by Faiz Riziq | Oct 26, 2022 | Hartanah, Perbankan
Prestasi pasaran hartanah yang dikatakan perlahan buat masa ini ternyata telah mempengaruhi kadar penolakan pinjaman perumahan oleh bank. Ramai yang menghadapi kesukaran untuk mendapatkan pinjaman perumahan dengan peningkatan jumlah permohonan yang ditolak sejak beberapa tahun lepas. Menurut Bank Negara Malaysia (BNM), pada tahun lalu, kadar tersebut telah berada pada hampir 60%!
Ini membuktikan yang kebanyakan rakyat Malaysia masih bergelut untuk memiliki rumah sendiri yang boleh digelar sebagai “rumahku, syurgaku”. Dengan statistik yang membimbangkan itu, rasanya sudah tiba masa untuk kita mengenalpasti punca di sebalik isu penolakan pinjaman perumahan ini.
Mengapa Bank Tolak Permohonan Pinjaman Rumah Anda?
Oleh kerana itu, beberapa eksekutif pinjaman dari bank tempatan telah cuba untuk menjawab persoalan mengapa terlalu ramai rakyat Malaysia yang telah ditolak permohonan pinjaman rumah mereka. Anda pasti akan terkejut apabila mengetahui maklum balas daripada eksekutif-eksekutif tersebut!
1) Pemohon kurang faham proses permohonan
Keseluruhan proses permohonan pinjaman rumah di sini sebenarnya amat berbeza jika dibandingkan dengan proses di negara lain. Di Malaysia, kebanyakkannya akan mencari hartanah daripada mana-mana senarai yang ada, dan terus pergi ke bank pilihan untuk memohon pinjaman perumahan.Cara ini boleh jadi bermasalah kepada pembeli kerana nilai hartanah yang diminta oleh penjual mungkin tidak sama dengan apa yang dinilai oleh bank.
Selain itu, tanpa pengetahuan yang cukup tentang apa yang anda mampu atau tidak, senarai yang dilihat mungkin melebihi peruntukan yang ada (berdasarkan kriteria pendapatan anda).
Walau bagaimanapun, sebab yang paling biasa didengari adalah pembeli rumah langsung tidak mengetahui kemampuan mereka untuk membuat pembayaran semula sekiranya mendapat pinjaman.
Pihak bank akan sentiasa merujuk kepada Pusat Sistem Maklumat Rujukan Kredit (CCRIS) untuk mengetahui Nisbah Khidmat Hutang (DSR) setiap pelanggan.
Jadi, ia sangatlah penting untuk anda ambil tahu tentang kedua-dua perkara ini sebelum anda membuat permohonan.
Sangat membantu untuk anda mengetahui nilai DSR dan pada masa yang sama juga membuatkan kerja saya menjadi lebih mudah. Selain itu, ada beberapa kes di mana pemohon telah memalsukan dokumen kewangan mereka. Tolong ingat yang cara ini sangat berisiko kerana bukan sahaja permohonan anda akan ditolak, tetapi ia boleh menjadi kes polis dan anda mungkin dibawa ke muka pengadilan!
Salah satu lagi sebab utama penolakan pinjaman perumahan ialah tidak mempunyai bukti pendapatan yang kukuh. Jadi ini antara dokumen-dokumen yang penting – akaun simpanan dan pengisytiharan cukai pendapatan (di mana gaji anda dikreditkan, serta sumbangan KWSP) – jika anda mahu permohonan anda diluluskan. Akhir sekali, sila pastikan yang borang permohonan diisi dengan betul, lagi-lagi maklumat yang mudah seperti alamat rumah dan butiran hubungan anda. Sangatlah rugi kalau permohonan anda ditolak disebabkan isu yang remeh seperti ini!”
2) Pemohon kurang buat kajian sendiri
Kesilapan yang paling biasa saya lihat dalam proses permohonan pinjaman perumahan adalah kebanyakan klien saya tidak mengkaji dulu sebelum membuat keputusan mengenai sesuatu hartanah. Maksud saya disini adalah menyemak dahulu latar belakang pemaju, atau melakukan penyelidikan mengenai penjual hartanah. Ada kemungkinan yang pemaju atau penjual telah diisytiharkan muflis. Dan mengikut undang-undang Malaysia, apa-apa transaksi hartanah tidak dibenarkan sama sekali jika penjual telah diisytiharkan muflis, atau berada di bawah prosiding undang-undang dari Credit Tip-Off Service (CTOS).
Selain itu, pemaju mungkin telah disenarai hitamkan oleh bank, atau oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan! Bank-bank juga mempunyai senarai hitam hartanah tersendiri, yang biasanya berkaitan dengan lokasi dan status hartanah. Sebagai contoh, jika hartanah masih belum menerima hakmilik strata selepas beberapa tahun, ia mungkin telah dipangkah oleh bank. Akhir sekali, jika hartanah yang hendak dibeli mempunyai status pajakan, anda perlu tahu yang bilangan tahun yang tinggal untuk hartanah tersebut sangatlah penting. Menurut bank-bank tertentu, hartanah dengan tempoh pajakan yang tinggal antara 30 dan 60 tahun atau kurang, tidak akan dibiayai. Ini kerana bank melihat hartanah tersebut sebagai pembiayaan berisiko tinggi, yang mana nilai hartanah akan jatuh apabila tempoh pajakan hampir tamat.
