Sebanyak 6% Rakyat Malaysia Tidak Berbelanja Atas Talian

Sebanyak 6% Rakyat Malaysia Tidak Berbelanja Atas Talian

Tabiat pembelian kalangan pengguna Malaysia kini dilihat semakin meluas, apabila berlakunya peningkatan dalam sektor atas-talian meskipun sekatan pergerakan telah ditamatkan. Perubahan itu menurut tinjauan Perkhidmatan Kewangan 2022 GlobalData, menyasarkan pasaran e-dagang negara berpotensi berkembang sekitar 19.9% dengan nilai mencecah $9.2 bilion (RM38.2 bilion) pada tahun ini, 2022.

Jangkaan tersebut bermakna bakal menyaksikan jualan e-dagang di Malaysia meningkat pada kadar pertumbuhan tahunan kompun (CAGR) sekitar 16.1% bagi tempoh 2022-2026 dengan nilai mencapai 16.6 bilion menjelang tahun 2026 kelak. Aliran ini diperhatikan sejak jualan atas talian sebanyak $7.6 bilion dicatatkan negara pada tahun 2021.

Walaupun potensi e-dagang Malaysia melonjak dan dianggarkan hampir 90% pengguna Malaysia memanfaatkan platform pembelian atas talian seperti e-dagang namun didapati sekitar 6% pengguna Malaysia tidak menunjukkan sebarang tingkahlaku terlibat dalam pembelian atas talian. Seterunsya GlobalData pada masa yang sama turut menakrifkan Malaysia antara pasaran e-dagang yang pesat di serantau Asia Tenggara. Ini didorong penggunaan telefon pintar yang tinggi serta penembusan internet yang semakin meluas dalam kalangan penduduk negara.

Rancang Persaraan: Berapa Banyak Kita Perlu Simpan?

Rancang Persaraan: Berapa Banyak Kita Perlu Simpan?

Selepas bekerja dalam tempoh 30 sehingga 40 tahun, anda mesti mahu bersara dengan tenang dan tidak perlu memikirkan masalah duit lagi kan? Perancangan persaraan merupakan satu perkara yang harus diambil berat walaupun anda mungkin merasakan masih lama lagi untuk anda bersara. Artikel ini akan menerangkan cara menentukan wang persaraan anda.

 

Berapa Jumlah Wang yang Anda Perlukan untuk Bersara?

 

Jika anda merupakan pekerja sektor swasta, akan tiba satu masa nanti yang anda hanya akan bergantung kepada wang simpanan atau wang KWSP anda sahaja. Berbeza dengan pekerja sektor kerajaan yang kebiasaannya akan mendapat duit pencen setiap bulan selepas persaraan, anda sebagai persara sektor swasta akan menerima wang dalam jumlah yang banyak sekaligus melalui akaun KWSP anda.

Salah satu cabaran yang paling besar apabila anda menerima wang dalam jumlah yang banyak sebegini adalah memastikan anda boleh menggunakannya sebaik mungkin dan berjimat dengan jumlah tersebut dalam tempoh yang panjang sekitar 15 sehingga 20 tahun. Wang yang anda terima inilah yang akan digunakan untuk menanggung perbelanjaan bulanan anda selepas bersara.

Oleh sebab itu, anda perlu mempertimbangkan perkara ini dengan serius kerana situasi kewangan anda memainkan peranan yang sangat penting apabila anda bersara nanti. Perancangan persaraan yang baik dan strategik akan dapat membantu anda lebih bersedia menghadapi segala cabaran yang bakal muncul.

 

Jumlah Wang yang Disarankan untuk Bersara

 

Jawapan untuk persoalan ini adalah subjektif kerana ia bergantung kepada gaya hidup anda sendiri ataupun gaya hidup yang anda idamkan selepas persaraan. Anda juga perlu ambik kira jumlah tanggungan yang anda ada serta jumlah komitmen hutang yang anda perlu langsaikan seperti loan kereta atau pinjaman perumahan.

Pihak KWSP telah menyarankan jumlah wang minimum untuk bersara sekitar RM228,000 sehingga RM240,000 bermula 1 Januari 2019. Namun begitu, masih ramai lagi rakyat Malaysia yang tidak mampu pun untuk mencapai amaun ini apabila mencapai umur bersara iaitu 55 tahun.

Secara kasarnya, jumlah yang disarankan ini masih belum mencukupi. Bayangkan jika anda bersara pada umur 55 tahun, untuk anda menjalani kehidupan untuk tempoh 20 tahun yang akan datang selepas persaraan dengan jumlah tersebut, anda hanya boleh menggunakan sekitar RM1,000 sebulan sahaja.

