CTOS bagi laporan kredit percuma – COVID19

CTOS bagi laporan kredit percuma – COVID19

Ditengah kita di landa wabak Covid-19, pihak CTOS membuat promosi untuk 100,000 orang pertama boleh mendapat laporan kredit mereka secara PERCUMA. Di dalam laporan itu, terdapat laporan kredit anda dengan pihak bank, jumlah markah latar belakang anda sebagai peminjam dengan bank serta telko.

Semua telah tercatat di dalam laporan tersebut bagi memudahkan anda faham tentang laporan kredit anda sebagai peminjam. Disini, anda dapat merangka kewangan anda dengan lebih baik serta dapat melakukan langkah strategik berkenaan kewangan anda sebagai peminjam.

Bagi anda yang tidak tahu apa itu CTOS?

CTOS adalah sistem maklumat utama yang digunakan secara meluas oleh majoriti sistem kewangan negara, syarikat perdagangan dan perniagaan, firma undang-undang dan institusi lain. Tidak seperti CCRIS yang berada di bawah Bank Negara Malaysia (BNM), CTOS dimiliki dan diuruskan oleh syarikat Malaysia, telah berada dalam perniagaan selama 20 tahun, mengumpul maklumat mengenai individu dan syarikat-syarikat daripada pelbagai sumber yang terdapat dalam domain awam.

Maklumat ini diformatkan ke dalam pangkalan data elektronik yang menyediakan proses untuk memeriksa dengan mudah, cepat dan berkesan untuk permohonan pinjaman, kredit perdagangan dan perniagaan dan untuk membuat keputusan oleh pemberi kredit dan pemberi pinjaman.

Sumber-sumber maklumat CTOS antara lain termasuklah:

  • Notis undang-undang dalam akhbar
  • Carian di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM)
  • Warta dan penerbitan kerajaan.
  • Carian di Jabatan Insolvensi Malaysia
  • Jabatan Pendaftaran Negara
  • Carian di pendaftar pertubuhan.
  • Maklumat hubungan yang disediakan oleh pemiutang / litigators / penyokong perdagangan
  • Maklumat sukarela yang diberikan oleh subjek itu sendiri.

Cara untuk dapatkan laporan kredit CTOS ini secara percuma?

  1. Anda perlu melayari website http://www.ctos.com.my
  2. Mendaftar akaun baru bagi belum mendaftar
  3. Masukkan maklumat peribadi
  4. Verify melalui emel
  5. Pilih untuk dapatkan laporan penuh CTOS
  6. Masukkan kod promo FREEMCO20 ketika buat bayaran. Automatik jumlah bayaran akan jadi kosong.
  7. Klik submit
  8. Laporan CTOS anda akan dihantar ke emel yang didaftarkan.




Terma dan Syarat

  1. Sah dari 1 – 14 April 2020 dan terhad kepada 100,000 pelanggan.
  2. Setiap individu berhak menerima SATU (1) laporan Skor MyCTOS percuma sahaja.
  3. Untuk menebus laporan kredit Skor MyCTOS peribadi anda, anda perlu mendaftar untuk akaun CTOSID.
  4. Pelanggan CTOS sedia ada yang telah menebus laporan Skor MyCTOS percuma sebelum (sama ada secara langsung melalui CTOS atau melalui rakan kongsi kami) TIDAK layak untuk skor percuma ini.
  5. Penebusan laporan skor percuma menggunakan kod promo FREEMCO20 hanya boleh didapati dalam talian melalui laman web kami. Tidak tersedia pada APP mudah alih.

Laporan CTOS ini amat membantu anda untuk membuat pembiayaan peribadi dengan pihak bank. Pihak kami dapat menganalisa laporan anda jika layak untuk memohon. Ingin cuba dapatkan pembiayaan peribadi bank? Pegawai perunding kami akan memberi bantuan kepada anda. Anda boleh KLIK SINI

Selamat mencuba!

Tindakan berani oleh BNM pengurangan SRR, OPR – COVID19

Tindakan berani oleh BNM pengurangan SRR, OPR – COVID19

KUALA LUMPUR – Langkah Bank Negara Malaysia (BNM) mengurangkan nisbah Keperluan Rizab Berkanun (SRR) dan Kadar Dasar Semalaman (OPR) dilihat sebagai tindakan berani dan terawal berbanding negara-negara jiran serantau, kata Ketua Industri Perkhidmatan Kewangan dan Risiko Pengawalseliaan Deloitte Malaysia, Justin Ong.