Disebabkan itu, saya selalu menasihati klien untuk menggunakan senarai hartanah yang boleh dipercayai untuk mencari rumah impian mereka, seperti laman web PropertyGuru.
3) Staf bank mungkin buat silap
Perkara ini mungkin agak malu untuk diakui, tetapi saya pernah menyaksikan kes-kes di mana permohonan pinjaman perumahan telah dirosakkan oleh eksekutif yang bertanggungjawab. Ini adalah perkara biasa lagi-lagi jika mereka baru bekerja dalam industri tersebut! Jika mereka tidak mempunyai pengalaman dan tidak biasa dengan pemprosesan yang ketat dan pengesyoran berkaitan kelulusan pinjaman perumahan, ada kemungkinan yang maklumat pada permohonan mempunyai kesilapan atau tidak mencukupi dan akan ditolak.
Dalam kes lain, mungkin eksekutif baru sahaja bekerja di bank tersebut, dan masih tidak dapat membiasakan diri dengan set peraturan yang ada di sana. Oleh itu, dokumen yang mereka dapatkan dari pelanggan mungkin tidak mencukupi untuk mendapat kelulusan. Malangnya, akan selalu ada kesilapan yang datang dari manusia walau dalam profesion mana pun. Jadi pastikan semak betul-betul!
by Faiz Riziq | Oct 26, 2022 | Tips, Tinjauan & Statistik
Populariti kripto sememangnya semakin meningkat sehingga beratus juta pelabur dari serata dunia mula melibatkan diri dan kini lebih ramai yang telah mendapat pendedahan tentang apa itu cryptocurrency. Artikel ini akan menerangkan maksud crypto dan empat lagi perkara yang akan membantu anda fahami apa itu kripto sebelum anda pertimbangkan keputusan sama ada mahu membuat pelaburan ini atau pelaburan risiko rendah lain.

5 Perkara Anda Perlu Tahu Sebelum Buat Pelaburan Crypto
Secara umumnya, penerimaan kripto ini terbahagi kepada dua perspektif oleh pakar-pakar kewangan dan pelaburan. Ada yang berpendapat ini merupakan ‘wang masa depan’ yang akan terus berkembang. Lagi satu perspektif pula berpendapat kripto ini tidak bernilai kerana nilainya tidak stabil dan adalah spekulatif semata-mata seperti pelaburan NFT.
Pada November 2021, Bitcoin yang merupakan cryptocurrency paling bernilai mencapai nilai yang paling tinggi iaitu $69,000 (RM303,462) setiap unit. Namun begitu, pada 14 Jun 2022, bitcoin mengalami penurunan yang mendadak iaitu melebihi 67 peratus menjadikan nilainya hanya sekitar $21,000 (RM92,358). Ini menunjukkan nilainya masih belum lagi stabil kerana boleh naik dan turun pada bila-bila masa. Berikut adalah lima perkara penting yang anda perlu tahu tentang crypto:
1. Apa Maksud Cryptocurrency?
Secara asasnya, cryptocurrency merupakan pelaburan baru dan konsepnya tidak sama seperti konsep pelaburan yang sudah lama wujud seperti pulangan dividen ASB, pelaburan hartanah dan sebagainya. Untuk anda fahami apa itu crypto, terdapat tiga elemen penting yang anda perlu tahu iaitu maksud crypto itu sendiri, maksud blockchain dan maksud cryptography.
Cryptocurrency merupakan satu bentuk mata wang digital yang yang digunakan sebagai medium transaksi dan ia bergantung kepada teknologi blockchain. Anda boleh bandingkan konsep kripto ini lebih kurang sama seperti konsep mata wang sebenar. Perbezaan utamanya adalah kripto tidak wujud dalam bentuk fizikal seperti wang kertas dan syiling.
Selain itu, kripto tidak tidak mempunyai kuasa pusat seperti Bank Negara yang mengawal dan memantau semua urusan mengenai duit, kredit kad, skor CCRIS, skor CTOS dan sebagainya. Kripto beroperasi dengan sendiri kerana ia merupakan mata wang digital yang didesentralisasi atau decentralized dan wujud di luar perbankan tradisional. Ia bergantung kepada blockchain dan cryptography.
Anda mungkin tertanya-tanya maksud blockchain. Untuk senang anda faham, semua transaksi kripto bergantung kepada blockchain yang merupakan lejar awam atau open ledger yang merekod semua transaksi di antara pelabur-pelabur. Dengan kata lain, blockchain merupakan satu bentuk penyimpanan rekod digital yang memaparkan lejar transaksi yang kekal dan tidak boleh diubah-ubah atau dimanipulasi.
Di blockchain, anda akan mendapati akan ada banyak kod. Untuk pengetahuan anda, cryptocurrency menggunakan teknik kriptografi atau cryptography untuk berfungsi. Teknik ini dikatakan lebih selamat dan transparent.
Secara ringkasnya, maksud perkataan kriptografi itu sendiri bermakna “tulisan rahsia”. Cryptography merupakan satu kaedah yang melindungi maklumat dan komunikasi melalui penggunaan kod. Dengan kaedah ini, hanya pihak pemberi dan penerima sahaja yang boleh baca dan faham kod yang disampaikan. Teknik kriptografi memastikan aktiviti transaksi di antara pelabur kripto kekal selamat dan tersembunyi.
