Antara Punca Pinjaman Perumahan Ditolak

Antara Punca Pinjaman Perumahan Ditolak

Prestasi pasaran hartanah yang dikatakan perlahan buat masa ini ternyata telah mempengaruhi kadar penolakan pinjaman perumahan oleh bank. Ramai yang menghadapi kesukaran untuk mendapatkan pinjaman perumahan dengan peningkatan jumlah permohonan yang ditolak sejak beberapa tahun lepas. Menurut Bank Negara Malaysia (BNM), pada tahun lalu, kadar tersebut telah berada pada hampir 60%!
Ini membuktikan yang kebanyakan rakyat Malaysia masih bergelut untuk memiliki rumah sendiri yang boleh digelar sebagai “rumahku, syurgaku”. Dengan statistik yang membimbangkan itu, rasanya sudah tiba masa untuk kita mengenalpasti punca di sebalik isu penolakan pinjaman perumahan ini.

 

Mengapa Bank Tolak Permohonan Pinjaman Rumah Anda?

 

Oleh kerana itu, beberapa eksekutif pinjaman dari bank tempatan telah cuba untuk menjawab persoalan mengapa terlalu ramai rakyat Malaysia yang telah ditolak permohonan pinjaman rumah mereka. Anda pasti akan terkejut apabila mengetahui maklum balas daripada eksekutif-eksekutif tersebut!

 

1) Pemohon kurang faham proses permohonan

 

Keseluruhan proses permohonan pinjaman rumah di sini sebenarnya amat berbeza jika dibandingkan dengan proses di negara lain. Di Malaysia, kebanyakkannya akan mencari hartanah daripada mana-mana senarai yang ada, dan terus pergi ke bank pilihan untuk memohon pinjaman perumahan.Cara ini boleh jadi bermasalah kepada pembeli kerana nilai hartanah yang diminta oleh penjual mungkin tidak sama dengan apa yang dinilai oleh bank.

Selain itu, tanpa pengetahuan yang cukup tentang apa yang anda mampu atau tidak, senarai yang dilihat mungkin melebihi peruntukan yang ada (berdasarkan kriteria pendapatan anda).
Walau bagaimanapun, sebab yang paling biasa didengari adalah pembeli rumah langsung tidak mengetahui kemampuan mereka untuk membuat pembayaran semula sekiranya mendapat pinjaman.
Pihak bank akan sentiasa merujuk kepada Pusat Sistem Maklumat Rujukan Kredit (CCRIS) untuk mengetahui Nisbah Khidmat Hutang (DSR) setiap pelanggan.
Jadi, ia sangatlah penting untuk anda ambil tahu tentang kedua-dua perkara ini sebelum anda membuat permohonan.

Sangat membantu untuk anda mengetahui nilai DSR dan pada masa yang sama juga membuatkan kerja saya menjadi lebih mudah. Selain itu, ada beberapa kes di mana pemohon telah memalsukan dokumen kewangan mereka. Tolong ingat yang cara ini sangat berisiko kerana bukan sahaja permohonan anda akan ditolak, tetapi ia boleh menjadi kes polis dan anda mungkin dibawa ke muka pengadilan!

Salah satu lagi sebab utama penolakan pinjaman perumahan ialah tidak mempunyai bukti pendapatan yang kukuh. Jadi ini antara dokumen-dokumen yang penting – akaun simpanan dan pengisytiharan cukai pendapatan (di mana gaji anda dikreditkan, serta sumbangan KWSP) – jika anda mahu permohonan anda diluluskan. Akhir sekali, sila pastikan yang borang permohonan diisi dengan betul, lagi-lagi maklumat yang mudah seperti alamat rumah dan butiran hubungan anda. Sangatlah rugi kalau permohonan anda ditolak disebabkan isu yang remeh seperti ini!”

 

2) Pemohon kurang buat kajian sendiri

 

Kesilapan yang paling biasa saya lihat dalam proses permohonan pinjaman perumahan adalah kebanyakan klien saya tidak mengkaji dulu sebelum membuat keputusan mengenai sesuatu hartanah. Maksud saya disini adalah menyemak dahulu latar belakang pemaju, atau melakukan penyelidikan mengenai penjual hartanah. Ada kemungkinan yang pemaju atau penjual telah diisytiharkan muflis. Dan mengikut undang-undang Malaysia, apa-apa transaksi hartanah tidak dibenarkan sama sekali jika penjual telah diisytiharkan muflis, atau berada di bawah prosiding undang-undang dari Credit Tip-Off Service (CTOS).

