by Faiz Riziq | Oct 25, 2022 | Perbankan, Tips, Tinjauan & Statistik
Akhir-akhir ini, isu kehilangan wang dalam akaun bank simpanan hangat diperkatakan. Ianya melibatkan dari ratusan hingga ribuan ringgit. Berikutan itu, pihak kerajaan, perbankan serta agensi-agensi terlibat telah mengadakan pelbagai kempen bagi memberikan saranan kepada pengguna agar lebih berhati-hati untuk mengelakkan menjadi mangsa penipuan dalam talian.
Mungkin ada juga dalam kalangan pengguna yang tertanya bagaimana wang yang disimpan dalam akaun bank tiba-tiba sahaja boleh dikeluarkan oleh pihak lain. Namun, tanpa kita sedar ia mungkin berlaku kerana akaun bank tersebut sudah pun dipautkan dengan peranti yang digunakan oleh ‘scammer’ atau penipu dalam talian.

Bagi pengguna CIMB Clicks yang ingin memastikan akaun bank tidak dipautkan selain peranti yang didaftarkan, berikut kami sediakan langkah mudah bagi tujuan menyemak jika ada akses telefon lain pada akaun anda.
Cara semak jika ada akses lain pada akaun CIMB Clicks
1. Di bahagian paparan utama, leret ke tepi dan pilih “Setting”.
2. Kemudian, lihat di bahagian “Other Registered Device” untuk menyemak jika ada peranti lain yang didaftarkan di bawah ID CIMB Clicks pengguna.
3. Sekiranya mendapati terdapat peranti yang mencurigakan dalam senarai tersebut, padam peranti tersebut dengan cara pilih peranti yang ingin dipadam > leret ke tepi > tekan simbol padam. Akhir sekali tekan “Yes” dan peranti yang tidak diingini akan segera dinyahaktif dari senarai tersebut.
Sebagai langkah tambahan, anda juga boleh menghubungi pusat khidmat pelanggan CIMB dengan kadar segera di talian 03-62047788.
by Faiz Riziq | Oct 23, 2022 | Tips, Tinjauan & Statistik
MUDAHNYA! Berita baik buat pengguna bank Malayan Banking Berhad (Maybank), kini dengan mudahnya anda boleh menukar kad bank. Bila tengok kad debit bank, jika tarikh yang tertera dah luput dan ia automatik tidak boleh menunaikan sebarang transaksi!
Nak pergi bank, rasa malas kerana urusan akan dijangka memakan masa yang lama, perlu tunggu nombor giliran dan buat temu janji. Jadi, ikut sahaja cara tukar kad debit Maybank secara online sahaja ini, kad pun akan dihantar ke rumah!
Menurut Maybank, semua kad debit Maybank boleh ditukar ganti melalui dalam talian kecuali jika kad berkenaan hilang atau dicuri atau terlupa nombor PIN. Jika tidak mahu berurusan di cawangan bank, anda boleh saja menukarkan kad tersebut menerusi dalam talian dan tunggu kad yang baharu dihantar ke rumah masing-masing. Baca juga Taip alamat web rasmi, Maybank dedah penipuan laman perbankan palsu
Berikut cara untuk memohon kad bank secara online;
- 1. Log masuk Maybank2U
- 2. Pergi ke Accounts
- 3. Klik Cards
- 4. Klik titik tiga kat Maybank Visa Debit Card
- 5. Klik Replace, Activate & Block
- 5. Tekan titik tiga dekat Card Details, Status, pilih Replace Card
- 7. Isi alamat anda untuk penghantaran kad, poskod alamat berserta negeri anda. Click di T&C untuk setuju dan tekan Replace Card.
- 8. Tekan request SMS TAC dan isi TAC yang diterima diruangan yang disediakan.
- 9. Masukkan nombor TAC dan klik CONFIRM.
Kad baharu anda akan dihantar dalam tempoh 9 hari bekerja dari tarikh permohonan. Menurut seorang pengguna Facebook dikenali Fatiha Faizuallah, untuk pengaktifan kad baru pula boleh buat dua cara sama ada tukar pin di mesin ATM ATAU secara online.
