Malaysia Kini Mengalami Inflasi 1.9%, Semua Negeri Mengalami Tekanan Kos Makan, Minuman

Malaysia Kini Mengalami Inflasi 1.9%, Semua Negeri Mengalami Tekanan Kos Makan, Minuman

Indeks Harga Pengguna (IHP) yang menjadi pengukur kepada paras inglasi utama di Malaysia – kini memaparkan tahap tekanan kos menyeluruh di negara kembali mereda apabila untuk rekod Ogos 2024, prestasi inflasi kini menurun kepada paras 1.9%, berbanding Julai 2024 sekitar 2.0%.

Penurunan ini menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) didorong hasil peningkatan kos yang lebih perlahan dicatatkan pada segmen Restoran dan Perkhidmatan Penginapan (3.2%), Penjagaan Diri, Perlindungan Sosial dan Pelbagai Barangan dan Perkhidmatan (3.2%), Perumahan, Air, Elektrik, Gas dan Bahan Api lain (31%) serta Rekreasi, Sukan dan Kebudayaan (2.0%).

 

Sementara mengikut taburan negeri pula, kebanyakan negeri juga memaparkan peningkatan paras inflasi yang lebih kecil iaitu di bawah 1.9% (paras nasional) – namun terdapat 4 negeri merekodkan paras inflasi yang lebih tinggi iaitu Pulau Pinang (3.3%), Pahang (2.8%), Sarawak (2.5%) dan Selangor (2.3%).

Biarpun secara menyeluruh, tahap inflasi kelihatan mereda namun tekanan kos makanan kekal didepani pengguna negara. Menurut DOSM, kesemua negeri mencatatkan peningkatan dalam inflasi Makanan dan Minuman dengan kadar tertinggi direkodkan oleh Selangor (2.8%), Pulau Pinang (2.7%), Sarawak (2.0%), Pahang (1.9%), Putrajaya (1.8%) dan Terengganu (1.6%).

Keadaan ini sekaligus memberi kesan kepada kuasa beli pengguna melibatkan perbelanjaan makanan di rumah dan di luar rumah – terutamanya ke atas kumpulan berpendapatan bawah RM3,000.

 

 

Untuk makluman inflasi ke atas kumpulan pendapatan bawah RM3,000 pada Ogos 2024 – telah mencapai 1.7%. Paras ini disumbangkan kesan peningkatan kos dalam segmen Restoran dan Perkhidmatan Penginapan (4.3%), disusuli Penjagaan Diri, Perlindungan Sosial dan Pelbagai Barangan dan Perkhidmatan (3.1%). Sementara segmen Perumahan, Air, Elektrik, Gas dan Bahan Api Lain pula 2.9%.

Manakala taburan mengikut negara terpilih pula, Malaysia kekal menjadi antara negara terendah pada catatan inflasi berbanding Vietnam (3.5%), Filipina (3.3%), Indonesia (2.1%) dan Republik Korea (2.0%). Namun inflasi negara kekal tinggi berbanding Thailand (0.4%).

 

Pelancong Dalam Negara Rancak Berbelanja RM28.1 Billion Dalam Malaysia

Pelancong Dalam Negara Rancak Berbelanja RM28.1 Billion Dalam Malaysia

Suku kedua tahun ini memperlihatkan dinamik pelancong domestik semakin meningkat di Malaysia – dengan catatan 68.4 juta pelancong tempatan direkodkan pada tempoh tersebut. Jumlah itu sekaligus menunjukkan berlakunya lonjakan ketara 23.8% berbanding 3 bulan pertama 2024.

Berikutan pertambahan lebih ramai penduduk negara melancong di lokasi domestik, mengikut data Jabatan Perangkaan (DOSM) situasi ini turut membantu pertumbuhan perbelanjaan ekonomi di Malaysia. Di mana jumlah perbelanjaan pada suku kedua 2024 telah mencapai RM28.1 bilion, iaitu meningkat 28.6% secara tahunan.