Walau bagaimanapun, jumlah ini ditentukan untuk perbelanjaan keperluan harian sahaja. Untuk anda menikmati persaraan yang selesa, anda mungkin perlu memerlukan wang yang lebih untuk perbelanjaan perubatan, tanggungan keluarga, insurans, percutian dan hiburan dan sebagainya.

Setiap individu mempunyai gaya hidup yang berbeza-beza dan anda mungkin akan berbelanja lebih daripada RM1,000 sebulan terutama sekali jika anda mempunyai tanggungan seperti ahli keluarga. Bank Negara Malaysia telah mengeluarkan saranan jumlah wang perbelanjaan yang anda perlu sediakan pada setiap bulan bergantung kepada tiga kategori:

 

Kategori Jumlah Perbelanjaan Bulanan yang Disarankan oleh Bank Negara
Dewasa Bujang RM2,700
Pasangan tanpa Anak RM4,500
Pasangan dengan Dua Orang Anak RM6,500

 

Berdasarkan jumlah perbelanjaan yang disarankan oleh Bank Negara Malaysia ini, anda akan menghadapi kesukaran untuk mengharungi hari-hari persaraan dengan wang simpanan RM240,000 seperti yang telah disarankan oleh pihak KWSP. Untuk hidup dalam masa 15 hingga 20 tahun akan datang dengan selesa, anda akan memerlukan simpanan yang lebih banyak.

Contohnya, individu yang berstatus bujang memerlukan RM2,700 sebulan berdasarkan saranan Bank Negara. Ini bermakna, individu tersebut memerlukan simpanan sekitar RM500,000 sehingga RM600,000 untuk menjalani kehidupan dengan selesa setelah bersara kelak.

 

Faktor-faktor yang Anda Perlu Pertimbangkan Sebelum Bersara

Berikut merupakan komitmen kewangan lain yang anda mungkin perlu tanggung selepas anda bersara:

  1. Tanggungan kewangan untuk pasangan, anak atau tanggungan-tanggungan lain
  2. Yuran pengajian anak-anak
  3. Pinjaman Perumahan atau komitmen hutang lain yang belum diselesaikan
  4. Membeli polisi insurans baharu jika anda sebelum ini bergantung pada perlindungan yang disediakan oleh syarikat atau anda sudah mencapai had umur polisi sedia ada
  5. Kadar inflasi kerana harga barang berkemungkinan besar tidak akan kekal sama dan akan naik pada masa depan
  6. Gaya hidup anda seperti kekerapan anda mahu keluar bercuti, makan di luar dan sebagainya

 

5 Tips Simpanan Persaraan

 

Tidak kiralah sama ada anda masih ada sekitar10, 20 ataupun 30 tahun lagi, anda perlu memikirkan kehidupan selepas persaraan daripada sekarang. Apabila anda sudah ketahui jumlah wang yang anda perlukan untuk bersara dan tempoh yang anda ada sebelum bersara, anda perlu mencari jalan terbaik untuk mencapai sasaran anda. Ikuti lima tips simpanan persaraan di bawah ini:

 

1. Mengira Kos Perbelanjaan Bulanan

Penting untuk anda menentukan bajet perbelanjaan setiap bulan dengan wang yang anda akan terima dalam jumlah yang banyak daripada KWSP. Anda perlu merancang belanjawan anda atau kenal pasti cara uruskan duit gaji anda untuk supaya anda boleh meningkatkan jumlah simpanan sedia ada.

Asingkan perbelanjaan anda kepada perkara yang anda perlukan dan perkara yang anda inginkan. Utamakan perbelanjaan untuk perkara yang anda rasa lebih mustahak dan kurangkan perbelanjaan yang anda tidak perlukan.

Selepas bersara, anda tidak lagi mendapat sumber pendapatan setiap bulan, melainkan anda memilih untuk bekerja secara part time. Misi anda adalah memastikan yang anda boleh bertahan dengan jumlah simpanan anda selepas persaraan nanti.

 

2. Membuat Pelaburan 

Pelaburan boleh bantu meningkatkan jumlah simpanan persaraan anda dan ini merupakan satu pilihan yang anda boleh pertimbangkan. Jenis pelaburan terbahagi kepada dua iaitu pelaburan risiko rendah dan pelaburan risiko tinggi. Mana satu yang patut anda pilih?

