Situasi 1: Konflik Pewarisan Rumah Selepas Kematian
Encik Ahmad dan isterinya membeli sebuah rumah bersama, didaftarkan atas dua nama. Malangnya, Encik Ahmad terlibat dalam kemalangan dan meninggal dunia. Selepas pemergian beliau, keluarga Encik Ahmad menuntut bahagian rumah tersebut berdasarkan hukum faraid kerana pasangan ini tidak mempunyai anak lelaki. Namun, isteri Encik Ahmad pula menuntut bahagian suaminya sebagai harta sepencarian. Persoalannya: Adakah rumah atas dua nama dianggap harta sepencarian secara automatik?
Jawapannya adalah tidak. Harta yang didaftarkan atas dua nama hanya bermaksud setiap pemilik mempunyai 50% pemilikan, bukan secara automatik menjadi harta sepencarian. Harta sepencarian hanya boleh diisytiharkan semasa hayat melalui pengisytiharan rasmi atau melalui tuntutan di Mahkamah Syariah.
Masalah Biasa Yang Berlaku:
- Kehilangan Tempat Tinggal: Apabila salah seorang pasangan meninggal dunia, bahagian 50% si mati akan diagih mengikut faraid. Ini boleh menyebabkan pasangan yang hidup kehilangan tempat berlindung.
- Hutang yang Belum Selesai: Jika rumah masih dalam pinjaman, proses pindah milik sukar kerana takaful/insurans hanya melindungi bahagian si mati.
- Pinjaman Atas Satu Nama: Jika pinjaman dibuat oleh satu pihak sahaja, dan kematian berlaku ke atas pihak lain, takaful tidak melindungi bahagian tersebut. Ini boleh menghalang pindah milik sehingga hutang dilangsaikan.
Penyelesaian:
- Perjanjian Aset Perolehan Bersama (PAPB): Dokumen rasmi yang menetapkan bahawa aset tersebut adalah milik pasangan sepenuhnya jika berlaku kematian.
- Hibah: Pemilik aset boleh membuat hibah (hadiah) kepada pasangan, memastikan pasangan layak memiliki 100% aset tanpa campur tangan waris lain.
Situasi 2: Apabila Pasangan Meninggal Dunia dengan Pinjaman Bersama
Seorang suami bertanya, “Jika rumah dibeli atas dua nama (suami & isteri) dengan pinjaman bersama, tetapi takaful hanya melindungi bahagian suami, apa yang berlaku jika isteri meninggal dunia?”
Jawapannya, rumah tersebut hanya boleh dipindah milik selepas semua hutang dilangsaikan, termasuk bahagian arwah isteri.
Pilihan Penyelesaian:
- Bayar Penuh Baki Hutang: Suami boleh membayar bahagian hutangnya, manakala hutang arwah isteri boleh dijelaskan melalui pusaka beliau. Bahagian arwah isteri tetap diagih mengikut faraid.
- Berunding dengan Bank: Wasi atau pentadbir boleh meminta pandangan bank untuk penyelesaian pinjaman tanpa perlu melangsaikan hutang sepenuhnya.
- Jual Rumah: Dengan persetujuan suami (co-owner) dan semua waris faraid, rumah boleh dijual. Hasil jualan akan dibahagikan mengikut faraid.
- Beli Bahagian Arwah: Suami boleh membeli bahagian arwah isteri, menyelesaikan hutangnya, dan melakukan pindah milik.
Kesimpulan: Rancang Harta dengan Bijak
Pemilikan bersama tidak bermakna aset automatik menjadi milik pasangan. Perancangan harta seperti hibah dan PAPB adalah kunci memastikan pasangan dilindungi. Tugas wasi bukan sahaja menguruskan harta pusaka, tetapi juga mencari penyelesaian terbaik bagi menjaga hak semua waris. Jangan biarkan pasangan anda terdedah kepada risiko kehilangan harta atau tempat tinggal. Rancang sekarang, lindungi mereka yang anda sayangi.
Recent Comments