Ekoran perubahan tingkahlaku pengguna dalam aliran perbelanjaan negara semakin ketara kesan sokongan teknologi, Shopee kini mula menggandakan strategi pemasaran mereka – apabila meluaskan ciri SLoan, iaitu akses pinjaman fleksibel kepada para pengguna aktifnya.
Sebelum ini, akses SLoan hanya tersedia buat peniaga sahaja untuk mengukuhkan aliran kewangan mereka dalam perniagaan. Lebih menarik permohonan pinjaman ini dimaklumkan akan melalui proses kelulusan yang pantas untuk pengguna, iaitu dalam tempoh 24 jam sahaja.
Maka untuk menikmati akses pinjaman sehingga RM100,000 dan serendah RM1,000 ini, para pengguna perlu memuat-turun aplikasi Shopee untuk memiliki ciri SLoan tersebut. Selanjutnya memaparkan kad pengenalan diri ataupun kad MyPR (penduduk tetap) pada proses permohonan, untuk menjamin had umur pengguna menepati kriteria akses pinjaman iaitu berusia 18 tahun dan ke atas.

Manakala berhubung persoalan had kredit pinjaman yang lebih tinggi pula, kadar tersebut dimaklumkan akan ditentukan oleh Shopee berasaskan semakan berkala pada akaun aplikasi pengguna. Bagaimanapun ia boleh diselaraskan dari semasa ke semasa mengikut ketetapan aplikasi.
Namun perlu diingatkan, bagi setiap kelewatan membayar semula pinjaman ini – caj 8% tambahan akan dikenakan bagi setiap tunggakan ke atas pengguna. Diikuti kos setem 0.5% pada jumlah pinjaman, kadar faedah sekitar 18% setahun pada pinjaman dan penolakan RM5 bagi setiap pengeluaran pinjaman.
Meskipun akses ini telah tersedia pada aplikasi Shopee, tetapi hanya sekumpulan pengguna sahaja boleh laksana permohonan pinjaman. Dimaklumkan ciri SLoan ini akan diperluas dari semasa ke semasa kepada seluruh pengguna tidak lama lagi. Maka sebarang kesulitan yang berlaku, para pengguna boleh layari bahagian khidmat pelanggan Shopee untuk laksana aduan dan maklum-balas berhubung ciri aplikasi ini.

Recent Comments