by Faiz Riziq | Apr 25, 2024 | Fakta & Informasi, Perbankan
Seiring dengan matlamat memacu Malaysia sebagai hab inovasi, GXBank pada makluman di sidang KL20 kini merancang menubuhkan hab kecemerlangan (COE) serantau bagi perkongsian khidmat di Malaysia. Di maklumkan ia akan mula operasi pada akhir 2024 kelak.
Berdasarkan penubuhan hab itu, dijangka hampir 400 peranan akan tersedia dengan memberi tumpuan kepada perkhidmatan berkaitan bank digital, sokongan teknologi serta pengurusan risiko. Buat pengetahuan umum pembangunan hab ini adalah sebahagian daripada pelaburan RM1.5 bilion GXBank di negara untuk tempoh 5 tahun mendatang.
Adanya perluasan ini, ia sekaligus akan meningkatkan lagi pertumbuhan kemahiran digital negara di samping merancakkan kemasukan pelaburan baharu ke Malaysia.
by Faiz Riziq | Apr 25, 2024 | Fakta & Informasi, Kewangan, Keberhutangan & Pelaburan, Luar Negara, English & Other Country
Setelah berteka-teki berkenaan akaun caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) – kini dimaklumkan penstrukturan semula Akaun KWSP akan berkuat kuasa mulai 11 Mei 2024 kelak, dengan pecahan kepada 3 akaun caruman. Seperti yang dilapor sebelum ini, penstrukturan semula 3 akaun tersebut akan dinamakan semula sebagai Akaun Persaraan (Akaun 1), Akaun Sejahtera (Akaun 2) dan Akaun Fleksibel (Akaun 3).
Pembaharuan ini difahamkan akan melibatkan kumpulan pencarum berusia 55 tahun ke bawah sahaja. Ini bermakna kumpulan pencarum yang telah lepasi had usia persaraan tidak akan terlibat. Pada pelaksanaan itu, Akaun Persaraan akan memperlihatkan sumbangan 75% caruman, diikuti Akaun Sejahtera 15% dan Akaun Fleksibel pula 10%. Jelas KWSP, baki dalam Akaun 1 dan Akaun 2 akan kekal seperti sedia kala sementara Akaun Fleksibel pula akan bermula dengan baki sifar.
Menerusi inisiatif ini, ia sekaligus akan membantu para pencarum memenuhi keperluan mereka ketika tempoh kecemasan dan kemudahan tunai pada jangka masa pendek tanpa menjejaskan Akaun 1 serta Akaun 2.
by Faiz Riziq | Apr 24, 2024 | Fakta & Informasi, Luar Negara, English & Other Country, Perbankan
Sebagaimana yang diketahui umum, AEON antara 5 pemegang lesen bank digital yang diperakui Bank Negara Malaysia (BNM) kini memaklumkan – bersedia mulakan operasi dan melancarkan aplikasi perbankan mereka bersama semua pengguna, mulai akhir suku kedua 2024 kelak.
Langkah ini telahpun meraih kelulusan daripada pihak berkuasa pada Januari lalu untuk menjalankan operasi perbankan digital di pasaran negara. Menerusi pimpinan Raja Teh Maimunah ini, pihaknya menyasarkan untuk melengkapkan keperluan perbankan kepada pengguna individu dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bersama sejumlah perkhidmatan patuh-syariah.
Lebih menarik perkhidmatan tersebut turut akan tertumpu kepada kumpulan pekerja rencam, yang mana kurang mendapat kapasiti perkhidmatan perbankan.
Bagi peringkat awal pihaknya menawarkan akaun simpanan serta transaksi bagi pengguna individu. Sementara segmen perniagaan pula akan dilancarkan menjelang tahun 2025. Selain itu, AEON Bank difahamkan dalam usaha menyertakan ciri Apple Pay pada perkhidmatan mereka dan merancang ingin melancarkan kad debit pada akhir 2024 ini.
Secara menyeluruh, aturan operasi bank digital itu setakat ini telah melibatkan fasa rintis bersama kakitangan AEON sahaja dan menerusi perluasan operasi menjelang suku kedua 2024 kelak, disasar lebih ramai pengguna akan dapat menikmati perkhidmatan AEON Bank di negara.
Untuk makluman pada 29 April 2022 – BNM telah mengumumkan terdapat 5 penerima lesen bank digital negara yang telah diluluskan oleh MOF. Ianya terdiri daripada;
Pertama – Pemohon-pemohon yang berikut akan dilesenkan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (APK):
Konsortium Boost Holdings Sdn. Bhd. dan RHB Bank Berhad;
Konsortium yang diterajui oleh GXS Bank Pte. Ltd. dan Kuok Brothers Sdn. Bhd; dan
Konsortium yang diterajui oleh Sea Limited dan YTL Digital Capital Sdn Bhd;
Kedua – Pemohon-pemohon yang berikut akan dilesenkan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (APKI):
Konsortium AEON Financial Service Co., Ltd., AEON Credit Service (M) Berhad dan MoneyLion Inc,; dan
Konsortium yang diterajui oleh KAF Investment Bank Sdn. Bhd.
by Faiz Riziq | Apr 23, 2024 | Ekonomi, Perniagaan & Korporat, Fakta & Informasi, Tips, Tinjauan & Statistik
Biarpun terdapat 53% rakyat negara mengekalkan keyakinan mereka terhadap hala tuju Malaysia, didapati 47% pula meluahkan rasa kebimbangan akan prestasi semasa. Antaranya melibatkan tahap rasuah di negara serta paras inflasi dan pengenalan cukai baharu.

