by Faiz Riziq | Jan 31, 2023 | Tips, Tinjauan & Statistik
Ketidaktentuan struktur ekonomi ketika ini, secara langsung telah menjejaskan aliran tunai masyarakat negara. Ini tidak terkecuali akan kumpulan belia, apabila didapati sekitar 73% daripada kini perlu berdepan bebanan hutang pinjaman.
Mengikut Pusat Penyelidikan UCSI berasaskan hasil tinjauannya bersama 1,077 responden belia negara, angka itu jelas disumbang oleh tuntutan pinjaman kenderaan dan pendidikan. Di mana didapati 30% pinjaman berkaitan kenderaan, pendidikan (28%) dan kediaman (16%).
Akan tetapi 42% memaklumkan tindakan belia mengambil pinjaman itu adalah untuk menampung isu kesempitan wang yang didepani mereka, diikuti 22% disebabkan tekanan inflasi. Ini bermakna, tindakan perolehan pinjaman tidak dilaksana sewenangnya oleh para belia negara.
Meskipun 83% daripada jumlah itu mampu melunaskan bayaran pinjaman pada tempoh yang ditetapkan, perlu diakui bebanan hutang yang melanda belia berpotensi membawa mereka kepada status bankrap sekiranya gagal mengekalkan konsisten pembayaran. Untuk makluman data 2018 sehingga Mei 2022 Jabatan Insolvensi Malaysia menunjukkan seramai 9,913 individu berusia 25 tahun hingga 34 tahun diisytiharkan bankrap disebabkan tekanan pinjaman.
Oleh itu, semua pihak perlu sedari apabila wujudnya kumpulan hutang, ini bermakna kuasa beli pengguna akan terjejas disebabkan aliran tunai mereka yang lebih kecil dan situasi itu secara langsung akan menjejaskan pertumbuhan negara secara perlahan. Maka penerapan literasi kewangan berganda perlu dilaksana negara – untuk memastikan kelompok berhutang semasa, tidak terkesan akan situasi yang sama.
by Faiz Riziq | Jan 31, 2023 | Tips, Tinjauan & Statistik
Sepanjang tahun 2022, ia memperlihatkan ketidak-tentuan nilai pasaran untuk kriptowang. Ini sekaligus memberikan impak terhadap nilai Bitcoin itu sendiri, yang jatuh sehingga RM70,000.

Kini, dengan permulaan tahun 2023, nilai Bitcoin serta pelbagai kriptowang lain dilihat mengukuh – termasuk meningkatkan kembali nilainya semula. Peningkatan ini juga dikatakan selari dengan peningkatan pelbagai harga saham syarikat teknologi pada bursa di Amerika Syarikat.
Mengikut kadar tukaran semasa, nilai Bitcoin didagangkan pada nilai melangkaui RM100,000. Ia masih menjadi tanda tanya lagi sama ada nilai berkenaan dapat bertahan untuk tempoh yang lama, atau akan kembali jatuh selepas beberapa minggu.
by Faiz Riziq | Jan 30, 2023 | Perbankan, Tips, Tinjauan & Statistik
Maybank dalam usaha meningkatkan keselamatan akaun pengguna dari diceroboh, kini telah mula memperkenalkan ciri Kill Switch, iaitu memudahkan pengguna membekukan akaun bank mereka secara terus pada aplikasi MAE.
Adanya ciri baharu itu, ia akan berperanan membantu para pengguna untuk menyah-aktifkan akaun perbankan mereka dan sebarang transaksi baharu tidak dapat dijalankan. Sekaligus membantu pengguna menafikan sebarang aktiviti transaksi yang mencurigakan dalam akaun mereka, sekiranya berlaku keciciran kad bank.
Untuk makluman, ciri tersebut kini telahpun dapat digunakan oleh semua pengguna dengan mengemaskini aplikasi MAE Maybank anda pada peranti pintar, dan pergi ke bahagian Maybank2u > seterusnya bahagian tetapan dan tekan pada butang Kill Switch untuk membekukan akaun bank anda.

by Faiz Riziq | Jan 27, 2023 | Tips, Tinjauan & Statistik
Dalam sehari, pengguna internet di Malaysia dalam kalangan usia 16 tahun hingga 64 tahun didapati menghabiskan masa mereka sekitar 2 jam 47 minit sehari pada penggunaan media sosial. Tempoh masa itu, ternyata lebih tinggi daripada purata peringkat global – di paras 2 jam 31 minit.
Tinjauan Meltwater, penyelidikan sosial dan media global ini melihat situasi ini tidak menghairankan apabila rata-rata pengguna Malaysia tidak sekadar menggunakan medium media sosial sebagai hiburan semata tetapi turut menggunakan ia sebagai medium sumber berita (42.6%), atas keperluan tugasan (41.1%), dan pencarian sesuatu jenama (51.3%).
Secara menyeluruhnya, antara 10 platform media sosial yang paling digemari pengguna dunia adalah Whatsapp (15.8%), Instagram (14.3%), Facebook (14.2%), Wechat (12.2%), TikTok (6.1%), Douyin (5.7%), Twitter (3.4%), Pemesejan FB (2.6%), Telegram (2.2%) dan Line (2.0%).