2. Bagaimana Cryptocurrency Berfungsi? Apa Beza Kripto dan Bank?
Sekarang anda sudah tahu apa itu cryptocurrency, namun, bagaimana pula dengan cara kripto berfungsi? Unit mata wang kripto dicipta melalui proses yang dipanggil mining atau perlombongan. Sebelum ini, anda mungkin pernah dengar tentang mining Bitcoin atau mining crypto tetapi mungkin anda tidak tahu maksud mining dalam konteks cryptocurrency.
- Apa Itu Mining dalam Crypto?
Secara ringkasnya, mining melibatkan penggunaan kuasa komputer yang menjana coin crypto seperti Bitcoin. Mining kripto mempunyai dua matlamat iaitu menjana mata wang kripto baharu dan mengesahkan ketulenan urus niaga mata wang kripto pada rantaian blockchain. Sesiapa sahaja yang mempunyai rangkaian internet yang stabil dan mesin mining seperti mining rig, dan graphics card boleh menjadi seorang miner crypto.
Seperti yang telah dinyatakan tadi, idea di sebalik konsep kripto adalah decentralized dan ia tidak mempunyai satu institusi kewangan yang mengawalnya. Ini membolehkan anda membuat transaksi tanpa melalui pihak ketiga seperti bank. Bagaimana anda membuat transaksi tanpa pihak bank?
Idea kripto adalah anda bukan mempercayai satu pihak iaitu bank. Sebaliknya, anda mempercayai ramai pihak dalam blockchain. Sebab itulah crypto sering digelar sebagai transaksi yang telus atau transparent. Dengan cara ini, akan terdapat banyak salinan rekod transaksi dan ini menyukarkan seseorang untuk menipu dalam transaksi kerana semua orang mempunyai salinan rekod transaksi.
Contohnya, jika anda cuba mengubah lejar seperti menukar nilai transaksi dan ia tidak akan sepadan dengan rekod lain dalam blockchain. Akibatnya, transaksi ini akan ditolak. Secara ringkasnya, berikut menjelaskan perbezaan kripto daripada perbankan tradisional:
Sebagai contoh, katakalah anda berada di dalam sebuah kedai kasut sukan dan anda mahu membeli sepasang kasut bernilai RM400.
| Transaksi Bank |
Transaksi Cryptocurrency |
| Anda menggunakan kad bank untuk bayar jumlah RM400. Cara transaksi ini berjalan adalah:
1. Anda swipe kad atau masukkan nombor pin, kemudian akan menunggu isyarat sama ada pembayaran anda diluluskan atau tidak oleh bank.
2. Apabila pembayaran diluluskan, bank akan mengemas kini rekod yang menunjukkan duit berpindah dari akaun anda kepada akaun kedai kasut sukan tersebut. |
Anda menggunakan cryptocurrency untuk beli kasut yang sama. Cara transaksi ini berlaku adalah seperti berikut:
1. Anda transfer nilai kripto tertentu kepada kedai. Blockchain akan menentukan sama ada anda mempunyai dana yang mencukupi.
2. Apabila transaksi diluluskan, rekod transaksi ini dapat dilihat melalui blockchain dalam bentuk cryptography oleh semua pelabur kerana blockchain merupakan satu lejar awam atau open ledger. |
3. Apakah Kebaikan Mata Wang Kripto?
Kenapa crypto popular? Tidak kira nilai crypto naik atau turun, ia sentiasa menjadi topik kewangan yang hangat. Beberapa jenama terbesar dunia kini menerima mata wang digital Bitcoin di Amerika Syarikat, antaranya Microsoft, Paypal, AT&T dan Starbucks. Kripto ini juga digunakan sebagai medium transaksi utama dalam dunia Metaverse. Selain itu, banyak nama syarikat cryptocurrency yang mula terlibat sebagai penaja dalam industri sukan antarabangsa. Pelaburan berjuta-juta dolar telah dibuat kepada dalam industri Formula One, bola sepak, UFC dan banyak lagi.
Kelebihan utama mata wang kripto adalah ia berdasarkan teknologi blockchain dan tidak bergantung kepada satu institusi kewangan. Berikut adalah kelebihan cryptocurrency yang membuatkan ramai berminat untuk melabur:
Identiti Dirahsiakan
Urus niaga mata wang kripto dapat dijalankan adalah tanpa mendedahkan identiti. Ini merupakan satu berita baik bagi pengguna yang mahukan privasi.
Telus
Walaupun identiti anda dirahsiakan semasa transaksi, data akan direkodkan pada lejar awam yang menggunakan teknologi blockchain. Ini bermakna data adalah telus dan boleh dilihat oleh orang ramai pada bila-bila masa.
Decentralization atau Didesentralisasi
Mata wang kripto tidak dikeluarkan oleh bank pusat atau disokong oleh mana-mana kerajaan setakat ini. Ini bermakna tiada campur tangan daripada kerajaan atau pengaruh daripada dasar monetari.
Berpotensi Memperoleh Keuntungan
Melabur dalam kripto sememangnya mempunyai risiko yang tinggi tetapi ia mampu menjana pulangan yang tinggi. Contohnya, pada tahun 2021, nilai Bitcoin meningkat sehingga lebih dua kali ganda.