Selain itu, pemaju mungkin telah disenarai hitamkan oleh bank, atau oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan! Bank-bank juga mempunyai senarai hitam hartanah tersendiri, yang biasanya berkaitan dengan lokasi dan status hartanah. Sebagai contoh, jika hartanah masih belum menerima hakmilik strata selepas beberapa tahun, ia mungkin telah dipangkah oleh bank. Akhir sekali, jika hartanah yang hendak dibeli mempunyai status pajakan, anda perlu tahu yang bilangan tahun yang tinggal untuk hartanah tersebut sangatlah penting. Menurut bank-bank tertentu, hartanah dengan tempoh pajakan yang tinggal antara 30 dan 60 tahun atau kurang, tidak akan dibiayai. Ini kerana bank melihat hartanah tersebut sebagai pembiayaan berisiko tinggi, yang mana nilai hartanah akan jatuh apabila tempoh pajakan hampir tamat.
Disebabkan itu, saya selalu menasihati klien untuk menggunakan senarai hartanah yang boleh dipercayai untuk mencari rumah impian mereka, seperti laman web PropertyGuru.

 

3) Staf bank mungkin buat silap

Perkara ini mungkin agak malu untuk diakui, tetapi saya pernah menyaksikan kes-kes di mana permohonan pinjaman perumahan telah dirosakkan oleh eksekutif yang bertanggungjawab. Ini adalah perkara biasa lagi-lagi jika mereka baru bekerja dalam industri tersebut! Jika mereka tidak mempunyai pengalaman dan tidak biasa dengan pemprosesan yang ketat dan pengesyoran berkaitan kelulusan pinjaman perumahan, ada kemungkinan yang maklumat pada permohonan mempunyai kesilapan atau tidak mencukupi dan akan ditolak.

Dalam kes lain, mungkin eksekutif baru sahaja bekerja di bank tersebut, dan masih tidak dapat membiasakan diri dengan set peraturan yang ada di sana. Oleh itu, dokumen yang mereka dapatkan dari pelanggan mungkin tidak mencukupi untuk mendapat kelulusan. Malangnya, akan selalu ada kesilapan yang datang dari manusia walau dalam profesion mana pun. Jadi pastikan semak betul-betul!

5 Peringatan Sebelum Anda Jadi Penjamin Pinjaman Seseorang

5 Peringatan Sebelum Anda Jadi Penjamin Pinjaman Seseorang

Pernahkah anda mengalami situasi di mana kawan atau saudara meminta anda menjadi penjamin pinjaman? Perkara ini lazimnya berlaku apabila bakal peminjam memerlukan guarantor sebagai syarat kelulusan pinjaman seperti pinjaman kereta atau pinjaman perumahan. Biasanya, anda akan bersetuju untuk menjadi guarantor sebagai tanda sokongan dan untuk menjaga hubungan. Tetapi, sebelum anda menurunkan tandatangan, anda perlu mengetahui perkara-perkara penting sebagai seorang penjamin.

 

 

Tanggungjawab Penjamin Pinjaman

Pertamanya, penjamin (guarantor) bukanlah peminjam kongsi. Dalam istilah kewangan bermaksud seseorang individu yang berjanji dan bertanggungjawab untuk membayar baki hutang peminjam sekiranya peminjam tersebut gagal untuk memenuhi atau membayar keseluruhan pinjaman mereka.

 

Jenis-Jenis Penjamin Pinjaman

Penjamin boleh dibahagikan kepada dua kategori, iaitu penjamin sosial dan bukan sosial. Mari kita lihat perbandingan antara kedua-dua kategori ini.

 

Penjamin Sosial

Penjamin sosial adalah individu yang memberi jaminan kepada peminjam bukan untuk tujuan keuntungan atau komersial. Sebagai contoh, mereka menjadi guarantor untuk menolong ahli keluarga sendiri atau kawan mereka bagi membeli kereta, rumah atau biasiswa tanpa mempunyai kepentingan kewangan atau atas tujuan keuntungan.

