by Faiz Riziq | Oct 23, 2024 | Ekonomi, Perniagaan & Korporat, Kewangan, Keberhutangan & Pelaburan
Malaysia terus menunjukkan sikap terbuka dan menyambut baik syarikat-syarikat dari China yang berminat untuk disenaraikan di Bursa Malaysia, sama ada sebagai penyenaraian pertama atau kedua. Pendekatan ini seiring dengan matlamat bersama kedua-dua negara untuk memupuk inovasi dan memperkukuh produk serta perkhidmatan bernilai tinggi.
Menurut Datuk Zain Azhari Mazlan, Pengarah Eksekutif Kewangan dan Pelaburan Korporat Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), penyenaraian syarikat China di Bursa Malaysia akan memperkayakan pilihan pelaburan yang ada untuk pelabur tempatan dan antarabangsa. Ia juga akan melengkapkan Bursa Malaysia dengan pelbagai kategori saham.
Beliau menjelaskan, antara tahun 2009 hingga 2013, terdapat peningkatan syarikat beribu pejabat di China yang melancarkan tawaran awam permulaan (IPO) di Bursa Malaysia. Namun, sebahagian daripada syarikat ini kemudian dinyah senarai atau diambil alih, terutamanya disebabkan isu tadbir urus korporat, prestasi kewangan yang kurang memuaskan, serta kegagalan mematuhi keperluan audit dan penyenaraian.
“Pengalaman ini memberi pengajaran penting kepada pasaran dan pengawal selia. Oleh itu, usaha memperkukuh keperluan penyenaraian serta perlindungan pelabur sentiasa dipertingkatkan,” tambahnya.
Zain turut menyatakan bahawa landskap penyenaraian kini beralih ke arah sektor ekonomi baharu seperti transformasi digital dan inovasi. Ini memberi peluang kepada syarikat China yang terlibat dalam sektor teknologi dan pengkomputeran awan untuk membawa manfaat besar kepada pasaran Malaysia. Antaranya, peluang pelaburan yang menarik, pemindahan teknologi, dan peningkatan pengetahuan, di samping merangsang inovasi yang mampu mempercepatkan pertumbuhan ekonomi negara.
Selain itu, beliau menyatakan beberapa syarikat China dalam sektor teknologi dan ekonomi baharu telah mula menunjukkan minat untuk disenaraikan di Bursa Malaysia. Syarikat-syarikat ini berpotensi untuk meningkatkan daya saing negara, menyediakan peluang pekerjaan, dan menyumbang kepada kemajuan ekonomi serantau.
Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong, turut menggesa syarikat China untuk melihat Malaysia sebagai destinasi strategik bagi menubuhkan ibu pejabat serantau mereka. Beliau menyatakan Malaysia menawarkan kelebihan seperti tenaga kerja yang mahir dan berpendidikan, rangka kerja undang-undang yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, serta logistik yang baik dan stabil.
Ucapan Liew tersebut disampaikan semasa Forum Pelaburan Dua Hala CGS Asia Tenggara (SEA) yang diadakan pada 16-17 Oktober 2024. Forum ini menghimpunkan lebih 300 pembuat dasar, pakar industri, dan pemimpin perniagaan terkemuka untuk membincangkan trend makroekonomi dan peluang pelaburan dua hala antara China dan Asia Tenggara.
Forum tersebut turut memberi tumpuan kepada sektor-sektor berpotensi tinggi seperti semikonduktor, tenaga baharu, penjagaan kesihatan, ekonomi digital, serta ekuiti persendirian dan hospitaliti. Melalui perbincangan antara pakar China dan Asia Tenggara, kerjasama antara kedua-dua rantau ini diharapkan dapat terus diperkukuh, sekaligus memacu inovasi dan pembangunan yang lebih mampan.
by Faiz Riziq | Oct 21, 2024 | Kewangan, Keberhutangan & Pelaburan
Seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2025, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kini sedang menilai semula skim persaraan mereka untuk membolehkan pencarum berkongsi sebahagian simpanan dengan ahli keluarga.
