by Faiz Riziq | Apr 10, 2023 | Kewangan, Keberhutangan & Pelaburan, Luar Negara, English & Other Country, Tips, Tinjauan & Statistik
Sejajar dengan matlamat Belanjawan 2023, Akta Kredit Pengguna dijangka dapat dibentangkan di Parlimen pada suku keempat kelak untuk mengukuhkan perlindungan ke atas pengguna dan memenuhi keperluan perniagaan. Antara tumpuannya adalah mengawalselia penyedia kredit bukan bank yang tidak dibawah kementerian atau perbankan – iaitu pihak yang menjalankan khidmat Bayar Nanti Pakai Lekas (BNPL).
Setakat ini menurut Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna yang diketuai Kementerian Kewangan (MOF) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), pihaknya telah mengeluarkan Kertas Perundingan Kedua (CP2) berhubung semakan Akta Kredit Pengguna – yang telah merangkumkan pelbagai maklum-balas dari pelbagai pemain industri dan pihak berkepentingan. Sebelum ini kertas perundingan 1 telahpun dikeluarkan pada Ogos 2022.
Melalui semakan yang berterusan, sasaran negara untuk menggubal Akta Kredit Pengguna pada tahun ini dijangka dapat direalisasikan. Buat pengetahuan umum setelah Rang Undang-Undang Kredit Pengguna digubal kepada Akta Kredit Pengguna, Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna akan berubah menjadi sebuah badan berkanun.
Berikutan langkah itu, ia tidak sekadar tertumpu kepada pelindungan pengguna berteraskan khidmat BNPL sahaja, ia turut diperluas pada perkhidmatan kewangan pajakan dan pemfaktoran, agensi kutipan hutang, perkhidmatan kauseling serta pengurusan hutang.
by Faiz Riziq | Apr 10, 2023 | Luar Negara, English & Other Country, Perbankan, Tips, Tinjauan & Statistik
Dalam usaha menggantikan penggunaan SMS TAC kepada SecureTAC sepenuhnya menjelang pertengahan 2023 kelak, CIMB Bank bersama CIMB Islamic kini secara rasminya melaksanakan penggunaan SecureTAC kepada pengguna untuk kelulusan bagi transaksi RM100 dan ke atas di aplikasi CIMB Clicks.
Ini secara langsung merangkumi transaksi melibatkan aktiviti pemindahan dana, pembayaran bil serta tindakan tambah nilai prabayar. Maka melalui usaha itu, CIMB menyeru semua pengguna untuk memuat turun aplikasi CIMB Clicks dan mengaktifkan sistem notifikasi pada bahagian tetapan untuk membolehkan mereka menerima akses kelulusan transaksi melalui SecureTAC.
Secara mudahnya, pengguna pada aplikasi CIMB Clicks boleh mengetik pada ikon Menu > SecureTAC > dan boleh memilih sama ada meluluskan transaksi (Approve) atau menolak sebarang transaksi (Reject).
Langkah itu sekaligus selaras dengan hasrat Bank Negara Malaysia (BNM) untuk memastikan semua pengguna perbankan miliki manfaat kaedah keselamatan yang mampan ketika melaksanakan transaksi menerusi aplikasi. Sementara aplikasi CIMB OCTO pula turut dimaklumkan akan menerima akses yang sama dalam tempoh terdekat.
Untuk memahami lebih terperinci akan akses ini, para pengguna boleh layari laman CIMB Clicks atau memuat turunnya di Google Play Store, Apple Store dan perlua memastikan aplikasi tersebut sentiasa dikemaskini untuk perolehan pemberitahuan baharu akses CIMB Bank.
by Faiz Riziq | Apr 3, 2023 | Ekonomi, Perniagaan & Korporat, Luar Negara, English & Other Country, Perbankan, Tips, Tinjauan & Statistik
Buat lebih 4 juta pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang layak menggunakan sokongan Akaun 2 sebagai sandaran pinjaman kewangan bersama pihak perbankan – kini diumumkan Fasa 1 bagi tindakan itu akan bermula pada 7 April ini. Kumpulan usia yang dibenarkan pada permohonan ini hanyalah tertakluk kepada ahli KWSP yang beumur 40 tahun sehingga 54 tahun sahaja. Permohonan ini dimaklumkan hanya dibenarkan sekali sahaja dan pencarum perlu miliki simpanan Akaun 2 minimum sekurangnya RM3,000.
Sementara syarat pengeluaran maksimum pula adalah di paras RM50,000. Bagi Fasa 1, dimaklumkan institusi perbankan yang terlibat untuk tindakan pinjaman kewangan tersebut adalah Bank Simpanan Nasional (BSN) dan MBSB Bank. Bagaiamanpun sebarang kelulusan masih tertakluk berlandaskan kriteria yang ditetapkan pihak perbankan. Sementara Fasa 2 melibatkan pencarum di bawah usia 40 tahun pula akan dimaklumkan kelak.
