Syarikat Qoo10 Ambil Alih Wish, Syarikat E-Dagang Dari Singapura

Syarikat Qoo10 Ambil Alih Wish, Syarikat E-Dagang Dari Singapura

Wish.com, salah satu laman edagang terkemuka di Amerika Syarikat, kini diumumkan akan dijual kepada syarikat Qoo10 yang berpusat di Singapura. Qoo10 akan mengambil-alih Wish pada harga $173 juta. Wish sebelum ini telah diasaskan pada 2010, dan menawarkan sejumlah barangan pada harga diskaun. Kebanyakkan barang yang dijual adalah daripada pengeluar China, membolehkan Wish menjualnya pada harga sangat murah, dan ia turut diminati ramai pengguna di Amerika.

Ketika ia disenaraikan pada bursa pada 2020, Wish dinilaikan mencapai $14 bilion. Namun, kini dengan pelbagai persaingan, Wish dilihat kehilangan nilai secara drastik, dan dijual kepada Qoo10 pada harga $173 juta. Dengan persaingan sengit oleh syarikat China sendiri, seperti Shein, Temu, dan juga TikTok Shop, ia mungkin sukar untuk Wish terus bersaing – sekaligus memilih untuk menjual perniagaan mereka kepada Qoo10. Buat masa ini, ia tidak diketahui lagi apakah perancangan pihak Qoo10 dengan Wish.

Hujung Tahun Lepas 2023, Ali Baba Mengurangkan 20,000 Pekerja

Hujung Tahun Lepas 2023, Ali Baba Mengurangkan 20,000 Pekerja

Alibaba merupakan salah satu syarikat gergasi internet di China, yang turut mempunyai pegangan pada Lazada. Dengan saiznya yang besar, ia turut tidak terkecuali, dan telah melakukan pembuangan sejumlah besar pekerja pada tahun 2023 yang lepas. Mengikut angka dikongsikan, sepanjang 2023, Alibaba telah membuang sekitar 20,000 orang pekerja. Pada penghujung 2023, Alibaba mempunyai seramai 219,260 pekerja, berbanding hampir 240,000 pada permulaan tahun berkenaan.

Selain pengurangan pekerja, Alibaba juga telah melakukan penstrukturan, dan untuk tahun 2024 ini, ia dilihat langkah penstrukturan yang lebih menyeluruh akan dilakukan dan mungkin memberi kesan kepada pengurangan aset dan juga pekerja. Disamping Alibaba, sejumlah syarikat teknologi turut telah melakukan penstrukturan dengan mengurangkan tenaga kerja mereka sejak Januari 2024 ini.

Antara 10 Saham Patuh Syariah Paling Untung 2024

Antara 10 Saham Patuh Syariah Paling Untung 2024

Tahun yang baru dan sudah tentu setiap pelabur juga mempunyai azam yang baru. Adakah mendapat keuntungan yang konsisten di pasaran saham merupakan salah satu azam baru anda? Sekiranya benar, kami juga berharap anda akan berjaya mencapai azam baru anda pada tahun ini.

Meskipun bulan Januari 2024 agak menggegarkan pasaran saham dengan kejatuhan saham-saham berwajaran kecil sehingga menimbulkan panik dalam kalangan para pelabur, namun ia tidaklah bermakna tiada langsung saham yang mencatatkan kenaikan pada bulan lepas.

Sebelum itu, mari kita lihat prestasi indeks FBM KLCI yang menghimpun 30 saham terbesar di Bursa Malaysia.

FBM KLCI

Indeks KLCI telah berjaya melepasi paras 1,500 mata di penghujung bulan Januari 2024. Saham-saham yang membentuk indeks FBM KLCI nampaknya semakin mengukuh dan semakin menarik minat pelabur tempatan dan asing.

 

1. Uzma Berhad

Uzma Berhad merupakan saham yang paling untung bagi bulan Januari 2024. Harga saham ini pada 2 Januari 2024 hanya RM0.750 seunit, pada 31 Januari 2024, harga saham ini naik sehingga RM1.18 seunit. Dalam tempoh sebulan, saham ini telah membuat kenaikan sebanyak RM0.430 atau sebanyak 57.33%.

 

2. Eastern & Oriental Berhad

Saham kedua yang membuat kenaikan tertinggi bagi bulan Januari 2024 adalah Eastern & Oriental Berhad yang membuat kenaikan sebanyak 55.65%. Dalam tempoh sebulan saham ini telah naik sebanyak RM0.320.

 

3. Malaysian Resources Corporation Berhad

Saham Malaysian Resources Corporation Berhad berjaya membuat kenaikan sebanyak RM0.205 atau 46.07% pada bulan Januari 2024 lalu menempatkannya antara saham paling untung bagi bulan tersebut.

