Kenapa Perlu Miliki Pendapatan Pasif Kalis Ekonomi (PPKE)

Kenapa Perlu Miliki Pendapatan Pasif Kalis Ekonomi (PPKE)

Melalui artikel ini, saya ingin berkongsi ilmu dan pengalaman saya selama 5 tahun dalam dunia kewangan peribadi ini, mengenai “Pendapatan Pasif Yang Kalis Ekonomi” atau ringkasnya PPKE, yang mana terma ini belum pernah disebut secara khusus di mana-mana sebelum ini, yang saya kira amat penting untuk dijadikan sebagai sasaran utama mahupun sebagai topik perbincangan dan literasi dalam konteks Pengurusan Kewangan Peribadi.

 

Berikut saya senaraikan 12 point atau sebab dan alasan mengapa seseorang itu wajib untuk mencipta dan memiliki Pendapatan Pasif Yang Kalis Ekonomi ini dalam Pengurusan Kewangan Peribadi mereka.

1. Kami amat menyarankan bahawa Langkah Pertama dan Utama yang WAJIB dan TIDAK BOLEH TIDAK dilakukan oleh setiap orang ialah untuk mencipta Pendapatan Pasif Yang Kalis Ekonomi (PPKE) sepantas mungkin dan seawal usia! Inilah jenis PENDAPATAN TERULUNG yang akan menjadi SENJATA UTAMA untuk Pengurusan Kewangan Peribadi yang terbaik tanpa sebarang masalah serta berupaya untuk kekal stabil berpanjangan sepanjang hayat.

 

2. Lebih-lebih lagi dalam situasi ekonomi semasa dan cabaran akan datang yang semakin getir dan tidak menentu, langkah untuk memiliki Pendapatan Terulung PPKE yang lebih stabil, kukuh dan terjamin untuk tempoh jangka panjang ini merupakan langkah persediaan dan jalan penyelesaian terbaik yang sepatutnya dilakukan SEGERA sebelum keadaan menjadi bertambah buruk dan kritikal!

 

3. Begitu juga sebagai persediaan bagi menghadapi kehidupan hari tua, yang mana usia semakin meningkat, kesihatan dan tenaga semakin berkurang untuk terus bekerja. Di usia sebegitu, sudah pasti kita masih memerlukan sumber pendapatan yang terus mengalir tanpa perlu lagi bekerja pada ketika itu. Sekali lagi, PPKE adalah penyelesaian terbaik!

 

4. Pendapatan Pasif tidak diajar secara formal di sekolah mahupun di institusi pengajian tinggi, atau pun di mana-mana alam pekerjaan. Mungkin ia hanya diperkatakan di dunia bisnes, itupun hanya segelintir 1% usahawan sahaja yang benar-benar faham dan menjadikannya sebagai matlamat utama! Sebaliknya di KMC, kami meletakkan PPKE ini sebagai subjek utama dan pendapatan terulung yang wajib dipelajari dan diperolehi sebagai Senjata Paling Ampuh untuk membina Pengurusan Kewangan Peribadi yang kukuh bagi mencapai segala matlamat-matlamat kewangan yang diimpikan.

 

5. Apabila bercakap tentang Pendapatan Pasif, kekuatan dan kelebihannya bukan semata-mata dari segi pendapatannya yang stabil dan tidak perlu bekerja secara aktif, tetapi perkara yang lebih penting ialah mengenai Kebebasan (Freedom) yang diperolehi, samada Kebebasan Kewangan, Kebebasan Masa mahupun Kebebasan Membuat Pilihan mengikut keperluan dan kehendak anda, demi keluarga, agama, kehidupan di dunia dan akhirat! Anda Bebas Membuat Pilihan!

 

6. Pendapatan Pasif dikaitkan secara langsung dengan Kebebasan Kewangan! Secara umumnya, seseorang itu dikatakan telah mencapai Kebebasan Kewangan apabila Pendapatan Pasif yang diterima setiap bulan tanpa perlu bekerja, telah dapat menampung atau membiayai segala perbelanjaan bulanannya.