Berdasarkan pencerahan Menteri Kewangan merangkap Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum ini, pinjaman kewangan tersebut akan dikenakan kadar keuntungan antara 4% sehingga 5% setahun. Ini bermakna lebih rendah berbanding kadar pembiayaan peribadi pasaran semasa iaitu antara 8% sehingga 15%. Maka untuk perincian lanjut, semua pihak boleh merujuk pautan KWSP-Fasiliti Sokongan Akaun 2 dan memahami pengiraan amaun kelayakan awal bersandarkan simpanan Akaun 2 pencarum melalui jadual di bawah;


by Faiz Riziq | Apr 3, 2023 | Ekonomi, Perniagaan & Korporat, Kewangan, Keberhutangan & Pelaburan, Luar Negara, English & Other Country, Perbankan, Tips, Tinjauan & Statistik
Ramai pihak yang alpa akan kesan disebalik melaksanakan pengeluaran simpanan wang persaraan mereka secara berterusan. Antara impak yang dapat kita lihat adalah sejumlah RM145 bilion telah dikeluarkan rakyat Malaysia di bawah 4 program pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) iaitu i-Lestari, i-Sinar, i-Citra serta Pengeluaran Khas.
Ekoran tindakan itu, ini telah menjejaskan jumlah wang persaraan yang wajar dimiliki rakyat Malaysia untuk beberapa tahun mendatang. Terbaharu, mengikut dapatan Bank Negara Malaysia (BNM) pada Tinjauan Ekonomi, Monetari 2022 – rakyat Malaysia didapati berisiko kehabisan simpanan wang saraan mereka, 19 tahun sebelum mereka meninggal dunia.
Keadaan ini berlaku berikutan langkah pengeluaran khas yang dilaksanakan, telah mengakibatkan pengurangan sasaran tempoh simpanan wang bersara itu bertahan kepada 3 tahun sahaja sekiranya rakyat mulai bersara – berbanding sebelum pandemik COVID-19 dijangka tempoh penengah simpanan wang sara mampu bertahan sekitar 5 tahun.
Kesan ini menurut BNM turut diselarikan dengan dapatan PBB 2022 – bahawa purata jangka hayat global disasar meningkat lebihi 77 tahun menjelang 2050. Maka hasil peningkatan jangka hayat itu, untuk rakyat Malaysia dianggarkan kehabisan simpanan wang sara, 19 tahun sebelum meninggal dunia.
Namun langkah itu boleh diimbangi dengan cadangan BNM, sekiranya para pencarum sebagai contoh kumpulan B40, diusia 50 hingga 54 tahun menangguhkan pengeluaran simpanan mereka sehingga 5 tahun iaitu kepada usia 60 tahun. Ini kerana dengan paras pendapatan B40, mereka berupaya meraih sehingga RM36,800 simpanan tambahan untuk hari tua. Tindakan itu bersamaan dengan 16% daripada Simpanan Asas KWSP. Usaha sedemikian secara langsung berupaya meningkatkan lagi kekuatan simpanan wang sara pencarum dan menjadikan mereka lebih bersedia lalui hari tua kelak.

by Faiz Riziq | Mar 24, 2023 | Ekonomi, Perniagaan & Korporat, Luar Negara, English & Other Country, Tips, Tinjauan & Statistik
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini memaparkan Indeks Harga Pengguna (IHP) kekal di paras 3.7% bagi tinjauan Februari 2023. Buat pengetahuan umum IHP bertindak menjadi pengukur kepada paras inflasi utama Malaysia.
Kadar ini bagaimanapun kekal memperlihatkan kenaikan secara perlahan sekitar 0.2% dan ia didorong oleh paras inflasi kumpulan seperti Restoran dan Hotel (7.4%), Makanan dan Minuman Bukan Alkohol (7.0%) dan Pengangkutan (3.7%). Paras tersebut juga turut dicetuskan oleh kumpulan Hiasan, Perkakasan dan Penyelenggaraan Isi Rumah (3.4%), Pelbagai Barang dan Perkhidmat (2.5%) dan Kesihatan (1.8%).
Sementara itu, paras inflasi melibatkan subkumpulan Makanan dan Minuman Bukan Alkohol telah naik antara 0.6% hingga 9.0%. Ini merangkumi inflasi Makanan di Rumah (5.8%), Daging (9.0%), Beras, Roti dan Bijirin (6.7%), Ikan dan Makanan Laut (3.2%), Susu, Keju dan Telur (6.6%), Buah-Buahan (4.7%), Satur-Sayuran (5.8%), Gula, Jem, Madu, Coklat dan Manisan (3.6%) serta Makanan di Luar Rumah (8.9%).
