by Faiz Riziq | May 25, 2018 | Perbankan

Jika kita tidak merancang, maka kita merancang untuk gagal. Anda harus tahu betapa pentingnya pengurusan kewangan peribadi sekiranya ada kecemasan berlaku, kita boleh menggunakan wang tersebut. Wang ini memang tidak akan pernah cukup jika kita tidak pandai menguruskannya dengan bijak. Oleh itu, di bawah ini merupakan tip-tip yang boleh anda ikuti.
Matlamat pengurusan kewangan peribadi:
(A) Persaraan
Ada simpanan atau pelan kewangan untuk bersara. Bergantung kepada keperluan masing-masing, tidak ada satu formula yang tepat mengenai berapa banyak wang yang diperlukan untuk persaraan. Secara mudah, jika kita ingin kekalkan gaya hidup semasa, kita perlukan 60% pendapatan sekarang untuk sekurang-kurangnya 20 tahun. Kalau kita rendahkan gaya hidup, maka jumlah yang kita perlukan pun berkurangan.
Walaupun kita tidak berbelanja sebanyak kita bekerja, namun kos tambahan sewaktu bersara ialah perubatan. Selain KWSP, apakah lagi pelan kewangan kita?
(B) Hutang
Secara ideal, usah berhutang. Namun kita juga faham ia agak sukar dilakukan. Maka, elok hadkan bayaran balik hutang kepada tidak lebih 36% pendapatan bulanan. Kalau lagi rendah, lagi bagus. Sekiranya pendapatan bersih isi rumah kita RM10K sebulan, bayaran balik kesemua hutang sebulan usah lebih RM3,600. Formula ini akan membolehkan kita mempunyai tunai untuk perbelanjaan lain. Ramai orang menjalani kehidupan yang tertekan disebabkan terpaksa membayar hutang yang banyak setiap bulan.
(C) Simpanan
Ada simpanan kecemasan sebanyak sekurang-kurangnya enam (6) bulan gaji. Kalau ada lebih banyak, lagi bagus. Sekiranya pendapatan bulanan isi rumah kita RM10K, maka kita patut ada simpanan kecemasan sekurang-kurangnya RM60K. Simpanan ini digunakan apabila berhenti kerja, mengalami masalah kesihatan dan lain-lain.
Di sini saya berikan 10 tip praktikal bagaimana nak capai matlamat di atas:
#1 – Mengikat Perut
Ikat perut, usah berhutang terutama perkara yang tidak perlu. Elakkan berhutang untuk beli smartphonedan perabot. Apabila kita berhutang barangan sebegini, besar kemungkinan kita habiskan 45% bayaran balik untuk bayar faedah. Buat apa bekerja bagai nak mati untuk bayar faedah?.
#2 – Elakkan Pinjaman Peribadi
Usah buat pinjaman peribadi untuk kenduri kahwin. Apabila pinjam RM50K untuk kenduri kahwin, pasangan berkenaan melangkah ke alam rumahtangga dengan hutang. Apa guna jadi Raja Sehari kalau selepas itu kita jadi Hamba Hutang bertahun-tahun?
#3 – Elakkan Kad Kredit
Gunakan kad debit, elakkan kad kredit. Ia sama seperti bayar tunai, tak berhutang. Ada duit beli, tak ada duit tak perlu beli.
#4 – Bayar Semula Setiap Bulan
Kalau nak gunakan kad kredit, pastikan bayar balik penuh setiap bulan. Usah berhutang. Gunakan credit limit yang rendah, bergantung kepada keperluan dan kemampuan bayar. Ramai orang muflis kerana kad kredit. Kalau kita tak mampu bayar balik kesemua baki kad kredit setiap bulan, itu petanda kita sudah berbelanja di luar kemampuan.
#5 – Menyimpan
Usah naik taraf gaya hidup apabila ada pendapatan tambahan. Maksudnya usah tukar kereta baru apabila naik gaji atau dapat bonus. Gaji naik RM200, bayaran kereta baru pun tambah RM200. Usah buat begitu, gunakan lebihan pendapatan untuk simpanan.
