by Faiz Riziq | Nov 3, 2022 | Ekonomi, Perniagaan & Korporat, Kewangan, Keberhutangan & Pelaburan, Luar Negara, English & Other Country
Malaysia telah bersetuju untuk melaksanakan “pendekatan dua tonggak” dalam percukaian untuk mewujudkan persekitaran berdaya saing bagi pelaburan langsung asing dan domestik, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. Pendekatan itu, yang turut mencegah pengelakan cukai rentas sempadan sedang dikaji pada masa ini dan dianggarkan bermula pada 2024, katanya dalam ucap tama pada Mesyuarat Tahunan ke-51 Kumpulan Kajian Mengenai Pentadbiran dan Penyelidikan Cukai Asia Pasifik (SGATAR) 2022 di sini hari ini.
Pendekatan dua tonggak itu berpandukan kepada inisiatif Hakisan Asas dan Peralihan Keuntungan (BEPS) 2.0 oleh Pertubuhan bagi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) dan G20. Tengku Zafrul berkata kerajaan berhasrat untuk memperkenalkan sistem invois elektronik (e-invois) secara berperingkat mulai tahun depan untuk meningkatkan kecekapan sistem cukai kerajaan.
“Pelaksanaan e-invois ini akan turut membantu pelaksanaan ekosistem perniagaan elektronik yang mampan dan menyediakan jejak audit lebih dipercayai, sekali gus meningkatan ketelusan cukai, dan dilihat sebagai antara strategi utama untuk menaikkan hasil cukai,” katanya.
Tengku Zafrul berkata, ini akan melengkapkan satu daripada sasaran kerajaan kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 iaitu mendigitalkan 90 peratus daripada operasi PKS menjelang 2025.
“Pelaksanaan e-invois juga akan menyokong penggunaan Nombor Pengenalan Cukai yang wajib dilaksanakan untuk semua dokumen dan instrumen.
“Ini akan menjadi satu langkah untuk meluaskan kutipan cukai pendapatan, memastikan sumber hasil yang mampan kepada kerajaan,” katanya.
Tengku Zafrul berkata, pelaksanaan itu juga konsisten dengan laporan OECD mengenai pengenalan diri digital pembayar cukai yang memperakui ciri tersebut sebagai antara elemen teras bagi pengurusan cukai secara lancar pada masa depan. Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Datuk Dr Mohd Nizom Sairi berkata e-invois tersebut akan memperketat ketirisan dalam sistem percukaian dan persiapan bagi pelaksanaannya akan dilaksanakan pada 2023.
“Kita juga berhasrat untuk menjalankan projek rintis yang berkemungkinan pada 2024,” katanya kepada pemberita di luar acara itu.
Beliau berkata, SGATAR telah memainkan peranan penting dalam mengetengahkan satu platform untuk meningkatkan prestasi pentadbiran cukai di rantau Asia Pasifik dengan menggalakkan kerjasama serta komunikasi dalam kalangan anggota pentadbir cukai.
“Kali ini, ketua-ketua delegasi ini akan menumpukan tiga aspek perbincangan iaitu menangani cabaran baharu dalam pentadbiran cukai dengan fokus merangkumi sumber manusia dan struktur organisasi; meningkatkan pematuhan secara sukarela serta perkembangan baharu dalam pembangunan pentadbiran cukai serta kemas kini berkaitan pembaharuan cukai,” katanya.
by Faiz Riziq | Nov 3, 2022 | Ekonomi, Perniagaan & Korporat, Luar Negara, English & Other Country, Perbankan
Usaha bank pusat dari serata dunia, dalam mengkaji pelaksanaan mata wang digital (CBDC) mengikut negara dilihat bukanlah suatu bentuk ancaman buat kriptowang di pasaran.Kenyataan Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Binance, Zhao Changpeng ini menjelaskan pelancaran CBDC pada platform kewangan digital dalam kalangan bank pusat secara langsung akan mengesahkan penerapan teknologi rantian-blok mereka dan membina kepercayaan dalam kalangan kumpulan skeptik terhadap kripto.
