Bagi memastikan perjalanan di plaza tol lebih lancar dan bebas kesesakan, Touch ‘n Go eWallet kini memperkenalkan ciri baharu yang dinamakan SOS Balance. Dengan ciri ini, pengguna boleh melintasi tol walaupun baki kad TNG mereka tidak mencukupi. Menarik, bukan? Berikut adalah segala yang anda perlu tahu mengenai SOS Balance TNG:

Apa Itu Ciri SOS Balance?

Ciri SOS Balance adalah kemudahan yang disediakan melalui aplikasi TNG eWallet, membolehkan pengguna melunaskan pembayaran tol apabila baki dalam kad TNG tidak mencukupi.

Namun begitu, ciri ini hanya terhad kepada pembayaran tol sahaja buat masa ini. Setelah menggunakan ciri SOS Balance, pengguna diberikan tempoh 24 jam untuk menambah nilai TNG eWallet mereka. Baki SOS yang tertunggak akan ditolak secara automatik selepas penambahan nilai dilakukan.

Hanya Pengguna Setia TNG eWallet Layak

Ciri ini tidak ditawarkan kepada semua pengguna secara automatik. Ia hanya tersedia untuk pengguna setia TNG eWallet yang memenuhi kriteria tertentu. Untuk meningkatkan peluang mendapat akses ciri ini, pengguna disarankan:

  1. Melangsaikan semua bayaran tertunggak yang dibuat melalui TNG eWallet.
  2. Kerap menambah nilai dan aktif menggunakan TNG eWallet untuk transaksi harian.

Bagi pengguna yang layak, ciri SOS Balance akan diaktifkan secara automatik. Sekiranya anda belum layak, tingkatkan tabiat penggunaan TNG eWallet anda untuk memenuhi kriteria yang ditetapkan.

PayDirect Perlu Diaktifkan untuk Menggunakan Ciri Ini

Walaupun layak, beberapa faktor mungkin menyebabkan ciri SOS Balance tidak dapat digunakan. Antaranya:

  1. Ciri ini hanya tersedia di plaza tol terpilih yang menyokong RFID dan PayDirect.
  2. Pengguna perlu memastikan RFID atau PayDirect diaktifkan dalam aplikasi TNG eWallet mereka.
  3. Jika baki eWallet anda mencukupi, ciri SOS Balance tidak akan diaktifkan kerana pembayaran akan ditolak secara normal.

Untuk mengelakkan sebarang masalah, pengguna dinasihatkan untuk memeriksa status PayDirect di aplikasi mereka, kerana terdapat kemungkinan ciri ini telah dinyahaktifkan tanpa disedari.

Lokasi Tol yang Menyokong Ciri SOS Balance

Buat masa ini, ciri SOS Balance hanya tersedia di plaza tol terpilih yang menyokong TNG RFID dan PayDirect. Untuk meningkatkan akses kepada ciri ini, pihak pengendali lebuh raya digalakkan memperluaskan liputan RFID dan PayDirect pada lebih banyak plaza tol di seluruh negara.

Melancarkan Perjalanan Pemandu Malaysia

Dengan inisiatif ini, Touch ‘n Go eWallet terus berinovasi untuk meningkatkan kemudahan pembayaran tol bagi pemandu di Malaysia. Ciri SOS Balance bukan sahaja memberikan ketenangan kepada pengguna ketika melalui tol, malah membantu mengurangkan kesesakan dan memudahkan perjalanan anda. Muat turun atau kemas kini aplikasi Touch ‘n Go eWallet anda sekarang dan nikmati kemudahan ini sempena perjalanan anda! 🚗💨

Online
Hi! Boleh kami bantu?