Sarawak & Sabah Berstatus Wilayah Bukan Negeri Lagi

Sarawak & Sabah Berstatus Wilayah Bukan Negeri Lagi

Sabah dan Sarawak kini telah alami perubahan status, tidak lagi diklasifikasikan sebagai negeri tetapi sebagai Wilayah. Makluman Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi, merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah ini – memperincikan perubahan tersebut adalah seiring dengan langkah Indonesia yang telah memindahkan ibu kotanya ke Kalimantan Timur – ini secara langsung menjadikan kedua wilayah sebagai lokasi potensi untuk pertumbuhan yang lebih strategik.

Melalui usaha ini, mengikut laporan Bernama pentadbiran negara disasar akan menyegerakan langkah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) untuk meningkatkan lagi pembangunan ekonomi negara. Menerusi perubahan status ini, tiada perincian lanjut yang dilaksana oleh TPM Zahid – namun berdasarkan peranan tiga Wilayah Persekutuan negara ketika ini, ia mentakrifkan Kuala Lumpur selaku ibu negara rasmi, sementara Labuan pula bertindak selaku pusat perniagaan dan kewangan antarabangsa manakala Putrajaya pula sebagai hab pentadbiran persekutuan.

Memudahkan Rakyat Malaysia Melihat Data Ekonomi Dengan OpenDOM – DOSM

Memudahkan Rakyat Malaysia Melihat Data Ekonomi Dengan OpenDOM – DOSM

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bersama sokongan Kementerian Ekonomi kini menampilkan medium OpenDOSM NextGen yang bertindak selaku pusat rujukan data melibatkan ekonomi dan sosial semasa. Melalui laman OpenDOSM, pengguna Malaysia dapat melihat pelbagai data dan aliran semasa berkaitan tekanan harga, inflasi, paras OPR, pengeluaran industri mahupun data melibatkan pasaran buruh.

Kepelbagaian ini secara langsung, akan memudahkan rakyat negara untuk lebih memahami akan status semasa ekonomi Malaysia. Ia sekaligus tidak sekadar memudahkan namun turut mendidik masyarakat menjadi lebih peka akan ketidaktentuan pertumbuhan semasa negara.

Tidak hanya ekonomi dan sosial, orang awam juga boleh meninjau pada bahagian katalog data untuk mengetahui lanjut berhubung kategori kesihatan negara dan data pilihanraya umum tempoh hari. Malah sekiranya ingin mengetahui lanjut akan maklumat demografi negara, laman OpenDOSM ini turut menyediakan pautan KawasanKu bagi memudahkan rujukan buat para pengguna. Adanya ketersediaan medium ini, ia secara langsung akan meningkatkan lagi pemahaman rakyat Malaysia berhubung aliran pertumbuhan semasa.

Graduan Baru Perlu Bekerja Di Sektor Sokongan Untuk Elak Menganggur

Graduan Baru Perlu Bekerja Di Sektor Sokongan Untuk Elak Menganggur

Meskipun kadar pengangguran Malaysia semakin menurun kepada paras sebelum pandemik COVID-19, perlu diakui masih terdapat kelompongan pada pasaran negara dalam menawarkan peluang pekerjaan berpaksikan tahap pendidikan mereka.

Dapatan Khazanah Research pada minggu ini berhubung ketidakseimbangan perolehan gaji permulaan dalam kalangan graduan – memperincikan didapati 70% graduan negara kini perlu bekerja dalam skop sokongan, jawatan seperti pengkeranian dan bahagian perkhidmatan untuk mengelakkan dari menganggur.

Situasi ini berlaku susulan ketidaksepadanan peluang pekerjaan negara meningkat kepada 37.5% berbanding 34.4% pada 2019. Perihal ini tersebut ekoran tekanan ekonomi ketika pandemik telah mengurangkan keperluan tenaga kerja negara secara fizikal.

Data ini turut mendapat sokongan Kajian Pengesanan Graduan yang mengukur status pekerjaan graduan selepas menamatkan pengajian mereka – didapati 40% daripada graduan akui perolehan pekerjaan mereka ketika ini tidak memerlukan sebarang kelayakan pendidikan tinggi. Maka tidak hairanlah mengapa penyertaan graduan dalam skop tidak mahir terus meningkat kerana ketiadaan peluang yang saksama pada pasaran negara.