Berdasarkan paras inflasi mengikut negeri pula, didapati 6 negeri telah mencatatkan kadar inflasi lebihi paras nasional 3.7%, di mana;
- Wilayah Persekutuan Putrajaya (4.7%)
- Selangor (4.3%)
- Johor (4.1%)
- Sarawak (4.0%)
- Pahang (4.0%)
- Perak (3.8%)
- Manakala Kedah dan Wilayah Persekutuan Labuan pula kekal mencatatkan paras inflasi serendah 2.3%.
Secara menyeluruh, mengikut data Asia – Malaysia masih memiliki paras inflasi yang lebih rendah berbanding Indonesia (5.5%), Vietnam (4.3%), Thailand (3.8%). Namun kenaikan inflasi Malaysia secara perlahan ini wajar diberi perhatian semua pihak untuk memastikan aliran tunai rakyat Malaysia terus terpelihara dan berwaspada akan sebarang kemungkinan risiko ekonomi masa hadapan.

by Faiz Riziq | Mar 24, 2023 | Kewangan, Keberhutangan & Pelaburan, Tips, Tinjauan & Statistik
Pernahkah anda berdepan situasi gaji masuk hujung bulan, kemudian miskin balik setelah bayar semua komitmen bulanan seperti sewa rumah, bil air, hutang pinjaman pendidikan PTPTN, bayaran balik kad kredit, hutang loan kereta dan sebagainya. Secara asasnya, komitmen bulanan yang tinggi dan tidak dikawal boleh menjadi beban kewangan kepada anda jika tidak dirancang dengan baik.
Komitmen Hutang Melebihi Pendapatan Bulanan, Cara Berkesan Minimumkan Komitmen Bulanan
Pinjaman peribadi dan hutang kad kredit merupakan antara hutang jahat yang perlu dielakkan. Kedua-dua kategori hutang ini tertakluk pada kadar faedah yang tinggi. Jika tidak dikawal, komitmen ini boleh menyebabkan anda terbeban dengan bayaran ansuran bulanan yang tinggi untuk tempoh yang lama.
Ramai golongan muda khususnya memilih untuk membuat pinjaman peribadi atau menggunakan kad kredit tanpa disiplin yang ketat. Ada yang gunakannya sebagai jalan mudah untuk berbelanja semasa melancong ke luar negara, renovate rumah atau beli-belah barangan mewah untuk kepuasan sendiri.
Akibatnya, mereka berbelanja melebihi kemampuan untuk bayar balik pinjaman, mencapai tahap maksimum hutang dan akhirnya terbeban dengan bayaran ansuran bulanan yang tinggi. Bagi anda yang sudah terjebak dengan hutang jahat, berikut tujuh cara yang boleh anda lakukan untuk kurangkan komitmen bulanan anda:
1. Lakukan Penilaian Situasi Kewangan
Nilai situasi kewangan semasa anda – penilaian ini secara tidak langsung memberi gambaran sebenar situasi kewangan anda. Senaraikan semua perbelanjaan atau komitmen bulanan anda termasuk hutang pinjaman pendidikan, kos sara hidup, sewa dan utiliti dan sebagainya.
Daripada situ, anda boleh asingkan wang perbelanjaan untuk komitmen anda, dan sebarang lebihan wang yang ada boleh digunakan untuk membuat bayaran komitmen bulanan anda.
Dengan cara ini, anda dapat ketahui jumlah komitmen bulanan, jenis pinjaman dan jadual pembayaran balik pinjaman sedia ada dengan lebih baik. Maklumat-maklumat ini penting dalam membantu anda memikirkan alternatif terbaik untuk kurangkan komitmen bulanan.
2. Sediakan Pelan Kewangan, Kurangkan Komitmen Bulanan
Bagi mengurangkan komitmen bulanan, anda perlu asingkan pendapatan bulanan. Beri fokus pada mana-mana pinjaman kewangan yang memberi impak yang lebih besar. Dalam erti kata lain, beri tumpuan kepada pinjaman dengan kadar faedah dan tunggakan yang lebih tinggi. Selain itu, kurangkan penggunaan kad kredit untuk mengelakkan anda terjebak atau menambah hutang baharu. Perbelanjaan yang tidak dikawal boleh meningkatkan risiko bankrap atau muflis.
Sebagai contoh, jika anda guna kad kredit tanpa kawalan dan anda hanya bayar amaun minimum kad kredit setiap bulan – ia akan menjadi beban kewangan yang berat. Baki hutang atau komitmen bulanan anda akan bertambah disebabkan kadar faedah kad kredit yang dikenakan ke atas baki hutang biasanya lebih tinggi.
3. Berbincang dengan Pemberi Pinjaman
Anda juga boleh berbincang dengan pemberi pinjaman atau pihak bank untuk mencari penyelesaian terbaik dalam mengurangkan komitmen bulanan anda. Anda boleh mempertimbangkan penyatuan hutang atau menyusun semula jadual pembayaran bulanan (refinance pinjaman).
