KUALA LUMPUR: Polis belum menerima aduan daripada mana-mana pihak berhubung kes transaksi pembayaran secara rawak melalui ‘direct debit’ ke atas pemilik akaun bank CIMB.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Zakaria Ahmad, berkata buat masa ini polis meminta pelanggan merujuk bank terlebih dahulu.
“Setakat ini tiada laporan polis diterima. Pelanggan boleh membuat aduan kepada pihak bank dan mendapatkan penjelasan,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Sejak semalam kecoh di media sosial mengenai caj secara rawak CIMB ke atas akaun pelanggannya.
Ada segelintir pengguna media sosial termasuk di Twitter turut memuat naik salinan rakam layar transaksi ‘direct debit’ dalam akaun bank masing-masing menunjukkan transaksi yang berlaku membabitkan nilai antara bawah RM10 hingga ribuan ringgit.
Kebanyakannya mendakwa tidak mengetahui untuk apa transaksi berkenaan dibuat sedangkan tidak pernah membuat sebarang bayaran atau aturan pembayaran secara automatik menggunakan akaun CIMB mereka.
Sementara itu, CIMB Bank Bhd (CIMB) dalam satu kenyataan hari ini menjelaskan transaksi ‘direct debit’ yang tular di media sosial adalah urus niaga kad debit yang sah yang dibuat pelanggan.
Bank itu menjelaskan insiden terpencil itu adalah disebabkan transaksi tidak lengkap yang dibuat oleh pelanggan dengan peniaga luar negara seperti langganan atau perkhidmatan penstriman dalam talian.
Bagaimanapun, katanya, transaksi berkenaan dilabel semula sebagai ‘direct debits’ menyebabkan kekeliruan kepada pelanggannya.
“Kami memohon maaf atas sebarang kekeliruan dan kami akan menghubungi pelanggan yang terbabit secara langsung,” katanya.
Sumber: Bharian.
Recent Comments