by Faiz Riziq | Mar 18, 2024 | Fakta & Informasi, Perbankan
RHB Bank dan Boost kini menyuntik dana tambahan pada Boost Bank, sekaligus terus meningkatkan lagi nilai bank berkenaan. RHB Bank telah menambah suntikan dana sebanyak RM3.4 juta untuk 3.4 juta saham tambahan, sementara Boost pula menambah RM5.1 juta untuk 5.1 juta saham tambahan.
Ini sekaligus memastikan kedua-dua pihak kekal dengan pegangan sebanyak 60% untuk Boost, dan RHB Bank pula sebanyak 40%.
Dengan suntikan dana baharu ini, Boost Bank telah mempunyai modal sebanyak RM215 juta setakat ini. Dana tambahan ini dijangka akan digunakan untuk tujuan operasi dan juga perbelanjaan modal bagi pertengahan pertama 2024 ini.
by Faiz Riziq | Mar 14, 2024 | Kewangan, Keberhutangan & Pelaburan, Tips, Tinjauan & Statistik
Tanggal 12 Mac 2024, seluruh umat Islam kembali bertemu bulan Ramadan yang mulia dan penuh keberkatan. Uniknya tahun ini, Ramadan bermula selang sehari atau dua selepas pembukaan tahun baru persekolahan 2024. Dan sebulan selepas itu, umat Islam akan menyambut hari kemenangan, iaitu Hari Raya Aidilfitri.
Di sana sini, tidak kira di pusat-pusat membeli belah, suasana meriah promosi jualan pakaian dan kuih muih hari raya telah mula kelihatan. Tidak kurang juga promosi berbuka puasa di restoran dan hotel-hotel di seluruh negara. Itu belum lagi bazar- bazar Ramadan yang akan dibuka di merata pelosok kawasan menjual pelbagai aneka makanan dan minuman yang tidak terhingga banyaknya.
Melihat kepada pertembungan perbelanjaan tiga serangkai yang meliputi musim awal musim persekolahan, seterusnya menyambut Ramadan sehinggalah ke syawal yang bakal diraikan sebulan berikutnya, ketiga-tiga senario ini sudah pastinya memerlukan pengurusan kewangan yang lebih teliti supaya sumber kewangan yang ada dapat diuruskan dengan baik serta mengikut prinsip keutamaan dalam Islam.
Persoalannya, bagaimana kita merancang dan melaksanakan bajet kewangan secara berkesan untuk memastikan keseimbangan antara tuntutan pendidikan anak-anak, persiapan juadah berbuka sepanjang Ramadan, dan persediaan menyambut Aidilfitri?
Formula S.A.H.U.R. akan dapat membimbing anda dalam membuat keputusan bajet tiga (3) serangkai yang bijak dan berhemah seperti berikut:
1. [S] Susun Keutamaan Perbelanjaan
Berpandukan prinsip keutamaan dalam Islam, sebaik-baiknya ketiga-tiga bajet perbelanjaan ini disusun mengikut penilaian yang jujur dan teliti antara keperluan dan kehendak. Gunakan fikiran rasional kita untuk mendahulukan keperluan berbanding dengan perasaan emosional yang mengutamakan kehendak.
Contohnya, anda pastinya akan mementingkan dan mendahulukan perbelanjaan persekolahan anak-anak kerana ianya adalah keperluan utama bajet isi rumah pada ketika ini.
Pada masa yang sama, sudah menjadi tradisi setiap kali Ramadhan, semua orang akan dihidangkan dengan pelbagai juadah Istimewa di sini sana untuk persediaan berbuka puasa. Begitu banyak jualan sehinggakan kebanyakan kita berbelanja berlebihan tanpa sedar sehingga mengakibatkan pembaziran. Di situlah faktor berbelanja ke arah kehendak melebihi keperluan itu terbukti. Di sinilah juga lah titik mulanya kejayaan atau kegagalan dalam pengurusan kewangan itu diukur melalui penilaian rasional mengatasi penilaian emosional kita.
2. [A] Adakan Perbincangan Harmoni Keluarga
Satu lagi elemen yang mempengaruhi kejayaan dalam pengurusan kewangan ialah kebersamaan. Sebagai manusia, kita mudah terdorong oleh keadaan sekeliling atau kebiasaan setempat. Tidak hairanlah kalau skrip sebegini biasa kita dengar dalam masyarakat, “Orang beli perabot baru, kita pun nak beli perabot baru.”
Oleh itu, satu kaedah untuk mengekalkan disiplin perbelanjaan yang sihat dalam keluarga ialah perbincangan bersama tentang apa yang patut dibelanjakan. Dengan persefahaman dalam keluarga tentang hala tuju perbelanjaan, tidak adalah sketsa anak-anak meminta itu dan ini yang akhirnya dilayankan juga sehingga terlebih berbelanja semasa shopping raya termasuklah permintaan untuk dibelikan bunga api dan mercun.