Tambahan pelaksanaan mata wang digital tersebut turut akan merancakkan lagi perkembangan kewangan digital dunia dalam arena perdagangan. KriSetakat ini, mengikut Reuters terdapat beberapa bank pusat negara sedang mempertimbangkan penawaran mata wang digital pada aliran pembayaran mereka. Antaranya India, Singapura, AS, England dan Eropah.
by Faiz Riziq | Nov 2, 2022 | Ekonomi, Perniagaan & Korporat, Luar Negara, English & Other Country
Walaupun terkesan dek peningkatan inflasi dan kos, sektor runcit negara dilihat masih stabil berikutan permintaan yang mengukuh. Akan tetapi situasi kelembapan ekonomi dapat dilihat lebih jelas menjelang suku akhir 2022 ini. Menurut Retail Group Malaysia (RGM), aliran perbelanjaan pengguna yang disasar akan lebih perlahan ini akan bergantung pada perubahan tingkahlaku pembelian pengguna dan corak perbelanjaan pengguna pada ekonomi semasa.
Malah semua pihak perlu sedari tekanan inflasi dan ketidakseimbangan kos turut akan membebankan perniagaan dari semasa ke semasa, ditambah juga tekanan ketiadaan permintaan pekerjaan dalam bidang tertentu. Setakat ini pertumbuhan bagi suku pertama hingga suku ketiga lebih tinggi, namun anggaran pertumbuhan suku keempat diteliti akan mencapai bawah 3.6% kepada 1.0% – sasaran itu merangkumi ketidaktentuan ekonomi industri runcit kelak.
Oleh itu, bagi merancakkan pertumbuhan RGM pada laporan melihat pemain industri perlu mempelbagaikan saluran pembelian runcit kepada pengguna. Tidak hanya tertakluk kepada kedai fizikal semata tetapi terus menggalakkan penyertaan promosi medium media sosial seperti WhatsApp, Telegram, Aplikasi serta platform e-dagang.
by Faiz Riziq | Nov 1, 2022 | Kewangan, Keberhutangan & Pelaburan, Luar Negara, English & Other Country, Tips, Tinjauan & Statistik
MENURUT Islam, harta pusaka bermaksud harta peninggalan orang mati yang akan diagihkan kepada waris yang berhak. Menurut istilah undang-undang sivil pula, ia adalah harta benda yang ditinggalkan oleh orang mati untuk warisnya atau orang lain, tetapi tidak termasuk harta yang telah diserahkan kepada orang lain semasa hayatnya. Sejak dulu lagi, harta pusaka seringkali menjadi isu pendebatan dalam kalangan ahli waris si mati.
Hakikatnya, harta itu seharusnya ditadbir urus oleh seorang pentadbir atau pemegang amanah yang dilantik oleh waris dengan membuat permohonan pusaka melalui Borang A di Pejabat Tanah Daerah atau Negeri di mana ia (harta) itu terletak. Harta terdiri daripada harta alih dan harta tidak alih. Harta alih merangkumi wang tunai, kenderaan, insurans, barang kemas dan sebagainya. Harta tidak alih pula termasuklah tanah dan kepentingan hak atau faedah yang terdapat atau didapati daripada tanah.
Secara umumnya, tiga agensi iaitu Pejabat Tanah, Amanah Raya Berhad dan Mahkamah Tinggi Sivil yang menguruskan permohonan dan pembahagian harta pusaka berdasarkan nilaian dan jenis. Pemohon atau waris si mati perlu mengenal pasti harta pusaka si mati terletak di bawah bidang kuasa siapa? Jika daripada harta tidak alih bersekali dengan harta alih yang nilaiannya di bawah RM2 juta dan tidak mempunyai wasiat, mereka boleh memfailkan permohonan di Pejabat Tanah. Harta tersebut dikenali sebagai harta pusaka kecil.