Pilihan ini wajar dibuat bergantung kepada situasi dan umur anda. Sekiranya anda sudah menghampiri umur persaraan, anda disarankan untuk melabur di platform pelaburan yang mempunyai risiko lebih rendah seperti Skim Persaraan Swasta (PRS), pelaburan ASB, Tabung Haji, Takaful dan sebagainya.

Jika anda masih muda dan baru bekerja dan ingin merancang persaraan anda, anda boleh mempertimbangkan untuk membuat pelaburan yang lebih berisiko tinggi seperti saham. Namun begitu, pastikan anda melakukan penyelidikan komprehensif sebelum membuat pelaburan. Selain itu, anda juga boleh melabur di platform risiko rendah jika anda tidak mahu mengambil risiko yang tinggi.

 

3. Jangan Keluarkan Duit Simpanan KWSP Jika Tidak Perlu

Meskipun kerajaan baru-baru ini membenarkan pengeluaran sebahagian daripada akaun 2 KWSP secara one-off sebanyak RM10,000, ini tidak bermaksud anda perlu mengeluarkannya. Anda tidak digalakkan untuk mengeluarkannya melainkan anda memang terdesak memerlukan wang tersebut untuk tujuan-tujuan tertentu terutamanya bagi meneruskan kelangsungan hidup. Elakkan mengeluarkan duit ini untuk pelaburan atau sebagai modal perniagaan.

Ingat, tujuan simpanan KWSP anda adalah untuk persaraan anda. Ini bermaksud, mengeluarkan simpanan KWSP anda sekarang bermakna wang persaraan anda akan berkurangan. Duit KWSP RM10,000 bukanlah jumlah yang sedikit. Bayangkan dengan kadar dividen KWSP sebanyak enam peratus setahun, RM10,000 boleh bertambah menjadi RM17,908 selepas 10 tahun, menjadi RM32,071 selepas 20 tahun dan menjadi RM57,434 selepas 30 tahun.

 

4. Berhati-hati dengan Scammer 

Banyak kes scam yang terjadi di Malaysia biasanya berlaku pada golongan yang menghampiri umur persaraan ataupun yang sudah bersara. Scammer yang mempunyai kebolehan yang tinggi boleh ‘bau’ duit yang banyak yang masuk atau bakal masuk ke dalam akaun anda. Jika anda selalu baca berita, anda akan dapati ramai pesara yang kehilangan semua wang simpanan persaraan mereka disebabkan terpedaya dengan tipu helah scammer.

Biasanya, pihak scammer akan menjanjikan pulangan wang yang tinggi dalam masa yang singkat. Bagi anda yang mungkin ingin menggandakan simpanan untuk persaraan, ia mungkin boleh menarik minat anda untuk terjebak dengan skim sebegini. Oleh sebab itu, jika anda ditawarkan untuk masukkan wang anda ke dalam skim yang mencurigakan dan menjanjikan pulangan yang tinggi yang tidak masuk akal, jangan terburu-buru membuat keputusan dan dapatkan nasihat pakar kewangan anda.

 

5. Selesaikan Semua Pinjaman Sedia Ada Secepat Mungkin

Sebolehnya, rancang hutang dan komitmen anda bermula sekarang. Elakkan daripada berbelanja atau berhutang melebihi kemampuan anda. Jika perlu, simpan duit terlebih dahulu sebelum beli barangan yang anda perlukan untuk mengelakkan komitmen terkumpul yang tinggi sehingga mencapai umur persaraan.

Jika boleh, apabila anda bersara nanti hanya tinggal sekurang-kurangnya satu loan sahaja untuk anda selesaikan. Dengan cara ini, anda dapat menikmati persaraan anda dengan lebih baik dan anda tidak perlu pening kepala untuk memikirkan komitmen dan hutang lain yang perlu ditanggung.

 

Mulakan Perancangan Persaraan Anda Hari Ini

Perancangan persaraan yang baik akan membantu anda menikmati kehidupan yang lebih tenang pada masa akan datang. Jika anda masih belum mula merancang kehidupan selepas bersara, anda disarankan untuk mula memikirkan mengenai perkara ini bermula daripada sekarang. Ini kerana, perancangan persaraan akan memakan masa bertahun untuk mencapai matlamat yang ditetapkan. Diharapkan perkongsian artikel kali ini dapat membantu anda.

Sekiranya anda sedang mencari insurans kereta terbaik, anda boleh dapatkannya di KMC. Selain insurans kereta, KMC juga menawarkan jenis insurans lain antaranya insurans motor dan insurans rumah.