 

Penjamin Bukan Sosial

Bagi kategori penjamin bukan sosial atau juga dikenali sebagai penjamin biasa, mereka adalah golongan yang tidak termasuk di dalam kategori penjamin sosial seperti penjamin pinjaman peribadi, pinjaman komersial atau penjamin untuk pinjaman perniagaan.

 

Perbezaan Antara Penama dan Penjamin Pinjaman

Kebanyakkan orang masih lagi keliru tentang perbezaan antara kedudukan seorang penama dan juga peminjam. Penama adalah satu keadaan di mana individu lain menggunakan atau meminjam nama anda bagi tujuan membuat permohonan pinjaman. Sebagai contoh, anda mempunyai rakan terdekat atau ahli keluarga yang sudah disenaraihitam (blacklist) oleh sesebuah bank ataupun mana-mana institusi kewangan di Malaysia, dan mereka tidak lagi layak untuk membuat sebarang pinjaman.

Jadi, mereka meminta bantuan untuk menggunakan nama anda sebagai peminjam di dalam kontrak pinjaman dan mereka akan membayar wang pinjaman tersebut terus kepada anda setiap bulan.

Sebaik saja anda menurunkan tandatangan pada kontrak perjanjian pinjaman, anda akan menjadi orang yang bertanggunjawab atau dipanggil sebagai penama dalam segala urusan berkaitan pinjaman tersebut seperti pembayaran bulanan, penyerahan dokumen dan sebagainya walaupun individu tersebut gagal menyerahkan wang bulanan tersebut kepada anda.

Bagi penjamin pinjaman pula adalah sama seperti yang saya telah terangkan pada permulaan artikel ini. Jadi amat jelas di sini bahawa terdapat perbezaan yang signifikan antara seorang penama dan penjamin.

 

Syarat Menjadi Penjamin Pinjaman

 

  • Berumur 18 tahun dan keatas
  • Tidak mempunyai status muflis
  • Berfikiran waras dan mempunyai keupayaan mental untuk memahami dokumen jaminan
  • Sanggup terima syarat untuk jadi seorang penjamin

 

Selain itu, pihak bank atau syarikat kewangan juga melihat jika guarantor tersebut mempunyai pendapatan yang stabil serta kedudukan skor kredit yang baik. Isu berkenaan muflis kini berleluasa di Malaysia. Kebanyakan peminjam yang gagal membuat pembayaran balik pinjaman adalah peminjam yang berusia 40 tahun ke bawah. Kegagalan untuk menyelesaikan pinjaman kenderaan, rumah, dan pinjaman peribadi adalah punca-punca utama bankrupsi. Malangnya, sesetengah daripada nama yang di senarai hitam atau ‘blacklist’ bukanlah peminjam, tetapi hanya penjamin.

Jadi, anda tidak seharusnya merasa bangga dan wajib bersetuju untuk jadi seorang guarantor. Oleh itu, anda perlu membuat penelitian yang mendalam sebelum meletakkan nama anda selaku guarantor. Bantu diri anda sendiri sebelum bantu orang lain. Di sini, kami huraikan 5 perkara yang anda perlu teliti sebelum anda bersetuju untuk menjadi sebagai seorang penjamin pinjaman.

 

5 Peringatan Penting Sebelum Menjadi Penjamin

 

1. Kenalpasti tujuan pinjaman tersebut dilakukan

 

Jangan malu untuk bertanya kepada pihak peminjam mengenai sebab mereka buat pinjaman peribadi tersebut dilakukan. Anda juga harus pastikan institusi kewangan yang mereka ingin mohon boleh dipercayai. Sebagai contoh, jika mereka ingin memohon pinjaman peribadi selain daripada bank, pastikan platform tersebut boleh dipercayai dan merupakan syarikat pinjaman wang berlesen yang sah berdaftar melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT). Perkara itu harus jelas agar anda tidak menjamin sesuatu yang sia-sia. Jangan rasa segan untuk mendapatkan maklumat yang mendalam mengenai sebab peminjam memerlukan guarantor.