4. Bagaimana Pula dengan Keburukan Mata Wang Kripto?
Walaupun crypto mempuyai kelebihan-kelebihan yang tersendiri, anda perlu berhati-hati kerana terdapat beberapa keburukan atau major drawbacks yang akan membuatkan anda fikir dua tiga kali sebelum mula melabur. Mesti anda pernah dengan nilai kripto jatuh dan ramai mengalami kerugian yang dahsyat disebabkan kripto sebelum ini. Berikut merupakan antara keburukan kripto yang anda patut tahu sebelum melabur:
Pelaburan Tidak Menentu
Walaupun harga mata wang kripto boleh melonjak tinggi, ia juga boleh jatuh ke nilai terendah dengan cepat. Contohnya, nilai mata wang kripto seperti Bitcoin boleh berubah dengan cepat, jadi sesetengah orang tidak merasakan ia selamat untuk menukar wang sebenar kepada Bitcoin.
Belum Sesuai untuk Dijadikan Sebagai Pelaburan Jangka Panjang
Oleh kerana pasaran kripto ini masih baharu, tidak siapa yang boleh menjangkakan perkara yang akan berlaku. Jadi jika anda ingin membuat pulangan yang stabil, ini mungkin bukan pertaruhan terbaik.
Pelaburan lain seperti pelaburan emas dan pelaburan ASB telah terbukti merupakan satu pelaburan jangka panjang yang baik tapi bagaimana pula dengan crypto? Tiada siapa yang benar-benar tahu apa yang akan berlaku kepada mata wang kripto dalam masa terdekat dan masa hadapan. Oleh itu, pelabur perlu berani kerana keputusan yang dibuat mungkin berdasarkan trial and error.
Terdedah kepada Crypto Scam
Cryptocurrency juga tidak lari dari sindiket scam. Scammer sering menggunakan platform seperti Facebook, Instagram dan Twitter untuk mengajak orang ramai melabur dan menipu menggunakan helah-helah tertentu. Kebiasaannya, sasaran mereka adalah pelabur baharu yang tidak mempunyai pengetahuan mendalam tentang cryptocurrency.
Tidak Ada Pusat Kawalan
Pasaran mata wang kripto tidak dikawal dan tiada peraturan atau polisi yang ditetapkan untuk melindungi anda. Sekiranya, kebanyakan syarikat atau ramai pengguna beralih kepada mata wang kripto baharu daripada anda atau berhenti menggunakan mata wang digital sepenuhnya, mata wang kripto anda akan jadi tidak bernilai.
5. Apakah Jenis Cryptocurrency yang Ada di Malaysia?
Terdapat banyak pilihan jenis crypto yang anda boleh labur. Berikut adalah antara jenis kripto yang anda boleh labur di Malaysia:
- Bitcoin
- Ethereum
- XRP
- Litecoin
- Bitcoin Cash
Patut Ke Anda Mula Masuk Dunia Kripto?
Ingat, pelaburan kripto merupakan satu pelaburan risiko tinggi kerana nilainya boleh berubah-ubah naik dan turun dengan sangat cepat. Oleh sebab itu, ilmu tentang apa itu cryptocurrency memang penting dan anda disarankan untuk dapatkan nasihat kewangan daripada perancang kewangan supaya anda boleh menilai sendiri dan dapat membuat keputusan dengan lebih baik sebelum melibatkan diri dalam dunia kripto.
Selain itu, sekiranya anda sedang mencari insurans kereta murah dan terbaik, layari laman web KMC untuk info lanjut. KMC juga menawarkan harga insurans motor terbaik dan insurans rumah terbaik daripada beberapa syarikat insurans di Malaysia. Anda boleh pilih insurans mengikut keperluan dan bajet anda.
by Faiz Riziq | Oct 26, 2022 | Kewangan, Keberhutangan & Pelaburan, Perbankan, Tips, Tinjauan & Statistik
Pernahkah anda mengalami situasi di mana kawan atau saudara meminta anda menjadi penjamin pinjaman? Perkara ini lazimnya berlaku apabila bakal peminjam memerlukan guarantor sebagai syarat kelulusan pinjaman seperti pinjaman kereta atau pinjaman perumahan. Biasanya, anda akan bersetuju untuk menjadi guarantor sebagai tanda sokongan dan untuk menjaga hubungan. Tetapi, sebelum anda menurunkan tandatangan, anda perlu mengetahui perkara-perkara penting sebagai seorang penjamin.

Tanggungjawab Penjamin Pinjaman
Pertamanya, penjamin (guarantor) bukanlah peminjam kongsi. Dalam istilah kewangan bermaksud seseorang individu yang berjanji dan bertanggungjawab untuk membayar baki hutang peminjam sekiranya peminjam tersebut gagal untuk memenuhi atau membayar keseluruhan pinjaman mereka.
Jenis-Jenis Penjamin Pinjaman
Penjamin boleh dibahagikan kepada dua kategori, iaitu penjamin sosial dan bukan sosial. Mari kita lihat perbandingan antara kedua-dua kategori ini.
Penjamin Sosial
Penjamin sosial adalah individu yang memberi jaminan kepada peminjam bukan untuk tujuan keuntungan atau komersial. Sebagai contoh, mereka menjadi guarantor untuk menolong ahli keluarga sendiri atau kawan mereka bagi membeli kereta, rumah atau biasiswa tanpa mempunyai kepentingan kewangan atau atas tujuan keuntungan.
