Tabung Asas dari Gaji Anda!

Tabung Asas dari Gaji Anda!

 

Dengan kemelesetan ekonomi sekarang ni, ramai yang menghadapi masalah menguruskan kewangan mereka. Salah satu punca utama ialah “money management” yang failed – terutama bagi yang baru bekerja.

Pengurusan Kewangan Yang Betul

Mesti ramai yang pernah rasa macam ni – gaji dah tinggi, tapi masih tak cukup untuk belanja bulan-bulan, pelik kan? Sampaikan ada yang terpaksa berhutang dengan saudara mara dan kawan-kawan.

Selalunya masalah ini timbul bukan kerana jumlah gaji yang tak cukup, tetapi cara anda menguruskan gaji anda.

Perkara asas untuk pengurusan kewangan yang baik adalah dengan membahagikan gaji anda dengan bijak. Jika anda berjaya menguruskan gaji anda setiap bulan, dengan mudah anda dapat menguruskan kewangan anda.

Tip Menguruskan Gaji

Pakar dalam bidang hartanah, Tuan Azizul Azli Ahmad telah sudi berkongsi cara terbaik untuk menguruskan gaji setiap bulan. Berikut ialah cara-cara membahagikan gaji anda.

55% Perbelanjaan

Ini adalah perbelanjaan utama anda, termasuklah hutang kereta, hutang peribadi, makan, belanja rumah, yuran gym, rokok, kesihatan, dan lain-lain – semuanya termasuk dalam kategori ni.

10% Simpanan Tetap

Ini adalah duit simpanan tetap anda. Jangan ganggu duit ni, simpan dan pejam mata. Anggap sebagai simpanan untuk hari tua. Sekali lagi diulang, jangan ganggu duit ni.

10% Simpanan Melabur

Ini adalah duit yang anda simpan untuk pelaburan. Nak beli saham, down payment rumah, down payment kereta, dan sebagainya – semua anda akan guna duit ni. Tetapi awas jangan melabur dalam MLM atau Skim Cepat Kaya.

10% Insurans/Takaful

Sediakan payung sebelum hujan. Ramai yang menganggap melabur untuk insurans merugikan. Tetapi, malang datang tak diduga. Jadi pengguna bijak dan bersedia untuk hari depan.

5% Pendidikan

Jangan anggap dah dapat ijazah, master atau PHD dah tak perlu belajar. Pendidikan adalah sepanjang zaman. Ini adalah bahagian untuk anda beli buku, yuran kursus, seminar dan apa sahaja yang boleh menambah ilmu.

5% Hiburan

Ini adalah belanja untuk anda berhibur. Pergi tengok wayang, karaoke, jalan-jalan makan angin, atau apa sahaja aktiviti yang menghiburkan.

5% Sedekah

Banyakkan bersedekah. Ambil 5% dari gaji anda untuk bersedekah. Sumbang ke masjid, atau mereka yang memerlukan. Zakat 2.5% boleh masuk kat sini.

Bijak Menguruskan Kewangan. Diharap selepas anda baca tip menguruskan kewangan ni, anda lebih bijak dalam membahagikan wang gaji anda.

Semoga berjaya!

Perubahan Kepada Pelan Pinjaman Peribadi Bank 2019

Perubahan Kepada Pelan Pinjaman Peribadi Bank 2019

 

Bulan Februari yang lalu menyaksikan banyak perubahan yang berlaku kepada beberapa pelan pembiayaan peribadi yang ditawarkan oleh beberapa Bank di Malaysia. Kemaskini yang dilakukan oleh pihak bank ini merangkumi kemaskini kepada syarat-syarat kelayakan memohon, terutama kelayakan gaji minimum.

Antara institusi kewangan yang terlibat dalam merombak semula syarat pelan pembiayaan peribadi mereka ialah AEON Credit Service, RHB Bank, dan AmBank.

 

AEON iCash Personal Financing

Pihak AEON Credit Service (M) Berhad telah melakukan perubahan utama kepada skim pembiayaan peribadi mereka yang popular, iaitu AEON iCash.

Jika sebelum ini syarat kelayakan gaji minimum yang diperlukan untuk mohon pembiayaan peribadi AEON iCash ialah RM800 sebulan atau RM9,600 setahun – bermula 1 Februari 2019, kelayakan gaji minimum telah dinaikkan kepada RM1,500 sebulan atau RM18,000 setahun.

Walau bagaimanapun, kelayakan gaji minimum RM800 sebelum ini adalah kelayakan gaji bersih, manakala syarat baru kelayakan gaji minimum RM1,500 adalah kelayakan gaji kasar.

