Dapatkan update terkini & artikel eksklusif terus ke WhatsApp anda! Klik untuk follow kami di Whatsapp Channel sekarang!


Bayangkan… Anda bekerja keras sepanjang hidup, membina harta demi keselesaan keluarga tercinta. Tetapi, apa yang terjadi selepas anda tiada? Adakah harta itu akan diagihkan dengan adil, atau menjadi punca perbalahan yang meretakkan hubungan darah?

Ramai orang sangka menulis wasiat sudah cukup untuk melindungi waris — hakikatnya, ramai juga yang tersilap langkah dan akhirnya, waris terpinggir.

Apa Itu Wasiat Sebenarnya?

Wasiat adalah pengakuan seseorang semasa hayatnya berkenaan hartanya atau manfaat lain untuk tujuan kebajikan atau tujuan yang dibenarkan menurut Hukum Syarak selepas kematiannya. Ini termaktub dalam Seksyen 2 Enakmen Wasiat Orang Islam (Selangor) 1999. Namun, ramai yang keliru antara wasiat dan hibah.

  • Wasiat hanya berkuat kuasa selepas kematian.
  • Hibah pula berkuat kuasa semasa pemberi hibah masih hidup.

 

Wasiat & Faraid: Yang Mana Dahulu?

Ramai juga yang tak tahu, Al-Quran sendiri menyatakan pembahagian harta menurut faraid hanya berlaku selepas diselesaikan wasiat dan hutang si mati. Firman Allah dalam Surah An-Nisa, ayat 11:

“(Pembagian-pembagian tersebut di atas) sesudah dipenuhi wasiat yang ia buat atau (dan) sesudah dibayar hutangnya.”

Maksudnya, jika harta pusaka sudah diagihkan melalui wasiat dan tiada baki, maka waris tidak akan mendapat bahagian faraid mereka. Bayangkan bagaimana perasaan ahli keluarga yang mengharap — tetapi pulang dengan tangan kosong.

 

Pemberian Kepada Waris: Boleh atau Haram?

Mitos paling biasa — kononnya wasiat kepada waris adalah haram. Hakikatnya, Hukum Syarak membenarkan, dengan syarat semua waris faraid yang lain bersetuju selepas kematian pewasiat.

Sabda Rasulullah SAW:

“Tidak harus wasiat kepada waris kecuali diizinkan oleh waris yang lain.”
(Riwayat Daruqutni)

Maknanya, kalau satu waris tak setuju, wasiat itu batal. Masalah besar kan? Lagi-lagi kalau hubungan keluarga dah mula renggang.

 

Pemberian Kepada Bukan Waris: Siapa Lebih Utama?

Kalau nak beri harta pada anak angkat, saudara berlainan agama, atau sedekah, hukum membenarkan — tetapi terhad kepada 1/3 daripada keseluruhan harta. Lebih dari itu, waris wajib setuju.

Nabi SAW bersabda kepada sahabat, Saad Bin Abi Waqash:

“Sepertiga itu banyak. Sesungguhnya engkau tinggalkan ahli warismu dalam keadaan kaya lebih baik daripada engkau tinggalkan mereka dalam keadaan miskin dan meminta-minta kepada orang lain.”
(Riwayat Muslim)

Bayangkan anak angkat yang dibesarkan dengan penuh kasih sayang, akhirnya tidak mendapat apa-apa kerana tiada wasiat, atau wasiat melebihi 1/3 dan waris lain menolak. Berat kan?

 

Wasiat Batal, Bagaimana dengan Wakaf dan Sedekah?

Kalau wasiat dibatalkan, wakaf tetap perlu diteruskan dan dianggap sebagai hutang. Sedekah pula akan terbatal. Penting untuk pastikan wasiat ditulis dengan betul supaya hasrat amal jariah kita kekal hidup walaupun kita tiada.

 

Kesimpulan: Wasiat Itu Tanggungjawab, Bukan Pilihan

Nabi SAW bersabda:

“Bukanlah seorang muslim yang sebenar yang mempunyai harta untuk diwasiatkan, untuk tidur dua malam kecuali wasiatnya sudah tertulis dan disimpan di bawah kepalanya.”
(Sahih Al-Bukhori)

Jangan biarkan harta yang kita tinggalkan jadi punca perbalahan keluarga atau merugikan mereka yang kita sayang. Buat wasiat dengan bijak, rancanglah harta dengan tenang.


Untuk yang mahu memastikan harta diagihkan dengan adil, elakkan perebutan, dan pastikan setiap waris terjamin hak mereka, hubungi kami di Kaizer Management & Consultancy Sdn Bhd, merupakan perunding sah dari AWARIS mengurus Wasiat, Deklarasi Hibah, Perjanjian Aset Perolehan Bersama, Amanah Hayat serta Pentadbiran Harta Pusaka. Jangan biar harta jadi punca keluarga berpecah. Rancanglah dengan bijak — hari ini juga.

Online
Hi! Boleh kami bantu?