 

7. Pendapatan Pasif Berulang (Residual Passive Income) pula diperolehi apabila hanya dengan membuat kerja sekali, tetapi pendapatan akan diterima berulangkali secara berkala setiap bulan tanpa henti sepanjang hayat, sepertimana perniagaan TNB, Unifi, Telekom, Syabas, Telco, Astro dan seumpamanya. Dengan ini, kita tidak perlu lagi berpenat-lelah bekerja keras berulang-kali untuk menjana pendapatan setiap bulan. Jika tidak bekerja, tiada pendapatan!

 

8. Lebih hebat lagi, jika PPKE yang diperolehi ini berlaku secara terkumpul (accumulated) dan berkembang secara berganda (exponential), kita bukan sahaja dapat menyelesaikan masalah kewangan sekali buat selamanya (Once and Forever), malah pendapatan yang diperolehi akan meningkat dan terus meningkat dari bulan ke bulan tanpa perlu dijaga!

 

9. Dengan strategi mencipta Pendapatan Pasif Kalis Ekonomi yang betul dan tepat, ia bukan sahaja boleh dijadikan sebagai Pelan Pendapatan Kedua dan Pelan Perlindungan Pendapatan (Income Back-up Plan) terbaik, Pelan Persaraan Awal (Early Retirement Plan) terbaik, Pelan Pewarisan terbaik, malah juga sebagai Pelan Penggantian Pendapatan terbaik kerana sifat pendapatannya yang stabil, terkumpul (accumulated) dan tidak perlu lagi bekerja setelah memperolehinya, serta terus meningkat dan meningkat tanpa had sepanjang hayat anda!

 

10. Berpandukan Cash Flow Quadrant Robert Kiyosaki, Pendapatan Pasif ini berada di kuadran yang disarankan iaitu di Kuadran B (Business Owner) dan I (Investor) iaitu pendapatan diperolehi menggunakan ‘Kuasa Leverage’, sebaliknya Pendapatan Aktif pula di mana ramai orang berada iaitu di Kuadran E (Employee) dan S (Self-Employed) yang tidak menggunakan Leverage, tetapi banyak menggunakan masa dan tenaga (hard earned income).

 

11. Secara ringkasnya, Pendapatan Pasif adalah berkaitan dengan Work Smart (Kerja Bijak), sedangkan Pendapatan Aktif berkaitan Work Hard (Kerja Keras)

 

12. Jika anda belum lagi memiliki PPKE, inilah masa yang terbaik sebelum keadaan menjadi semakin parah, untuk anda memulakan langkah “Baby Step” anda sekarang! Jangan beri ruang untuk bertangguh! Masa itu sangat berharga, lebih berharga dari emas. KMC telah pun mempermudahkan jalannya untuk mencapai PPKE ini. Dengan langkah ini, kewangan tidak akan lagi menjadi masalah kepada anda, selamat tinggal dan bye-bye kepada masalah kewangan.

 

P/S: Anda nak tahu apa perniagaan pasif income yang perlu anda buat. Boleh jalankan perniagaan telco. Dimana perniagaan ini kalis inflasi. Boleh hubungi serta bertanya tentang perniagaan telco di SINI.

 

Pendebatan Harta Pusaka Sering Jadi Dengan Waris Si Mati

Pendebatan Harta Pusaka Sering Jadi Dengan Waris Si Mati

MENURUT Islam, harta pusaka bermaksud harta peninggalan orang mati yang akan diagihkan kepada waris yang berhak. Menurut istilah undang-undang sivil pula, ia adalah harta benda yang ditinggalkan oleh orang mati untuk warisnya atau orang lain, tetapi tidak termasuk harta yang telah diserahkan kepada orang lain semasa hayatnya. Sejak dulu lagi, harta pusaka seringkali menjadi isu pendebatan dalam kalangan ahli waris si mati.