Penjamin Bukan Sosial
Bagi kategori penjamin bukan sosial atau juga dikenali sebagai penjamin biasa, mereka adalah golongan yang tidak termasuk di dalam kategori penjamin sosial seperti penjamin pinjaman peribadi, pinjaman komersial atau penjamin untuk pinjaman perniagaan.
Perbezaan Antara Penama dan Penjamin Pinjaman
Kebanyakkan orang masih lagi keliru tentang perbezaan antara kedudukan seorang penama dan juga peminjam. Penama adalah satu keadaan di mana individu lain menggunakan atau meminjam nama anda bagi tujuan membuat permohonan pinjaman. Sebagai contoh, anda mempunyai rakan terdekat atau ahli keluarga yang sudah disenaraihitam (blacklist) oleh sesebuah bank ataupun mana-mana institusi kewangan di Malaysia, dan mereka tidak lagi layak untuk membuat sebarang pinjaman.
Jadi, mereka meminta bantuan untuk menggunakan nama anda sebagai peminjam di dalam kontrak pinjaman dan mereka akan membayar wang pinjaman tersebut terus kepada anda setiap bulan.
Sebaik saja anda menurunkan tandatangan pada kontrak perjanjian pinjaman, anda akan menjadi orang yang bertanggunjawab atau dipanggil sebagai penama dalam segala urusan berkaitan pinjaman tersebut seperti pembayaran bulanan, penyerahan dokumen dan sebagainya walaupun individu tersebut gagal menyerahkan wang bulanan tersebut kepada anda.
Bagi penjamin pinjaman pula adalah sama seperti yang saya telah terangkan pada permulaan artikel ini. Jadi amat jelas di sini bahawa terdapat perbezaan yang signifikan antara seorang penama dan penjamin.
Syarat Menjadi Penjamin Pinjaman
- Berumur 18 tahun dan keatas
- Tidak mempunyai status muflis
- Berfikiran waras dan mempunyai keupayaan mental untuk memahami dokumen jaminan
- Sanggup terima syarat untuk jadi seorang penjamin
Selain itu, pihak bank atau syarikat kewangan juga melihat jika guarantor tersebut mempunyai pendapatan yang stabil serta kedudukan skor kredit yang baik. Isu berkenaan muflis kini berleluasa di Malaysia. Kebanyakan peminjam yang gagal membuat pembayaran balik pinjaman adalah peminjam yang berusia 40 tahun ke bawah. Kegagalan untuk menyelesaikan pinjaman kenderaan, rumah, dan pinjaman peribadi adalah punca-punca utama bankrupsi. Malangnya, sesetengah daripada nama yang di senarai hitam atau ‘blacklist’ bukanlah peminjam, tetapi hanya penjamin.
Jadi, anda tidak seharusnya merasa bangga dan wajib bersetuju untuk jadi seorang guarantor. Oleh itu, anda perlu membuat penelitian yang mendalam sebelum meletakkan nama anda selaku guarantor. Bantu diri anda sendiri sebelum bantu orang lain. Di sini, kami huraikan 5 perkara yang anda perlu teliti sebelum anda bersetuju untuk menjadi sebagai seorang penjamin pinjaman.
5 Peringatan Penting Sebelum Menjadi Penjamin
1. Kenalpasti tujuan pinjaman tersebut dilakukan
Jangan malu untuk bertanya kepada pihak peminjam mengenai sebab mereka buat pinjaman peribadi tersebut dilakukan. Anda juga harus pastikan institusi kewangan yang mereka ingin mohon boleh dipercayai. Sebagai contoh, jika mereka ingin memohon pinjaman peribadi selain daripada bank, pastikan platform tersebut boleh dipercayai dan merupakan syarikat pinjaman wang berlesen yang sah berdaftar melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT). Perkara itu harus jelas agar anda tidak menjamin sesuatu yang sia-sia. Jangan rasa segan untuk mendapatkan maklumat yang mendalam mengenai sebab peminjam memerlukan guarantor.
Melalui maklumat tersebut, anda boleh mengenal pasti jika peminjam ini ada kemampuan untuk membayar balik pinjaman ini. Kalau anda merasakan sesuatu yang tidak betul, jangan takut untuk bersuara dan menolak permintaan untuk menjadi guarantor.
2. Pertimbangkan kemampuan anda untuk membayar balik pinjaman sekiranya peminjam gagal menyelesaikannya
Sebelum anda yakin bahawa risiko untuk peminjam culas adalah kecil, adalah lebih baik jika anda lakukan analisis kedudukan kewangan terlebih dahulu. Pastikan anda mampu untuk menyelesaikan pinjaman jika peminjam tersebut gagal melangsaikannya. Anda harus ketahui bahawa selain daripada pinjaman tertunggak, anda selaku penjamin pinjaman juga perlu menyelesaikan lain-lain kos tambahan.
3. Kaji kontrak dan perjanjian pinjaman
Kesalahan yang sering dilakukan oleh bakal guarantor adalah kegagalan mengkaji dokumen perjanjian. Anda sepatutnya meneliti setiap perkataan yang dikemukakan dalam dokumen tersebut. Dapatkan khidmat nasihat peguam untuk memahami risiko dan hak anda. Jangan turunkan tandatangan anda dengan terburu-buru melainkan anda benar-benar memahami setiap perkara di dalam dokumen perjanjian tersebut. Pastikan anda tahu 8 perkara penting sebelum tandatangan kontrak pinjaman peribadi.