Industri Perbankan Lancar Kempen Kesedaran Penipuan Kebangsaan

Industri Perbankan Lancar Kempen Kesedaran Penipuan Kebangsaan

Industri perbankan melancarkan Kempen Kesedaran Penipuan Kebangsaan (NSAC) bersempena dengan pameran Bulan Literasi Kewangan 2022 (FLM2022) sebagai kesinambungan usaha industri untuk memerangi dan mendidik pengguna berkaitan penipuan.

Kempen itu yang disokong oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dilancarkan secara bersama oleh Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM), Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) dan Persatuan Institusi-Institusi Pembangunan Kewangan Malaysia (ADFIM).

Timbalan Gabenor BNM Datuk Marzunisham Omar berkata semasa kempen berlangsung orang ramai akan dapat melihat lebih banyak iklan kesedaran, mesej dan bantu ingat di saluran bank sendiri masing-masing serta media sosial dan arus perdana.

“Saya difahamkan juga akan ada program capaian komuniti untuk mendidik orang ramai,” katanya pada majlis pelancaran NSAC di IPC Shopping Centre, di sini, hari ini.

Marzunisham berkata keutamaan BNM ialah memastikan saluran perbankan dan pembayaran kekal selamat dan terkawal.

“Nasihat keselamatan baharu dan langkah keselamatan tambahan yang perlu diambil oleh bank akan dikeluarkan dari semasa ke semasa memandangkan taktik yang digunakan penjenayah sentiasa berubah-ubah,” katanya.

Mengenai lima langkah diumumkan BNM pada 26 September lalu untuk mengukuhkan lagi kawalan dan perlindungan bank terhadap penipuan kewangan, beliau berkata, bank-bank memberikan komitmen jitu mereka dan membuat kemajuan dalam melaksanakan langkah-langkah tersebut.

“Sebagai contoh, bank mempercepatkan peralihan daripada penggunaan kata laluan sekali saja (OTP) yang berasaskan SMS kepada bentuk pengesahan yang lebih selamat semasa melakukan transaksi dalam talian seperti melalui aplikasi perbankan mudah alih perbankan dan token perkakasan,” katanya.

Marzunisham juga menasihati orang ramai agar lebih kerap menyemak laman Amaran Scam Facebook oleh BNM, serta Cyber Crime Alert dan Semak Mule oleh Polis Diraja Malaysia, bagi maklumat terkini.

Sebagai sebahagian daripada NSAC yang dilancarkan hari ini, industri perbankan telah mencipta logo untuk membantu orang ramai mengingat tiga langkah mudah – juga dikenali sebagai peraturan tiga saat – iaitu “Stop, Think and Block” (Awas, Fikir, Blok) apabila menerima panggilan, mesej atau -e-mel daripada pihak yang tidak dikenali.

Menggunakan cogan kata “Ingat 3 Saat OK” dan tanda pagar #JanganKenaScam, industri perbankan menggesa orang ramai untuk mengingati peraturan tiga saat itu agar kekal selamat dan tidak menjadi mangsa penipuan.

Kempen NSAC itu yang akan dimulakan pada November, merupakan kesinambungan usaha industri perbankan untuk memerangi penipuan serta mendidik pengguna mengenai penipuan sambil berkongsi petua mudah untuk kekal selamat dalam talian.

Kempen tersebut juga melengkapkan lima langkah pencegahan tambahan yang diumumkan oleh BNM itu.

Turut hadir pada majlis pelancaran itu ialah Pengerusi ABM Datuk Khairussaleh Ramli, Presiden AIBIM Mohd Muazzam Mohamed dan Naib Pengerusi ADFIM Jay Khairil Jeremy Abdullah.

Senarai nombor bank anggota ABM untuk dihubungi bagi melaporkan penipuan boleh diperoleh daripada laman web ABM di https://www.abm.org.my/directory.

Bank Digital Akan Dilancar Oleh RHB Pada 2023

Bank Digital Akan Dilancar Oleh RHB Pada 2023

Setelah AEON, kini RHB Bank Bhd pula menyasarkan pengenalan bank digitalnya bersama Boost Holdings menjangkakan akan dilaksana pada separuh kedua tahun 2023 kelak. Menurut makluman Ketua Pegawai Eksekutif Mohd Rashid pembangunan platform tersebut akan sedia memperlihatkan pelaburan sekitar RM1 bilion bagi kedua pihak. Untuk makluman Boost dan RHB menerima pengesahan lesen bank digital Bank Negara Malaysia (BNM) di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 20133 (APK). Berdasarkan perincian pelancaran bank digital tersebut, sekiranya ia tidak dapat dicapai pada separuh kedua tahun 2023, selewat-lewatnya ia akan direalisasikan pasa suku pertama 2024 kelak.