Beliau merujuk kepada nisbah SRR yang telah diturunkan sebanyak 100 mata asas daripada 3.00 peratus kepada 2.00 peratus pada 20 Mac, 2020 manakala OPR dikurangkan untuk kali kedua tahun ini sebanyak 25 mata asas daripada 2.75 peratus kepada 2.50 peratus pada 3 Mac, 2020.

“Malah, kita merupakan negara pertama di rantau ini yang menawarkan kemudahan moratorium enam bulan kepada peminjam individu dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang terbabit,” katanya kepada Bernama hari ini.

Langkah-langkah tambahan turut diumumkan oleh BNM pada 27 Mac, 2020 yang memberi tumpuan kepada segmen PKS menerusi penambahbaikan dan meningkatkan peruntukan kemudahan pinjaman di bawah Tabung BNM untuk PKS, katanya.

“Pemegang polisi insurans dan peserta takaful juga tidak terkecuali menerusi langkah seperti penangguhan bayaran premium insurans dan sumbangan terhadap takaful tersebut.

“Sebaliknya, bank pusat negara lain di rantau ini lebih mengamalkan pendekatan lebih lembut seperti mengeluarkan peringatan kepada institusi kewangan melaksanakan kaedah kawalan mengurus impak penularan COVID-19 dan menyambut baik inisiatif sukarela bank untuk memberi kelonggaran kepada pelanggan masing-masing,” katanya.

Sehubungan itu, Ong menyifatkan tindakan yang diambil oleh BNM sebagai mengutamakan masa depan apalagi dengan mengambil kira penguncupan ekonomi Malaysia sebagaimana diumumkan menerusi laporan Tinjauan Ekonomi dan Monetari BNM 2019 pada 3 April lepas.

Beliau berkata, prospek ekonomi Malaysia adalah mencabar dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) diunjurkan sekitar -2.0 peratus dan +0.5 peratus pada 2020.

“Ini berikutan permintaan global yang lemah, rantaian bekalan yang terjejas serta langkah-langkah kawalan COVID-19 baik di peringkat tempatan dan luar negara,” katanya.

Menurut Ong, pengumuman langkah-langkah awal bagi mengurangkan impak penularan COVID-19 pada minggu lepas selain perubahan dasar monetari sejak suku lepas, merupakan petanda jelas pendirian BNM untuk berdaya tahan mengharungi cabaran semasa serta menyokong ekonomi pada masa sukar ini.

Deloitte merujuk kepada antara Deloitte Touche Tohmatsu Ltd (DTTL), firma anggota rangkaian globalnya serta entiti yang berkaitan.

DTTL (juga dirujuk sebagai Deloitte Global) dan setiap anggota firma dan entiti sekutunya adalah berasingan secara undang-undang dan merupakan entiti bebas.

Deloitte juga merupakan peneraju penyedia audit dan jaminan global selain khidmat perundingan, nasihat kewangan, cukai dan perkhidmatan berkaitan.

Sumber – MG

Bank Dunia cadang suntikan mudah tunai – COVID19

Bank Dunia cadang suntikan mudah tunai – COVID19

BANK Dunia menggesa semua negara mengambil tindakan segera untuk mengukuhkan langkah pembendungan wabak Covid-19 dengan meningkatkan kapasiti penjagaan kesihatan dan melaksanakan langkah ekonomi yang disasarkan bagi mengurangkan kesan ke atas isi rumah, perniagaan dan pekerja.

Pengurus Negara Bank Dunia di Malaysia, Firas Raad berkata, ini termasuk suntikan mudah tunai yang lebih besar dan fleksibiliti pembayaran balik kepada sektor kewangan.

Katanya, penting bagi negara mengamalkan pendekatan bersepadu terhadap pembendungan wabak Covid-19 dan dasar makroekonomi serta kerjasama antarabangsa dan perkongsian awam-swasta untuk memastikan pengeluaran dan pembekalan barangan perubatan utama di seluruh sempadan antarabangsa.

“Malaysia juga tidak terkecuali daripada kejutan luaran yang menjejaskan makroekonomi negara.

“Dalam tempoh dua dekad lalu, Malaysia menghadapi krisis kewangan Asia pada 1997, kelembapan ekonomi global selepas peristiwa 9/11 pada 2001 dan krisis kewangan global pada 2008.

“Setiap kejutan ini menjejaskan ekonomi Malaysia dari segi berbeza. Krisis pertama menyebabkan penguncupan ekonomi paling besar dalam sejarah Malaysia di mana kadar pertumbuhan bertukar negatif 7.35 peratus pada 1998.

“Negara ini berjaya mengatasi krisis yang besar melalui dasar yang berhemah dan penggarisan langkah penting untuk melindungi Malaysia daripada dua kejutan ekonomi yang muncul seterusnya,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan, semalam.

