RON95 Akan Diperinci Tentang Subsidi Bersasar Pada Belanjawan 2025 Ini

RON95 Akan Diperinci Tentang Subsidi Bersasar Pada Belanjawan 2025 Ini

Setelah aturan rasionalisasi minyak diesel dilaksanakan, kini tumpuan pengguna negara beralih kepada pelaksanaan yang sama ke atas subsidi petrol RON95 yang lebih bersasar tidak lama lagi. Berdasarkan permerhati ekonomi negara, aturan itu berpotensi diumumkan pada pembentangan Belanjawan 2025 pada 18 Oktober ini.

RHB Investment Bank menjangkakan perincian tindakan rasionalisasi subsidi petrol RON95 itu berupaya disertakan dalam perbincangan pada sidang bajet kelak. Jangkaan ini dilihat selari dengan komitmen yang pernah dizahirkan Kementerian Ekonomi negara pada tahun lalu dengan menyasarkan pelaksanaan tersebut pada separuh kedua 2024 ini.

Sekadar imbasan buat makluman pembaca, penggunaan petrol RON95 ketika ini telah menjadi antara penggunaan utama bagi kelas pendapatan tinggi, T20. Berlandaskan tinjauan DOSM sebelum ini, sekitar 32% golongan T20 menggunakan RON95 diikuti M40 sekitar 46% dan B40 pula 22%.

Pecahan itu secara langsung membawa kepada sejumlah RM8 bilion subsidi telah dimanfaatkan T20, sementara M40 (RM13 bilion) dan B40 pula RM6 bilion). Data ini secara jelas menunjukkan jumlah subsidi yang dimanfaatkan T20 adalah tinggi dan hampir menyamai peruntukan bantuan tunai pada tahun 2022.

Oleh itu, adanya pelaksanaan subsidi yang lebih bersasar pada penggunaan RON95 ini – ia dijangka dapat meluaskan lagi manfaat kepada kumpulan yang memerlukan di Malaysia. Usaha ini sekaligus akan memberi nilai tambah kepada aliran perbelanjaan di pasaran negara kelak.

Sedekad Beroperasi, Klook Sumbang $7.2 Billion Kepada Ekonomi Asia Pasifik

Sedekad Beroperasi, Klook Sumbang $7.2 Billion Kepada Ekonomi Asia Pasifik

Klook, penyedia tempahan pelbagai perkhidmatan dan aktiviti pelancongan kini meraikan operasi mereka kali ke-10 dengan pencapaian yang membrangsangkan pada ekonomi pelancongan di pasaran global. Tahukah anda, tahun 2023 telah memperlihatkan Klook menyumbang $7.2 bilion kepada pasaran Asia Pasifik dengan menyokong lebih 219,000 pekerjaan di pasaran ini. Usaha itu secara langsung terus mengukuhkan lagi segmen ekonomi pelancongan di rantau ini.

Apa yang menarik, lebih 80% rakan kongsi bersama Klook adalah kalangan daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Pada perkembangan itu, kesepakatan ini telah meluaskan lagi peluang ekonomi buat komuniti peniaga kecil pada pasaran global.

Tidak terhenti disitu, selaku sebahagian Majlis Perlancongan Lestari Global (GSTC) – Klook kini memanfaatkan peranannya dengan menyediakan pelbagai inisiatif pelancongan menarik pada perkhidmatan dan meluaskan pendedahan berhubung amalan kemampanan dalam ekonomi pelancongan. Usaha itu sekaligus memperkasakan lagi ekonomi pelancongan dalam memelihara warisan penempatan dan budaya.

Pegangan Affin Bank Oleh Sarawak Akan Dimuktamadkan 27 September Ini

Pegangan Affin Bank Oleh Sarawak Akan Dimuktamadkan 27 September Ini

Setelah melalui proses rundingan berhubung kelulusan bersyarat bersama Bank Negara Malaysia (BNM) sejak beberapa bulan yang lalu – Sarawak kini dijangka akan memuktamadkan aturan tambahan 15% peralihan pegangan Affin Bank bersama pemegang terbesar entiti tersebut iaitu Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dengan Boustead Holdings.

Kesepakatan perjanjian itu disasarkan akan dimeterai pada Jumaat ini, 27 September kelak. Buat pengetahuan umum, setakat akhir 2023 Sarawak memiliki sekitar 4.79% kepentingan pada Affin Bank dan melalui penyelesaian perjanjian jual-beli (SPA) ia berpotensi ditingkatkan kepada 30%. Sekiranya kesepakatan itu berjaya direalisasikan – ia akan meletakkan Sarawak selaku pemegang saham utama Affin Bank di pasaran Malaysia.