Persekitaran ini secara langsung memberi kelebihan kepada perniagaan tempatan dan ekonomi pelancongan setempat dalam memulihkan kembali prestasi perolehan mereka setelah pasca pandemik COVID-19. Pelbagai faktor dilihat menyumbang kepada arena pelancongan domestik negara – ia tidak sekadar disokong tahap pengangguran yang lebih rendah bersama kadar gaji yang lebih baik tetapi turut didorong perluasan ekonomi digital, yang diperhatikan meluaskan lagi peluang dan kemudahan semua pihak pada aktiviti ekonomi negara.

Sebagai perincian, DOSM dapati mengikut taburan negeri – semua negeri memaparkan peningkatan dalam rekod pelancongan. Dengan Selangor mencatatkan rekod pelancongan domestik tertinggi bersama nilai RM11.1 bilion, diikuti Kuala Lumpur RM11 bilion serta Sarawak (RM6.94 bilion dan Pahang pula RM6.73 bilion.

Secara menyeluruh ini faktor yang mendorong peningkatan pada rekod pelancongan domestik di Malaysia bagi suku kedua 2024:

  • Tabiat membeli-belah meningkat – sumbang RM30.84 bilion
  • Melawat saudara dan rakan-rakan – membawa kepada pertambahan tempoh penginapan di lokasi domestik
  • Terdapat 9 negeri memaparkan majoriti kehadiran pelancong domestik adalah kalangan isi rumah yang berpendapatan antara RM5,001-RM10,000 sebulan – ini melibatkan Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Pulau Pinang, Selangor, KL, Labuan dan Putrajaya
  • Sementara baki 7 negeri lagi memaparkan peratusan pelancong domestik tertinggi daripada isi rumah berpendapatan RM1,001 sehingga RM3,000 – iaitu Kedah, Kelantan, Perak, Perlis, Terengganu, Sabah dan Sarawak

 

Dijangka Akan Menggunakan 30% Kenderaan Elektrik 2025 – Pos Malaysia

Dijangka Akan Menggunakan 30% Kenderaan Elektrik 2025 – Pos Malaysia

Selaras dengan matlamat ingin menggunakan 100% kenderaan penghantaran elektrik dalam perkhidmatan mereka menjelang 2030 – Pos Malaysia optimis sasaran itu kekal mengikuti perancangan mereka, apabila dijangka sekitar 28% daripada kenderaan perkhidmatan akan beralih kepada elektrik pada tahun hadapan, 2025.

Aturan ini adalah tindak balas operasi dalam mengurangkan jejak karbon, di samping memberi penjimatan yang berganda kepada kos operasi Pos Malaysia. Setakat ini, kumpulan memiliki sekitar 143 can dan 200 skuter elektrik bagi perkhidmatan di Semenanjung Malaysia.

Tidak hanya fokus tersebut, Pos Malaysia pada sidang Beyond the Boardroom semalam turut memaklumkan pihaknya kini menggunakan telematik sepenuhnya bagi meningkatkan keselamatan pemandu, di mana pada operasi Malaysia 100% trak dan 37% van dimaklumkan dilengkapi dengan peranti telematik.

Antara usaha di bawah pelan lestari kumpulan, penggunaan panel solar turut diperkasakan Pos Malaysia – langkah penerapan 16 panel solar pada bangunan operasi secara langsung telah membawa kepada pengurangan sehingga 30% penggunaan tenaga elektrik.

Brand Tupperware Bakal Muflis

Brand Tupperware Bakal Muflis

Tupperware Brands, jenama barangan bekas plastik global kini dimaklumkan – sedang bersedia untuk memfailkan muflis pada status operasi mereka, seawal minggu ini. Tindakan itu susulan prestasi permintaan yang semakin menurun pada pasaran semasa serta tekanan kewangan yang dimiliki kumpulan.