Untuk makluman setiap tahun, dianggarkan negara menghasilkan sekitar 250,000 graduan merentasi pelbagai bidang penggajian di seluruh institusi pendidikan negara dan setakat Julai 2022 didapati lebih 1.6 juta pekerja pendidikan tinggi tidak miliki kerjaya setara dengan kemahiran mereka.

Antara Manfaat Menyimpan Dokumen Cukai Pendapatan

Antara Manfaat Menyimpan Dokumen Cukai Pendapatan

Pejam celik, pejam celik berakhirlah sudah tahun 2022 dan ini bermakna bermula pada Bulan Mac 2023 ini pembayar cukai individu akan mula menjalankan tanggungjawab mereka untuk mengisi Borang Nyata Cukai bagi Tahun Taksiran 2022.

Dalam kesibukan untuk mengisi Borang Nyata Cukai kami pasti mungkin akan berlakunya pelepasan cukai yang lupa untuk dituntut kerana resit-resit dan dokumen-dokumen berkaitan pelepasan cukai tersebut hilang atau sudah lusuh akibat gagal disimpan dengan rapi. Selain daripada tanggungjawab menyimpan semua dokumen percukaian ini memang ada termaktub dalam undang-undang, kelebihannya juga banyak jika ia disimpan dengan rapi dan pastinya ia akan memberikan manfaat kepada pembayar cukai sendiri.

Dalam artikel ini kami kongsikan apakah manfaat yang pembayar cukai akan dapat sekiranya mereka mengamalkan tabiat menyimpan semua dokumen percukaian dengan baik dan selamat.

1. Mematuhi undang-undang cukai

Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967) memang ada menyatakan dengan jelas bahawa setiap dokumen percukaian hendaklah disimpan dengan selamat sekurang-kurangnya untuk tempoh tujuh (7) tahun. Ketetapan ini diperuntukkan menurut seksyen 82 dan 82A ACP 1967 dan kegagalan untuk mematuhi peruntukan dalam akta ini merupakan satu kesalahan yang boleh dikenakan denda atau penjara untuk suatu tempoh tertentu. Sudah pasti kami tidak mahu melihat pembayar cukai mengalami semua masalah ini, justeru ikutlah nasihat kami dan simpanlah semua dokumen percukaian dengan teratur dan selamat.

2. Memudahkan urusan pengiraan cukai

Sebelum pembayar cukai mengisi Borang Nyata Cukai, kami percaya mereka akan membuat pengiraan cukai yang mereka perlu bayar terlebih dahulu. Tujuannya ialah untuk memastikan semua perbelanjaan dan pelepasan cukai telah diambil kira sebelum ia dikunci masuk ke dalam borang cukai elektronik atau e-Filing mereka.
Mengikut pengalaman kami, kesilapan sering berlaku apabila pembayar cukai tidak bersedia dari awal dengan pengiraan cukai, resit-resit dan dokumen-dokumen percukaian mereka sehingga menyebabkan ketika mereka mengisi e-Filing mereka akan terlupa mengambil kira perbelanjaan dan pelepasan yang layak mereka tuntut. Akibatnya, amaun cukai yang mereka kena bayar kepada HASiL menjadi lebih tinggi kerana jumlah perbelanjaan dan pelepasan cukai yang mereka isi dalam e-Filing adalah rendah daripada yang sepatunya.
Keadaan ini pasti merugikan pembayar cukai kerana mereka telah membayar amaun cukai yang lebih daripada yang sepatutnya kepada kerajaan.