Sediakan surat ganti rugi yang ditandatangi oleh peminjam sebagai jaringan keselamatan anda. Dengan adanya surat ganti rugi, anda boleh mengambil tindakan mahkamah atas kerugian yang anda hadapi sebagai guarantor. Jika peminjam tidak mahu menandatangi surat ganti rugi, itu bermaksud dia menyimpan niat yang tidak baik.
4. Jangan sesekali tandatangan dokumen pinjaman kosong
Walaupun anda mempunyai niat yang baik untuk membantu, anda mungkin melakukan kesalahan terbesar. Menandatangani dokumen pinjaman ‘kosong’ mesti dielakkan dengan apa cara sekalipun. Minta pihak peminjam untuk menunjukkan dokumen pinjaman yang telah diisi sepenuhnya.
Jumlah pinjaman, kadar faedah, dan tempoh kontrak perlu diterterakan dengan jelas. Jika tidak, anda akan terkejut apabila dapat tahu bahawa anda telah setuju dan tandatangan untuk terma dan syarat yang berbeza dari yang dikatakan.
5. Ketahui kesannya terhadap rekod CCRIS dan kedudukan kredit anda
Walaupun niat anda hendak membantu memang baik. Tapi jangan sampai makan diri sendiri. Anda perlu fikirkan rekod kredit seperti CCRIS dan CTOS atau kedudukan kredit anda yang akan terkesan dengan tindakan sebagai guarantor.
Apa itu CCRIS? Ianya adalah rekod yang diselia oleh Biro Kredit Bank Negara Malaysia yang mengawasi corak pembayaran pinjaman. Mungkin anda terfikir, sebagai guarantor ianya tidak akan menjejaskan rekod kredit anda. Namun, jika peminjam gagal membuat bayaran balik pihak pemberi pinjaman akan mencari anda sebagai individu yang bertanggungjawab menyelesaikan hutang tersebut. Jika anda tidak mampu untuk selesaikan tunggakan, nama anda akan tercatat dalam rekod negatif CCRIS.
Apabila anda sudah menandatangani perjanjian itu, maka anda tidak ada jalan keluar lagi. Anda yang perlu bertanggungjawab dan menanggung beban untuk menyelesaikan hutang orang lain jika peminjam itu tidak menjalankan tanggungjawabnya.
216700
by Faiz Riziq | Oct 26, 2022 | Kesihatan & Insuran, Tips, Tinjauan & Statistik
Ramai dalam kalangan masyarakat di Malaysia tidak menjadikan insurans perubatan sebagai keutamaan. Malah, ada segelintir yang masih tidak menyedari kepentingan memiliki insurans kesihatan meskipun mereka sedar kos perubatan terutamanya di hospital swasta semakin meningkat saban hari. Ada yang berpendapat duit dalam tabung atau simpanan di bank sudah memadai untuk nikmati kehidupan yang baik di hari tua kelak.
7 Sebab Insurans Perubatan atau Insurans Kesihatan Penting kepada Individu
Namun sebenarnya, memiliki simpanan sahaja tidak mencukupi lebih-lebih lagi jika ada kecemasan atau situasi luar jangka seperti masalah kesihatan yang memerlukan belanja rawatan yang tinggi. Anda perlu memiliki insurans perubatan bagi membantu menampung perbelanjaan atau kerugian sekiranya anda jatuh sakit.
Malah, banyak lagi sebab-sebab lain yang memerlukan anda untuk miliki insurans atau takaful perubatan dalam hidup anda hari ini. Bagi membantu anda memahami kelebihan insurans perubatan dengan lebih baik, berikut tujuh kepentingan insurans perubatan untuk rujukan dan panduan anda:
1. Kos Perubatan Semakin Meningkat
Malaysia dijangka akan mengalami inflasi dalam rawatan kesihatan. Ini bermakna, kos rawatan perubatan berkemungkinan akan mengalami kenaikan yang ketara (boleh mencecah dua angka) setiap tahun berbanding inflasi harga barangan pengguna (sekitar dua hingga empat peratus setahun).
Dalam erti kata lain, kos rawatan dan bil perubatan boleh menjadi lebih mahal berbanding kemampuan kewangan anda. Jika tiada simpanan kecemasan atau anda tidak merancang kewangan anda dengan baik, keadaan anda akan menjadi lebih sukar jika berlaku sebarang musibah.
Dengan memiliki insurans kesihatan, anda tidak perlu risau untuk membayar kos rawatan hospital yang mahal ini. Malah, anda juga tidak perlu menghabiskan wang simpanan yang disimpan bertahun-tahun semata-semata untuk membayar kos rawatan tinggi kerana pihak syarikat insurans akan membayar segala kos yang terlibat bagi pihak anda.
2. Manfaat Cukai Pendapatan: Layak Dapat Potongan Cukai
Secara asasnya, anda boleh menuntut pelepasan cukai untuk pelbagai kategori seperti rawatan perubatan, yuran pendidikan dan insurans. Bagi kategori potongan cukai insurans kesihatan, anda boleh menuntut pengecualian cukai ke atas premium yang dibayar untuk tahun taksiran.