Menurut laporan Bloomberg, persediaan bankrap itu telah dicapai susulan rundingan antara Tupperware dan pemberi pinjamannya mengenai pendekatan terbaik akan pengurusan beban hutang yang melibatkan lebih AS$700 juta. Pihak pinjaman difahamkan telah bersetuju memberi ruang kepada Tupperware pada tahun ini akan isu pelanggaran syarat pinjaman yang berlaku. Namun prestasi syarikat tersebut diperhatikan terus merosot.

Sementara prestasi saham pula memaparkan Tupperware berdepan penurunan 15.8% kepada 43 sen pada akhir sesi dagangan. Prestasi tersebut menjadikan ia 57% lebih rendah berbanding harga pada permulaan sesi dagangan.

Sekadar imbasan, Tupperware telah bermula sejak 1946 lagi dan isu kemerosotan prestasi ini bukanlah kali pertama dilalui kumpulan. Situasi tersebut telah didepani sejak akhir 2022 lalu.

Jumlah Rumah Tidak Terjual Lebih 22,600 Unit, Bernilai 12.24 Billion

Jumlah Rumah Tidak Terjual Lebih 22,600 Unit, Bernilai 12.24 Billion

Prestasi harta tanah negara untuk tempoh 6 bulan pertama tahun ini memaparkan terdapatnya 22,642 unit rumah siap bernilai RM14.24 bilion, masih lagi tidak terjual di pasaran negara. Biarpun data Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) ini memperlihatkan penurunan 13.9% dari aspek jumlah unit rumah namun nilainya kekal tinggi untuk pulangan negara.

 

Mengikut taburan negeri, Perak menjadi negeri tertinggi yang mencatatkan rumah siap dibina tidak terjual – dengan melibatkan 4,161 unit (18.4%), diikuti Johor 3,219 unit (14.2%) dan Kuala Lumpur pula dengan 3,050 unit (13.5%).

Berdasarkan jumlah unit rumah yang tidak terjual ini, ternyata kategori kondominium dan apartment mendominasi peratusan dengan 59.8% (13,535 unit), teres mewakili 24.4% (5,524 unit), gabungan tumah berkembar mewakili 8.2% (1,867 unit) dan selebihnya 7.6% dengan lain-lain kediaman.

Manakala berasaskan kadar harga rumah yang tidak terjual pula, unit mewah mendominasi iaitu lebih RM500,000 mewakili 9,413 unit kediaman, diikuti RM300,000 ke bawah dengan 6,840 unit dan  RM300,000 ke atas pula dengan 6,389 unit tidak terjual.

Minuman Bergula Akan Dinaikkan Cukai, Kadar Baharu Diketahui Pada Belanjawan 2025

Minuman Bergula Akan Dinaikkan Cukai, Kadar Baharu Diketahui Pada Belanjawan 2025

Dalam usaha membendung penyakit berkaitan gula di Malaysia, kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan kadar cukai ke atas minuman bergula (SSB) akan alami peningkatan, di mana pelarasan tersebut akan diketahui pada pembentangan Belanjawan 2025 kelak.

Pelarasan naik kadar cukai gula ini adalah tindak-balas negara berikutan berlakunya penurunan pembelian produk minuman bergula siap minum (RTD) sekitar 9.9% pada pasaran semasa. Maka untuk menggalakkan lagi penurunan jualan tersebut, peningkatan kadar ini dilihat suatu tindakan yang relevan oleh sektor kesihatan negara.

Usaha ini secara langsung turut akan melandaikan peratusan isu obesiti yang didepani sebilangan penduduk Malaysia. Tahukah anda, menjelang 2035 terdapat potensi sekitar 41% penduduk dewasa Malaysia berdepan obesiti dan ketika ini sahaja didapati sekitar 50% penjawat awam negara sedang berdepan masalah tersebut.

Buat pengetahuan umum pada pembentangan bajet lalu, kerajaan telahpun menaikkan paras cukai bergula kepada 50 sen seliter – menerusi kadar baharu kelak ia dijangka akan memberi kesan kepada perubahan harga produk terlibat dan seterusnya mengurangkan lagi kuasa beli pengguna pada keperluan item tersebut.

Online
Hi! Boleh kami bantu?