 

Hakikatnya, harta itu seharusnya ditadbir urus oleh seorang pentadbir atau pemegang amanah yang dilantik oleh waris dengan membuat permohonan pusaka melalui Borang A di Pejabat Tanah Daerah atau Negeri di mana ia (harta) itu terletak. Harta terdiri daripada harta alih dan harta tidak alih. Harta alih merangkumi wang tunai, kenderaan, insurans, barang kemas dan sebagainya. Harta tidak alih pula termasuklah tanah dan kepentingan hak atau faedah yang terdapat atau didapati daripada tanah.

 

Secara umumnya, tiga agensi iaitu Pejabat Tanah, Amanah Raya Berhad dan Mahkamah Tinggi Sivil yang menguruskan permohonan dan pembahagian harta pusaka berdasarkan nilaian dan jenis. Pemohon atau waris si mati perlu mengenal pasti harta pusaka si mati terletak di bawah bidang kuasa siapa? Jika daripada harta tidak alih bersekali dengan harta alih yang nilaiannya di bawah RM2 juta dan tidak mempunyai wasiat, mereka boleh memfailkan permohonan di Pejabat Tanah. Harta tersebut dikenali sebagai harta pusaka kecil.

 

Sekiranya di bawah kategori harta pusaka besar iaitu nilaiannya melebihi RM2 juta bagi harta alih dan tidak alih serta mempunyai wasiat,

permohonan boleh dikemukakan di Mahkamah Tinggi Sivil.

 

Namun, harta pusaka yang melibatkan harta alih sahaja dan nilaiannya kurang daripada RM600,000, mereka yang terbabit boleh menuntut harta pusaka ringkas di Amanah Raya Berhad.

 

Hak

Sebenarnya, harta pusaka si mati bukan sahaja dianggap sebagai aset, tetapi juga meliputi liabiliti di dalamnya. Menurut jumhur ulama seperti Imam Hanafi, Imam Maliki dan Imam Syafie, liabiliti (hak) yang berkaitan dengan harta pusaka terbahagi kepada lima kategori iaitu:

 

  1. Hak barangan.
  2. Hak mempersiapkan penggebumian jenazah si mati.
  3. Hak melangsaikan hutang.
  4. Hak melaksanakan wasiat.
  5. Hak mengagihkan baki harta peninggalan si mati kepada semua waris yang berhak menurut hukum faraid.

 

Hukum faraid atau dikenali sebagai undang-undang pusaka Islam merupakan pilihan terakhir waris jika tiada kesepakatan sesama waris. Berdasarkan ijmak para fuqaha, liabiliti harta pusaka mempunyai turutan atau susunan mengikut keutamaan yang perlu diraikan antara satu sama lain.

Susunan pertama: Hak barangan si mati. Sebagai contoh, apabila harta si mati telah digadaikan dan masih berada di bawah kuasa pemegang gadaian, maka mereka (pemegang gadaian) merupakan orang yang paling berhak untuk memiliki harta gadaian tersebut.

Susunan kedua: Perbelanjaan pengebumian dan pengurusan jenazah termasuklah kos lain seperti memandikan, mengkafankan, menggali kubur dan membawa jenazah ke liang lahad. Kesemua perbelanjaan hendaklah diambil daripada harta peninggalan si mati jika mempunyai harta. Jika tiada, ia perlu ditanggung oleh waris si mati. Namun, seandainya waris juga tidak mampu, menjadi tanggungjawab Baitulmal untuk menanggungnya kerana mengurus jenazah adalah fardhu kifayah.

Susunan keempat: Perlaksanaan wasiat terhad kepada satu pertiga daripada keseluruhan harta peninggalan si mati dengan persetujuan ahli waris, setelah ditolak kos pengurusan pengebumian jenazah dan dijelaskan hutang-piutang si mati. Sekiranya wasiat melebihi daripada jumlah itu, ia hanya sah setakat satu pertiga sahaja dengan keizinan waris.

Susunan terakhir: Pengagihan harta pusaka kepada ahli waris yang berhak seperti yang dinyatakan dalam al-Quran, sunnah dan ijmak. Bagaimanapun, waris juga boleh membuat pembahagian secara sama rata (muafakat) atau menolak bahagian kepada waris lain semasa sesi perbicaraan pusaka di Pejabat Tanah atau mengisi Borang DDA sekiranya waris tidak dapat hadir semasa perbicaraan berlangsung.