#6 – Sumber Pendapatan Kedua
Selain pendapatan utama, elok ada sumber kedua pendapatan. Ada orang bekerja tetap tetapi membuat bisnes online, latihan, menulis buku atau menyediakan khidmat perundingan. Selain membantu aliran tunai, pekerjaan tambahan ini juga memberikan kita escape plan sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini kepada pekerjaan utama.
#7 – Elakkan Skim Cepat Kaya
Berhati-hati dengan skim cepat kaya. Usah percaya kalau ada orang janjikan pulangan tetap yang besar dengan pelaburan yang kecil. Kalau mereka ada formula hebat untuk pelaburan, mereka tak cari pelabur individu yang tak banyak duit seperti kita. Ramai yang kayap dengan skim cepat kaya. Kalau ada duit lebih dan nak labur jangka panjang, manfaatkan skim saham amanah (unit trust).
#8 – Elakkan Buat Bisnes Bermusim
Usah habiskan duit untuk buat bisnes bermusim. Orang buat bisnes ikan keli dalam kanvas, kita pun nak buat bisnes ikan keli dalam kanvas. Orang tanam serai wangi, kita pun nak tanam serai wangi. Ramai yang habis wang tabungan (dan rugi) kerana buat bisnes bermusim.
#9 – Jangan Jadi Penjamin
Elakkan menjadi penjamin pinjaman walaupun kepada adik-beradik dan kawan-kawan terdekat sekiranya mereka tidak mampu. Buat penilaian, sekiranya anda percaya mereka tidak ada kemampuan bayar balik atau tidak ada disiplin kewangan, usah jadi penjamin. Ramai hadapi masalah kewangan kerana jadi penjamin kepada orang lain. Hidup jadi kacau-bilau kerana jadi penjamin orang lain.
#10 – Dapatkan Nasihat
Walau berapa pun gaji kita, pastikan ada simpanan. Mulakan dengan menyimpan 10% gaji bulanan dan tingkatkan jumlah tersebut dari semasa ke semasa. Ada banyak instrumen simpanan dan pelaburan yang ada. Dapatkan nasihat mereka yang ada ilmu dalam soal pengurusan kewangan peribadi.
Credit: Tuan Norizan Bin Sharif
by Faiz Riziq | Feb 25, 2018 | Perbankan
Apa kaitan CCRIS dan CTOS dengan anda?
Setiap individu di Malaysia mempunyai profile kewangan mereka yang direkodkan oleh institusi kewangan (pihak bank) samada pinjaman, pembiayaan dan perkara-perkara lain berkenaan transaksi kewangan peribadi anda. Maklumat inilah yang terkandung di dalam dua jenis sistem iaitu CCRIS dan CTOS. Walaubagaimanapun, terdapat perbezaan di antara CCRIS dan CTOS.
Apa itu CCRIS?
CCRIS (Central Credit Reference Information System) adalah merupakan laporan kredit yang menunjukkan maklumat kewangan individu yang membuat pinjaman dari institusi kewangan seperti bank atau ASB. Ia adalah di bawah seliaan Biro Kredit Bank Negara Malaysia (BNM) dan memaparkan laporan seperti tunggakan pinjaman, saman atau status individu samada bankrupt dan sistem ini menjadi rujukan oleh pihak bank bagi profile kewangan kita. Data di dalam CCRIS dipecahkan kepada maklumat bagi tempoh masa 12 bulan yang terkini. Antara maklumat yang terkandung di dalam data tersebut ialah seperti:
- Pinjaman Perumahan
- Pinjaman Kereta
- Pinjaman Peribadi
- Maklumat Kad Kredit
- Pembiayaan ASB
- Maklumat permohonan pinjaman dari institusi kewangan dalam tempoh 12 bulan (lulus atau masih dalam proses).
