Pekerja Sekarang Sebanyak 1.5Billion Miliki Gaji Tidak Setara Dengan Tekanan Inflasi

Pekerja Sekarang Sebanyak 1.5Billion Miliki Gaji Tidak Setara Dengan Tekanan Inflasi

Tatkala nilai kekayaan kumpulan teratas secara puratanya meningkat sekitar $2.7 bilion sehari, didapati sekitar 1.7 bilion pekerja di seluruh dunia pula terpaksa berdepan tekanan inflasi lebihi paras gaji mereka. Menurut tinjauan Oxfam, badan amal antarabangsa pada pembentangan di World Economic Forum (WEF) minggu ini memperincikan angka pekerja yang terkesan dek lonjakan inflasi ini lebih tinggi daripada populasi India, iaitu lebih 1.4 bilion penduduk.

Melihat pada situasi ini, pemerhati ekonomi dunia mengusulkan bahawa tekanan cukai wajar dilaksanakan buat kumpulan orang kaya di dunia. Ketika ini didapati hanya 4 sen dalam setiap dolar hasil cukai yang dikenakan adalah daripada cukai kekayaan.

Oleh itu gagasan mengenakan cukai 5% bagi setiap jutawan dan bilionwan di dunia – dilihat dapat membantu dunia mengumpul $1.7 trilion setahun. Angka ini dilihat cukup untuk membebaskan seramai 2 bilion individu daripada kemiskinan, dan menyediakan kemudahan kesihatan yang lebih baik buat mereka.

Perolehan itu sekaligus dapat membantu lebih 820 juta individu yang didapati tergolong dalam kumpulan krisis kebuluran. Untuk makluman, usul ini secara berterusan disuarakan pada sidang WEF. Ia bertujuan menjaga kesejahteraan masyarakat dunia selepas pandemik COVID-19 dan memelihara status ekonomi semasa.

Pengurusan Apple Memotong Lebih 40% Pendapatan Tim Cook

Pengurusan Apple Memotong Lebih 40% Pendapatan Tim Cook

Kritikan pemegang saham Apple yang menginginkan insentif pampasan Tim Cook lebih sejajar dengan pertumbuhan semasa, kini Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Apple itu bersetuju melaraskan potongan pendapatannya lebih 40% sepanjang tahun ini. Ia bermakna pelarasan ini akan mengurangkan pampasan Tim Cook kepada $49 juta bagi 2023 daripada $84 juta untuk tahun sebelumnya.

Maka sebagai sebahagian daripada perubahan menurut CNBC, peratusan unit saham yang diberikan kepada Tim Cook bersama perolehannya berasaskan prestasi Apple – akan meningkat kepada 75% pada 2023 daripada 50%.

Setakat tahun lalu, Tim Cook telahpun menerima jumlah pampasan sebanyak $99.42 juta, termasuk gaji pokok, geran saham dan insentif, berbanding $98.73 juta yang diterimanya pada 2021, dan $14.77 juta pula adalah perolehan pada 2020. Perolehan tersebut untuk makluman merangkumi $3 juta sebagai gaji pokok, $82.99 juta adalah pengumpulan saham, dan pampasan pelan insentif bukan ekuiti pula sebanyak $12 juta.

Subsidi Petrol Mungkin Dilaksana Separuh Kedua 2023

Subsidi Petrol Mungkin Dilaksana Separuh Kedua 2023

Berikutan ekonomi Malaysia pada tahun ini lebih perlahan, dengan sasaran pertumbuhan 4% – langkah kerajaan untuk melaksanakan pelan subsidi petrol bersasar berpotensi berlaku hanya pada separuh kedua 2023. Mengikut pemerhatian Standard Chartered Research ini – selain aliran ekonomi dunia lebih lembap, faktor tekanan inflasi utama Malaysia juga dilihat akan berlegar sekitar 3.1% pada tahun ini.

Pihaknya menjangkakan sekiranya harga minyak mentah Brent sekitar $100 setong dan hanya 20% daripada pengguna RON95 disasarkan, maka Indeks Harga Pengguna (IHP) utama berpotensi meningkat kepada 0.9% daripada jumlah harga baharu yang akan dikenakan pada separuh kedua. Susulan itu tindakan pelarasan subsidi bahan api ini berkemungkinan berlaku pada separuh kedua kelak.

Selain usaha melaksanakan subsidi petrol bersasar ini, SC turut melihat peningkatan Kadar Dasar Semalaman (OPR) boleh melonjak ke 3.25% pada tahun ini bersama peningkatan gaji dalam beberapa sektor ekonomi negara.

Krisis Kos Sara Hidup Dijangka Berlanjutan Sehingga 2025

Krisis Kos Sara Hidup Dijangka Berlanjutan Sehingga 2025

Seperti yang umum sedari, tekanan kos sara hidup telahpun menguasai faktor krisis ekonomi dunia sejak tahun lalu dan dijangka krisis ini akan terus berlarutan dalam tempoh dua tahun mendatang.Tinjauan World Economic Forum (WEF) pada jangkaan masa pendek dan masa panjang ini memperlihatkan banyak aspek yang mendorong lanjutan krisis tersebut – antaranya seperti konflik perdagangan dunia telah mengakibatkan ketirisan bekalan mentah. Situasi itu sekaligus memberi kesan kepada permintaan dan pembekalan. Maka berlakunya kejutan harga terhadap keperluan asas seperti makanan dan komitmen pinjaman.