 

Kesimpulan

Apabila seseorang meninggal dunia dan meninggalkan harta, waris akan mewarisi aset peninggalan si mati berserta liabiliti. Ahli waris kemudian diberi amanah untuk mentadbir dan mengagihkan harta pusaka serta menunaikan hak dan tanggungjawab si mati selepas hayatnya.

Jikalau semua waris tahu dan sedar kepentingan mengurus, jumlah harta pusaka yang tidak dituntut atau berstatus beku dan tergantung dapat dikurangkan.

 

Sebanyak 6% Rakyat Malaysia Tidak Berbelanja Atas Talian

Sebanyak 6% Rakyat Malaysia Tidak Berbelanja Atas Talian

Tabiat pembelian kalangan pengguna Malaysia kini dilihat semakin meluas, apabila berlakunya peningkatan dalam sektor atas-talian meskipun sekatan pergerakan telah ditamatkan. Perubahan itu menurut tinjauan Perkhidmatan Kewangan 2022 GlobalData, menyasarkan pasaran e-dagang negara berpotensi berkembang sekitar 19.9% dengan nilai mencecah $9.2 bilion (RM38.2 bilion) pada tahun ini, 2022.

Jangkaan tersebut bermakna bakal menyaksikan jualan e-dagang di Malaysia meningkat pada kadar pertumbuhan tahunan kompun (CAGR) sekitar 16.1% bagi tempoh 2022-2026 dengan nilai mencapai 16.6 bilion menjelang tahun 2026 kelak. Aliran ini diperhatikan sejak jualan atas talian sebanyak $7.6 bilion dicatatkan negara pada tahun 2021.

Walaupun potensi e-dagang Malaysia melonjak dan dianggarkan hampir 90% pengguna Malaysia memanfaatkan platform pembelian atas talian seperti e-dagang namun didapati sekitar 6% pengguna Malaysia tidak menunjukkan sebarang tingkahlaku terlibat dalam pembelian atas talian. Seterunsya GlobalData pada masa yang sama turut menakrifkan Malaysia antara pasaran e-dagang yang pesat di serantau Asia Tenggara. Ini didorong penggunaan telefon pintar yang tinggi serta penembusan internet yang semakin meluas dalam kalangan penduduk negara.

Rancang Persaraan: Berapa Banyak Kita Perlu Simpan?

Rancang Persaraan: Berapa Banyak Kita Perlu Simpan?

Selepas bekerja dalam tempoh 30 sehingga 40 tahun, anda mesti mahu bersara dengan tenang dan tidak perlu memikirkan masalah duit lagi kan? Perancangan persaraan merupakan satu perkara yang harus diambil berat walaupun anda mungkin merasakan masih lama lagi untuk anda bersara. Artikel ini akan menerangkan cara menentukan wang persaraan anda.

 

Berapa Jumlah Wang yang Anda Perlukan untuk Bersara?

 

Jika anda merupakan pekerja sektor swasta, akan tiba satu masa nanti yang anda hanya akan bergantung kepada wang simpanan atau wang KWSP anda sahaja. Berbeza dengan pekerja sektor kerajaan yang kebiasaannya akan mendapat duit pencen setiap bulan selepas persaraan, anda sebagai persara sektor swasta akan menerima wang dalam jumlah yang banyak sekaligus melalui akaun KWSP anda.

Salah satu cabaran yang paling besar apabila anda menerima wang dalam jumlah yang banyak sebegini adalah memastikan anda boleh menggunakannya sebaik mungkin dan berjimat dengan jumlah tersebut dalam tempoh yang panjang sekitar 15 sehingga 20 tahun. Wang yang anda terima inilah yang akan digunakan untuk menanggung perbelanjaan bulanan anda selepas bersara.

