by Faiz Riziq | Oct 9, 2024 | Ekonomi, Perniagaan & Korporat, Fakta & Informasi, Luar Negara, English & Other Country
Sekiranya awal tahun ini Bank Dunia menetapkan pertumbuhan ekonomi Malaysia kepada 4.3% – kini unjuran tersebut telah dinaikkan kepada 4.9% berikutan prestasi pasaran semasa dilihat lebih baik berbanding jangkaan 6 bulan lalu.
Semakan naik ini menurut kumpulan Bank Dunia pada sidang taklimat Tinjauan Ekonomi Malaysia pada Oktober 2024, antaranya didorong akan faktor domestik yang memaparkan momentum ekonomi yang positif diikuti kestabilan politik dan persekitaran dasar yang lebih seimbang. Sokongan ini secara langsung memacu lebih banyak kemasukan pelabur dan keyakinan pasaran akan kualiti hasil Malaysia.
Selain faktor domestik, status pertumbuhan global yang dijangka stabil bersama lingkungan prestasi 2.6% pada tahun ini juga turut membantu Malaysia dalam mengekalkan prestasi pertumbuhan semasa.
Secara menyeluruh, dalam kalangan pasaran sedang pesat membangun – diteliti Malaysia berada pada kedudukan yang baik. Selain keyakinan pengguna yang meningkat, pengukuhan segmen pembuatan dan prestasi perkhidmatan yang baik juga turut memacu pertumbuhan negara secara berkala.
by Faiz Riziq | Oct 9, 2024 | Ekonomi, Perniagaan & Korporat, Kewangan, Keberhutangan & Pelaburan, Luar Negara, English & Other Country
Biarpun kadar inflasi negara kembali melandai ke paras 1.9%, perlu diakui masih terdapat bahagian dalam pasaran memperlihatkan berlakunya tekanan kos dan situasi ini memberi kesan ke atas penduduk negara. Rentetan isu ini, keperluan pelaksanaan elaun kos sara hidup (COLA) kini antara tumpuan, yang wajar digarapkan pada sidang bajet 2025 kelak.
Cadangan di bawah Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) ini mengambilkira pelbagai aspek khususnya kalangan pekerja swasta yang berada di kawasan bandar.
Di mana penguatkuasaan elaun COLA perlu dilaksana secara menyeluruh meliputi perlindungan kebajikan kepada pekerja antara sektor awam dan swasta. Usaha itu dilihat berupaya memberi manfaat produktiviti ke atas pekerja dan membantu kesihatan mental semasa pekerja secara berkala.
Buat pengetahuan umum, berdasarkan data semasa paras inflasi yang dilalui kumpulan pendapatan bawah RM3,000 di Malaysia ketika ini adalah 1.7%. Data itu memperincikan kumpulan ini berdepan tekanan kos dalam segmen perkhidmatan meliputi Restoran dan Perkhidmatan Penginapan (4.3%), disusuli Penjagaan Diri, Perlindungan Sosial dan Pelbagai Barangan dan Perkhidmatan (3.1%). Sementara segmen Perumahan, Air, Elektrik, Gas dan Bahan Api Lain pula 2.9%.
Melihat pada kesan itu, kumpulan pekerja ini antara yang seharusnya diberi tumpuan oleh kerajaan akan perluasan insentif COLA tersebut menjelang Belanjawan 2025 kelak. Adanya perluasan akses tunai ia sekaligus merancakan lagi aliran perbelanjaan negara secara berturutan.
by Faiz Riziq | Oct 8, 2024 | Ekonomi, Perniagaan & Korporat, Fakta & Informasi, Kewangan, Keberhutangan & Pelaburan
Tatkala nilai prestasi e-dagang pasaran Asia Tenggara memaparkan potensi perkembangan kepada nilai $305 bilion menjelang 2029 – didapati medium media sosial dan kesan kumpulan pempengaruh ke atas pengguna di Malaysia dilihat lebih rendah, berbanding negara jiran yang lain.
Tinjauan Cube Asia bersama Impact pada laporan Pemasaran Pempengaruh E-Dagang di Asia Tenggara 2024 ini memperincikan, sejumlah 75% pengguna akui tabiat berbelanja mereka dipengaruhi cadangan yang dilaksanakan kumpulan pempengaruh pada pasaran negara. Kedudukan ini sekaligus menjadi peratusan kedua terendah selepas pasaran Singapura (67%).
Situasi ini berbeza dengan kumpulan pempengaruh di Vietnam yang berupaya memberi kesan ke atas perbelanjaan 90% pengguna e-dagang negara mereka, diikuti Indonesia (88%) dan Thailand (83%).
Mengikut perincian tabiat berbelanja di Malaysia, kategori produk yang sering dipengaruhi pempengaruh melibatkan produk fesyen (64%), kecantikan (61%) dan barangan dapur (39%). Lebih menarik antara kumpulan pempengaruh dan selebriti yang menjadi pilihan pengguna negara adalah Siti Nurhaliza, Wawa Zainal dan Khairul Aming.
Secara menyeluruh, pada pasaran Asia Tenggara – platform YouTube dan Facebook kekal menjadi peratusan terbesar pilihan pengguna dengan Malaysia memperlihatkan seramai 87% pengguna YouTube, sementara Facebook 80% dan TikTok pula 80%.


