Seiring dengan keputusan untuk keluar dari pasaran Malaysia susulan berdepan peralihan strategik di peringkat kumpulan – bermula hari ini, Raiz memaklumkan semua akaun pengguna Malaysia kini ditutup. Aturan ini bukanlah langkah baharu, ia telahpun diberi peringatan pada akhir Julai lalu – di mana pada 2 September lalu pengguna tidak lagi boleh laksana pelaburan dan menukar portfolio, hanya pengeluaran sahaja dibenarkan.

Jelas Raiz lagi, proses penutupan ini akan dilaksanakan secara berperingkat, bagi memastikan pengendalian aset pelanggan kekal cekap dan dilindungi. Raiz menjangkakan aturan penutupan itu dapat diselesaikan pada akhir 30 September ini.

Akaun Raiz Kini Ditutup – Jadi Apa Pengguna Malaysia Perlu Buat?

Pada penutupan akaun pengguna Raiz Malaysia hari ini (20 September), sebarang baki yang terdapat pada akaun terlibat dimaklumkan akan dikeluarkan secara automatik dan dimasukkan ke Akaun Pengeluaran yang telahpun dipautkan oleh pengguna pada tetapan aplikasi.

Bagaimanapun proses pengeluaran dimaklumkan akan mengambil masa sekitar 7 hari bekerja dan pengguna perlu pastikan akaun yang dipautkan tersebut adalah didaftarkan di bawah nama pengguna bukan pihak lain, bagi memudahkan proses pemindahan baki dicapai.

Pemindahan Wang Berdepan Masalah? Baki Pengguna Akan Diklasifikasi Selaku Wang Tak Dituntut

Selanjutnya sekiranya pihak Raiz gagal melaksanakan pemindahan wang kepada akaun yang dipautkan dan tiada tuntutan lanjut daripada pengguna – maka baki tersebut akan diklasifikasikan sebagai wang yang tidak dituntut dan akan dipindahkan ke Pendaftar Wang Tak Dituntut di bawah Jabatan Akauntan Negara Malaysia.

Berikutan situasi ini, Raiz menjangkakan akan terdapat kelewatan pada aturan pemindahan wang pengguna. Susulan itu, pengguna dinasihati untuk kekal peka akan tempoh pemindahan wang bersama Raiz.


Menerusi penamatan platform pelaburan ini, Raiz memberi galakan kepada pengguna untuk meneroka produk dan perkhidmatan di bawah myASNB dan langkah itu dapat dilaksanakan secara automatik bagi kumpulan yang berminat dengan merujuk bersama pihak Raiz PNB. Secara menyeluruh, bermula 16 Oktober ini akaun Raiz tidak lagi dapat diakses oleh para pengguna Malaysia.

Online
Hi! Boleh kami bantu?