Oleh sebab itu, anda perlu mempertimbangkan perkara ini dengan serius kerana situasi kewangan anda memainkan peranan yang sangat penting apabila anda bersara nanti. Perancangan persaraan yang baik dan strategik akan dapat membantu anda lebih bersedia menghadapi segala cabaran yang bakal muncul.

 

Jumlah Wang yang Disarankan untuk Bersara

 

Jawapan untuk persoalan ini adalah subjektif kerana ia bergantung kepada gaya hidup anda sendiri ataupun gaya hidup yang anda idamkan selepas persaraan. Anda juga perlu ambik kira jumlah tanggungan yang anda ada serta jumlah komitmen hutang yang anda perlu langsaikan seperti loan kereta atau pinjaman perumahan.

Pihak KWSP telah menyarankan jumlah wang minimum untuk bersara sekitar RM228,000 sehingga RM240,000 bermula 1 Januari 2019. Namun begitu, masih ramai lagi rakyat Malaysia yang tidak mampu pun untuk mencapai amaun ini apabila mencapai umur bersara iaitu 55 tahun.

Secara kasarnya, jumlah yang disarankan ini masih belum mencukupi. Bayangkan jika anda bersara pada umur 55 tahun, untuk anda menjalani kehidupan untuk tempoh 20 tahun yang akan datang selepas persaraan dengan jumlah tersebut, anda hanya boleh menggunakan sekitar RM1,000 sebulan sahaja.

Walau bagaimanapun, jumlah ini ditentukan untuk perbelanjaan keperluan harian sahaja. Untuk anda menikmati persaraan yang selesa, anda mungkin perlu memerlukan wang yang lebih untuk perbelanjaan perubatan, tanggungan keluarga, insurans, percutian dan hiburan dan sebagainya.

Setiap individu mempunyai gaya hidup yang berbeza-beza dan anda mungkin akan berbelanja lebih daripada RM1,000 sebulan terutama sekali jika anda mempunyai tanggungan seperti ahli keluarga. Bank Negara Malaysia telah mengeluarkan saranan jumlah wang perbelanjaan yang anda perlu sediakan pada setiap bulan bergantung kepada tiga kategori:

 

Kategori Jumlah Perbelanjaan Bulanan yang Disarankan oleh Bank Negara
Dewasa Bujang RM2,700
Pasangan tanpa Anak RM4,500
Pasangan dengan Dua Orang Anak RM6,500

 

Berdasarkan jumlah perbelanjaan yang disarankan oleh Bank Negara Malaysia ini, anda akan menghadapi kesukaran untuk mengharungi hari-hari persaraan dengan wang simpanan RM240,000 seperti yang telah disarankan oleh pihak KWSP. Untuk hidup dalam masa 15 hingga 20 tahun akan datang dengan selesa, anda akan memerlukan simpanan yang lebih banyak.

Contohnya, individu yang berstatus bujang memerlukan RM2,700 sebulan berdasarkan saranan Bank Negara. Ini bermakna, individu tersebut memerlukan simpanan sekitar RM500,000 sehingga RM600,000 untuk menjalani kehidupan dengan selesa setelah bersara kelak.

 

Faktor-faktor yang Anda Perlu Pertimbangkan Sebelum Bersara

Berikut merupakan komitmen kewangan lain yang anda mungkin perlu tanggung selepas anda bersara:

  1. Tanggungan kewangan untuk pasangan, anak atau tanggungan-tanggungan lain
  2. Yuran pengajian anak-anak
  3. Pinjaman Perumahan atau komitmen hutang lain yang belum diselesaikan
  4. Membeli polisi insurans baharu jika anda sebelum ini bergantung pada perlindungan yang disediakan oleh syarikat atau anda sudah mencapai had umur polisi sedia ada
  5. Kadar inflasi kerana harga barang berkemungkinan besar tidak akan kekal sama dan akan naik pada masa depan
  6. Gaya hidup anda seperti kekerapan anda mahu keluar bercuti, makan di luar dan sebagainya

 

5 Tips Simpanan Persaraan

 