Menurutnya, Covid-19 juga muncul ketika persekitaran ekonomi global mengalami sedikit kelembapan.

“Sebelum tersebarnya Covid-19 ke seluruh dunia dua bulan lalu, pertumbuhan ekonomi hampir semua negara sudah semakin perlahan berikutan ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat dan China.

“Wabak di Wuhan, China kini menular menjadi krisis kesihatan awam antarabangsa dan krisis ekonomi global yang menyebabkan kejutan bekalan dan kejutan permintaan meliputi lebih 180 negara.

“Pada masa sama, tatkala pandemik global ini berlarutan, harga minyak antarabangsa mengalami kejatuhan pada awal Mac lalu.

“Perkembangan ini menimbulkan tekanan fiskal tambahan terhadap negara pengeluar minyak termasuk Malaysia,” katanya.

Bagaimanapun katanya, pakej rangsangan ekonomi Malaysia mengandungi elemen tepat untuk menangani kesan krisis Covid-19.

“Malaysia telah melalui pelbagai krisis ekonomi. Menerusi keazaman, pemikiran yang jelas, penyusunan dasar yang teliti serta menggunakan sepenuhnya pengalaman yang lalu, Malaysia pasti dapat menempuh badai yang luar biasa ini,” katanya.

Tiada dikenakan Fi di Mesin ATM Maybank – COVID19

Tiada dikenakan Fi di Mesin ATM Maybank – COVID19

KUALA LUMPUR: Maybank akan mengecualikan fi RM1 bagi transaksi pengeluaran tunai antara bank di terminal mesin juruwang automatik (ATM)/layan diri berkuat kuasa mulai 6 April 2020 hingga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan.

Langkah ini bertujuan membantu meringankan beban kewangan pelanggan bagi semua bank yang mungkin perlu membuat pengeluaran tunai di terminal ATM/layan diri terdekat, berikutan pergerakan terhad susulan lanjutan PKP untuk memerangi COVID-19, menurut Maybank dalam kenyataan di sini, hari ini.

Maybank mempunyai lebih 2,900 terminal ATM/ layan diri di seluruh negara.

Sumber: Bharian

Bank Islam Sumbang 1.6 juta – COVID19

Bank Islam Sumbang 1.6 juta – COVID19

KUALA LUMPUR: BIMB Holdings Bhd (BHB) bersama anak syarikat milik penuhnya, Bank Islam Malaysia Bhd (Bank Islam) menyampaikan sumbangan berjumlah RM1.6 juta bagi menyokong usaha kemanusiaan dan berkaitan perubatan dalam menangani pandemik COVID-19.

BHB menyumbang RM1.0 juta kepada Tabung #MusaadahCOVID-19 yang dilancarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohammad Al-Bakri untuk membantu petugas barisan hadapan Islam dan bukan Islam yang terjejas teruk akibat wabak berkenaan

Manakala, Bank Islam, menerusi cabang tanggungjawab sosial korporatnya, AMAL, turut menyediakan peruntukan sebanyak RM600,000 untuk beberapa inisiatif termasuk bantuan kewangan kepada usahawan mikro yang perniagaannya terjejas teruk akibat pandemik.

Selain itu, inisiatif itu turut merangkumi sokongan bantuan langsung yang akan digunakan untuk menyalurkan bantuan makanan dan barangan keperluan kepada universiti, rumah anak yatim, rumah orang tua dan orang kelainan upaya (OKU), serta keperluan asas perubatan kepada hospital dan klinik kesihatan daerah; serta pembelian barangan keperluan untuk hospital di seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif BHB dan Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata, sebagai warga korporat yang bertanggungjawab, adalah menjadi amanah syarikat untuk menjaga kesejahteraan pihak berkepentingan dan masyarakat setempat.

“COVID-19 memberikan kesan negatif terhadap kesejahteraan dan kebajikan masyarakat dan aktiviti ekonomi di seluruh dunia, lebih-lebih lagi terhadap pengamal perubatan dan usahawan mikro.

“Sumbangan sebanyak RM1.6 juta ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan kami untuk membantu masyarakat terjejas dan kurang bernasib baik yang menerima kesan signifikan ekoran pandemik ini.

“Melalui inisiatif yang dilaksanakan, kami berharap ia dapat meringankan beban semua pihak yang terbabit,” katanya.

Sumbangan ke Tabung #MusaadahCOVID-19 disampaikan kepada Zulkifli Mohammad.

Sumber: Bharian

Online
Hi! Boleh kami bantu?