Maklumat yang terkandung ini bukan hanya mencatatkan aliran negatif anda, tetapi juga aliran positif seperti kelulusan kredit atau rekod pembayaran balik pinjaman anda. Sering kali masyarakat salah anggap bahawa CCRIS akan menyenarai hitamkan individu jika mempunyai corak atau rekod pembayaran semula yang teruk. Namun pihak CCRIS sama sekali tidak menyediakan pendapat atau mempunyai kuasa untuk menyenarai hitamkan anda. Ia merupakan sistem yang merekodkan maklumat sebenar kewangan semasa anda yang menjadi rujukan oleh pihak institusi kewangan.
Ini bermaksud jika anda mula melakukan pembayaran kepada institusi kewangan, maka data CCRIS anda akan menunjukkan aliran positif dan seterusnya ini akan meningkat skor atau rating kredit dalam profile kewangan anda.
Anda boleh mendapatkan laporan CCRIS anda dari pihak Bank Negara Malaysia (BNM) dengan menggunakan kad pengenalan beserta dokumen sokongan untuk tujuan verifikasi diri anda. Laporan CCRIS hanya boleh dikeluarkan kepada individu yang memohon sahaja dan bukan melalui sebarang wakil.
Apa itu CTOS?
CTOS (Credit Tip Off Service) merupakan sebuah syarikat persendirian yang menyediakan laporan kredit setiap individu berdasarkan maklumat awam dari pelbagai sumber selain daripada institusi kewangan. Antara sumber selain institusi kewangan yang digunakan oleh pihak CTOS sebagai sumber maklumat adalah:
- Jabatan Pendaftaran Negara
- Jabatan Insolvensi Negara
- Suruhanjaya Syarikat Malaysia
- Penerbitan notis di surat khabar, dokumen prosiding undang-undang dan gazet kerajaan.
Maklumat yang terkandung di dalam CTOS juga berbeza dari maklumat yang terdapat di dalam CCRIS. Antara maklumat terkandung di dalam CTOS selain daripada kredit kewangan individu ialah seperti notis mahkamah, status bankrap dan juga maklumat perniagaan individu seperti status pemilikan syarikat.
Namun, sama seperti CCRIS, CTOS tidak menyediakan nasihat atau pendapat dan juga tidak menyenarai hitamkan individu. Anda boleh memperolehi maklumat CTOS anda dengan membuat pendaftaran di MyCTOS, dan selepas itu dapatkan CTOS ID dan aktifkan ID tersebut bagi mengakses maklumat CTOS anda bila bila masa melalui internet atau aplikasi CTOS.
Perbezaan CCRIS dan CTOS?
Perbezaan pertama antara CCRIS dan CTOS ialah, CCRIS dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan CTOS dikendalikan oleh syarikat persendirian. Kedua, cara maklumat dikumpul bagi CCRIS adalah dari institusi kewangan manakala bagi CTOS ialah dari pelbagai sumber awam.
Walaubagaimanapun, kedua-dua sistem pada dasarnya memberikan laporan dan maklumat kredit anda.
Kenapa CCRIS dan CTOS penting?!
- Rujukan Pihak Bank : CCRIS dan CTOS penting kerana apabila anda membuat permohonan kepada pihak bank sebagai contoh, untuk permohonan kad kredit atau pinjaman perumahan, maklumat yang terkandung di dalam CCRIS dan CTOS akan menjadi rujukan oleh pihak Bank. Sejarah kredit anda akan terpapar di dalam laporan tersebut dan sebarang bayaran yang lewat akan di ambil kira oleh bank dalam membuat keputusan. Bank juga akan mengira Debt Service Ratio (DSR) atau Nisbah Hutang atau Komitmen Kewangan ke atas Pendapatan anda melalui laporan ini.
- Sejarah Corak Kredit : Sebarang pembayaran atau tunggakan yang terpapar di dalam laporan CCRIS atau CTOS menunjukkan disiplin individu dalam perancangan kewangan mereka. Walaupun tidak menjadi faktor utama, tetapi setiap corak kredit ini samada positif atau negatif, akan tetap menjadi perhatian pihak bank.
by Faiz Riziq | Nov 27, 2017 | Luar Negara, English & Other Country
Anda melayari laman web ini, atau anda membaca artikel ini kerana anda berminat nak tahu tentang pinjaman peribadi. Mungkin anda nak pinjam wang, atau anda sekadar nak tambah ilmu tentang pinjaman.