Dapatan Ipsos pada minggu ini secara jelas menunjukkan tahap kebimbangan penduduk negara telah mulai meningkat daripada 34% pada awal 2023 kepada 47% setakat Mac 2024 lalu. Sementara kadar penduduk negara yang optimis pada hala tuju negara pula dilihat kian menurun daripada 66% pada Mac 2023 kepada 53% pada Mac 2024.

Peningkatan kebimbangan itu didasari berasaskan persekitaran kewangan dan gejala rasuah (50%), inflasi (38%), kadar pengangguran (32%), ketidaksamaan sosial dan kemiskinan (31%) dan cukai (23%). Melihat pada faktor tersebut, tekanan aspek cukai berikutan pelarasan cukai perkhidmatan kepada 8% dalam beberapa kategori serta pengenalan cukai baharu kelak. Tindakan tersebut secara langsung memberi kegusaran kepada penduduk akan kuasa perbelanjaan di pasaran.
Secara menyeluruh, berlandaskan data suku tahunan didapati tahap keyakinan pengguna telah menurun daripada 54% kepada 49% sepanjang tahun lalu. Penurunan lebih ketara direkodkan pada suku keempat 2023.

by Faiz Riziq | Apr 23, 2024 | Fakta & Informasi, Perbankan
Setelah menampilkan ciri pelaburan sejak beberapa minggu lalu, Maybank kini secara rasminya melancarkan Maybank Goal-Based Investment buat para pengguna di Malaysia dan Singapura pada (22 April) – yang mana meluaskan akses pengguna untuk melabur dalam portfolio Unit Amanah yang bersesuaian dengan tahap risiko pelaburan mereka.
Apa yang menarik, ciri pelaburan runcit digital baharu ini membolehkan pengguna melabur serendah RM200 bersama caj jualan pada maksimum 1.5% dan tanpa tempoh lock-in. Namun bermula hari ini sehingga 25 Jun kelak dimaklumkan pengguna boleh nikmati caj jualan 0% untuk pelaburan awal mereka.

Jelas Maybank pada meja bulat bersama Rnggt hari ini, penyertaan ciri pelaburan itu boleh di akses secara terus pada aplikasi MAE dan laman Maybank2u. Di mana pengguna turut diberi pilihan bagi dana konvesional atau patuh-syariah. Lanjutan itu, terdapat 3 segmen pelaburan akan tersedia buat pengguna – merangkumi kategori Persaraan, Pendidikan dan Peningkatan Dana Kekayaan Semasa.

Menerusi penglibatan pengguna pada segmen tersebut ia tidak sekadar meningkatkan dana Simpanan pada jangka masa panjang, akan tetapi ia turut menggalakkan pengguna meraih akses pelaburan digital bersama Maybank – tanpa perlu berhubung bersama cawangan fizikal.
Malah, ciri ini turut tersedia buat bukan-pengguna Maybank dengan membolehkan mereka mendaftar akaun pelaburan di MAE dan laman M2U dalam masa 10 minit sahaja. Perluasan akses ini secara langsung akan meningkatkan lagi penyertaan pengguna negara pada segmen pelaburan.
Secara menyeluruh, Maybank menjangkakan sejumlah 20,000 pengguna menyertai segmen pelaburan Maybank Goal-Based Investment bagi peringkat awal. Sebarang maklumat lanjut semua pihak boleh layari aplikasi MAE atau laman Maybank2u.
Recent Comments