Penipuan Pelaburan Meningkat 2 Kali Ganda

Penipuan Pelaburan Meningkat 2 Kali Ganda

Suruhanjaya Sekuriti (SC) menerima lebih 2,000 pertanyaan dan aduan mengenai skim atau penipuan pelaburan sehingga September 2021, dengan jumlah itu lebih dua kali ganda berbanding tahun lalu. Pengerusinya, Datuk Syed Zaid Albar berkata, sehingga 30 September 2021, terdapat 202 masukan baharu telah dibuat dalam senarai Peringatan Pelabur SC berbanding 134 masukan untuk keseluruhan 2020. Tindakan segera telah diambil bagi menangani masalah berkenaan.

“Pada tahun ini sahaja, kita telah menyekat 97 laman web dan tujuh akaun Facebook dengan bantuan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM),” katanya dalam ucapan pada InvestSmart Fest 2021 (ISF 2021) yang diadakan secara maya, semalam.

Menurut beliau, skim penipuan kebiasaanya akan menjanjikan pulangan yang tinggi dalam tempoh singkat, mempunyai risiko yang kecil atau tanpa risiko dan sering dipromosikan menerusi saluran media sosial dengan pembayaran kepada akaun bank yang dikendalikan oleh mereka yang melakukan penipuan. Selain skim penipuan pelaburan itu, jumlah aktiviti yang dikendalikan tanpa sebarang lesen atau pendaftaran turut meningkat.

Beliau juga memaklumkan pada tahun ini, SC telah mengenakan tindakan penguatkuasaan kepada dua pertukaran aset digital asing, memberi amaran dan menyekat laman web mereka yang beroperasi secara tidak sah di dalam negara.  Sehingga 30 September 2021, SC telah menyenaraikan 38 operator dalam Senarai Pelabur SC, merangkumi entiti dan individu berkaitan yang menjalankan perniagaan mengenai nasihat pelaburan tanpa lesen.

“Kami turut mengarahkan 29 operator terbabit untuk berhenti menawarkan nasihat pelaburan yang tidak berlesen.

“Kebiasaannya, kegiatan itu dijalankan oleh mereka yang mengaku sebagai ‘guru pelaburan’ dengan menawarkan perkhidmatan menerusi kumpulan perbualan peribadi berdasarkan langganan di Telegram, WhatsApp dan Facebook.

“Jangan berurusan dengan mereka kerana mereka mungkin menerima nasihat daripada pihak yang tidak layak atau digunakan sebagai sebahagian daripada skim manipulasi pasaran,” jelasnya.

Beliau turut menasihatkan rakyat Malaysia agar lebih berhati-hati apabila melabur dan tidak memasukkan wang pendahuluan kepada akaun bank peribadi secara sembarangan. Syed Zaid menekankan dan menegaskan mengenai kepentingan untuk melengkapkan diri dengan pengetahuan dan maklumat pelaburan yang tepat.

ISF 2021 bertujuan untuk mempromosikan pemerkasaan pelabur dan keyakinan pelabur untuk membolehkan mereka membuat keputusan pelaburan yang tepat tanpa menjadi mangsa penipuan. – UTUSAN ONLINE

Online
Hi! Boleh kami bantu?