KUALA LUMPUR: BIMB Holdings Bhd (BHB) bersama anak syarikat milik penuhnya, Bank Islam Malaysia Bhd (Bank Islam) menyampaikan sumbangan berjumlah RM1.6 juta bagi menyokong usaha kemanusiaan dan berkaitan perubatan dalam menangani pandemik COVID-19.
BHB menyumbang RM1.0 juta kepada Tabung #MusaadahCOVID-19 yang dilancarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohammad Al-Bakri untuk membantu petugas barisan hadapan Islam dan bukan Islam yang terjejas teruk akibat wabak berkenaan
Manakala, Bank Islam, menerusi cabang tanggungjawab sosial korporatnya, AMAL, turut menyediakan peruntukan sebanyak RM600,000 untuk beberapa inisiatif termasuk bantuan kewangan kepada usahawan mikro yang perniagaannya terjejas teruk akibat pandemik.
Selain itu, inisiatif itu turut merangkumi sokongan bantuan langsung yang akan digunakan untuk menyalurkan bantuan makanan dan barangan keperluan kepada universiti, rumah anak yatim, rumah orang tua dan orang kelainan upaya (OKU), serta keperluan asas perubatan kepada hospital dan klinik kesihatan daerah; serta pembelian barangan keperluan untuk hospital di seluruh negara.
Ketua Pegawai Eksekutif BHB dan Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata, sebagai warga korporat yang bertanggungjawab, adalah menjadi amanah syarikat untuk menjaga kesejahteraan pihak berkepentingan dan masyarakat setempat.
“COVID-19 memberikan kesan negatif terhadap kesejahteraan dan kebajikan masyarakat dan aktiviti ekonomi di seluruh dunia, lebih-lebih lagi terhadap pengamal perubatan dan usahawan mikro.
“Sumbangan sebanyak RM1.6 juta ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan kami untuk membantu masyarakat terjejas dan kurang bernasib baik yang menerima kesan signifikan ekoran pandemik ini.
“Melalui inisiatif yang dilaksanakan, kami berharap ia dapat meringankan beban semua pihak yang terbabit,” katanya.
Sumbangan ke Tabung #MusaadahCOVID-19 disampaikan kepada Zulkifli Mohammad.
Sumber: Bharian
Recent Comments