Hutang kerajaan Persekutuan menunjukkan peningkatan kecil apabila mencecah RM1,227.5 bilion setakat akhir Jun lalu, sedikit lebih tinggi berbanding RM1.22 trilion yang direkodkan pada April 2024. Menurut Kementerian Kewangan (MOF), bagi tempoh Januari hingga Jun 2024, kerajaan Persekutuan membuat pinjaman kasar sebanyak RM112.5 bilion, lebih rendah berbanding RM128 bilion dalam tempoh yang sama pada tahun 2023.

Kadar pertumbuhan hutang kerajaan juga mencatatkan penurunan secara tahunan, iaitu pada 8.6% (2023), 10.2% (2022), dan 11.4% (2021). Bagi tahun 2024, kadar pertumbuhan hutang dijangka terus menurun kepada sekitar 7.5%, selari dengan sasaran negara untuk mengekalkan nisbah hutang kepada KDNK di bawah 60%.

MOF turut menjelaskan bahawa setiap tahun, kerajaan perlu membuat pinjaman untuk menampung defisit fiskal dan membayar balik hutang matang, memandangkan kedudukan kewangan masih dalam keadaan defisit. Pinjaman tersebut digunakan bagi tujuan ini, mengikut peruntukan undang-undang berkaitan pengurusan hutang kerajaan Persekutuan.

Secara keseluruhan, kadar defisit fiskal negara kini semakin berkurang, mencatatkan 5% daripada KDNK bagi tahun 2023, dan dijangka turun kepada 4.3% pada tahun ini.

 

Defisit merujuk kepada keadaan di mana pendapatan yang diperoleh tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan yang diperlukan.

Defisit fiskal pula merujuk kepada situasi di mana perbelanjaan kerajaan melebihi kutipan hasil negara dalam suatu tempoh tertentu.

Online
Hi! Boleh kami bantu?