Tidak kiralah sama ada anda masih ada sekitar10, 20 ataupun 30 tahun lagi, anda perlu memikirkan kehidupan selepas persaraan daripada sekarang. Apabila anda sudah ketahui jumlah wang yang anda perlukan untuk bersara dan tempoh yang anda ada sebelum bersara, anda perlu mencari jalan terbaik untuk mencapai sasaran anda. Ikuti lima tips simpanan persaraan di bawah ini:

 

1. Mengira Kos Perbelanjaan Bulanan

Penting untuk anda menentukan bajet perbelanjaan setiap bulan dengan wang yang anda akan terima dalam jumlah yang banyak daripada KWSP. Anda perlu merancang belanjawan anda atau kenal pasti cara uruskan duit gaji anda untuk supaya anda boleh meningkatkan jumlah simpanan sedia ada.

Asingkan perbelanjaan anda kepada perkara yang anda perlukan dan perkara yang anda inginkan. Utamakan perbelanjaan untuk perkara yang anda rasa lebih mustahak dan kurangkan perbelanjaan yang anda tidak perlukan.

Selepas bersara, anda tidak lagi mendapat sumber pendapatan setiap bulan, melainkan anda memilih untuk bekerja secara part time. Misi anda adalah memastikan yang anda boleh bertahan dengan jumlah simpanan anda selepas persaraan nanti.

 

2. Membuat Pelaburan 

Pelaburan boleh bantu meningkatkan jumlah simpanan persaraan anda dan ini merupakan satu pilihan yang anda boleh pertimbangkan. Jenis pelaburan terbahagi kepada dua iaitu pelaburan risiko rendah dan pelaburan risiko tinggi. Mana satu yang patut anda pilih?

Pilihan ini wajar dibuat bergantung kepada situasi dan umur anda. Sekiranya anda sudah menghampiri umur persaraan, anda disarankan untuk melabur di platform pelaburan yang mempunyai risiko lebih rendah seperti Skim Persaraan Swasta (PRS), pelaburan ASB, Tabung Haji, Takaful dan sebagainya.

Jika anda masih muda dan baru bekerja dan ingin merancang persaraan anda, anda boleh mempertimbangkan untuk membuat pelaburan yang lebih berisiko tinggi seperti saham. Namun begitu, pastikan anda melakukan penyelidikan komprehensif sebelum membuat pelaburan. Selain itu, anda juga boleh melabur di platform risiko rendah jika anda tidak mahu mengambil risiko yang tinggi.

 

3. Jangan Keluarkan Duit Simpanan KWSP Jika Tidak Perlu

Meskipun kerajaan baru-baru ini membenarkan pengeluaran sebahagian daripada akaun 2 KWSP secara one-off sebanyak RM10,000, ini tidak bermaksud anda perlu mengeluarkannya. Anda tidak digalakkan untuk mengeluarkannya melainkan anda memang terdesak memerlukan wang tersebut untuk tujuan-tujuan tertentu terutamanya bagi meneruskan kelangsungan hidup. Elakkan mengeluarkan duit ini untuk pelaburan atau sebagai modal perniagaan.

Ingat, tujuan simpanan KWSP anda adalah untuk persaraan anda. Ini bermaksud, mengeluarkan simpanan KWSP anda sekarang bermakna wang persaraan anda akan berkurangan. Duit KWSP RM10,000 bukanlah jumlah yang sedikit. Bayangkan dengan kadar dividen KWSP sebanyak enam peratus setahun, RM10,000 boleh bertambah menjadi RM17,908 selepas 10 tahun, menjadi RM32,071 selepas 20 tahun dan menjadi RM57,434 selepas 30 tahun.

 

4. Berhati-hati dengan Scammer 

Banyak kes scam yang terjadi di Malaysia biasanya berlaku pada golongan yang menghampiri umur persaraan ataupun yang sudah bersara. Scammer yang mempunyai kebolehan yang tinggi boleh ‘bau’ duit yang banyak yang masuk atau bakal masuk ke dalam akaun anda. Jika anda selalu baca berita, anda akan dapati ramai pesara yang kehilangan semua wang simpanan persaraan mereka disebabkan terpedaya dengan tipu helah scammer.