Melalui maklumat tersebut, anda boleh mengenal pasti jika peminjam ini ada kemampuan untuk membayar balik pinjaman ini. Kalau anda merasakan sesuatu yang tidak betul, jangan takut untuk bersuara dan menolak permintaan untuk menjadi guarantor.

 

2. Pertimbangkan kemampuan anda untuk membayar balik pinjaman sekiranya peminjam gagal menyelesaikannya

 

Sebelum anda yakin bahawa risiko untuk peminjam culas adalah kecil, adalah lebih baik jika anda lakukan analisis kedudukan kewangan terlebih dahulu. Pastikan anda mampu untuk menyelesaikan pinjaman jika peminjam tersebut gagal melangsaikannya. Anda harus ketahui bahawa selain daripada pinjaman tertunggak, anda selaku penjamin pinjaman juga perlu menyelesaikan lain-lain kos tambahan.

 

3. Kaji kontrak dan perjanjian pinjaman

 

Kesalahan yang sering dilakukan oleh bakal guarantor adalah kegagalan mengkaji dokumen perjanjian. Anda sepatutnya meneliti setiap perkataan yang dikemukakan dalam dokumen tersebut. Dapatkan khidmat nasihat peguam untuk memahami risiko dan hak anda. Jangan turunkan tandatangan anda dengan terburu-buru melainkan anda benar-benar memahami setiap perkara di dalam dokumen perjanjian tersebut. Pastikan anda tahu 8 perkara penting sebelum tandatangan kontrak pinjaman peribadi.

Sediakan surat ganti rugi yang ditandatangi oleh peminjam sebagai jaringan keselamatan anda. Dengan adanya surat ganti rugi, anda boleh mengambil tindakan mahkamah atas kerugian yang anda hadapi sebagai guarantor. Jika peminjam tidak mahu menandatangi surat ganti rugi, itu bermaksud dia menyimpan niat yang tidak baik.

 

4. Jangan sesekali tandatangan dokumen pinjaman kosong

 

Walaupun anda mempunyai niat yang baik untuk membantu, anda mungkin melakukan kesalahan terbesar. Menandatangani dokumen pinjaman ‘kosong’ mesti dielakkan dengan apa cara sekalipun. Minta pihak peminjam untuk menunjukkan dokumen pinjaman yang telah diisi sepenuhnya.

Jumlah pinjaman, kadar faedah, dan tempoh kontrak perlu diterterakan dengan jelas. Jika tidak, anda akan terkejut apabila dapat tahu bahawa anda telah setuju dan tandatangan untuk terma dan syarat yang berbeza dari yang dikatakan.

 

5. Ketahui kesannya terhadap rekod CCRIS dan kedudukan kredit anda

 

Walaupun niat anda hendak membantu memang baik. Tapi jangan sampai makan diri sendiri. Anda perlu fikirkan rekod kredit seperti CCRIS dan CTOS atau kedudukan kredit anda yang akan terkesan dengan tindakan sebagai guarantor.

Apa itu CCRIS? Ianya adalah rekod yang diselia oleh Biro Kredit Bank Negara Malaysia yang mengawasi corak pembayaran pinjaman. Mungkin anda terfikir, sebagai guarantor ianya tidak akan menjejaskan rekod kredit anda. Namun, jika peminjam gagal membuat bayaran balik pihak pemberi pinjaman akan mencari anda sebagai individu yang bertanggungjawab menyelesaikan hutang tersebut. Jika anda tidak mampu untuk selesaikan tunggakan, nama anda akan tercatat dalam rekod negatif CCRIS.

Apabila anda sudah menandatangani perjanjian itu, maka anda tidak ada jalan keluar lagi. Anda yang perlu bertanggungjawab dan menanggung beban untuk menyelesaikan hutang orang lain jika peminjam itu tidak menjalankan tanggungjawabnya.

 

219083
Tambah Sendiri Duit KWSP Anda Melalui Aplikasi.

Tambah Sendiri Duit KWSP Anda Melalui Aplikasi.