Secara online sama juga masuk bahagian Card lepas tu pilih Aktive Card nanti kita akan diminta masukkan lapan angka terakhir dari kad yang baru dapat tu. Kemudian hanya ikut arahan untuk nombor TAC. Selepas tu siap terus aktif. Jangan risau, nombor pin akan sama dengan nombor pin kad lama anda dahulu. Mudah sangat kan! Semoga bermanfaat!
by Faiz Riziq | Oct 23, 2022 | Tips, Tinjauan & Statistik
Sebaik sahaja anda menerima gaji pertama, antara perkara yang anda ingin lakukan semestinya memperuntukkan sebahagian dari gaji tersebut untuk ibubapa anda. Kami menyediakan panduan untuk mengetahui jumlah yang anda boleh peruntukkan serta mengapa tindakan anda itu penting dan terpuji.
Mengapa anda perlu memberi wang kepada ibu bapa?
Bagi membesarkan kita dan adik-beradik yang lain, ibu bapa telah banyak berbelanja. Maka, selaku anak yang telah bekerja, inilah masanya untuk membalas jasa tersebut. Walaupun mereka mungkin telah mempunyai simpanan KWSP, wang anda berikan sedikit sebanya k boleh membantu.
Lagipun, tahukah anda simpanan KWSP belum tentu boleh menjamin persaraan yang selesa? Pada tahun 2020, data dari KWSP menunjukkan lebih daripada 54% penyumbang tidak mempunyai dana yang mencukupi untuk bertahan dari segi kewangan selepas bersara semasa berumur 55 tahun.
Selain itu, kajian telah menunjukkan jangka hayat manusia semakin meningkat, dengan sebuah penerbitan dari Institut Penyelidikan Khazanah (Khazanah Research Institute) berjudul “Population Aging: Can We “Live Long and Prosper”? turut menyatakan yang Malaysia juga terasa tempias trend peningkatan jangka hayat populasi ini.
Dijangka rakyat Malaysia akan hidup lebih lama, tetapi tanpa sumber pendapatan dan juga simpanan yang mencukupi. Maka, dengan memberikan sedikit wang untuk ibu bapa, anda boleh membantu meringankan beban mereka.
Belajar menjadi seorang pemurah
Memetik maksud sebuah hadis, “tangan yang diatas itu lebih baik dari tangan dibawah”. Tidak kira berapa pun jumlah wang yang anda berikan kepada ibu bapa anda, ianya boleh memupuk sikap ingin bersedekah dan juga mengurangkan rasa pentingkan diri sendiri. Selain itu, anda akan membuat ibu bapa anda bangga (walaupun kadangkala mereka tidak akan memaklumkannya kepada anda). Tindakan memberi wang ini menunjukkan anda telah menjadi seorang individu bertanggungjawab dan memiliki perancangan kewangan.
Pemberian lebih bermakna dari jumlah wang
Walaupun kebanyakan ibu bapa tidak mengharapkan anda berikan wang, ketahuilah yang mereka amat menghargainya. Bak kata pepatah, ‘it’s the little gesture that counts’. Walaupun jumlahnya kecil, tindakan ini menunjukkan anda prihatin tentang mereka. Malah, inilah masanya untuk anda menjadi anak yang membalas jasa.
Berapa jumlah wang patut anda beri?
Sebaiknya, wang yang anda berikan boleh bantu untuk menampung perbelanjaan harian dan bil perubatan ibu bapa anda. Tetapi, jika anda tidak mampu untuk berikan jumlah tersebut, seberapa yang anda berikan asalkan boleh meringankan beban mereka sudah mencukupi. Berikut ialah contoh cadangan jumlah pemberian untuk berikan anda anggaran:
- RM 150 untuk bil elektrik
- RM 300 untuk barang dapur
- RM 150 untuk insurans
Contoh anda boleh memberi sebanyak RM 500 sebulan, anda sudah menampung bayaran untuk bil elektrik dan juga barangan dapur. Dan jika anda hanya mampu memberi RM 200 sebulan, ini juga sudah boleh menampung bil elektrik atau insuran. Selain itu, dengan usia ibu bapa anda yang meningkat, perbelanjaan untuk perubatan serta pelan insuran yang bagus harus diutamakan.
Berkaitan: Perbezaan Insurans Hayat dan Insurans Perubatan
Katakanlah anda tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk berikan kepada ibu bapa anda pada setiap bulan, jangan risau. Anda masih lagi boleh menyumbang untuk ibu bapa melalui cara berikut:
- Selalu pulang ke kampung untuk melawat mereka.