Biasanya, pihak scammer akan menjanjikan pulangan wang yang tinggi dalam masa yang singkat. Bagi anda yang mungkin ingin menggandakan simpanan untuk persaraan, ia mungkin boleh menarik minat anda untuk terjebak dengan skim sebegini. Oleh sebab itu, jika anda ditawarkan untuk masukkan wang anda ke dalam skim yang mencurigakan dan menjanjikan pulangan yang tinggi yang tidak masuk akal, jangan terburu-buru membuat keputusan dan dapatkan nasihat pakar kewangan anda.

 

5. Selesaikan Semua Pinjaman Sedia Ada Secepat Mungkin

Sebolehnya, rancang hutang dan komitmen anda bermula sekarang. Elakkan daripada berbelanja atau berhutang melebihi kemampuan anda. Jika perlu, simpan duit terlebih dahulu sebelum beli barangan yang anda perlukan untuk mengelakkan komitmen terkumpul yang tinggi sehingga mencapai umur persaraan.

Jika boleh, apabila anda bersara nanti hanya tinggal sekurang-kurangnya satu loan sahaja untuk anda selesaikan. Dengan cara ini, anda dapat menikmati persaraan anda dengan lebih baik dan anda tidak perlu pening kepala untuk memikirkan komitmen dan hutang lain yang perlu ditanggung.

 

Mulakan Perancangan Persaraan Anda Hari Ini

Perancangan persaraan yang baik akan membantu anda menikmati kehidupan yang lebih tenang pada masa akan datang. Jika anda masih belum mula merancang kehidupan selepas bersara, anda disarankan untuk mula memikirkan mengenai perkara ini bermula daripada sekarang. Ini kerana, perancangan persaraan akan memakan masa bertahun untuk mencapai matlamat yang ditetapkan. Diharapkan perkongsian artikel kali ini dapat membantu anda.

Sekiranya anda sedang mencari insurans kereta terbaik, anda boleh dapatkannya di KMC. Selain insurans kereta, KMC juga menawarkan jenis insurans lain antaranya insurans motor dan insurans rumah.

Perbezaan Emas Putih, Kuning Dan Rose Gold

Perbezaan Emas Putih, Kuning Dan Rose Gold

Trend hype sekarang, orang suka beli emas. Tapi, emas yang macam mana? Emas ini ada macam-macam jenis dan bentuk. Kita ada emas jongkong, syiling atau yang popular di kalangan perempuan, emas barang kemas. Kalau tengok di kedai emas, boleh tengok barang kemas cantik-cantik tak kira emas kuning, emas putih atau rose gold. Pening apabila nak pilih. Mari kita bandingkan tiga jenis emas yang popular di Malaysia ni. Lepas dah tahu, senang nak decide mahu beli yang mana nanti, betul tak?

 

Perbandingan Emas Putih, Emas Kuning Dan Rose Gold - Majalah Labur

 

Emas Putih

 

Emas putih ini, kandungan emasnya kurang. Ada yang kandungan emas 75% dan dikenali sebagai emas putih 750. Ada 37.5% emas dan dipanggil emas putih 375 atau nama lainnya suasa. Sebabnya, ada logam lain yang dicampurkan dengan emas ni, maka nilai emas pun turut susut. Peminat emas putih ramai di kalangan orang muda yang mungkin tidak gemar warna emas keemasan itu jika nak dipakai. Mungkin sebab itu mereka pilih emas putih walaupun mereka tahu almost tidak ada value di pasaran jika nak jual balik.

Tak banyak kedai yang mahu beli emas putih dan jika beli pun harganya jauh lebih murah. Sebab kandungan emas pun tak tinggi mana. Emas putih lebih kepada barang kemas yang ada sentimental value daripada simpanan pelaburan. Logam yang selalu dicampurkan dengan emas ini ialah nikel, perak atau paladium. Emas putih ni sering digunakan untuk meningkatkan aura berlian dan batu permata lain.