3. [H] Hadkan Perbelanjaan
Setelah jelas perbelanjaan apa yang patut didahulukan sebagai satu keluarga yang bersefahaman, langkah seterusnya adalah mengehadkan setiap pebelanjaan 3
mengikut bajet yang realistik untuk persekolahan seperti pembelian alatan, pakaian seragam, dan kelengkapan lain, tidak termasuk perbelanjaan wajib seperti yuran. Tetapkan juga had perbelanjaan untuk juadah berbuka, lebih-lebih lagi pembelian di bazar Ramadan serta rancangan berbuka mahupun bersahur di luar. Begitu juga dengan perbelanjaan hari raya, hadkan peruntukan untuk baju raya, juadah dan kuih- muih, serta dekorasi rumah dan duit raya.
Tujuan mengehadkan perbelanjaan-perbelanjaan ini adalah untuk memastikan perbelanjaan dan komitmen tetap setiap bulan tidak terjejas seperti bil-bil utiliti dan bayaran ansuran bulanan.
4. [U] Urus Hutang
Musim perayaan amat sinonim dengan musim meminjam. Apatah lagi bila melalui pertembungan peristiwa tiga (3) serangkai ini. Apa tidaknya, permohonan pinjaman dikatakan meningkat dengan ketara pada Januari 2024, iaitu sebanyak 40 peratus berbanding bulan yang sama pada 2023. Menurut penganalisis, terdapat kemungkinan keperluan modal bagi menyambut musim perayaan yang bakal tiba mendorong peminjam yang berpotensi membuat pinjaman.
Perlu diketahui, antara amalan pengurusan kewangan yang bijak untuk musim perayaan adalah mengelak daripada membuat hutang baru. Prinsipnya mudah: kepuasan jangka pendek tidak seharusnya didanai oleh hutang yang akan melibatkan komitmen kewangan jangka panjang. Kalau pun perlu berhutang, pastikan hutang baru ini (contoh: kad kredit) boleh dibayar semuanya sebelum tarikh akhir, atau (contoh: pinjaman peribadi, sewa beli) tidak menaikkan jumlah ansuran bulanan anda melebihi 40% daripada gaji atau pendapatan bersih.
5. [R] Rancang Perbelanjaan
Akhir sekali ialah masa untuk menjadi tamu di kedai-kedai, arked-arked dan pusat- pusat membeli belah (termasuk platform membeli belah dalam talian) untuk ‘berburu’. Di sinilah, ‘keimanan’ kita akan diuji (jangan terpesong daripada pelan perbelanjaan) termasuk kecekapan kita mencari tawaran harga dan pilihan yang terbaik.
Amalkan perbelanjaan yang bijak seperti membuat perbandingan harga di beberapa tempat, dan membeli atau menempah barangan atau tempahan (seperti baju raya) lebih awal atau mengambil peluang waktu promosi untuk harga yang lebih murah. Gunakan juga sebarang insentif dan bantuan seperti bantuan awal persekolahan yang telah diberikan oleh Kerajaan (RM150 setiap pelajar) dengan sebaik mungkin untuk tujuan pembelajaran dan persekolahan.
Selain itu, kita juga perlu bijak merancang perjalanan untuk menjimatkan kos. Susun jadual perjalanan balik kampung bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas. Pastikan juga kenderaan diselengara dengan baik sebelum memulakan perjalanan bagi mengelakkan kos tambahan membaik pulih kenderaan. Manfaatkan juga waktu perjalanan dengan tol percuma yang kebiasaanya diumumkan Kerajaan semasa sambutan perayaan-perayaan besar seperti sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Tip Tambahan
Pendekatan lain untuk menampung perbelanjaan adalah menambah sumber kewangan sedia ada. Anda boleh mencari pendapatan tambahan sebelum tiba musim perayaan dengan menjual barangan terpakai (pre-loved), menyediakan perkhidmatan, atau mencari pekerjaan sambilan. Anda boleh menjadi ejen menjual biskut dan pakaian raya (permulaan untuk peluang perniagaan pada masa hadapan).
Di samping itu, ambil juga boleh cuba menghantar borang taksiran cukai pendapatan lebih awal. Sekiranya terdapat wang cukai yang terlebih bayar, ia boleh digunakan untuk menampung perbelanjaan tambahan persekolahan anak-anak serta bulan Ramadan dan Syawal.
