapatan – Simpanan = Belanja.
3. Ajar Supaya Tangguhkan Kehendak
Jika si dia menggelupur nak iPhone, cepat-cepat azan dekat telinga kanan dia. Ingatkan yang dia tu masih ada PTPTN tertunggak. Ajar dia supaya ada tabiat delay gratification iaitu menangguhkan kepuasan. Tengok dalam dompet, ada duit. “Eh, boleh belanja lagi ni”. Biarlah duit kita ada lebihan 5-6 ratus sekalipun, jangan ajar diri belanja untuk habiskannya. Tangguhkan seketika. Simpan duit untuk benda yang lebih memerlukan.
4. Ajar Supaya Berbelanja Dengan Bijak
Ajar dia buat bajet belanjawan bulanan. Catat segala perbelanjaan. Berbelanja dengan bijak ni boleh dibuat dengan
- Membandingkan harga.
- Beli masa promosi atau dengan harga borong.
- Buat senarai barang yang nak dibeli, tak perlu nak ulang-alik dua tiga kali ke pasar raya atau terbeli benda yang tiada dalam senarai.
5. Ajar Tentang Keperluan vs Kehendak
Keperluan adalah asas untuk hidup iaitu untuk makan, minum, pakaian, tempat tinggal, pendidikan dan kesihatan. Kehendak pula kalau tak ada pun boleh hidup. Contohnya nak pakai kereta mewah, telefon mahal, travel luar negara ataupun lepak minum Setarbucks. Ramai pasangan masih tidak dapat bezakan antara keperluan dengan kehendak.
6. Ajar Tentang Risiko Kewangan
Risiko kewangan adalah sesuatu yang tidak dapat dihapuskan sepenuhnya. Bagi kesedaran tentang kepentingan takaful dan risiko pelaburan. Tentang bahaya tunggakan hutang kad kredit. Ajar dia untuk mengenali penipuan skim cepat kaya dan MLM tidak berlesen. Terangkan tentang CCRIS. Terangkan kalau tak bayar hutang apa akibatnya. Apa itu muflis dan kesan muflis.
7. Ajar Tentang Pelaburan Yang Bijak
Ajar dia tentang pelaburan yang rendah risiko seperti melabur di ASB disebabkan unit berharga tetap RM1. Jadi, tidak akan rugi. Menyimpan di Tabung Haji juga boleh. Dalam Akta Tabung Haji, dinyatakan dengan jelas bahawa konsep simpanan dalam akaun Tabung Haji adalah berdasarkan konsep Wadi’ah Yad Dhamanah (simpanan berasaskan jaminan)
Kalau nak berjaya, sentiasa “laparkan diri” dan terus-menerus memburu ilmu yang bermanfaat. Sebab dengan ilmu, baru kita boleh pendekkan masa untuk mencapai kejayaan dan kekayaan.
Kalau ada seminar, pergi sama-sama. Ajak dia sekali. Sebab tak semua rajin nak baca buku-buku tentang pengurusan kewangan. Benda yang ditulis ni pun merungut kata panjang. Jadi lebih baik belajar terus dari kepakaran orang lain.
by Faiz Riziq | Dec 21, 2023 | Ekonomi, Perniagaan & Korporat, Perbankan
Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) hari ini secara rasminya mengumumkan jumlah pengagihan sebanyak 5.25 sen seunit untuk dana Amanah Saham Bumiputera. Pengagihan ini adalah untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023. Melalui pengagihan berkenaan, ASNB mengatakan ia meliputi pendapatan sebanyak 4.25 sen seunit, dan juga bonus 1 sen seunit. Melalui perkongsian pihak ASNB juga, mereka menyatakan memberikan pulangan kewangan yang lebih baik dan kompetitif berbanding simpanan FIxed Deposit lain.

by Faiz Riziq | Dec 21, 2023 | Fakta & Informasi, Kewangan, Keberhutangan & Pelaburan
Sebilangan besar rakyat Malaysia masih bersikap “jangka pendek” dalam pengurusan kewangan, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Abdul Rasheed Ghaffour. Beliau berkata ramai rakyat Malaysia juga bersikap kurang endah dalam menguruskan risiko kewangan masing- masing, termasuk dalam menghadapi situasi yang tidak dijangka.