- Bantu mereka dalam kerja-kerja rumah
- Belikan barang keperluan dapur
- Bantu mereka ke pemeriksaan doctor
- Belanja makan sekali-sekala.
Jadi, apa salahnya sebagai contoh anda bawa mereka ke restoran kegemaran (atau sebagai contoh, tempat mereka bertemu janji dahulu!) sebagai ganti makan tengah hari atau makan malam. Walaupun perbezaan gaya kita dibesarkan bermaksud ibu bapa mungkin ataupun tidak kisah mengenai pemberian wang dari anak-anak; tetapi jangan lupa yang masih ada cara anda boleh membantu di usia emas mereka.
by Faiz Riziq | Oct 22, 2022 | Tips, Tinjauan & Statistik
Megikut pepatah Inggeris, “Lend only the amount of money you can afford to lose.” Terjemahannya; Hanya pinjamkan jumlah wang yang anda mampu tampung andai kata ia tidak dibayar balik. Apabila anda pinjamkan wang kepada ahli keluarga atau teman-teman, kerap kali anda akan berharap mereka akan pulangkan wang anda dengan segera (atau dalam masa yang ditetapkan) untuk memelihara hubungan kekeluargaan atau persahabatan anda.
Namun realiti bukan selalu seperti yang diharapkan, dan situasi akan menjadi janggal apabila anda terpaksa bertanya tentang pembayaran balik wang anda sehingga berkali-kali. Jika anda tidak pasti tentang bagaimana untuk meminta kembali wang yang telah anda pinjamkan tanpa merosakkan hubungan kekeluargaan atau persahabatan anda, cubalah 5 cadangan kami seperti berikut:

1. Ingatkan dengan sopan
Sesetengah orang memang benar-benar pelupa, jadi kadang-kala mereka lupa bahawa mereka berhutang anda sesuatu – terutamanya jika hutang mereka bukanlah jumlah yang besar. Dalam situasi seperti ini, seeloknya ingatkan mereka dengan lembut, gunakan bahasa yang sopan apabila mengingatkan mereka tentang hutang mereka kepada anda.
Cuba tanya jika mereka masih ingat tentang hutang mereka kepada anda, dan bila mereka boleh membayarnya kembali. Contohnya, “Adakah anda ingat tentang wang yang saya pinjamkan anda pada bulan lepas? Bilakah masa yang sesuai untuk anda membayarnya kembali ? ”
2. Tanyakan maklumat terkini tentang situasi kewangan mereka
Orang meminjam wang untuk tujuan tertentu , dan mereka biasanya akan memberitahu anda tentang tujuan mereka apabila mereka meminjam wang daripada anda. Sebagai contoh, jika wang yang dipinjam bertujuan untuk membayar kos belajar, tanya mereka tentang keadaan pembelajaran mereka . Ini boleh mendorong mereka untuk mengingati hutang mereka, atau membuka perbualan mengenai tempoh masa mereka boleh membayar hutang mereka kepada anda.
3. Biar mereka bayar untuk pusingan seterusnya
Jika jumlah hutang teman anda adalah kecil , anda boleh meminta rakan anda untuk membayar makanan/minuman anda pada perjumpaan yang akan datang. Cara ini berkesan kerana anda boleh mendapatkan sebahagian daripada jumlah wang anda dibayar balik dan ia berfungsi sebagai peringatan bahawa mereka berhutang dengan anda.
4. Minta pertolongan daripada mereka
Anda telah membantu mereka apabila mereka memerlukannya , kini tiba giliran mereka untuk menghulurkan pertolongan kepada anda. Jika anda memerlukan wang untuk sesuatu, minta mereka bantu anda dengan membayar kembali hutang mereka kepada anda.
5. Beri terma yang fleksibel
Tawarkan pembayaran secara ansuran untuk mereka yang berhutang dengan anda. Ini adalah cara yang bijak bagi memastikan anda mendapat kembali wang yang anda pinjamkan, kerana anda memberikan si peminjam terma pembayaran yang fleksibel dan garis masa yang sesuai dengan kemampuan mereka.
