Indeks Harga Pengguna (IHP) yang menjadi pengukur kepada paras inglasi utama di Malaysia – kini memaparkan tahap tekanan kos menyeluruh di negara kembali mereda apabila untuk rekod Ogos 2024, prestasi inflasi kini menurun kepada paras 1.9%, berbanding Julai 2024 sekitar 2.0%.

Penurunan ini menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) didorong hasil peningkatan kos yang lebih perlahan dicatatkan pada segmen Restoran dan Perkhidmatan Penginapan (3.2%), Penjagaan Diri, Perlindungan Sosial dan Pelbagai Barangan dan Perkhidmatan (3.2%), Perumahan, Air, Elektrik, Gas dan Bahan Api lain (31%) serta Rekreasi, Sukan dan Kebudayaan (2.0%).

 

Sementara mengikut taburan negeri pula, kebanyakan negeri juga memaparkan peningkatan paras inflasi yang lebih kecil iaitu di bawah 1.9% (paras nasional) – namun terdapat 4 negeri merekodkan paras inflasi yang lebih tinggi iaitu Pulau Pinang (3.3%), Pahang (2.8%), Sarawak (2.5%) dan Selangor (2.3%).

Biarpun secara menyeluruh, tahap inflasi kelihatan mereda namun tekanan kos makanan kekal didepani pengguna negara. Menurut DOSM, kesemua negeri mencatatkan peningkatan dalam inflasi Makanan dan Minuman dengan kadar tertinggi direkodkan oleh Selangor (2.8%), Pulau Pinang (2.7%), Sarawak (2.0%), Pahang (1.9%), Putrajaya (1.8%) dan Terengganu (1.6%).

Keadaan ini sekaligus memberi kesan kepada kuasa beli pengguna melibatkan perbelanjaan makanan di rumah dan di luar rumah – terutamanya ke atas kumpulan berpendapatan bawah RM3,000.

 

 

Untuk makluman inflasi ke atas kumpulan pendapatan bawah RM3,000 pada Ogos 2024 – telah mencapai 1.7%. Paras ini disumbangkan kesan peningkatan kos dalam segmen Restoran dan Perkhidmatan Penginapan (4.3%), disusuli Penjagaan Diri, Perlindungan Sosial dan Pelbagai Barangan dan Perkhidmatan (3.1%). Sementara segmen Perumahan, Air, Elektrik, Gas dan Bahan Api Lain pula 2.9%.

Manakala taburan mengikut negara terpilih pula, Malaysia kekal menjadi antara negara terendah pada catatan inflasi berbanding Vietnam (3.5%), Filipina (3.3%), Indonesia (2.1%) dan Republik Korea (2.0%). Namun inflasi negara kekal tinggi berbanding Thailand (0.4%).

 

Online
Hi! Boleh kami bantu?