by Faiz Riziq | Oct 7, 2024 | Fakta & Informasi, Kewangan, Keberhutangan & Pelaburan
Penduduk Malaysia, secara amnya masih berdepan dengan kesukaran untuk memiliki aset kewangan bersih yang kukuh berikutan paras gaji yang masih rendah disusuli tekanan kos semasa dan kadar hutang isi rumah yang lebih tinggi. Perihal ini dapat dilihat pada Laporan Kekayaan Global Allianz 2024, yang memperincikan Malaysia di kedudukan ke-40 bersama aset kewangan bersih per kapita iaitu lebih RM44,000 (EUR9,430).
Kedudukan ini secara jelas memaparkan kadar simpanan penduduk negara lebih kecil susulan paras hutang isi rumah kembali meningkat. Minggu lalu, Bank Negara Malaysia (BNM) memaklumkan nisbah hutang isi rumah di Malaysia semakin meningkat kepada 83.8% biarpun kumpulan peminjam berisiko lebih tinggi telah menurun kepada 4.4%.

Jumlah aset kewangan ini ternyata memaparkan jurang yang berbeza dengan negara jiran Singapura – apabila didapati secara puratanya rakyat Singapura miliki aset kewangan sekitar RM800,000 dengan kedudukan ke-4 dalam carta global. Kedudukan itu secara menyeluruh mengatasi Taiwan (5), diikuti Jepun (14). Jelas laporan kemajuan status aset kewangan Singapura itu diimbangi akan penurunan nisbah hutang rakyat mereka kepada 54.1% setakat akhir 2023 lalu.
Berbalik kepada data aset kewangan Malaysia per kapita ini – kebanyakkan aset tersebut adalah disumbangkan hasil penyertaan pada dana insurans dan pencen, diikuti deposit dan sekuriti.

by Faiz Riziq | Oct 7, 2024 | Fakta & Informasi, Tips, Tinjauan & Statistik
Nilai kerugian $12.8 bilion ini untuk makluman adalah bersamaan dengan 3% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berikutan semakin ramai rakyat negara berdepan isu penipuan atas talian (scam). Namun apa yang lebih membimbangkan, kerugian sebenar dianggarkan lebih tinggi susulan 70% mangsa didapati tidak melaporkan kejadian kepada pihak berkuasa.

Dapatan State of Scam 2024 di bawah Global Anti-Scam Alliance (GASA) ini memperincikan antara kaedah penipuan yang mendominasi adalah transaksi bank dan pembayaran secara atas talian, diikuti kad kredit dan dompet digital.
Tidak hanya itu, aktiviti scam pada tahun ini melalui teks dan SMS turut melonjak dengan peningkatan 8% berbanding tahun lalu. GASA melihat situasi ini membawa kesan kewangan yang tinggi – di mana purata kerugian bagi setiap mangsa dianggarkan sekitar $2,726 dan hanya 2% daripada mangsa sahaja dimaklumkan berjaya meraih semula dana mereka. Sementara 70% mangsa tidak berjaya dapatkan dana mereka, diikuti 25% lagi tidak pernah mencuba untuk dapatkannya. Kesan situasi ini, 57% mangsa scam kini berdepan tekanan emosi yang tinggi, menjadikan peratusan itu lebih tinggi berbanding tahun lalu.
Recent Comments