 

4. Eng Kah Corporation Berhad

Di tempat keempat pula adalah Eng Kah Corporation Berhad. Walaupun saham ini mungkin tidaklah dikenali ramai namun saham ini masih mampu membuat kenaikan sebanyak RM0.175 atau 46.05%.

 

5. Industronics Berhad

Saham seterusnya yang berjaya berada di tempat kelima adalah Industronics Berhad yang membuat kenaikan sebanyak RM0.015 atau 33.33%. Saham ini merupakan saham penny dan harga sahamnya yang sangat murah membolehkan saham ini meningkat dengan banyak bagi perubahan setiap sen.

 

6. Perdana Petroleum Berhad

Perdana Petroleum juga antara saham sektor minyak dan gas yang berjaya membuat kenaikan yang agak baik pada bulan Januari 2024. Saham ini naik sebanyak RM0.065 atau 32.50%.

 

7. Sunway Berhad

Harga saham Sunway Berhad pada awal Januari 2024 ialah RM2.06 seunit dan mengakhiri bulan Januari 2024 pada harga RM2.68 seunit. Untuk Januari 2024, saham ini telah membuat kenaikan harga sebanyak RM0.620 atau 30.10%.

 

8. Dayang Enterprise Holdings Berhad

Dayang Enterprise Holdings Berhad tidak kurang hebatnya kerana berjaya membuat kenaikan sebanyak RM0.440 atau 27.33% dalam tempoh sebulan.

 

9. Wasco Berhad

Wasco Berhad berada di tempat kesembilan. Ia bermula dengan RM1.00 pada 2 Januari 2024 dan ditutup pada RM1.25 pada 31 Januari 2024. Kenaikan sebanyak RM0.25 menjadikan Wasco naik sebanyak 25%.

 

10. Sime Darby Property Berhad

Sime Darby property Berhad membuat kenaikan sebanyak RM0.150 atau 24.19% sepanjang bulan Januari 2024.

150 Pekerja Dibuang Oleh Zoom Untuk Permulaan 2024

150 Pekerja Dibuang Oleh Zoom Untuk Permulaan 2024

Zoom yang terkenal dengan penawaran perkhidmatan panggilan video, kini memaklumkan yang mana akan mengurangkan tenaga kerja mereka sebanyak 2%. Ini sekaligus akan memberikan impak terhadap 150 pekerja. Walaupun begitu, Zoom turut menyatakan mereka akan kekal menambah pekerja pada beberapa bahagian, termasuk kecerdasan buatan, jualan, produk, dan sebagainya.

Permulaan tahun 2024 ini, menyaksikan ratusan syarikat teknologi membuang pekerja dalam usaha mengurangkan kos operasi. Terdapat juga beberapa syarikat mengurangkan pekerja dan menggantikan beberapa tugasan menggunakan kecerdasan buatan.

Sumbangan Tunai Rahmah Fasa 1 Bermula Semalam

Sumbangan Tunai Rahmah Fasa 1 Bermula Semalam

Bermula semalam, 29 Januari 2024, pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah Fasa 1 telah pun mula dikreditkan secara berperingkat kepada mereka yang berkelayakan. Melalui STR Fasa 1, kerajaan telah menaikkan bayaran sehingga RM500 kepada isi rumah, berbanding RM300 pada tahun lepas. Ini juga secara tidak langsung meningkatkan peruntukkan bagi Fasa 1 ini mencapai RM2.1 bilion.

Menurut kerajaan, seramai 8.2 juta individu yang layak telah berdaftar untuk STR 2024. Dengan bantuan sumbangan ini, ia dijangka akan mengurangkan beban kos sara hidup yang kian meningkat akhir-akhir ini. Bagi orang ramai, anda boleh menyemak status kelayakan STR melalui laman rasmi di Bantuan Tunai hari ini. Anda turut dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan tidak klik pada pautan yang tidak sahih oleh pihak tidak bertanggungjawab.

OPR Kekal Pada Paras 3.0%

OPR Kekal Pada Paras 3.0%

Bank Negara Malaysia kini mengumumkan yang mana kadar OPR akan dikekalkan pada paras 3.0% tanpa sebarang kenaikkan atau penurunan. Menurut BNM, anggaran awal KDNK bagi suku keempat mengesahkan pertumbuhan keseluruhan pada tahun 2023 berkembang mengikut jangkaan. Untuk tahun 2024 juga, pertumbuhan dijangka akan terus meningkat, selari dengan pemulihan eksport dan perbelanjaan dalam negeri yang berdaya tahan.

BNM turut menyatakan inflasi keseluruhan dan inflasi teras terus menurun pada suku ke-4 2023. Untuk tahun 2024, inflasi dijangka akan kekal sederhana. BNM menekankan yang mana pada tahap OPR semasa, dasar monetari terus menyokong ekonomi, serta konsisten dengan penilaian semasa berhubung prospek pertumbuhan dan inflasi

 

.

Online
Hi! Boleh kami bantu?