Hutang yang belum dibayar di antara rakan-rakan boleh mengeruhkan hubungan persahabatan. Memarahi seseorang yang berhutang wang dengan anda adalah cara yang cepat untuk kehilangan teman. Ingatkan diri anda bahawa hubungan persahabatan dan kekeluargaan anda adalah lebih bernilai daripada wang yang terhutang.
P?S: Hanya pinjamkan jumlah wang yang anda selesa untuk ‘hilang’, ini kerana kemungkinan untuk rakan/ahli keluarga anda gagal membayar hutang anda kembali tetap wujud. Tetapi apabila tiba masa untuk meminta wang anda kembali, lakukannya dengan sopan dan lembut bagi memelihara hubungan anda.
Jadi bagaimana anda bertanya kepada seorang kawan atau ahli keluarga untuk meminta wang anda kembali? Beritahu orang lain cara apa yang berkesan untuk anda dan kongsikannya dengan kami di bahagian komen di bawah!
by Faiz Riziq | Oct 20, 2022 | Kewangan, Keberhutangan & Pelaburan, Tips, Tinjauan & Statistik
Walaupun terdapat pelbagai pendedahan kesedaran berhubung kepentingan miliki instrumen perlindungan untuk para pekerja di Malaysia, namun masih ramai lagi tidak menzahirkan tahap kesedaran tersebut melalui tindakan selanjutnya. Ketika ini 1 daripada 3 rakyat Malaysia (30%) pada kumpulan usia utama antara 25 tahun hingga 40 tahun mengakui tidak miliki sebarang perlindungan seperti sokongan insurans, termasuklah insurans peribadi.
Apa yang lebih membimbangkan mengikut kajian Impak Pandemik Terhadap Perlindungan oleh Zurich Malaysia ini daripada peratusan tersebut 16% pekerja negara turut mengakui tidak merancang untuk menyediakan wang bagi tujuan sokongan insurans terhadap diri mereka.
Ini perincian lanjut, berhubung pemahaman pekerja di Malaysia akan pemilikan perlindungan;
- 22% memaklumkan tidak memiliki maklumat mencukupi
- 21% merasakan insurans yang disediakan majikan telah memadai
- 18% tidak memahami keperluan insurans secara jelas
- 16% tidak merancang miliki insurans
- 14% merasakan tiada keperluan mendapatkan insurans
- 11% pekerja maklum mereka tidak mampu
- 9% akui miliki tanggapan buruk tentang insurans
Maka melalui aspek tersebut secara jelas, pekerja Malaysia masih lagi miliki tahap kesedaran tindakan yang rendah untuk mengurangkan jurang risiko kehidupan mereka sebagai persediaan untuk berdepan hari tua kelak. Namun wajar difahami juga, situasi ini turut didorong atas faktor miliki gaji yang rendah, kekurangan simpanan dan tanggungan yang tinggi. Faktor ini telah disahkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) apabila 75% rakyat Malaysia didapati tidak miliki simpanan RM1,000 sekiranya berlaku hal kecemasan.
Sementara 6.62 juta pencarum KWSP yang berusia bawah 55 tahun pula didapati memiliki simpanan kurang daripada RM10,000 setelah negara menilai hasil pengeluaran i-Lestari, i-Sinar, i-Citra dan Pengeluaran Khas. Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya hasrat untuk memiliki instrumen perlindungan seperti insurans dan takaful diketepikan terlebih dahulu – untuk kumpulan pekerja ini memenuhi keperluan harian mereka.
by Faiz Riziq | Oct 19, 2022 | Tips, Tinjauan & Statistik
“Berbaloi ke kalau aku melabur di sini”? “Tak rugi ke”?
Itu adalah antara persoalan-persoalan yang sentiasa timbul setiap kali ingin membuat pelaburan untuk sesuatu perkara. Sebenarnya, terdapat sesetengah pelaburan yang anda boleh pertimbangkan kerana ia sememangnya mampu memberikan keuntungan serta kebaikan kepada anda pada masa akan datang.
Bak kata pepatah, sediakan payung sebelum hujan. Tidak salah jika anda ingin membuat pelaburan jika ia kena pada tempat dan masanya. Bukan itu sahaja, pelaburan juga boleh menjadi salah satu cara untuk anda membuat simpanan dari peringkat awal yang seterusnya bakal memberi keuntungan lumayan kepada anda. Jadi di sini, kami kongsikan lima jenis pelaburan yang anda boleh pertimbangkan untuk masa hadapan anda. Selamat membaca!