Dengan meletakkan syarat kelayakan baru sebagai gaji kasar, lebih ramai yang boleh mohon AEON iCash berbanding kelayakan gaji bersih sebelum ini.

Anda boleh baca lebih lanjut tentang syarat kelayakan mohon AEON iCash yang lengkap dan bagaimana anda boleh mohon secara online di laman AEON iCash Personal Financing.

 

RHB Easy-Pinjaman Ekspres

RHB Easy atau Easy by RHB adalah antara pinjaman yang paling popular di Malaysia. Pinjaman ini menjadi popular kerana tempoh kelulusan yang sangat pantas. Pada bulan lepas, pihak RHB Bank Berhad telah merombak syarat kelayakan yang diperlukan untuk mohon pinjaman ini.

Sebelum ini RHB Bank menawarkan pinjaman ini kepada semua sektor pekerjaan, tak kira anda berkhidmat di Sektor Awam, Sektor Swasta atau bekerja sendiri. Tetapi, pada Februari 2019 pihak RHB mula membuka permohonan pembiayaan peribadi ini hanya Kakitangan Swasta dan individu yang bekerja sendiri sahaja.

Syarat kelayakan memohon yang lain masih sama dan tidak berubah.

Walaupun langkah ini boleh dilihat sebagai drastik oleh pihak RHB dengan menutup permohonan untuk kakitangan kerajaan, terdapat banyak lagi pinjaman yang boleh anda mohon sekiranya anda berkhidmat di Sektor Awam.

Lihat semua pinjaman peribadi untuk Kakitangan Kerajaan atau Kakitangan GLC

Layari laman RHB Easy-Pinjaman Ekspres untuk mohon pinjaman ini secara online tanpa perlu mengunjungi mana-mana cawangan RHB.

 

AmBank AmMoneyLine

AmBank (M) Berhad menawarkan dua jenis pinjaman untuk produk AmMoneyLine mereka iaitu AmMoneyLine Personal Loan dan AmMoneyLine Facility-i. AmMoneyLine Personal Loan adalah pinjaman peribadi konvensional manakala Facility-i pula adalah pinjaman peribadi Islamik.

Sebelum ini syarat kelayakan gaji minimum untuk mohon kedua-dua pinjaman ini ialah gaji kasar RM2,000 sebulan atau RM24,000 setahun.

Tetapi pada bulan lepas, pihak AmBank telah menaikkan kelayakan gaji minimum untuk mohon kepada gaji kasar RM3,000 sebulan atau RM36,000 setahun.

Jika sebelum ini kedua-dua pinjaman daripada AmBank ini popular kerana keputusan permohonan yang pantas, perubahan ini mungkin akan menyukarkan mereka yang berpendapatan rendah untuk mohon.

Lihat syarat kelayakan lengkap untuk mohon AmBank AmMoneyLine di laman pinjaman AmMoneyLine Personal Loan atau AmMoneyLine Facility-i.

Walau bagaimanapun, pihak AmBank Islamic tidak melakukan sebarang perubahan kepada AmBank Personal Financing-i mereka. Syarat kelayakan gaji untuk mohon masih gaji kasar RM1,500 sebulan atau RM18,000 setahun.

Cuma AmBank Personal Financing-i hanya ditawarkan kepada kakitangan GLC atau pekerja sektor swasta daripada syarikat terpilih sahaja.

Anda boleh semak sama ada majikan anda tersenarai atau tidak untuk di laman AmBank Islamic Personal Financing-i.

 

Ringkasan Perubahan Pinjaman Peribadi Februari 2019

Secara ringkas, berikut ialah perubahan-perubahan yang berlaku untuk pelan-pelan pinjaman peribadi di Malaysia pada bulan Februari 2019.

AEON iCash menukar syarat kelayakan gaji minimum dari RM800 (gaji bersih) sebulan kepada RM1,500 (gaji kasar) sebulan.

RHB Easy-Pinjaman Ekspres menutup permohonan untuk Kakitangan Kerajaan dan hanya membuka permohonan kepada pekerja Sektor Swasta dan individu yang bekerja sendiri.

AmBank AmMoneyLine Personal Loan dan Facility-i menaikkan kelayakan gaji minimum dari RM2,000 (gaji kasar) sebulan kepada RM3,000 (gaji kasar) sebulan.

Perubahan-perubahan ini mungkin akan menyukarkan sesetengah pihak untuk mohon, tetapi dalam masa yang sama akan memudahkan pihak yang lain.

Online
Hi! Boleh kami bantu?