Jika perlu, anda boleh mendapatkan pinjaman peribadi daripada bank atau koperasi yang menawarkan kadar faedah yang lebih rendah berbanding pinjaman sedia ada anda. Cara ini dapat membantu menyelesaikan baki pinjaman kewangan kerana semua baki pinjaman akan disatukan ke dalam satu akaun dan komitmen bulanan anda akan dapat dikurangkan. Teknik ini yang juga dikenali sebagai overlap pinjaman peribadi membolehkan peminjam berunding dengan pemberi pinjaman untuk kurangkan beban kewangan setiap bulan.
4. Tentukan Keperluan dan Kehendak
Kenal pasti komitmen bulanan anda – tentukan yang mana satu keperluan atau kehendak. Secara asasnya, cara paling efisien untuk kurangkan komitmen bulanan adalah dengan meminimumkan perbelanjaan keperluan dan mengurangkan perbelanjaan kehendak.
Langganan rancangan television berbayar atau sarapan di kedai kopi mahal mungkin perlu dikurangkan bagi mengukuhkan lagi situasi kewangan anda. Sebagai contoh, jika anda peruntukkan sebahagian besar belanja anda untuk kopi setiap pagi, cuba kurangkan kepada sekurang-kurangnya empat kali sebulan. Selebihnya, buat sendiri kopi di rumah atau pejabat untuk lebih penjimatan.
5. Rendahkan Standard Gaya Hidup
Setiap sen yang anda belanjakan boleh beri kesan tidak langsung kepada keadaan kewangan anda. Lakukan langkah penjimatan dan kurangkan perbelanjaan-perbelanjaan tidak penting. Dengan cara ini, anda mungkin menyedari bahawa selama ini anda banyak berbelanja untuk perkara-perkara yang tidak penting.
Jika perbelanjaan tidak dikawal dengan baik, ia boleh menyebabkan anda terbeban dengan komitmen bulanan yang tinggi setiap bulan. Lebihan wang yang ada boleh disimpan ke dalam Tabung Haji, pelaburan risiko rendah atau deposit tetap. Apabila anda merendahkan standard gaya hidup anda dan mengamalkan cara hidup yang lebih berjimat cermat, ia secara tidak langsung membantu menambah baik aliran keluar masuk wang anda.
6. Sediakan Simpanan Kecemasan
Secara asasnya, anda perlu sediakan simpanan kecemasan yang secukupnya. Pakar kewangan berpendapat anda perlu sediakan dana untuk simpanan kecemasan sekurang-kurangnya untuk tempoh tiga hingga enam bulan gaji. Namun begitu, ia bergantung sepenuhnya pada kemampuan dan komitmen anda.
Sebagai contoh, jika komitmen bulanan anda adalah sebanyak RM5,000 sebulan, anda perlu miliki simpanan kecemasan sekurang-kurangnya RM15,000 hingga RM30,000. Selain itu, tetapkan bajet dan pastikan anda berdisiplin dengan bajet yang ditetapkan. Ambil kira setiap perbelanjaan dan kenal pasti mana-mana perkara yang perlu dijimatkan. Anda boleh menggunakan formula simpan duit gaji untuk membantu anda merancang kewangan dan komitmen bulanan dengan lebih baik.
7. Cari Sumber Pendapatan Lain
Selain itu, anda juga boleh mempertimbangkan kerja-kerja sambilan sebagai sumber pendapatan tambahan bagi menampung komitmen bulanan anda. Dalam era teknologi yang semakin berkembang pesat, banyak aplikasi dan medium yang boleh dimanfaatkan bagi membantu anda buat duit secara online.
- Menjadi Pekerja Bebas (Freelance)
Anda boleh menawarkan kemahiran dan perkhidmatan secara online. Antara pekerjaan freelance yang biasa dilakukan seperti penulisan artikel, perkhidmatan terjemahan dan sebagainya.
- Pemandu atau Penghantar Makanan e-Hailing
Aplikasi popular seperti Grab atau FoodPanda membolehkan anda menggunakan kereta atau motor anda. Anda boleh menjadi pemandu sambilan atau penghantar makanan sambilan.
- ICK: Jana Pendapatan dari Rumah
Anda juga boleh jana pendapatan tambahan dari rumah dengan menyertai Independent Consultant KMC. Anda hanya perlu iklan servis & closing sales, dan pendapatan anda cecah 4 angka. Untuk keterangan lanjut hubungi kami.
Secara asasnya, kejayaan pelan pengurangan komitmen bulanan terletak sepenuhnya di tangan anda. Pelan tindakan yang dilakukan dengan berdisiplin semestinya akan membuahkan hasil dan secara tidak langsung membantu mengurangkan beban komitmen bulanan anda.
Recent Comments