Apa kaitan CCRIS dan CTOS dengan anda?
Setiap individu di Malaysia mempunyai profile kewangan mereka yang direkodkan oleh institusi kewangan (pihak bank) samada pinjaman, pembiayaan dan perkara-perkara lain berkenaan transaksi kewangan peribadi anda. Maklumat inilah yang terkandung di dalam dua jenis sistem iaitu CCRIS dan CTOS. Walaubagaimanapun, terdapat perbezaan di antara CCRIS dan CTOS.
Apa itu CCRIS?
CCRIS (Central Credit Reference Information System) adalah merupakan laporan kredit yang menunjukkan maklumat kewangan individu yang membuat pinjaman dari institusi kewangan seperti bank atau ASB. Ia adalah di bawah seliaan Biro Kredit Bank Negara Malaysia (BNM) dan memaparkan laporan seperti tunggakan pinjaman, saman atau status individu samada bankrupt dan sistem ini menjadi rujukan oleh pihak bank bagi profile kewangan kita. Data di dalam CCRIS dipecahkan kepada maklumat bagi tempoh masa 12 bulan yang terkini. Antara maklumat yang terkandung di dalam data tersebut ialah seperti:
- Pinjaman Perumahan
- Pinjaman Kereta
- Pinjaman Peribadi
- Maklumat Kad Kredit
- Pembiayaan ASB
- Maklumat permohonan pinjaman dari institusi kewangan dalam tempoh 12 bulan (lulus atau masih dalam proses).
Maklumat yang terkandung ini bukan hanya mencatatkan aliran negatif anda, tetapi juga aliran positif seperti kelulusan kredit atau rekod pembayaran balik pinjaman anda. Sering kali masyarakat salah anggap bahawa CCRIS akan menyenarai hitamkan individu jika mempunyai corak atau rekod pembayaran semula yang teruk. Namun pihak CCRIS sama sekali tidak menyediakan pendapat atau mempunyai kuasa untuk menyenarai hitamkan anda. Ia merupakan sistem yang merekodkan maklumat sebenar kewangan semasa anda yang menjadi rujukan oleh pihak institusi kewangan.
Ini bermaksud jika anda mula melakukan pembayaran kepada institusi kewangan, maka data CCRIS anda akan menunjukkan aliran positif dan seterusnya ini akan meningkat skor atau rating kredit dalam profile kewangan anda.
Anda boleh mendapatkan laporan CCRIS anda dari pihak Bank Negara Malaysia (BNM) dengan menggunakan kad pengenalan beserta dokumen sokongan untuk tujuan verifikasi diri anda. Laporan CCRIS hanya boleh dikeluarkan kepada individu yang memohon sahaja dan bukan melalui sebarang wakil.
Apa itu CTOS?
CTOS (Credit Tip Off Service) merupakan sebuah syarikat persendirian yang menyediakan laporan kredit setiap individu berdasarkan maklumat awam dari pelbagai sumber selain daripada institusi kewangan. Antara sumber selain institusi kewangan yang digunakan oleh pihak CTOS sebagai sumber maklumat adalah:
- Jabatan Pendaftaran Negara
- Jabatan Insolvensi Negara
- Suruhanjaya Syarikat Malaysia
- Penerbitan notis di surat khabar, dokumen prosiding undang-undang dan gazet kerajaan.
Maklumat yang terkandung di dalam CTOS juga berbeza dari maklumat yang terdapat di dalam CCRIS. Antara maklumat terkandung di dalam CTOS selain daripada kredit kewangan individu ialah seperti notis mahkamah, status bankrap dan juga maklumat perniagaan individu seperti status pemilikan syarikat.
Namun, sama seperti CCRIS, CTOS tidak menyediakan nasihat atau pendapat dan juga tidak menyenarai hitamkan individu. Anda boleh memperolehi maklumat CTOS anda dengan membuat pendaftaran di MyCTOS, dan selepas itu dapatkan CTOS ID dan aktifkan ID tersebut bagi mengakses maklumat CTOS anda bila bila masa melalui internet atau aplikasi CTOS.
Perbezaan CCRIS dan CTOS?
Perbezaan pertama antara CCRIS dan CTOS ialah, CCRIS dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan CTOS dikendalikan oleh syarikat persendirian. Kedua, cara maklumat dikumpul bagi CCRIS adalah dari institusi kewangan manakala bagi CTOS ialah dari pelbagai sumber awam.
Walaubagaimanapun, kedua-dua sistem pada dasarnya memberikan laporan dan maklumat kredit anda.
Kenapa CCRIS dan CTOS penting?!
- Rujukan Pihak Bank : CCRIS dan CTOS penting kerana apabila anda membuat permohonan kepada pihak bank sebagai contoh, untuk permohonan kad kredit atau pinjaman perumahan, maklumat yang terkandung di dalam CCRIS dan CTOS akan menjadi rujukan oleh pihak Bank. Sejarah kredit anda akan terpapar di dalam laporan tersebut dan sebarang bayaran yang lewat akan di ambil kira oleh bank dalam membuat keputusan. Bank juga akan mengira Debt Service Ratio (DSR) atau Nisbah Hutang atau Komitmen Kewangan ke atas Pendapatan anda melalui laporan ini.
- Sejarah Corak Kredit : Sebarang pembayaran atau tunggakan yang terpapar di dalam laporan CCRIS atau CTOS menunjukkan disiplin individu dalam perancangan kewangan mereka. Walaupun tidak menjadi faktor utama, tetapi setiap corak kredit ini samada positif atau negatif, akan tetap menjadi perhatian pihak bank.
Recent Comments