Sebut saja KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) atau EPF, semua orang tahu ia merupakan simpanan untuk hari tua. Sejak dulu, hanya majikan saja yang menguruskan caruman pekerja. Jadi, tidak ada pilihan untuk pekerja untuk sendiri tambah wang ke dalam akaun KWSP mereka. Tetapi, hal ini sudah berubah kerana KWSP sudah membenarkan individu untuk mencarum sendiri atau menambah wang ke dalam akaun mereka melalui ciri dinamakan Caruman Pilihan Sendiri.

 

“Caruman KWSP tidak dihadkan hanya kepada mereka yang diwajibkan di bawah Akta KWSP 1991. Penyertaan sukarela daripada mereka yang tidak tertakluk di bawah undang-undang KWSP adalah sangat dialu-alukan. Tambahan pula, ianya merupakan satu kelebihan bagi anda untuk menyimpan simpanan bagi kegunaan di hari persaraan.” -KWSP

 

Saya tak pernah ada akaun KSWP, bolehkah buat caruman seperti di atas?

Tidak boleh. Anda perlulah terlebih dahulu mempunyai akaun KWSP sebelum melakukan caruman pilihan sendiri ini.

 

Saya seorang pekerja tetap dan memang majikan buat caruman setiap bulan. Boleh buat juga?

Boleh. Ini antara tujuan Caruman Pilihan Sendiri diperkenal.

 

Ada had minimum atau maksimum?

Jangan risau, tidak ada had minimum ditetapkan. Namun melalui cubaan kami dengan aplikasi i-Akaun, ia ada minimum RM10. Namun bagi had maksimum, ia terhad sehingga RM60,000 setahun untuk semua Caruman Sukarela.

Boleh tak saya terus masukkan wang ke dalam akaun KWSP tanpa perlu isi apa-borang?

Boleh. Anda boleh lakukannya melalui kaedah perbankan internet (online banking/transfer) dan laman web atau aplikasi i-Akaun KWSP.

 

 

KWSP mengingatkan pelanggan untuk beri tempoh sehingga 14 hari bekerja untuk bayaran caruman dinyatakan dalam penyata.

 

Bagaimana cara masukkan wang ke dalam akauan KWSP melalui aplikasi i-Akaun?

Buka aplikasi i-Akaun > Add Contribution atau Tambah caruman > masukkan jumlah RM > Slide to Continue atau Leret untuk Teruskan > pilih bank > Next atau Seterusnya.

 

 

 

 

Ada masalah tak nampak butang Slide to Continue? Sentuh pada mana-mana bahagian kosong tengah skrin dan leret ke bawah untuk tutup papan kekunci. Anda dibawa ke laman web bank untuk proses pengesahan dan pemindahan wang seperti biasa. Ikut saja arahan.

Tekan ‘Return to merchant’s page’. Aplikasi akan paparkan ‘Thank You’ atau ‘Terima Kasih’ jika transaksi anda berjaya. Selesai. Ini bermakna transaksi sudah berjaya.

Diingatkan, transaksi ini akan dipaparkan dalam rekod dan aplikasi dalam masa 3-14 hari. Untuk maklumat lanjut, terus layari laman KWSP.

5 Langkah Untuk Tangani Penipuan Kewangan Oleh Bank-Bank Di Malaysia

5 Langkah Untuk Tangani Penipuan Kewangan Oleh Bank-Bank Di Malaysia

Dalam perasmian Pameran Maya Jenayah Kewangan yang berlangsung pada 26 September bulan lalu, gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunos mengumumkan semua institusi kewangan telah diarahkan untuk mengambil langkah-langkah tambahan untuk memperkukuh perlindungan terhadapan penipuan kewangan.

Terbaharu, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, tiga persatuan yang mewakili institusi perbankan di Malaysia iaitu Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM), Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islama Malaysia (AIBIM) dan Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan (ADFIM) telah menyatakan sokongan terhadap arahan yang dikeluarkan.

Antara langkah-langkah yang diumumkan termasuk beralih ke penghantaran One Time Password (OTP), ketatkan peraturan pengesanan penipuan dan menyekat transaksi yang disyaki terlibat dengan penipuan, laksana cooling-off period, hadkan 1 peranti untuk pengesahan transaksi dalam talian serta menyediakan talian hotline untuk memudahkan pelanggan membuat aduan mengenai penipuan kewangan.