Sebenarnya, masih ramai yang tak tahu selok-belok tentang pinjaman peribadi. Nak tanya kat bank nanti takut termakan promosi bank pula.
Kalau anda nak tahu, boleh dikatakan semua Bank akan cuba menggoda anda untuk memohon pinjaman jika anda bertanya tentang pinjaman peribadi, atau personal loan.
Jadi sebelum anda memohon pinjaman peribadi dengan bank, apa kata anda baca dahulu panduan yang kami sediakan ni untuk memudahkan anda memahami apa itu pinjaman peribadi dan bagaimana untuk memohon supaya permohonan pinjaman anda mudah diluluskan bank.
Apa Itu Pinjaman Peribadi?
Secara ringkas, pinjaman peribadi adalah wang yang anda ‘pinjam’ dari institusi kewangan dengan kadar faedah dipersetujui yang anda bayar dalam tempoh tertentu.
Mereka yang memohon pinjaman peribadi menggunakan wang pinjaman untuk banyak perkara; modal kahwin, beli kereta, bayar hutang Ptptn, melancong, dan sebagainya.
Pendek kata pinjaman peribadi sesuai digunakan untuk semua perkara, kecuali memulakan perniagaan.
Jenis Pinjaman Peribadi
Terdapat dua jenis pinjaman peribadi, iaitu “secured personal loans” dan “unsecured personal loans”. Apa yang membezakan kedua-dua jenis “personal loan” ini?
Secured Personal Loans
Ini adalah jenis pinjaman peribadi yang memerlukan penjamin atau cagaran. Cagaran yang dimaksudkan adalah bentuk hartanah.
Ini bermaksud sekiranya peminjam gagal menjelaskan bayaran loan, bank boleh merampas cagaran atau memindahkan tanggungjawab kepada penjamin.
Pinjaman jenis “secured personal loans” selalunya digunakan oleh individu yang mempunyai rekod kredit yang lemah. Walau bagaimanapun pinjaman peribadi jenis ini juga diminati kerana kadar faedah yang lebih rendah berbanding pinjaman lain.
Unsecured Personal Loans
Ini adalah pinjaman peribadi yang popular pada masa sekarang. Pinjaman ini juga adalah pinjaman peribadi bank yang pihak kami uruskan.
Jenis pinjaman ini tidak memerlukan penjamin atau sebarang cagaran. Pinjaman peribadi jenis ini juga lebih pantas dan lebih mudah diluluskan oleh pihak bank jika pemohon menepati syarat-syarat minima yang ditetapkan.
Tetapi jenis pinjaman ini mempunyai kadar faedah yang lebih tinggi berbanding pinjaman-pinjaman bank yang lain.
Tempoh Bayaran Semula Pinjaman Peribadi
Tempoh pembayaran adalah bergantung kepada jenis pinjaman peribadi yang diluluskan, dan peminjam boleh memilih tempoh bayaran semula yang sesuai dengan situasi kewangan mereka.
Boleh dikatakan semua bank yang menawarkan pinjaman peribadi mempunyai tempoh bayaran semula yang fleksibel – sesingkat 1 tahun sehingga mencapai 7 tahun.
Sebagai contoh, pihak AEON Credit menawarkan tempoh pembiayaan dari 1 tahun hingga 7 tahun untuk pinjaman peribadi AEON iCash. Manakala CIMB pula menawarkan tempoh bayaran dari 1 tahun sehingga 5 tahun untuk CIMB Cash Plus & CIMB Xpress Cash.
Nilai bayaran semula ini pula bergantung kepada kadar faedah yang dikenakan untuk pelan pinjaman peribadi tersebut.
Kadar Faedah Pinjaman Peribadi
Seperti tempoh bayaran, kadar faedah pembiayaan peribadi juga adalah bergantung kepada jenis pinjaman peribadi yang dipohon.
Setiap bank mengenakan kadar faedah yang berbeza untuk pelan pinjaman peribadi mereka.
