Ekonomi negara bergantung pada Bank & Sektor Swasta – Malaysia

Ekonomi negara bergantung pada Bank & Sektor Swasta – Malaysia

KUALA LUMPUR: Sektor swasta, terutamanya bank-bank komersial, mempunyai peranan penting dalam memastikan ekonomi Malaysia kekal utuh dalam jangka masa panjang, menurut Malaysian Rating Corporation Bhd (MARC). Dalam kenyataan hari ini, katanya institusi perbankan komersial boleh membantu menyokong ekonomi dengan berkesan menggunakan mudah tunai yang disediakan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dengan memberi pinjaman kepada perniagaan yang memerlukan seperti perusahaan kecil dan sederhana dengan prospek yang baik.

"Ini berdasarkan pengalaman daripada krisis kewangan global (2008-2009) yang menunjukkan pertumbuhan pinjaman meningkat dengan perlahan di Amerika Syarikat (AS) menjadi sebab utama di sebalik pemulihan ekonomi, walaupun suntikan mudah tunai yang besar oleh Rizab Persekutuan AS melalui dasar pelonggaran kuantitatif," katanya dalam kenyataan pada Sabtu. MARC berkata sektor perbankan berada dalam keadaan yang lebih baik berbanding kemelesetan pada 1998 dan 2009.

Pada Februari 2020, jumlah nisbah modal sektor itu lebih tinggi pada 18.4 peratus berbanding 12.6 peratus pada 2009.Kualiti aset tetap stabil pada tahun lepas dengan nisbah susut nilai pinjaman kasar (GIL) pada akhir tahun sebanyak 1.5 peratus. "Berdasarkan senario semasa, bagaimanapun, pinjaman terjejas boleh meningkat, dan pinjaman kepada perniagaan akan berisiko."Bagaimanapun, penting untuk mengetahui jika perniagaan tidak mendapat bantuan yang diperlukan, mungkin terdapat implikasi ekonomi yang lebih besar." GIL bank boleh meningkat kepada paras lebih tinggi dan ini akan menjadi beban ekonomi yang lebih berat kepada bank," katanya.

Semalam, Gabenor BNM Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata berdasarkan ujian tekanan yang dijalankan ke atas sektor perbankan, impak ekonomi dan kewangan daripada perkembangan ini berada dalam julat kejutan yang terpakai dalam senario yang tidak menggalakkan dalam ujian tekanannya. "Kami melihat daya tahan sektor perbankan kita sebagai aspek yang penting. Ujian tekanan tidak termasuk sebarang campur tangan dasar oleh pihak berkuasa dan tindakan kewangan yang mungkin diambil oleh institusi perbankan itu sendiri. "Dalam senario hari ini, bank dan pihak berkuasa mengambil langkah untuk mengurangkan impak," katanya.

Dalam Laporan Tahunan 2019 yang dikeluarkan semalam, BNM mengunjurkan pertumbuhan ekonomi Malaysia akan berada dalam julat antara -0.2 peratus dan 0.5 peratus pada tahun ini berikutan impak daripada pandemik COVID-19 ke atas ekonomi global dan domestik. MARC turut berkongsi pandangan BNM mengenai jangkaan kemerosotan ekonomi Malaysia pada 2020, berikutan perniagaan yang terjejas oleh pandemik tersebut.Katanya kerajaan telah menyediakan bantuan kepada individu dan perniagaan untuk membantu mereka menghadapi tempoh mencabar ini melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat berjumlah RM250 bilion.

Sumber - Bernama

Tiada laporan Polis berkenaan CIMB

Tiada laporan Polis berkenaan CIMB

KUALA LUMPUR: Polis belum menerima aduan daripada mana-mana pihak berhubung kes transaksi pembayaran secara rawak melalui ‘direct debit’ ke atas pemilik akaun bank CIMB.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Zakaria Ahmad, berkata buat masa ini polis meminta pelanggan merujuk bank terlebih dahulu.

“Setakat ini tiada laporan polis diterima. Pelanggan boleh membuat aduan kepada pihak bank dan mendapatkan penjelasan,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Sejak semalam kecoh di media sosial mengenai caj secara rawak CIMB ke atas akaun pelanggannya.

Ada segelintir pengguna media sosial termasuk di Twitter turut memuat naik salinan rakam layar transaksi ‘direct debit’ dalam akaun bank masing-masing menunjukkan transaksi yang berlaku membabitkan nilai antara bawah RM10 hingga ribuan ringgit.

Kebanyakannya mendakwa tidak mengetahui untuk apa transaksi berkenaan dibuat sedangkan tidak pernah membuat sebarang bayaran atau aturan pembayaran secara automatik menggunakan akaun CIMB mereka.

Sementara itu, CIMB Bank Bhd (CIMB) dalam satu kenyataan hari ini menjelaskan transaksi ‘direct debit’ yang tular di media sosial adalah urus niaga kad debit yang sah yang dibuat pelanggan.

Bank itu menjelaskan insiden terpencil itu adalah disebabkan transaksi tidak lengkap yang dibuat oleh pelanggan dengan peniaga luar negara seperti langganan atau perkhidmatan penstriman dalam talian.

Bagaimanapun, katanya, transaksi berkenaan dilabel semula sebagai ‘direct debits’ menyebabkan kekeliruan kepada pelanggannya.

“Kami memohon maaf atas sebarang kekeliruan dan kami akan menghubungi pelanggan yang terbabit secara langsung,” katanya.

Sumber: Bharian.

Online
Hi! Boleh kami bantu?