by Faiz Riziq | Mar 12, 2024 | Ekonomi, Perniagaan & Korporat, Luar Negara, English & Other Country
Khazanah Nasional Bhd mencatatkan keuntungan operasi yang lebih tinggi iaitu RM5.9 bilion bagi tahun kewangan 2023 berbanding RM1.6 bilion pada tahun kewangan 2022 dalam keadaan pasaran global yang tidak menentu.
Pengarah Urusan Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata prestasi lebih kukuh itu dipacu oleh dividen dan pengagihan yang lebih tinggi daripada syarikat penerima pelaburan, keuntungan nilai saksama dan pengekalan modal.
“2023 merupakan tempoh mencabar bagi Khazanah dan pasaran global, dipengaruhi oleh jangkaan kadar tertinggi Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed), keredaan daripada inflasi yang tinggi, keadaan monetari yang ketat, tumpuan berterusan dalam kecerdasan buatan (AI), pertumbuhan lemah di China dan konflik geopolitik berlanjutan,” katanya semasa taklimat media mengenai Tinjauan Tahunan Khazanah 2024 di sini, pada Isnin.
Beliau berkata namun begitu, Khazanah kekal berdaya tahan dan melaksanakan peruntukan modal yang berdisiplin untuk memberikan pulangan mampan di samping melabur demi masa depan selain menerapkan kemampanan merentas operasi.
Dana kekayaan negara itu mengumumkan dividen lebih baik iaitu sebanyak RM1 bilion untuk 2023 kepada kerajaan (tahun kewangan 2022: RM500 juta), menjadikan dividen kumulatif yang dibayar sejak 2004 kepada RM18.1 bilion.
Amirul Feisal berkata hutang Khazanah meningkat sedikit kepada RM50.2 bilion daripada RM49.1 bilion pada tahun sebelumnya dengan nisbah nilai aset boleh direalisasi (RAV) terhadap hutang kekal sihat pada 2.7x.
“NAV meningkat daripada RM33 bilion pada 2004 kepada RM85 bilion pada 2023, menjadikan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul sebanyak 5.1 peratus, memenuhi mandat Khazanah untuk memberikan pulangan mampan kepada negara dan meningkatkan kekayaan jangka panjang Malaysia,” katanya.
Beliau berkata bagi tahun ini, persekitaran makroekonomi dan pasaran global dijangka kekal mencabar dan tidak menentu, dengan konflik geopolitik berterusan di Asia Barat, kesinambungan Perang Rusia-Ukraine, dan persaingan global di antara China dengan Amerika Syarikat.
Selain itu, kitaran pilihan raya global yang signifikan melibatkan 76 negara yang mewakili lebih 60 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia akan menambahkan lebih banyak ketidaktentuan, katanya.
“Dalam persekitaran ini, Khazanah kekal berwaspada dalam aktiviti pelaburannya untuk mengekalkan daya tahan portfolio melalui kepelbagaian strategik,” katanya.
Sumber – Bernama
by Faiz Riziq | Mar 11, 2024 | Ekonomi, Perniagaan & Korporat
Pengasas Amazon, kini akhirnya berjaya mengatasi kembali nilai kekayaan Elon Musk, sekaligus kini menjadikan beliau manusia kedua terkaya dunia. Menduduki tangga pertama manusia terkaya dunia adalah Bernard Arnault, iaitu CEO jenama LVMH.
Elon Musk dilihat kekurangan nilai kekayaannya disebabkan oleh penurunan pada nilai saham Tesla kebelakangan ini. Sementara dengan fokus terhadap kecerdasan buatan dan perkembangan edagang, saham Amazon meningkat, sekaligus membawa kepada peningkatan nilai kekayaan Jeff Bezos. Pada masa yang sama juga, nilai kekayaan Mark Zuckerberg turut dilihat meningkat, meletakkan beliau pada kedudukan ke-4. Pada tangga ke-5 adalah Bill Gates.

by Faiz Riziq | Mar 8, 2024 | Fakta & Informasi, Luar Negara, English & Other Country, Perbankan
Institusi kewangan di Malaysia berjaya menghalang urus niaga mencurigakan dan penipuan bernilai RM383 juta dari Januari hingga Disember 2023, kata Persatuan Bank-Bank di Malaysia (ABM).
Pengerusi Pasukan Petugas Khas Membanteras Penipuan Kewangan dan Ketua Pegawai Eksekutif Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank, Datuk John Chong berkata pencapaian 15 bank di Malaysia membuktikan komitmen mereka terhadap langkah pencegahan penipuan yang kukuh.
Chong berkata pelaksanaan pelbagai langkah keselamatan, mengetatkan parameter pemantauan penipuan dan kawalan penipuan yang dipertingkatkan terus menghasilkan momentum positif dalam memerangi urus niaga yang mencurigakan dan penipuan.
“Menurut Bank Negara Malaysia (BNM), terdapat pengurangan 58 peratus urus niaga perbankan dalam talian tanpa kebenaran yang dilaporkan kepada Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) dalam tempoh lima bulan,” katanya pada Bengkel Penipuan #JanganKenaScam untuk pengamal media hari ini.
Chong berkata bank-bank telah melaksanakan lima langkah utama yang dicadangkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) untuk memerangi penipuan sejak Julai 2023.