3. Mudahkah urusan semakan semula oleh HASiL

Penyimpanan rekod yang kemas, teratur dan selamat juga akan membantu pembayar cukai mengemukakan bukti perbelanjaan dan pelepasan cukai tersebut adalah sahih apabila ia diperlukan oleh HASiL.
Dalam Sistem Taksir Sendiri, HASiL akan menerima setiap pelaporan cukai daripada pembayar cukai secara suci hati. Maknanya, kami tidak meragui setiap pelaporan cukai yang dibuat oleh pembayar cukai sehinggalah kami dapati ada keraguan yang munasabah pada pelaporan tersebut.
Jika itu berlaku maka pegawai HASiL akan menghubungi pembayar cukai dan memohon pembayar cukai untuk mengemukakan bukti perbelanjaan atau pelepasan cukai yang dituntut dalam Borang Nyata Cukai mereka. Tujuan proses ini dilakukan adalah untuk proses semakan semula dan mengesahkan kesahihan tuntutan tersebut. Dalam hal ini pembayar cukai tidak perlu bimbang kerana selagi semua resit dan dokumen percukaian berjaya dikemukakan dan perbelanjaan serta pelepasan cukai yang dituntut dapat dibuktikan kesahihannya, maka HASiL akan menerimanya tanpa mengenakan taksiran tambahan mahupun penalti. Oleh kerana itulah pentingnya semua dokumen percukaian ini disimpan dengan teratur.

4. Membantu pembayar cukai membuat semakan semula dan memohon pengurangan cukai.

  • Manfaat ini paling seronok dan sering tidak disedari oleh pembayar cukai. Tujuan dokumen cukai disimpan sebenarnya bukan untuk membantu urusan HASiL semata-mata, sebaliknya ia juga bagi memberikan peluang kepada pembayar cukai meneliti semula pelaporan cukai yang telah mereka buat sebelum ini.
  • Jika pembayar cukai mendapati mereka telah tersalah lapor amaun perbelanjaan atau pelepasan yang menyebabkan mereka rugi kerana terpaksa membayar cukai yang lebih tinggi, mereka sentiasa dialu-alukan untuk menghubungi HASiL bagi urusan semakan semula sekali gus bakal menikmati pengurangan cukai.
  • Maka mulai hari ini amalkan tabiat untuk menyimpan semua dokumen percukaian dengan teratur dan selamat. Ia banyak memberi manfaat kepada pembayar cukai, malah kaedah penyimpannya juga tidaklah rumit kerana dokumen-dokumen tersebut boleh disimpan dalam bentuk salinan cetak (hard copy) ataupun salinan digital (soft copy).

Sebarang pertanyaan dan maklum balas berkaitan boleh dimajukan kepada HASiL melalui:

  1. Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (Luar Negara);
  2. HASiL Live Chat; dan
  3. Borang Maklum Balas di portal rasmi HASiL di pautan pantas
Langkah Untuk Tukar Nama Rumah Pemilik Meninggal Dunia

Langkah Untuk Tukar Nama Rumah Pemilik Meninggal Dunia

Tiada kesepakatan dan perbalahan antara waris untuk tukar nama rumah pemilik meninggal atau merasakan proses tuntutan harta pusaka terlalu rumit untuk diuruskan merupakan antara sebab harta pusaka tidak dituntut. Ketidakfahaman tentang cara tukar nama rumah pemilik meninggal dunia juga antara penyumbang kepada peningkatan kes harta pusaka tidak dituntut di Malaysia.

Tukar Nama Rumah Pemilik Meninggal: Cara Tukar Nama Tanah Pusaka kepada Waris yang Masih Hidup

Masalah harta pusaka tidak diuruskan banyak berlaku di Malaysia. Berdasarkan laporan Utusan Malaysia, dianggarkan hampir RM90 bilion jumlah harta beku dan tidak dituntut. Malah, hampir 90 peratus daripada jumlah harta tidak dituntut ini milik orang Melayu. Bagaimana proses tukar nama rumah pemilik meninggal dunia ini boleh dilakukan?

Apabila pemilik hartanah meninggal dunia tanpa meninggalkan sebarang wasiat, waris-waris disarankan untuk berbincang dengan sebaik mungkin bagi mendapatkan kata putus. Lantik seorang wakil dalam kalangan waris-waris si mati sebagai Pentadbir Harta. Pelantikan Pentadbir Harta bertujuan untuk menguruskan pembahagian harta si mati kepada waris-waris mengikut persetujuan bersama.