Inisiatif ini seiring dengan persiapan Malaysia menuju status negara menua, di mana perkongsian dana persaraan tersebut dijangka dapat meningkatkan kuasa tunai ahli keluarga pencarum dalam jangka masa tertentu. Selain itu, langkah ini juga memberi lebih fleksibiliti kepada pencarum dalam merancang persaraan dan memastikan kesejahteraan kewangan bersama keluarga mereka.
by Faiz Riziq | Oct 18, 2024 | Fakta & Informasi, Kewangan, Keberhutangan & Pelaburan
Hutang kerajaan Persekutuan menunjukkan peningkatan kecil apabila mencecah RM1,227.5 bilion setakat akhir Jun lalu, sedikit lebih tinggi berbanding RM1.22 trilion yang direkodkan pada April 2024. Menurut Kementerian Kewangan (MOF), bagi tempoh Januari hingga Jun 2024, kerajaan Persekutuan membuat pinjaman kasar sebanyak RM112.5 bilion, lebih rendah berbanding RM128 bilion dalam tempoh yang sama pada tahun 2023.
Kadar pertumbuhan hutang kerajaan juga mencatatkan penurunan secara tahunan, iaitu pada 8.6% (2023), 10.2% (2022), dan 11.4% (2021). Bagi tahun 2024, kadar pertumbuhan hutang dijangka terus menurun kepada sekitar 7.5%, selari dengan sasaran negara untuk mengekalkan nisbah hutang kepada KDNK di bawah 60%.
MOF turut menjelaskan bahawa setiap tahun, kerajaan perlu membuat pinjaman untuk menampung defisit fiskal dan membayar balik hutang matang, memandangkan kedudukan kewangan masih dalam keadaan defisit. Pinjaman tersebut digunakan bagi tujuan ini, mengikut peruntukan undang-undang berkaitan pengurusan hutang kerajaan Persekutuan.
Secara keseluruhan, kadar defisit fiskal negara kini semakin berkurang, mencatatkan 5% daripada KDNK bagi tahun 2023, dan dijangka turun kepada 4.3% pada tahun ini.
Defisit merujuk kepada keadaan di mana pendapatan yang diperoleh tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan yang diperlukan.
Defisit fiskal pula merujuk kepada situasi di mana perbelanjaan kerajaan melebihi kutipan hasil negara dalam suatu tempoh tertentu.
by Faiz Riziq | Oct 16, 2024 | Ekonomi, Perniagaan & Korporat, Kewangan, Keberhutangan & Pelaburan
Peningkatan kos semasa ketika ini tidak sekadar memberi tekanan kepada individu bahkan turut memberi kesan ke atas keperluan kebajikan buat haiwan peliharaan – yang memerlukan suatu perbelanjaan konsisten pada setiap bulan. Menerusi kesan tersebut, kini terdapat cadangan pelepasan cukai wajar disediakan ke atas pemilik haiwan peliharaan bagi meringankan kos tanggungan mereka.
Jelas laporan bersama Persatuan Haiwan Malaysia ini, pengecualian seperti cukai pendapatan dan penawaran subsidi bagi pemotongan harga barangan haiwan peliharaan adalah suatu tindakan wajar yang boleh dilaksanakan.
Usaha ini sekaligus turut akan memberi nilai-tambah kepada perbelanjaan barangan dan perkhidmatan berkaitan haiwan di pasaran negara.
Susulan setakat 2021 sahaja, menurut data Rakuten didapati lebih 50% penduduk Malaysia miliki haiwan peliharaan dan hanya 41% sahaya tidak memiliki tanggunjawab tersebut. Melihat pada peratusan itu, cadangan ini secara langsung akan meningkatkan tahap kesejahteraan haiwan peliharaan di negara.
by Faiz Riziq | Oct 14, 2024 | Fakta & Informasi, Kewangan, Keberhutangan & Pelaburan, Perbankan
Bersempena bulan literasi kewangan tahun ini, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) kini tampil dengan siri pendidikan ekonomi bagi menambah-baik pengetahuan urusan kewangan kalangan rakyat Malaysia. Siri GROW ini dimaklumkan menampilkan 4 terbitan sumber rujukan.