 

Emas Kuning

 

Emas kuning paling tinggi karatnya ialah emas 24K atau dipanggil emas 999 atau 99.9. Emas 999 biasanya dalam bentuk gold bar atau syiling. Emas 999 tak sesuai buat barang kemas sebab sifat emas yang sangat lembut. Emas jenis ini paling mahal dan kalau jual semula, nilai pun lebih tinggi daripada jenis emas lain. Sebab tu pelaburan emas 999 semakin mendapat tempat dalam pasaran. Lebih lebih lagi dah ada serendah 0.1g untuk seseorang memiliki emas. Orang kata affordable price untuk orang baru yang nak mula melabur.

Emas kuning perhiasan yang biasanya kita nampak kat kedai emas tu selalunya emas 916 yang dah dicampur dengan logam lain. Sebab apa dicampur? Supaya perhiasan tahan lama dan lasak. Sesetengah perempuan memang pakai barang kemas hari-hari. Memang tak tanggal rantai, cincin dan gelang tu. Walau dah pakai lasak sekalipun, nilai jual tetap tinggi berbanding emas putih dan rose gold. Yang penting, nilai kandungan emasnya masih 91.6%.

 

Rose Gold

 

Rose gold pula mendapat nama kerana warna kemerah-merahan pada barang kemas. Warna kemerahan tu datang daripada campuran emas dengan logam lain seperti tembaga dan perak. Peratusan emas dalam rose gold ialah 85.0% dan dikenali sebagai emas 850. Emas jenis ni popular di Kelantan. Warna kemerahan pada emas tu buat barang kemas lebih terang dan tak nampak pucat pada orang yang memakainya. Rose gold pun ada 835 dan 750. Warna kemerahan barang kemas tu terpulang pada peratusan logam tembaga. Tapi perlu ingat, lagi rendah kandungan emas, harga jual semula akan jauh lebih murah.

 

Kesimpulan

Kesimpulannya, anda kena tahu jenis-jenis emas. Lain emas, lain kualitinya, jadi pastinya harga pun berbeza-beza. Sekarang anda dah tahu logam apa yang dicampurkan dalam jenis-jenis emas ini. Anda dah tahu nilai jual juga bergantung pada peratusan kandungan emas dalam barang kemas. Boleh juga guna untuk waktu-waktu terdesak atau emergency. Walaupun anda bergaya dengan barang kemas, anda juga secara sedar atau tak, sedang buat pelaburan jangka panjang. Ada duit lebih? Mari beli emas!

BNM Sasar Tanpa Tunai Naik 15% Setiap Tahun

BNM Sasar Tanpa Tunai Naik 15% Setiap Tahun

Memahami lonjakan kaedah nirtunai (tanpa tunai) melalui pendekatan e-pembayaran semakin meluas, Bank Negara Malaysia (BNM) kini mulai melancarkan kempen e-Duit buat pemerkasaan sektor ekonomi negara. Pelancaran pada hari ini (29 Oktober) memperincikan matlamat BNM adalah untuk mempercepatkan penerapan nirtunai dalam kalangan perniagaan dan isi rumah sebanyak 15% setiap tahun dan meningkatkan transaksi pembayaran atas talian per kapita daripada 221 kepada 400 transaksi menjelang tahun 2026 kelak.

 

Matlamat dalam tempoh 5 tahun ini akan melaksanakan pelbagai acara bersama penyedia teknologi lain – antaranya mempertingkatkan kesedaran dan menambah baik tahap celik kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia di pelbagai platform. Untuk makluman sepanjang Oktober, pasukan Bulan Literasi Kewangan telah menjelajah ke 61 lokasi merentas tujuh negeri dan menyediakan sumber pendidikan kewangan secara percuma serta bebas kepada lebih 20,000 rakyat Malaysia. Sumber ini meliputi pengurusan kewangan peribadi, celik kewangan digital, kesedaran tentang penipuan kewangan dan khidmat nasihat pengurusan hutang.

 

Adanya usaha lanjutan ini ia akan turut menyokong agenda Malaysia untuk memperkasakan pendigitalan dalam ekonomi negara.

Online
Hi! Boleh kami bantu?