Sekiranya persetujuan untuk pembahagian harta yang ditinggalkan tidak berjaya dicapai antara waris-waris si mati, Pentadbir Harta perlu memfailkan permohonan di Mahkamah Syariat untuk mendapatkan Perintah Faraid.

Namun begitu, jika kesemua waris bersetuju dengan pembahagian harta tersebut, maka Pentadbir Harta tadi perlu memfailkan permohonan di Pejabat Pusaka Kecil (untuk nilai hartanah keseluruhan kurang daripada RM2 juta). Atau, anda juga boleh memfailkan permohonan Perintah Pusaka dan Pentadbir Harta di Mahkamah Tinggi sekiranya nilai keseluruhan hartanah melebihi RM2 juta.

1. Nilai Harta Kurang daripada RM2 Juta

Untuk kategori Harta Tak Alih (seperti rumah atau tanah) yang kurang atau tidak melebihi RM2 juta, segala urusan berkaitan bagi mendapatkan hak mentadbir harta boleh dilakukan di Pejabat Tanah (Bahagian Pusaka Kecil) di daerah masing-masing atau di mana-mana Pejabat Tanah berhampiran atau mengikut lokasi harta tersebut berada.

Pentadbir Harta atau wakil yang dipersetujui perlu memfailkan permohonan di Pejabat Pusaka Kecil bagi mendapatkan Perintah Pusaka dan Perintah Pentadbir Harta. ini bagi membolehkan hartanah yang ditinggalkan boleh dibahagikan kepada waris seperti yang dipersetujui atau mengikut bahagian faraid masing-masing.

2. Nilai Harta Melebihi RM2 Juta

Namun sekiranya nilai keseluruhan hartanah yang dimiliki bernilai melebihi RM2 juta, sebarang urusan pentadbiran atau penjualan harta berkenaan perlu dilakukan di Mahkamah Tinggi. Wakil yg dilantik perlu memfailkan permohonan Perintah Pusaka dan Pentadbir Harta di Mahkamah Tinggi.

Selepas Perintah Pusaka dan Pentadbir Harta diterima, Pentadbir Harta yang dilantik perlu membuat serahan Permohonan Pindahan di bawah Seksyen 346(1) Kanun Tanah Negara di pejabat Tanah yang berkenaan. Semasa proses serahan ini dilakukan, anda perlu sertakan bersama Salinan Asal atau Salinan Diperakui Sah Perintah Pusaka dan Pentadbir Harta.

Tujuan Permohonan Pindahan ini dilakukan adalah untuk membolehkan hartanah yang ditinggalkan atas nama si mati (pemilik berdaftar) dipindahkan kepada Pentadbir Harta sebagai pentadbir atau pemegang amanah kepada harta tersebut. Ia membolehkan hartanah tersebut dipindah milik daripada nama Pentadbir Harta kepada nama waris-waris yang berhak seperti yang dinyatakan dalam Perintah Pusaka tadi.

Oleh sebab itu, anda perlu melantik wakil yang amanah, jujur dan bertanggungjawab bagi mengelakkan sebarang kesulitan semasa proses tukar nama pemilik rumah meninggal dilakukan.

7 Proses Mudah Tukar Nama Rumah Pemilik Meninggal

Setelah pemilik harta meninggal dunia, Pejabat Tanah biasanya akan membekukan atau menghalang sebarang transaksi atau turun milik nama setelah mendapat makluman. Ini bermaksud, setelah kematian pemilik asal, waris perlu membuat urusan tukar nama dengan berurusan di Pejabat Tanah mengikut prosedur-prosedur tertentu.

