Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) JPMorgan Chase, Jamie Dimon, berkata kemelesetan ekonomi global dan Amerika Syarikat (AS) berkemungkinan terjadi menjelang pertengahan 2023, lapor Anadolu.

Inflasi melonjak di AS dan seluruh dunia, kenaikan kadar faedah lebih tinggi daripada jangkaan dan perang Russia-Ukraine dianggap faktor ‘amat serius’ yang boleh menyebabkan kemelesetan, menurut ketua bank pelaburan multinasional dan syarikat perkhidmatan kewangan berpangkalan di AS itu.

“Ini perkara yang amat serius yang saya fikir akan mengheret AS dan dunia, maksud saya, Eropah telah pun mengalami kemelesetan, dan berkemungkinan menyebabkan AS akan mengalami kemelesetan enam hingga sembilan bulan dari sekarang,” kata Dimon kepada CNBC.

Rizab Persekutuan (Fed) AS, antara bank-bank pusat di seluruh dunia, telah menaikkan kadar faedah dengan agresif untuk membendung inflasi, yang kini mencecah pada paras tertinggi dalam tempoh beberapa dekad di kebanyakan negara.

Dimon berkata, Fed ‘menunggu terlalu lama dan bertindak terlalu sedikit’ apabila inflasi di AS melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh lebih 40 tahun. Walaupun Fed dan Pengerusinya, Jerome Powell telah berulang kali pada suku terakhir 2023 berkata bahawa inflasi adalah bersifat ‘sementara’, anggota Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) dengan pantas berubah nada apabila perang di Ukraine melonjakkan harga tenaga dan makanan selain meningkatkan lagi tekanan inflasi.

Ketua Fed Chicago, Charles Evans, semalam berkata bahawa Fed akan mengurangkan kadar inflasi ‘dengan pantas’ sambil turut mengelak kemelesetan. Namun, Dimon berkata beliau tidak pasti sejauh mana kemelesetan di AS akan berlaku.

“Ia boleh jadi amat sederhana hingga agak buruk, bergantung kepada apa yang berlaku dengan perang ini. Maka, saya fikir ia akan menjadi buruk, bersedialah,” katanya.

 

Online
Hi! Boleh kami bantu?