Rang Undang-Undang (RUU) Wang Tak Dituntut (Pindaan) 2024 kini telah mencapai kelulusan di bawah persidangan Dewan Negara, semalam. Pindaan itu akan membantu negara meningkatkan manfaat hasil apabila antaranya bertujuan meminda subsekyen 11(2) Akta 370 di bawah fasal 10 bagi mengurangkan tempoh Wang Tak Dituntut (WTD) yang dikreditkan ke Akaun Amanah Disatukan daripada 15 tahun kepada 10 tahun.
Menerusi pindaan yang dibentang, membolehkan WTD dipindahkan ke Akaun Hasil Disatukan – membantu negara meraih keperluaan perbelanjaan yang lebih tinggi dan memenuhi permintaan pemulihan serta sosioekonomi negara.
Buat pengetahuan umum, sebelum ini bagi mana-mana WTD yang telah mencapai 15 tahun – akan dipindahkan ke Akaun Hasil Disatukan di bawah Akta Wang Tak Dituntut 1965. Aturan itu bertujuan dibelanjakan pada perbelanjaan operasi dan pembangunan negara berasaskan bajet yang dibentangkan oleh Perdana Menteri selaras dengan Akta Tatacara Kewangan 1957.
Manakala sebahagian baki pula diakaunkan pada Akaun Amanah Disatukan, dilaburkan dalam Simpanan Tetap selaras dengan Akta Tatacara Kewangan 1957. Hasil pelaburan itu akan diakaunkan ke Akaun Hasil Disatukan untuk tujuan sama.
Maka melalui pindaan mengurangkan tempoh WTD yang dikreditkan tersebut, ini akan beri kelebihan kepada aturan perbelanjaan negara. Difahamkan untuk peringkat awal sekiranya aturan ini diluluskan, jumlah WTD yang akan dipindahkan ke Akaun Hasil Disatukan berupaya mencapai RM1.98 bilion kelak.
Walaupun tempoh tersebut dikurangkan – para pemohon masih boleh laksana tuntutan WTD tanpa memiliki sebarang tempoh akhir. MOF menjelaskan pemilik WTD memiliki hak mutlak untuk menuntut WTD pada bila-bila masa sahaja. Berikutan itu, kepada pengguna awam yang ingin menyemak sekiranya anda memiliki WTD – boleh merujuk pada pautan Portal Jabatan Akauntan Negara Malaysia (eGumis) untuk tindakan lanjut.
Recent Comments