Perbezaan Emas Putih, Kuning Dan Rose Gold

Perbezaan Emas Putih, Kuning Dan Rose Gold

Trend hype sekarang, orang suka beli emas. Tapi, emas yang macam mana? Emas ini ada macam-macam jenis dan bentuk. Kita ada emas jongkong, syiling atau yang popular di kalangan perempuan, emas barang kemas. Kalau tengok di kedai emas, boleh tengok barang kemas cantik-cantik tak kira emas kuning, emas putih atau rose gold. Pening apabila nak pilih. Mari kita bandingkan tiga jenis emas yang popular di Malaysia ni. Lepas dah tahu, senang nak decide mahu beli yang mana nanti, betul tak?

 

Perbandingan Emas Putih, Emas Kuning Dan Rose Gold - Majalah Labur

 

Emas Putih

 

Emas putih ini, kandungan emasnya kurang. Ada yang kandungan emas 75% dan dikenali sebagai emas putih 750. Ada 37.5% emas dan dipanggil emas putih 375 atau nama lainnya suasa. Sebabnya, ada logam lain yang dicampurkan dengan emas ni, maka nilai emas pun turut susut. Peminat emas putih ramai di kalangan orang muda yang mungkin tidak gemar warna emas keemasan itu jika nak dipakai. Mungkin sebab itu mereka pilih emas putih walaupun mereka tahu almost tidak ada value di pasaran jika nak jual balik.

Tak banyak kedai yang mahu beli emas putih dan jika beli pun harganya jauh lebih murah. Sebab kandungan emas pun tak tinggi mana. Emas putih lebih kepada barang kemas yang ada sentimental value daripada simpanan pelaburan. Logam yang selalu dicampurkan dengan emas ini ialah nikel, perak atau paladium. Emas putih ni sering digunakan untuk meningkatkan aura berlian dan batu permata lain.

 

Emas Kuning

 

Emas kuning paling tinggi karatnya ialah emas 24K atau dipanggil emas 999 atau 99.9. Emas 999 biasanya dalam bentuk gold bar atau syiling. Emas 999 tak sesuai buat barang kemas sebab sifat emas yang sangat lembut. Emas jenis ini paling mahal dan kalau jual semula, nilai pun lebih tinggi daripada jenis emas lain. Sebab tu pelaburan emas 999 semakin mendapat tempat dalam pasaran. Lebih lebih lagi dah ada serendah 0.1g untuk seseorang memiliki emas. Orang kata affordable price untuk orang baru yang nak mula melabur.

Emas kuning perhiasan yang biasanya kita nampak kat kedai emas tu selalunya emas 916 yang dah dicampur dengan logam lain. Sebab apa dicampur? Supaya perhiasan tahan lama dan lasak. Sesetengah perempuan memang pakai barang kemas hari-hari. Memang tak tanggal rantai, cincin dan gelang tu. Walau dah pakai lasak sekalipun, nilai jual tetap tinggi berbanding emas putih dan rose gold. Yang penting, nilai kandungan emasnya masih 91.6%.

 

Rose Gold

 

Rose gold pula mendapat nama kerana warna kemerah-merahan pada barang kemas. Warna kemerahan tu datang daripada campuran emas dengan logam lain seperti tembaga dan perak. Peratusan emas dalam rose gold ialah 85.0% dan dikenali sebagai emas 850. Emas jenis ni popular di Kelantan. Warna kemerahan pada emas tu buat barang kemas lebih terang dan tak nampak pucat pada orang yang memakainya. Rose gold pun ada 835 dan 750. Warna kemerahan barang kemas tu terpulang pada peratusan logam tembaga. Tapi perlu ingat, lagi rendah kandungan emas, harga jual semula akan jauh lebih murah.

 

Kesimpulan

Kesimpulannya, anda kena tahu jenis-jenis emas. Lain emas, lain kualitinya, jadi pastinya harga pun berbeza-beza. Sekarang anda dah tahu logam apa yang dicampurkan dalam jenis-jenis emas ini. Anda dah tahu nilai jual juga bergantung pada peratusan kandungan emas dalam barang kemas. Boleh juga guna untuk waktu-waktu terdesak atau emergency. Walaupun anda bergaya dengan barang kemas, anda juga secara sedar atau tak, sedang buat pelaburan jangka panjang. Ada duit lebih? Mari beli emas!

Online
Hi! Boleh kami bantu?