Institusi perbankan juga mengakui bahawa pelaksanaan langkah-langkah tersebut mungkin akan menyebabkan urus niaga perbankan dalam talian mengambil tempoh yang lebih lama disebabkan langkah keselamatan dan semakan tambahan.

Sehubungan itu, institusi perbankan meminta agar pengguna memahami kelewatan dan kesulitan yang dijangka akan dihadapi oleh pengguna sebaik sahaja langkah-langkah berkenaan dilaksanakan. Walau bagaimanapun, langkah-langkah itu adalah penting untuk keselamatan tambahan dan pelanggan bank.

Sebagai tambahan, persatuan bank turut menyatakan pihaknya komited untuk memastikan komunikasi yang betul dengan pelanggan berhubung langkah tersebut, termasuk tarikh pelaksanaan, sebarang perubahan proses dan tindakan yang diperlukan bagi pihak pelanggan dan sebagainya.

OTP Maybank Melalui Aplikasi Akan Dikuatkuasakan Pada Jun 2023

OTP Maybank Melalui Aplikasi Akan Dikuatkuasakan Pada Jun 2023

Maybank mengesahkan semua kod pengesahan yang dirujuk sebagai OTP atau TAC akan tidak akan dihantar melalui SMS lagi mulai Jun 2023. Sebaliknya, ia akan diberikan pada pengguna di aplikasi melalui ciri dinamakan Secure2u. Ia juga terhad pada 1 peranti saja yang boleh mengesahkan apa-apa transaksi.

Bermakna, jika anda 2, 3 peranti yang menggunakan MAE, hanya satu telefon saja yang boleh meluluskan transaksi. Tambahan lagi, pengguna juga akan diberitahu melalui aplikasi, SMS dan e-mel apabila peranti baharu dipilih sebagai peranti Secure2u.

Jika anda belum maklum, Maybank baru menguatkuasakan mulai 26 September tempoh hari di mana pengaktifan Secure2u hanya boleh dilaksanakan di aplikasi MAE, tidak lagi melibatkan M2U. Dua ciri di bawah Secure2u ialah Secure Verification memerlukan anda ‘tap’ sekali saja di MAE untuk sahkan transaksi manakala Secure TAC pula ialah 6 digit TAC.

Ini selari dengan arahan Bank Negara Malaysia beberapa hari lepas dalam usaha membanteras isu scam yang berleluasa. Klik SINI untuk baca berita penuh. Selain itu, Maybank juga akan kenalkan tempoh bertenang apabila pengguna mengaktifkan ciri Secure2u pada peranti berbeza mulai suku ke-4 tahun ini.

Berkongsi Kata Laluan Dengan Orang Dikenali Boleh Meningkatkan Risiko Penipuan – BNM

Berkongsi Kata Laluan Dengan Orang Dikenali Boleh Meningkatkan Risiko Penipuan – BNM

Menurut Bank Negara Malaysia (BNM), kesanggupan individu berkongsi kata laluan atau nombor PIN akaun bank dengan kawan rapat boleh meningkatkan risiko penipuan dalam talian, termasuk diperalatkan sebagai ‘akaun keldai’ sama ada secara sedar atau sebaliknya.

Melalui Kaji Selidik Keupayaan dan Rangkuman Kewangan dari Segi Permintaan 2021 oleh BNM, satu per tiga daripada individu menyatakan mereka sanggup berbuat demikian, manakala selebihnya tidak memberikan perhatian pada ciri keselamatan laman sesawang sebelum melakukan transaksi dalam talian.

Kesan daripada itu, individu lebih mudah diperdaya untuk memberikan maklumat perbankan mereka melalui laman sesawang palsu, yang membolehkan penipu menggunakan maklumat tersebut untuk tujuan penipuan.

Timbalan Gabenor Jessica Chew dalam satu kenyataan pada 1 Oktober lepas mengatakan, penggunaan peranti dan aplikasi mudah alih yang kurang teliti juga telah menyebabkan individu menjadi mangsa penipuan seperti pancingan data (phishing), penggodaman dan kecurian data.

Online
Hi! Boleh kami bantu?