Ianya meliputi pendedahan pengetahuan, kenalpasti potensi, mengoptimumkan sumber dan pengaturan kekayaan di hari tua.
Menerusi siri tersebut, AKPK ingin memperkasakan masyarakat dengan pengetahuan tentang simpanan, belanjawan, nilai bersih dan skor kredit yang sihat. Diikuti membimbing pekerja muda berkenaan mengurus pinjaman dan kad kredit, membina dana kecemasan dan mempelajari asas pelaburan. Seterusnya membimbing keluarga untuk memaksimumkan sumber kewangan mereka demi masa depan yang terjamin dan mampan melalui instrumen perlindungan dan pelaburan yang betul, manakala yang keempat memberikan panduan kepada bakal pesara tentang cara merancang persaraan, mengurus harta pusaka dan mengoptimumkan simpanan KWSP.
Seperti yang umum sedia maklum, masih terdapat lebih daripada separuh penduduk dewasa yang bekerja berdepan dengan kekangan simpanan susulan tekanan komitmen yang perlu dipenuhi. Lebih membimbangkan terdapat tinjauan menyimpulkan hanya 33% rakyat negara menyimpan lebih RM500 setiap sebulan sementara 53% pula bergantung sepenuhnya pada pendapatan mereka untuk komitmen bulanan.
Ini bermakna kapasiti menyimpan kalangan penduduk negara kekal terhad dan menunjukkan literasi kewangan masih lagi di paras yang rendah untuk membina status kewangan yang lebih baik pada pasaran semasa.
by Faiz Riziq | Oct 9, 2024 | Ekonomi, Perniagaan & Korporat, Kewangan, Keberhutangan & Pelaburan, Luar Negara, English & Other Country
Biarpun kadar inflasi negara kembali melandai ke paras 1.9%, perlu diakui masih terdapat bahagian dalam pasaran memperlihatkan berlakunya tekanan kos dan situasi ini memberi kesan ke atas penduduk negara. Rentetan isu ini, keperluan pelaksanaan elaun kos sara hidup (COLA) kini antara tumpuan, yang wajar digarapkan pada sidang bajet 2025 kelak.
Cadangan di bawah Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) ini mengambilkira pelbagai aspek khususnya kalangan pekerja swasta yang berada di kawasan bandar.
Di mana penguatkuasaan elaun COLA perlu dilaksana secara menyeluruh meliputi perlindungan kebajikan kepada pekerja antara sektor awam dan swasta. Usaha itu dilihat berupaya memberi manfaat produktiviti ke atas pekerja dan membantu kesihatan mental semasa pekerja secara berkala.
Buat pengetahuan umum, berdasarkan data semasa paras inflasi yang dilalui kumpulan pendapatan bawah RM3,000 di Malaysia ketika ini adalah 1.7%. Data itu memperincikan kumpulan ini berdepan tekanan kos dalam segmen perkhidmatan meliputi Restoran dan Perkhidmatan Penginapan (4.3%), disusuli Penjagaan Diri, Perlindungan Sosial dan Pelbagai Barangan dan Perkhidmatan (3.1%). Sementara segmen Perumahan, Air, Elektrik, Gas dan Bahan Api Lain pula 2.9%.
Melihat pada kesan itu, kumpulan pekerja ini antara yang seharusnya diberi tumpuan oleh kerajaan akan perluasan insentif COLA tersebut menjelang Belanjawan 2025 kelak. Adanya perluasan akses tunai ia sekaligus merancakan lagi aliran perbelanjaan negara secara berturutan.
Recent Comments