Secara ringkasnya, cara tukar nama tanah pemilik meninggal dunia adalah seperti berikut:

  1. Lantik Pentadbir Harta dalam kalangan waris-waris si mati;
  2. Failkan tuntutan pusaka di Pejabat Tanah (Bahagian Pusaka Kecil) atau Mahkamah Tinggi Sivil (jika nilai hartanah melebihi RM2 juta) bagi mencairkan harta tersebut;
  3. Selepas Pindahan difailkan, Pejabat Tanah atau Mahkamah Tinggi (mana-mana berkaitan) akan keluarkan Perintah Pusaka dengan menetapkan bahagian setiap waris yang berhak ke atas hartanah yangditinggalkan dan masukkan nama Pentadbir Harta pada Surat Hak Milik Hartanah (geran tanah);
  4. Setelah nama Pentadbir Harta dimasukkan dalam geran tanah, hartanah tersebut kini boleh dipindah milik kepada waris-waris yang layak mengikut bahagian masing-masing dan tertakluk pada Perintah Pusaka;
  5. Bawa perintah pusaka tersebut ke Pejabat Tanah untuk urusan turun milik;
  6. Nama waris akan dicetak pada geran;
  7. Selesai.

Sekiranya pembahagian hartanah tersebut melibatkan Faraid, Pejabat Tanah biasanya akan terus memasukkan nama Pentadbir Harta dan waris-waris sebagai pemilik berdaftar baharu pada geran tanah mengikut bahagian masing-masing. Selepas kesemua nama waris direkodkan di dalam geran, satu geran tanah baharu akan dikeluarkan oleh Pejabat Tanah.

Sekiranya pemilik berdaftar di dalam geran lebih daripada seorang, Pentadbir Tanah biasanya akan dipertanggungjawabkan untuk memegang geran asal tanah tersebut. Untuk prosedur yang lebih terperinci atau sebarang pertanyaan berkaitan proses ini, anda disarankan untuk merujuk Pejabat Pusaka Kecil untuk info lanjut.

Perkara Perlu Anda Lakukan Setelah Urusan Jualan & Turun Milik Selesai

Urusan turun milik rumah atau tukar nama rumah pemilik meninggal perlu dilakukan dengan kadar segera sebaik sahaja pemilik hartanah tersebut meninggal dunia. Lebih baik jika proses ini dilakukan setelah mencapai persetujuan bersama. Berbincang terlebih dahulu dengan waris lain bagi mencapai persetujuan untuk mengelakkan salah faham atau perbalahan.

Secara asasnya, persetujuan boleh dicapai dengan tiga kaedah berikut antaranya kaedah faraid, muafakat atau bertolak ansur (beri kepada pewaris atau adik-beradik yang lebih memerlukan). Namun begitu, setelah selesai proses tukar nama rumah pemilik meninggal atau jualan harta selesai, pewaris perlu selesaikan segala perbelanjaan berkaitan si mati dengan hasil penjualan tersebut sebelum diagihkan kepada waris termasuklah:

  • Perbelanjaan pengebumian si mati;
  • Membayar segala hutang-piutang si mati;
  • Bayaran kepada ejen, peguam atau apa-apa bayaran tertangguh lain yang berkaitan si mati.

Semoga panduan tukar nama rumah pemilik meninggal dunia ini membantu anda. Selain itu, sekiranya anda sedang merancang untuk mendapatkan perlindungan insurans rumah, layari laman web KMC untuk info lanjut.

Kejatuhan Saham Tesla, Bukan Lagi Orang Terkaya Di Dunia – Elon Musk

Kejatuhan Saham Tesla, Bukan Lagi Orang Terkaya Di Dunia – Elon Musk

Elon Musk, pemilik disebalik sejumlah syarikat, termasuk Tesla, SpaceX dan juga Twitter kini dilihat jatuh ke tangga kedua manusia paling kaya di dunia. Punca utama kejatuhan ini adalah kerana penurunan nilai saham Tesla kebelakangan ini.

Menerajui senarai manusia terpaling kaya di dunia adalah Bernard Arnauil. Mengikut kekayaan semasa, beliau mempunyai kekayaan berjumlah $171 biliion, berbanding dengan Elon Musk sebanyak $164 bilion.

Bernard Arnault merupakan pengasas bersama untuk syarikat LVMH yang terkenal dengan jenama mewah Louis Vuitton.

Menduduki tangga ketiga adalah Gautam Adani dengan kekayaan berjumlah $125 bilion, dan Jeff Bezos bersama Bill Gates dengan nilai kekayaan sama sebanyak $116 bilion di tangga ke-4.

Online
Hi! Boleh kami bantu?