“Hampir separuh rakyat Malaysia sukar menyediakan RM1,000 bagi tujuan kecemasan dan satu daripada tiga rakyat kita tidak berminat untuk ambil tahu mengenai insurans dan takaful,” katanya dalam ucapan perasmian Karnival Celik Kewangan (KCK) Johor hari ini.
Abdul Rasheed berkata apa yang membimbangkan ialah peningkatan pengetahuan dalam kalangan rakyat Malaysia masih tidak seiring dengan sikap dan amalan pengurusan kewangan mereka. Beliau berkata statistik Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) menunjukkan ramai yang terpaksa berhutang apabila memerlukan wang di waktu menghadapi kecemasan.
Manakala satu daripada tiga rakyat Malaysia merasa terbeban dengan hutang walaupun kebanyakan daripada mereka tergolong dalam kalangan yang mempunyai pendapatan yang berpatutan, katanya.
“Kaji selidik yang dijalankan juga menunjukkan 37 peratus daripada rakyat Malaysia berkongsi kata laluan dan nombor pin mereka kepada keluarga dan rakan,” tambah Abdul Rasheed.
Justeru, beliau berkata pengetahuan tentang pelbagai produk kewangan dan kesesuaiannya seperti memahami cara mengurus hutang, memahami risiko dan pulangan sesuatu pelaburan serta langkah-langkah untuk melindungi diri daripada menjadi mangsa scam atau penipuan kewangan, merupakan kemahiran yang harus ada pada semua.
“Masyarakat celik kewangan bukan sahaja berpeluang untuk meningkatkan taraf hidup masing-masing, malah berupaya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.
BNM, dengan kerjasama ahli dan rakan kerjasama Jaringan Pendidikan Kewangan, serta industri kewangan kini sedang menganjurkan Karnival Celik Kewangan (KCK), dengan KCK Johor telah berlangsung mulai 27 hingga 29 Okt, 2023 yang lepas. Matlamat KCK adalah untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan celik kewangan dan menggalakkan rangkuman kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia.
-Bernama
by Faiz Riziq | Dec 20, 2023 | Fakta & Informasi, Kewangan, Keberhutangan & Pelaburan
Pembahagian harta pusaka mengikut kaedah faraid adalah pembahagian harta yang berdasarkan dalil-dalil yang sahih daripada Al-Quran. Faraid boleh diwarisi atas sebab pertalian darah, perkahwinan dan agama. Waris utama yang berhak adalah ibu, bapa, suami/isteri dan anak Lelaki dan anak Perempuan.
Apabila berlaku kematian ke atas pemilik harta, hukum Faraid telah menetapkan bahagian dan peraturan tertentu kepada setiap waris yang ditinggalkan. Ia yang dinyatakan secara khusus di dalam Al-Quran Surah An-Nisa ayat 7, 8, 9, 10, 11 dan 12.
Terdapat perbezaan pembahagian di antara waris lelaki dan perempuan dimana waris perempuan akan mendapat bahagian yang sedikit berbanding waris lelaki. Perbezaan ini secara umum kelihatan tiada kesamarataan serta keadilan di antara jantina dari segi pengagihan.
Hikmah Faraid
Perlu difahami bahawa terdapat hikmah di sebalik perbezaan tersebut. Islam meletakkan tanggungjawab yang besar kepada kaum lelaki berbanding kaum wanita. Kaum lelaki bertanggung jawab untuk melindungi serta menyara waris wanita di bawah tanggungannya. Seorang suami atau bapa bertanggung jawab untuk menyara dan memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak.
Adik beradik lelaki merupakan wali yang bertanggungjawab kepada kakak, adik perempuannya serta anak saudaranya yang yatim. Kaum lelaki menerima hak Faraid beserta tanggungjawab. Bahagian Faraid yang diterima oleh kaum lelaki wajar digunakan untuk menyara kaum wanita di bawah tanggunggannya, sebaliknya bahagian yang diterima oleh wanita adalah hak mutlak beliau.