Lima langkah utama adalah beralih daripada kata laluan satu kali SMS (OTP), mengetatkan peraturan pengesanan penipuan bank, membenarkan hanya satu peranti mudah alih atau peranti selamat didaftarkan, pengesahan dan tempoh bertenang untuk pendaftaran kali pertama e-perkhidmatan perbankan atau peranti selamat dan saluran aduan khusus untuk pelanggan yang beroperasi 24 jam sehari, tujuh hari seminggu (24/7).
Selain itu, bank juga secara proaktif melaksanakan langkah keselamatan lain seperti mengelak daripada menghantar SMS atau e-mel dengan pautan, menguatkuasakan aplikasi mudah alih untuk hanya beroperasi pada versi sistem pengendalian yang selamat, ‘kill switch’, kaedah pemantauan jenama dan pengesahan keselamatan di mesin pengeluaran wang automatik (ATM), diikuti dengan pelaksanaan tempoh bertenang.
“Dalam usaha kami untuk menangani penipuan kewangan secara holistik pada skala yang lebih luas, bank akan melaksanakan langkah menangani penipuan yang serupa untuk segmen perbankan bukan runcit dalam beberapa bulan akan datang, di bawah bimbingan BNM.
“Kami akan menguatkuasakan pengesahan berbilang faktor (MFA) yang kukuh dan tempoh bertenang untuk sebarang pengaktifan MFA bagi peningkatan had pemindahan pihak ketiga dengan penhantaran pemberitahuan kepada pelanggan yang tepat pada masanya. Turut disediakan adalah talian hotline 24/7,” katanya.
Chong berkata bank juga akan terus menilai cara praktikal lain untuk melindungi pelanggan dengan lebih lanjut seperti mengesan perisian hasad dalam Kit Pakej Android (APK).
Sumber: Bernama
by Faiz Riziq | Mar 7, 2024 | Ekonomi, Perniagaan & Korporat, Kewangan, Keberhutangan & Pelaburan, Luar Negara, English & Other Country, Perbankan
Bank Negara Malaysia hari ini mengumumkan mereka akan mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada kadar 3.00 peratus seperti sebelum ini. BNM menyatakan langkah ini adalah selaras dengan keadaan ekonomi yang kukuh dan kekal menyokong pertumbuhan. Pembiayaan kekal juga dijangka akan membawa kepada pertumbuhan kredit yang berterusan.Pada tahun 2024 ini juga, pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka akan lebih baik, sementara inflasi dijangka akan terus menyerderhana.

by Faiz Riziq | Mar 7, 2024 | Ekonomi, Perniagaan & Korporat, Fakta & Informasi
Walaupun inflasi diunjur meningkat sedikit pada 2024, namun kadar itu masih terkawal dan boleh diuruskan oleh kerajaan dengan kerjasama semua pihak termasuk peserta industri, peniaga dan pengguna, menurut Kementerian Ekonomi.
Kementerian itu menjelaskan bahawa Kementerian Kewangan melalui penerbitan Tinjauan Ekonomi 2024 mengunjurkan kadar inflasi bagi 2024 adalah di antara 2.1 peratus hingga 3.6 peratus.
“Keadaan ini sebahagiannya disebabkan oleh jangkaan peralihan secara berperingkat ke arah mekanisme pelaksanaan subsidi bersasar bagi memastikan pengagihan sumber yang lebih saksama.
“Peratus kenaikan ini adalah dalam lingkungan unjuran oleh MIDF Research bagi 2024, iaitu 3.2 peratus,” tambah Kementerian Ekonomi menerusi jawapan bertulis bertarikh 5 Mac yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.
Jawapan itu bagi menjawab soalan Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim (PN-Kuala Terengganu) mengenai inisiatif untuk menghadapi krisis inflasi berikutan MIDF Research menjangkakan inflasi Malaysia pada tahun ini meningkat kepada 3.2 peratus.
Kementerian Ekonomi menjelaskan kedudukan fiskal kerajaan semakin mencabar dan memerlukan komitmen untuk menyasarkan semula subsidi yang merupakan antara komponen utama dalam belanjawan mengurus.
“Walau bagaimanapun, kesejahteraan rakyat secara keseluruhan perlu diutamakan.
“Oleh yang demikian, kerajaan perlu memilih kaedah penyasaran semula subsidi yang dapat mengimbangi matlamat kerajaan untuk menambah baik kedudukan fiskal dan dalam masa yang sama mengurangkan impak ke atas kos sara hidup yang ditanggung oleh rakyat,” tambahnya.
Kementerian itu memaklumkan bahawa kerajaan telah mengenal pasti beberapa program dan inisiatif bagi memastikan kebajikan rakyat terpelihara seperti meningkatkan nilai keseluruhan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) 2024 kepada RM10 bilion, meningkatkan bekalan dan jaminan makanan dengan menambah stok pelbagai barangan makanan serta menambah baik kecekapan pengagihan bagi memastikan bekalan tidak terganggu.
Kerajaan turut meneruskan inisiatif Payung Rahmah antaranya program Jualan Rahmah, Bakul Rahmah dan Menu Rahmah bagi mengurangkan kesan kos sara hidup rakyat di samping meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan harga yang berpatutan serta mengelakkan aktiviti mengaut keuntungan secara berlebihan.
SUMBER – BERNAMA
Recent Comments