Pada masa sekarang, kebanyakan bank di Malaysia menawarkan dua jenis pelan pinjaman peribadi. Jenis pelan pinjaman peribadi yang saya maksudkan di sini bukanlah “unsecured personal loan” dan “secured personal loan”, tetapi pinjaman peribadi yang patuh syariah dan pinjaman peribadi biasa.
Oleh kerana agama rasmi Malaysia ialah Agama Islam, kebanyakan bank mula menawarkan pinjaman peribadi patuh Syariah yang menggunakan konsep Bai Al-Inah.
Secara ringkas, pelan pembiayaan peribadi bank yang berkonsepkan Bai Al-Inah mempunyai kadar faedah tetap berbanding pelan pembiayaan peribadi yang biasa.
Pelan pinjaman peribadi yang tidak menggunakan konsep Bai Al-Inah pula menawarkan kadar faedah yang berubah. Selalunya kadar faedah ini bergantung kepada nilai pinjaman yang diluluskan.
Untuk memudahkan anda, kami telah menyediakan jadual pembayaran semula pinjaman peribadi untuk pelan pinjaman peribadi bank di Malaysia.
Anda boleh layari laman pinjaman peribadi bank untuk melihat jadual pembayaran semula setiap bank yang menawarkan pelan pembiayaan peribadi – KLIK DI SINI
Bagaimana Memilih Pelan Pinjaman Peribadi Yang Sesuai?
Malangnya tidak ada jawapan yang tepat bagaimana untuk soalan tersebut. Pemilihan pelan pinjaman peribadi yang sesuai bergantung kepada beberapa faktor yang perlu anda pertimbangkan.
Faktor seperti status kewangan anda sangat mempengaruhi pelan pembiayaan peribadi yang perlu anda pilih.
Anda juga perlu tahu tujuan anda ingin mendapatkan pembiayaan peribadi dari bank. Adakah anda terdesak dan inginkan pinjaman segera tanpa penjamin atau cagaran.
Dan adakah anda pasti anda akan dapat membayar kembali pinjaman tersebut mengikut kadar faedah yang ditetapkan oleh bank?
Itu adalah antara faktor-faktor yang mempengaruhi keputusan anda untuk mendapatkan pinjaman peribadi.
Menggunakan Pembiayaan Peribadi Dengan Bijak
Sesetengah individu yang pandai mengurus kewangan mereka akan memilih untuk mendapatkan pembiayaan peribadi untuk membeli barang – walaupun mereka mampu untuk mendapatkan barangan tersebut secara tunai.
Contohnya dari menggunakan simpanan untuk motor, anda boleh dapatkan pembiayaan peribadi untuk tujuan tersebut – dan gunakan simpanan anda untuk pelaburan yang lebih menguntungkan.
Perkara Lain Yang Perlu Diberi Perhatian Sebelum Memohon
Selain tempoh bayaran semula dan kadar faedah yang dikenakan, terdapat beberapa perkara lain yang perlu anda beri perhatian sebelum memohon pinjaman.
Antara perkara dan istilah yang anda perlu ambil tahu:
- Syarat & Terma pinjaman – siapa yang nak baca syarat & terma kan? Sudahlah panjang, mengelirukan pula tu. Cara paling mudah untuk mendapat penjelasan tentang syarat & terma pinjaman adalah dengan berhubung terus dengan pegawai bank. Mereka boleh terangkan syarat & terma pinjaman. Atau jika anda menggunakan perkhidmatan kami, anda boleh tanya apa sahaja berkaitan pinjaman kepada kami, kami akan bantu anda.
- Penalti – Semua bank mengenakan penalti atau denda lewat bayar. Selalunya jumlah ini adalah 1% dari jumlah pinjaman. Tetapi terdapat bank yang mengenakan lebih.
- Per annum (p.a) – Ini adalah istilah yang digunakan untuk “interest rate” atau kadar faedah tahunan. Lebih lama anda mengambil masa untuk membayar balik pinjaman, lebih tinggi nilai kadar faedah yang perlu anda bayar.
Recent Comments