Hukum Faraid sangat menekankan struktur keluarga serta tanggungjawab di mana kaum lelaki berperanan besar sebagai pelindung dan ketua keluarga. Walau bagaimanapun, pada masa kini, segelintir waris gagal melaksanakan tanggungjawab sebagai pelindung dan ketua keluarga. Hak Faraid yang mereka terima digunakan untuk kepentingan peribadi tanpa menghiraukan nasib waris-waris wanita atau anak-anak yatim.
Kesannya, hikmah hukum Faraid gagal difahami oleh orang Islam. Malah mereka beranggapan bahawa ia satu hukum yang rigid, tidak adil dan zalim kerana berlaku diskriminasi dikalangan kaum wanita.
Hukum Allah berkenaan Faraid adalah kekal, namun cara hidup, cara berfikir dan perbuatan manusia yang sering berubah. Janganlah kita menyalahkan hukum Allah. Sebaliknya kita wajar bermuhasabah serta kembali kepada ajaran Islam dan melaksanakan tanggungjawab sepatutnya sebagai seorang Muslim.
Penyelesaian
Faraid adalah satu kaedah pembahagian yang telah ditetapkan oleh Allah apabila berlaku kematian ke atas pemilik harta. Walau bagaimanapun, waris-waris Faraid dibenarkan secara bermuafakat dengan rela hati untuk menolak bahagian Faraid tersebut atau melaksanakan pengagihan mengikut budicara serta persetujuan semua waris.
Bagi mengimbangi Faraid dari segi pengagihan, Islam menyediakan insrumen lain iaitu Hibah sebagai satu kaedah perancangan Harta Pusaka. Hibah adalah pemberian harta tanpa sebarang balasan kepada individu tertentu yang dilaksanakan oleh pemilik harta semasa hayat beliau. Harta Hibah tidak tertakluk kepada hukum Faraid dan ia bukan harta pusaka pemilik harta tetapi ia telah menjadi milik penerima Hibah.
by Faiz Riziq | Dec 19, 2023 | Fakta & Informasi, Kewangan, Keberhutangan & Pelaburan
Adakah anak di dalam kandungan ibu layak menerima pusaka daripada bapanya yang meninggal dunia ketika bayi masih di dalam kandungan?
Syarat – syarat untuk mewarisi harta pusaka adalah waris perlu hidup pada waktu kematian si mati.
- Bagaimana pula bagi anak yang masih dalam kandungan sewaktu kematian bapanya?
- Adakah anak itu berhak untuk mewarisi harta pusaka yang ditinggalkan oleh bapanya?
- Adakah bayi yang bernyawa didalam Rahim ibunya dikira sebagai ‘Hidup’ pada waktu kematian bapanya atau tidak?
Hak Faraid bayi yang masih di dalam kandungan ibunya perlu disimpan sehingga beliau dilahirkan bernyawa dan beliau hidup walaupun beberapa ketika. Sekiranya bayi tersebut meninggal dunia di dalam kandungan atau dilahirkan dalam keadaan tidak bernyawa, maka beliau tidak berhak mewarisi harta pusaka bapanya. Bahagian yang telah disimpan atau di tahan untuk beliau tersebut akan diagihkan kepada waris Faraid yang lain.
Hak Faraid bayi di dalam kandungan adalah dijamin terpelihara. Penentuan bahagian Faraid beliau adalah berdasarkan jantina beliau setelah kelahiran. Jika dilahirkan sebagai lelaki maka hak Faraidnya adalah bahagian lelaki dan jika dilahirkan sebagai perempuan, maka hak Faraidnya adalah bahagian perempuan Selagimana bayi tersebut masih di dalam kandungan ibu maka hak Faraid beliau akan ditahan, disimpan atau dipegang oleh pentadbir atau wasi bagi harta pusaka.
Recent Comments