Ini bermaksud, pembayaran yang dibuat ke atas premium insurans kesihatan melayakkan anda untuk mendapat pengecualian cukai yang secara tidak langsung dapat meringankan beban kewangan anda. Bagi individu penjawat awam berpencen, golongan ini berhak mendapat pelepasan cukai terhad sebanyak RM7,000 untuk premium insurans nyawa atau takaful. Manakala, individu selain penjawat awam boleh menuntut sehingga RM3,000 untuk insurans nyawa atau takaful dan RM4,000 untuk KWSP atau skim yang diluluskan seperti Skim Persaraan Swasta.
3. Perubahan Gaya Hidup
Gaya hidup yang tidak sihat, stress dan diet tidak seimbang boleh mendedahkan anda kepada lebih banyak masalah kesihatan. Dalam erti kata lain, perubahan serta amalan gaya hidup yang tidak sihat secara tidak langsung boleh menyumbang kepada peningkatan risiko penyakit kronik seperti kanser, buah pinggang, jantung dan penyakit-penyakit lain.
Faktor ini tidak termasuk faktor-faktor pendorong yang lain seperti pemakanan, pesekitaran, pencemaran dan lain-lain lagi. Sebagai contoh, tabiat lepak di kedai sehingga lewat malam sambil minum teh tarik boleh menyumbang kepada risiko penyakit kencing manis.
Di Malaysia, statistik menunjukkan seramai 3.9 juta individu berumur 18 tahun dan ke atas menghidap penyakit kencing manis. Oleh sebab itu, anda perlu utamakan perlindungan insurans kesihatan sekiranya anda mengamalkan gaya hidup yang membimbangkan. Ini kerana kos rawatan untuk penyakit kronik ini sememangnya memerlukan belanja yang amat mahal.
4. Tempoh Menunggu di Hospital Kerajaan
Kos perubatan di Malaysia boleh dikatakan antara termurah kerana sebahagian besar kos telah disubsidi oleh kerajaan. Dengan hanya perlu membayar serendah RM1, anda boleh mendapatkan rawatan di hospital kerajaan untuk pelbagai jenis penyakit.
Oleh sebab kos rawatan yang murah dan bilangan pesakit yang ramai yang memerlukan rawatan setiap hari, kebanyakan hospital dan klinik kerajaan mengalami kesesakan akibat tempoh menunggu yang lama. Ia sekali gus menyebabkan giliran untuk menerima rawatan diutamakan kepada pesakit yang kritikal.
Di sinilah pentingnya insurans kesihatan kerana setidak-tidaknya anda masih mempunyai pilihan untuk mendapatkan rawatan di hospital swasta jika anda tidak mampu untuk menahan sakit atau menunggu giliran yang lama di hospital kerajaan. Malah, ia juga dapat membantu anda mendapatkan rawatan dengan lebih cepat dan dalam masa sama memastikan keperluan rawatan dan penjagaan kesihatan tidak terabai.
5. Purata Jangka Hayat Penduduk Meningkat
Berdasarkan unjuran data daripada Jabatan Perangkaan, Malaysia dijangka akan mengalami pertambahan populasi warga emas dan akan mencapai status ‘negara tua’ atau aged nation menjelang 2030.
Berdasarkan jangkaan tersebut, sebanyak 15.3 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk adalah individu yang berusia 60 tahun dan ke atas, atau 5.8 juta orang daripada keseluruhan 38.1 juta jumlah keseluruhan penduduk negara.
Apa kesan perkara ini kepada anda? Secara asasnya, seseorang individu akan mula mengalami kemerosotan tahap kesihatan selari dengan usia. Apabila lanjut usia, anda memerlukan rawatan berkala sekurang-kurangnya sekali bulan untuk memastikan kesihatan anda berada dalam keadaan baik tidak kiralah daripada pusat kesihatan kerajaan ataupun swasta.
Oleh sebab itu, penting untuk anda memiliki simpanan yang mencukupi atau insurans perubatan yang boleh melindungi anda. Tanpa perlindungan insurans perubatan, anda mungkin perlu menampung kos rawatan dan perubatan sendiri untuk tempoh yang panjang dan berkemungkinan besar perlu mengeluarkan simpanan persaraan untuk membiayai kos rawatan.
6. Perlindungan Lebih Komprehensif
Jika anda mencarum insurans pada usia muda, banyak kelebihan yang boleh anda nikmati, salah satunya pelan perlindungan insurans perubatan yang lebih komprehensif. Secara asasnya, premium untuk pelan kesihatan ditentukan mengikut jenis insurans yang dipilih, umur, pekerjaan, status kesihatan semasa, status merokok dan sebagainya.
Ini bermaksud, jika premium insurans dibeli pada usia muda, anda boleh nikmati liputan perlindungan akan lebih komprehensif dan meluas serta jumlah premium yang ditawarkan adalah lebih rendah. Berbeza sekiranya anda beli insurans pada usia lebih lewat, anda perlu membayar harga yang lebih mahal dengan liputan perlindungan yang lebih minimum.
Hal ini kerana, pihak insurans beranggapan apabila usia anda meningkat anda lebih mudah menghidapi penyakit sekali gus mendedahkan anda kepada lebih banyak risiko penyakit. Selain itu, bagi kebanyakan syarikat insurans, penyakit sedia ada (jika ada) juga turut akan dikecualikan daripada perlindungan insurans.