Lebih menyukarkan situasi rakyat – ketidaktentuan rantaian ini telah meningkatkan tekanan inflasi, yang turut memberi impak kepada kos operasi pembangunan sesebuah negara.

Selain itu, semua pihak perlu fahami tindakan negara ekonomi besar melonggarkan aturan krisis kesihatan seperti COVID-19 turut akan membawa kesan kepada kejutan kos tenaga dan komoditi di pasaran. Antara yang berlaku kini tindakan China melaksanakan langkah sedemikian. Bagi 2023, dianggarkan harga tenaga kekal 46% lebih tinggi berbanding purata pada tempoh Januari 2022.

Melihat pada aspek itu, WEF akui akan terdapat pelbagai usaha menyeimbangkan tekanan kos akan dilakukan setiap negara melalui pengembangan dasar fiskal dengan sokongan subsidi serta pembiayaan ekonomi. Namun langkah tersebut akan membawa kepada risiko ketidaktentuan politik bersama pemain ekonomi.

Seterusnya segala tekanan kos ini tidak sekadar meningkatkan aliran hutang kerajaan negara, tetapi turut melonjakan aliran hutang isi rumah penduduk dunia. Selain risiko kos sara hidup yang akan berlarutan, ini 9 lagi risiko lain yang turut akan berlarutan dalam tempoh 2 tahun mendatang mengikut perhatian WEF.

 

Hutang Malaysia Meningkat 61.8% Tahun Ini

Hutang Malaysia Meningkat 61.8% Tahun Ini

Bagi memastikan ekonomi negara terus kukuh, pentadbiran Malaysia disasar akan melanjutkan langkah subsidi serta penyambungan semula projek pembangunan. Aturan itu sekaligus menuntut keperluan pengembangan perbelanjaan negara pada pembentangan belanjawan tidak lama lagi. Ekoran itu, terdapat jangkaan bahawa paras hutang kerajaan bakal meningkat mencapai 61.8% pada tahun ini.

Walaupun had statutori hutang negara disasar kekal di bawah 65%, menurut Kenanga Investment Bank langkah peningkatan hutang ini kemungkinan berlaku dengan aturan terbitan bon kasar kerajaan yang lebih tinggi sekitar RM178 bilion pada 2023.

 

Bon kerajaan akan menjadi instrumen membantu negara menampung perbelanjaan dan pembayaran hutang. Secara amnya ia berfungsi selaku pinjaman daripada para pelabur.

 

Pada makluman nota penyelidikan itu juga turut menyasarkan defisit fiskal negara akan mengecil sekitar 5.0% kepada RM97 bilion berbanding tahun lalu dan kerajaan akan memiliki ruang pinjaman fiskal sebanyak RM135.3 bilion sebelum melepasi had statutori hutang semasa.

Graduan Baru Perlu Bekerja Di Sektor Sokongan Untuk Elak Menganggur

Graduan Baru Perlu Bekerja Di Sektor Sokongan Untuk Elak Menganggur

Meskipun kadar pengangguran Malaysia semakin menurun kepada paras sebelum pandemik COVID-19, perlu diakui masih terdapat kelompongan pada pasaran negara dalam menawarkan peluang pekerjaan berpaksikan tahap pendidikan mereka.

Dapatan Khazanah Research pada minggu ini berhubung ketidakseimbangan perolehan gaji permulaan dalam kalangan graduan – memperincikan didapati 70% graduan negara kini perlu bekerja dalam skop sokongan, jawatan seperti pengkeranian dan bahagian perkhidmatan untuk mengelakkan dari menganggur.

Situasi ini berlaku susulan ketidaksepadanan peluang pekerjaan negara meningkat kepada 37.5% berbanding 34.4% pada 2019. Perihal ini tersebut ekoran tekanan ekonomi ketika pandemik telah mengurangkan keperluan tenaga kerja negara secara fizikal.

Data ini turut mendapat sokongan Kajian Pengesanan Graduan yang mengukur status pekerjaan graduan selepas menamatkan pengajian mereka – didapati 40% daripada graduan akui perolehan pekerjaan mereka ketika ini tidak memerlukan sebarang kelayakan pendidikan tinggi. Maka tidak hairanlah mengapa penyertaan graduan dalam skop tidak mahir terus meningkat kerana ketiadaan peluang yang saksama pada pasaran negara.

Untuk makluman setiap tahun, dianggarkan negara menghasilkan sekitar 250,000 graduan merentasi pelbagai bidang penggajian di seluruh institusi pendidikan negara dan setakat Julai 2022 didapati lebih 1.6 juta pekerja pendidikan tinggi tidak miliki kerjaya setara dengan kemahiran mereka.

Online
Hi! Boleh kami bantu?