Selain media sosial, 87.4% pengguna internet negara turut menggunakan peranti pintar sebagai medium bermain permainan video. Peratusan ini jauh lebih tinggi berbanding paras global sekitar 81.9%. Sementara 94.7% pengguna internet negara mula menzahir minat mereka pada penggunaan khidmat penstriman seperti Netflix, Disney+, Amazon dan beberapa perkhidmatan lain. Manaka 40.9% pengguna internet pula gemar layari laman rasmi atau aplikasi perbankan, untuk penglibatan dalam pelaburan, dan insurans pada setiap bulan.
by Faiz Riziq | Jan 27, 2023 | Ekonomi, Perniagaan & Korporat, Kewangan, Keberhutangan & Pelaburan, Tips, Tinjauan & Statistik
Walaupun kadar inflasi utama Malaysia semakin mereda di paras 3.8%, namun situasi ini tidak dapat menafikan kegusaran rakyat negara akan ketidaktentuan ekonomi semasa. Khususnya melibatkan kemampuan ekonomi secara individu dan keluarga berlandaskan kelas pendapatan B40 dan M40. Susulan kerunsingan itu, didapati hanya 35% rakyat percaya bahawa ekonomi diri dan isi rumah mereka akan menjadi lebih baik dalam tempoh 5 tahun mendatang.
Tinjauan melalui Edelman Trust Barometer 2023 ini menjelaskan tahap kepercayaan itu didorong atas beberapa fakor – antaranya pengangguran (89%), inflasi (74%), perubahan iklim (76%), perang nuklear (72%), ketirisan sumber makanan (67%) dan kekangan sumber tenaga (66%).
Persekitaran ini secara langsung meningkatkan lagi risiko aliran tunai rakyat negara, untuk memastikan perbelanjaan harian dan kecemasan dapat dilaksanakan untuk berdepan krisis sedemikian dari semasa ke semasa.

Berdasarkan senarai 28 buah negara itu, Malaysia telah berada di kedudukan ke-13. Namun jumlah kemerosotan keyakinan tersebut memaparkan Malaysia sebagai negara kedua alami penurunan yang mendadak, dengan kehilangan 20 mata tahap keyakinan ekonomi.
Selain negara, Singapura pula mencatatkan paras keyakinan 36% terhadap ekonomi semasa. Ini berbeza dengan negara Asia lain seperti Indonesia 73% dan Thailand pula 58%. Melepasi paras keyakinan ekonomi global. Secara menyeluruh tinjauan mendapati Malaysia bersama 23 buah negara telah alami kemerosotan tahap keyakinan ekonomi untuk tahun 2023.

by Faiz Riziq | Jan 26, 2023 | Luar Negara, English & Other Country, Tips, Tinjauan & Statistik
Dalam usaha merancakkan ekonomi dan mengurangkan bebanan usahawan tempatan – Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) kini melancarkan Dana Pemfailan Harta Intelek 2.0 berjumlah RM2 juta, yang berupaya memanfaatkan sekitar 2,000 usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana negara.
Inisiatif akan memperlihatkan tampungan kos melibatkan kesemua pemfailan komponen harta intelek, termasuklah kos bagi khidmat profesional dan teknikal seperti pendrafan paten. Adanya dana ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menjelaskan ia turut akan membantu perniagaan negara membiayai kos pemfailan cap dagangan, hak cipta serta reka bentuk perindustrian. Usaha ini tidak sekadar meningkatkan penyertaan semua pihak dalam melindungi harta intelek industri. Tetapi turut membantu merangsang pertumbuhan ekonomi Malaysia.
Setakat tahun lalu, MyIPO telah menerima sebanyak 329,917 permoohonan harta intelek dan 128,822 daripada adalah permohonan bagi harta intelek tempatan. Maka sebarang maklumat lanjut, para PMKS boleh merujuk pada pautan Dana Pemfailan Harta Intelek 2.0 untuk tindakan seterusnya, untuk makluman permohonan dibuka sehingga 31 Oktober 2023 kelak.
Recent Comments