7. Insurans Perubatan Beri Manfaat Tambahan
Sebagai pencarum insurans, anda semestinya ingin mendapatkan polisi insurans dengan pelan perlindungan yang lengkap termasuk manfaat tambahan lain. Sesetengah polisi insurans menawarkan manfaat tambahan seperti perkhidmatan ambulans, penjagaan pembedahan harian, pemeriksaan kesihatan dan perbelanjaan vaksinasi di bawah insurans kesihatan bergantung pada polisi yang anda pilih.
Malah, ada juga syarikat insurans yang turut menawarkan income replacement untuk situasi-situasi tertentu seperti kemalangan dan kematian. Ini bermaksud, syarikat insurans akan membayar pampasan mengikut terma dan syarat yang dipersetujui sekiranya anda hilang upaya kekal akibat kemalangan atau meninggal dunia.
Insurans Kesihatan: Adakah Ia Suatu Keperluan atau Kehendak?
Sama seperti renew insurans kenderaan untuk melindungi kereta anda, insurans perubatan atau medical card memainkan peranan sama penting dalam melindungi diri anda. Oleh sebab itu, tiada alasan untuk anda mengabaikan kepentingan insurans atau takaful perubatan.
Meskipun ia bukanlah suatu keperluan yang wajib untuk dimiliki, namun ia penting untuk melindungi anda (dari segi kewangan, perbelanjaan perubatan dan sebagainya) sekiranya berlaku situasi luar jangka selain memastikan masa depan yang lebih selamat.
Selain itu, sekiranya anda ingin mendapatkan insurans kesihatan terbaik, lawati laman web KMC untuk info lanjut. KMC menyediakan rangkaian produk insurans kesihatan dan perubatan daripada beberapa syarikat insurans terbaik dan popular di Malaysia dengan jaminan proses yang mudah, pantas dan selamat. Semuanya semudah ABC dan dihujung jari. Kami akan beri FREE Quotation untuk anda.
by Faiz Riziq | Oct 26, 2022 | Perbankan, Tips, Tinjauan & Statistik
Sebut saja KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) atau EPF, semua orang tahu ia merupakan simpanan untuk hari tua. Sejak dulu, hanya majikan saja yang menguruskan caruman pekerja. Jadi, tidak ada pilihan untuk pekerja untuk sendiri tambah wang ke dalam akaun KWSP mereka. Tetapi, hal ini sudah berubah kerana KWSP sudah membenarkan individu untuk mencarum sendiri atau menambah wang ke dalam akaun mereka melalui ciri dinamakan Caruman Pilihan Sendiri.
“Caruman KWSP tidak dihadkan hanya kepada mereka yang diwajibkan di bawah Akta KWSP 1991. Penyertaan sukarela daripada mereka yang tidak tertakluk di bawah undang-undang KWSP adalah sangat dialu-alukan. Tambahan pula, ianya merupakan satu kelebihan bagi anda untuk menyimpan simpanan bagi kegunaan di hari persaraan.” -KWSP
Saya tak pernah ada akaun KSWP, bolehkah buat caruman seperti di atas?
Tidak boleh. Anda perlulah terlebih dahulu mempunyai akaun KWSP sebelum melakukan caruman pilihan sendiri ini.
Saya seorang pekerja tetap dan memang majikan buat caruman setiap bulan. Boleh buat juga?
Boleh. Ini antara tujuan Caruman Pilihan Sendiri diperkenal.
Ada had minimum atau maksimum?
Jangan risau, tidak ada had minimum ditetapkan. Namun melalui cubaan kami dengan aplikasi i-Akaun, ia ada minimum RM10. Namun bagi had maksimum, ia terhad sehingga RM60,000 setahun untuk semua Caruman Sukarela.
Boleh tak saya terus masukkan wang ke dalam akaun KWSP tanpa perlu isi apa-borang?
Boleh. Anda boleh lakukannya melalui kaedah perbankan internet (online banking/transfer) dan laman web atau aplikasi i-Akaun KWSP.

KWSP mengingatkan pelanggan untuk beri tempoh sehingga 14 hari bekerja untuk bayaran caruman dinyatakan dalam penyata.
Bagaimana cara masukkan wang ke dalam akauan KWSP melalui aplikasi i-Akaun?
Buka aplikasi i-Akaun > Add Contribution atau Tambah caruman > masukkan jumlah RM > Slide to Continue atau Leret untuk Teruskan > pilih bank > Next atau Seterusnya.


Ada masalah tak nampak butang Slide to Continue? Sentuh pada mana-mana bahagian kosong tengah skrin dan leret ke bawah untuk tutup papan kekunci. Anda dibawa ke laman web bank untuk proses pengesahan dan pemindahan wang seperti biasa. Ikut saja arahan.
Tekan ‘Return to merchant’s page’. Aplikasi akan paparkan ‘Thank You’ atau ‘Terima Kasih’ jika transaksi anda berjaya. Selesai. Ini bermakna transaksi sudah berjaya.
Diingatkan, transaksi ini akan dipaparkan dalam rekod dan aplikasi dalam masa 3-14 hari. Untuk maklumat lanjut, terus layari laman KWSP.
Recent Comments