Selain Sarawak, ketika ini LTAT memiliki sejumlah 28.8% pegangan pada Affin Bank disusuli anak syarikatnya iaitu Boustead Holdings dengan 20.65%.

TNG Digital Bakal Tersenarai Dalam Bursa Saham Dalam 3 Tahun Lagi

TNG Digital Bakal Tersenarai Dalam Bursa Saham Dalam 3 Tahun Lagi

Memiliki lebih 20 juta pengguna pada perkhidmatan semasa dengan menyokong lebih 2 juta peniaga tempatan dan membolehkan transaksi merentas 40 buah negara – TNG Digital, pengendali Touch ‘n Go eWallet kini dilaporkan berhasrat meluaskan sokongan dana mereka dengan melaksanakan penyenaraian awam di Bursa bagi tempoh 3 tahun mendatang di pasaran kelak.

Aturan itu menurut makluman Reuters, akan melibatkan pengumpulan lebih $300 juta. Melihat pada potensi ini, sekiranya berjaya direalisasikan – ia berupaya membawa TNG Digital kepada status penilaian yang lebih tinggi dengan mencapai nilai lebih $1 bilion pada tempoh tersebut.

Buat pengetahuan umum, TNG telahpun ditubuhkan pada 2017 menerusi perkongsian antara TNG dan Ant Financial. Setelah itu TNG Digital meluaskan peranan mereka dengan penawaran pelbagai khidmat pembayaran digital dan khidmat kewangan kepada pengguna. Secara menyeluruh perkembangan TNG Digital turut disokong bersama beberapa pelabur utama – antaranya Lazada, syarikat induk TNG, AIA dan Ant Financial. Berdasarkan rekod setakat 2022, rekod pelaburan yang diraih adalah melibatkan sekitar RM750 juta.

Malaysia Kini Mengalami Inflasi 1.9%, Semua Negeri Mengalami Tekanan Kos Makan, Minuman

Malaysia Kini Mengalami Inflasi 1.9%, Semua Negeri Mengalami Tekanan Kos Makan, Minuman

Indeks Harga Pengguna (IHP) yang menjadi pengukur kepada paras inglasi utama di Malaysia – kini memaparkan tahap tekanan kos menyeluruh di negara kembali mereda apabila untuk rekod Ogos 2024, prestasi inflasi kini menurun kepada paras 1.9%, berbanding Julai 2024 sekitar 2.0%.

Penurunan ini menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) didorong hasil peningkatan kos yang lebih perlahan dicatatkan pada segmen Restoran dan Perkhidmatan Penginapan (3.2%), Penjagaan Diri, Perlindungan Sosial dan Pelbagai Barangan dan Perkhidmatan (3.2%), Perumahan, Air, Elektrik, Gas dan Bahan Api lain (31%) serta Rekreasi, Sukan dan Kebudayaan (2.0%).

 

Sementara mengikut taburan negeri pula, kebanyakan negeri juga memaparkan peningkatan paras inflasi yang lebih kecil iaitu di bawah 1.9% (paras nasional) – namun terdapat 4 negeri merekodkan paras inflasi yang lebih tinggi iaitu Pulau Pinang (3.3%), Pahang (2.8%), Sarawak (2.5%) dan Selangor (2.3%).

Biarpun secara menyeluruh, tahap inflasi kelihatan mereda namun tekanan kos makanan kekal didepani pengguna negara. Menurut DOSM, kesemua negeri mencatatkan peningkatan dalam inflasi Makanan dan Minuman dengan kadar tertinggi direkodkan oleh Selangor (2.8%), Pulau Pinang (2.7%), Sarawak (2.0%), Pahang (1.9%), Putrajaya (1.8%) dan Terengganu (1.6%).

Keadaan ini sekaligus memberi kesan kepada kuasa beli pengguna melibatkan perbelanjaan makanan di rumah dan di luar rumah – terutamanya ke atas kumpulan berpendapatan bawah RM3,000.

 

 

Untuk makluman inflasi ke atas kumpulan pendapatan bawah RM3,000 pada Ogos 2024 – telah mencapai 1.7%. Paras ini disumbangkan kesan peningkatan kos dalam segmen Restoran dan Perkhidmatan Penginapan (4.3%), disusuli Penjagaan Diri, Perlindungan Sosial dan Pelbagai Barangan dan Perkhidmatan (3.1%). Sementara segmen Perumahan, Air, Elektrik, Gas dan Bahan Api Lain pula 2.9%.

Manakala taburan mengikut negara terpilih pula, Malaysia kekal menjadi antara negara terendah pada catatan inflasi berbanding Vietnam (3.5%), Filipina (3.3%), Indonesia (2.1%) dan Republik Korea (2.0%). Namun inflasi negara kekal tinggi berbanding Thailand (0.4%).

 

Online
Hi! Boleh kami bantu?