Namun, harus diingat bahawa ini hanyalah langkah tambahan. Pastikan perbelanjaan dirancang berdasarkan sumber pendapatan sedia ada dan bukan pendapatan tambahan yang belum tentu. Dengan mengamalkan lima (5) Langkah S.A.H.U.R. yang telah diterangkan, anda bukan sahaja dapat mencapai kejernihan dan ketenangan minda bagi menentukan hala tuju perbelanjaan yang betul, anda juga dapat berjimat sehingga ada lebihan wang dan bukan defisit di akhir musim perayaan.
by Faiz Riziq | Mar 14, 2024 | Kewangan, Keberhutangan & Pelaburan
Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) hari ini mengumumkan pengenalan penasihat robo secara terbina pada platform aplikasi myASNB, dinamakan RIA. Melaluinya, ia menyasarkan untuk membantu orang ramai dalam membuat keputusan pelaburan, disamping turut memperkasa individu dengan pengalaman pelaburan yang mesra pengguna.
ASNB menyatakan pengenalan RIA ini akan memudahkan lagi proses pelaburan oleh orang ramai. Ini termasuk dengan penawaran portfolio pelaburan yang diperibadikan, selain turut membantu dalam mengautomasi transaksi berulang.
Selari dengan pengenalannya hari ini, ASNB akan mengecualikan yuran pengurusan RIA untuk pelaburan melaluinya sebanyak 0.30% setahun, sehingga 31 Disember 2024 kelak. Pengguna yang berminat boleh memuat-turun aplikasi myASNB dan menggunakan ciri RIA yang sedang diperkenalkan secara berperingkat kepada semua.
by Faiz Riziq | Mar 13, 2024 | Ekonomi, Perniagaan & Korporat, Fakta & Informasi, Luar Negara, English & Other Country
Syarikat kosmetik paling terkenal di dunia, The Body Shop, telah muflis dan menutup ratusan kedai di Amerika Syarikat dan Kanada, lapor CNBC. Sejak 1 Mac, syarikat yang berpangkalan di UK itu tidak lagi mengendalikan ratusan kedai di Amerika Syarikat, termasuk kedai dalam talian, selepas memfailkan kebankrapan. Sementara itu, di Kanada 33 daripada 105 kedainya telah dijual.
“Inflasi yang tinggi dalam beberapa tahun kebelakangan ini telah merugikan kedai-kedai seperti The Body Shop yang kebanyakannya beroperasi di luar pusat membeli-belah dan ditujukan kepada golongan menengah,” dipetik dari laporan CNN.
Sebelum muflis, The Body Shop diasaskan pada tahun 1976 di England oleh aktivis alam sekitar dan hak asasi manusia Anita Roddick. Syarikat ini memasarkan produk kosmetik yang didakwa semulajadi dan mesra alam. Syarikat itu juga dikenali sebagai salah satu syarikat pertama yang melarang ujian produk kosmetik ke atas haiwan. Pada tahun 2019, syarikat ini telah disahkan B Corp atau memenuhi piawaian untuk ketelusan dan kesedaran alam sekitar.
Pada tahun 2023, perniagaan The Body Shop sebenarnya masih boleh berkembang dengan kehadiran 2,500 kedai runcit di lebih 80 negara. Syarikat itu juga memasarkan produknya dalam talian di lebih daripada 60 pasaran digital. Sepanjang perjalanannya, The Body Shop telah menukar pemilikan beberapa kali. Pada tahun 2006, syarikat itu dibeli oleh L’Oreal dengan harga lebih daripada AS$ 1 bilion. Kemudian pada 2017 ia dibeli oleh syarikat Brazil Natura & Co dengan harga AS$ 1 bilion.
Tambahan pula, pada penghujung tahun lepas, Th Body Shop telah dijual oleh Natura kepada syarikat pengurusan aset Aurelius dengan harga AS$ 266 juta selepas laporan kewangannya mencatatkan penurunan perniagaan tahunan sebanyak 13.5% pada 2022.
by Faiz Riziq | Mar 13, 2024 | Ekonomi, Perniagaan & Korporat, Fakta & Informasi
Kerajaan tetap komited dalam memastikan hasil petroleum dari Terengganu digunakan untuk projek dan program yang memberi manfaat kepada rakyat di negeri itu.Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata sehingga kini, kerajaan telah menyalurkan Pemberian Wang Ehsan sebanyak RM786 juta bagi membantu Kerajaan Negeri berkenaan memenuhi keperluan bayaran gaji serta komitmen kontrak.
“Kerajaan Persekutuan (juga) terbuka untuk berbincang dan mempertimbangkan cadangan dari kerajaan negeri Terengganu.
“Cadangan tersebut boleh dipersetujukan bersama untuk melibatkan program serta projek yang boleh dibiayai melalui pemberian Wang Ehsan bagi memanfaatkan langsung kepada rakyat Terengganu, terutamanya dalam usaha mengurangkan kemiskinan dan meningkatkan infrastruktur,” katanya ketika menggulung usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.
Sumber – Bernama
Recent Comments