1. Simpanan ASNB
Melabur di dalam unit amanah ASNB merupakan salah satu pelaburan yang paling lazim dilakukan oleh penduduk bumiputera di negara ini. ASB menjadi pilihan kerana ia mampu memberikan keuntungan kepada pelabur dengan pulangan dividen sehingga 7%.
ASB juga merupakan satu pelaburan berbentuk simpanan. Dengan simpanan/pelaburan yang dibuat oleh anda itu, anda juga tidak disekat malah boleh mengeluarkan wang pelaburan anda dalam tempoh 24 jam tanpa perlu melepasi tempoh bertenang selama 2 hingga 3 minggu.
Yang lebih menarik, dividen dan bonus ASB juga adalah dalam bentuk Ringgit dan bukannya Unit seperti unit amanah yang lain.
2. Pelaburan emas
Pernahkah anda melihat situasi di mana apabila berlaku krisis dunia, harga emas kemudiannya akan naik? Ya, itu yang sering berlaku malah ia turut berlaku ketika pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia termasuk Malaysia sehingga ia dijangka meningkat sehingga RM300/gram.
Jadi, anda mungkin boleh mempertimbang untuk membuat pelaburan dalam emas selepas ini. Melabur dalam emas sememangnya akan memberi risiko yang rendah kepada anda untuk mengalami kerugian. Harga emas akan meningkat dalam jangka masa panjang selari dengan kenaikan harga barang dan juga kejatuhan nilai wang.
3. Melabur dalam hartanah; beli rumah
Melabur dalam hartanah mampu memberi keuntungan jika anda memilih lokasi yang baik dan tepat. Apatah lagi jika lokasi tersebut mendapat permintaan tinggi oleh banyak pihak, sudah tentu anda akan mendapat pulangan pelaburan yang tinggi dan menguntungkan anda.
Bukan itu sahaja, dengan membeli hartanah, anda juga boleh mendapat pendapatan sampingan melalui konsep ‘sewa’. Bahkan perkara ini juga yang sering dilakukan oleh kebanyakan masyarakat kita hari ini. Memberi sewa kepada orang lain sememangnya menguntungkan dan membantu anda untuk memperoleh pendapatan bulanan.
4. Buat ‘tabung warna’ untuk simpanan
Anda pasti biasa dengar dengan ‘tabung warna’ bukan? Ya, ini juga salah satu bentuk pelaburan yang anda boleh lakukan. Bahkan ia adalah bentuk pelaburan yang paling mudah sekali dilakukan kerana ia tidak terikat dengan mana-mana pihak melainkan diri anda.
Buat ketetapan, laburkan duit anda sama ada wang kertas hijau (RM5), wang kertas merah (RM10), atau wang kertas jingga (RM20). Jika anda memperoleh wang tersebut di dalam dompet anda, segera asingkannya dan simpankan ke suatu tempat yang lain. Semakin tinggi nilai wang yang anda laburkan itu, semakin tinggi jugalah hasil yang anda akan dapat di kemudian hari. Tetapkan juga waktu untuk anda gunakan wang tersebut. Mungkin setahun, mungkin dua tahun, atau mungkin lebih lama? Buat ikut kehendak anda dan pastikan ia berhasil ya!
5. Beli insurans untuk masa depan anda
Sebenarnya, membeli insurans juga satu bentuk pelaburan yang baik. Ada sesetengah pakej insurans yang menawarkan anda untuk membuat simpanan di samping menerima perlindungan insurans di saat anda memerlukan. Elakkan daripada menganggap ia sebagai satu beban untuk diri anda. Dengan membeli insurans, ia secara tidak langsung bakal membantu meringankan beban anda khususnya dari segi kewangan sekiranya berlaku sesuatu kepada diri anda kelak.
Banyak insurans yang anda boleh beli antaranya insurans hayat, kad perubatan, insurans rumah dan sebagainya. Belanjakan 10% sahaja pendapatan anda untuk membeli insurans dan kami yakin anda tidak akan menyesal dan rugi.
Kini, anda juga boleh mendapatkan perlindungan insurans melalui kami di KMC dari harga serendah RM74, anda bakal menerima pelan lengkap semua-dalam-satu yang sememangnya terbaik untuk diri anda!
Recent Comments