Sekiranya di bawah kategori harta pusaka besar iaitu nilaiannya melebihi RM2 juta bagi harta alih dan tidak alih serta mempunyai wasiat,
permohonan boleh dikemukakan di Mahkamah Tinggi Sivil.
Namun, harta pusaka yang melibatkan harta alih sahaja dan nilaiannya kurang daripada RM600,000, mereka yang terbabit boleh menuntut harta pusaka ringkas di Amanah Raya Berhad.
Hak
Sebenarnya, harta pusaka si mati bukan sahaja dianggap sebagai aset, tetapi juga meliputi liabiliti di dalamnya. Menurut jumhur ulama seperti Imam Hanafi, Imam Maliki dan Imam Syafie, liabiliti (hak) yang berkaitan dengan harta pusaka terbahagi kepada lima kategori iaitu:
- Hak barangan.
- Hak mempersiapkan penggebumian jenazah si mati.
- Hak melangsaikan hutang.
- Hak melaksanakan wasiat.
- Hak mengagihkan baki harta peninggalan si mati kepada semua waris yang berhak menurut hukum faraid.
Hukum faraid atau dikenali sebagai undang-undang pusaka Islam merupakan pilihan terakhir waris jika tiada kesepakatan sesama waris. Berdasarkan ijmak para fuqaha, liabiliti harta pusaka mempunyai turutan atau susunan mengikut keutamaan yang perlu diraikan antara satu sama lain.
Susunan pertama: Hak barangan si mati. Sebagai contoh, apabila harta si mati telah digadaikan dan masih berada di bawah kuasa pemegang gadaian, maka mereka (pemegang gadaian) merupakan orang yang paling berhak untuk memiliki harta gadaian tersebut.
Susunan kedua: Perbelanjaan pengebumian dan pengurusan jenazah termasuklah kos lain seperti memandikan, mengkafankan, menggali kubur dan membawa jenazah ke liang lahad. Kesemua perbelanjaan hendaklah diambil daripada harta peninggalan si mati jika mempunyai harta. Jika tiada, ia perlu ditanggung oleh waris si mati. Namun, seandainya waris juga tidak mampu, menjadi tanggungjawab Baitulmal untuk menanggungnya kerana mengurus jenazah adalah fardhu kifayah.
Susunan keempat: Perlaksanaan wasiat terhad kepada satu pertiga daripada keseluruhan harta peninggalan si mati dengan persetujuan ahli waris, setelah ditolak kos pengurusan pengebumian jenazah dan dijelaskan hutang-piutang si mati. Sekiranya wasiat melebihi daripada jumlah itu, ia hanya sah setakat satu pertiga sahaja dengan keizinan waris.
Susunan terakhir: Pengagihan harta pusaka kepada ahli waris yang berhak seperti yang dinyatakan dalam al-Quran, sunnah dan ijmak. Bagaimanapun, waris juga boleh membuat pembahagian secara sama rata (muafakat) atau menolak bahagian kepada waris lain semasa sesi perbicaraan pusaka di Pejabat Tanah atau mengisi Borang DDA sekiranya waris tidak dapat hadir semasa perbicaraan berlangsung.
Kesimpulan
Apabila seseorang meninggal dunia dan meninggalkan harta, waris akan mewarisi aset peninggalan si mati berserta liabiliti. Ahli waris kemudian diberi amanah untuk mentadbir dan mengagihkan harta pusaka serta menunaikan hak dan tanggungjawab si mati selepas hayatnya.
Jikalau semua waris tahu dan sedar kepentingan mengurus, jumlah harta pusaka yang tidak dituntut atau berstatus beku dan tergantung dapat dikurangkan.
by Faiz Riziq | Oct 31, 2022 | Kewangan, Keberhutangan & Pelaburan, Luar Negara, English & Other Country, Tips, Tinjauan & Statistik
Selepas bekerja dalam tempoh 30 sehingga 40 tahun, anda mesti mahu bersara dengan tenang dan tidak perlu memikirkan masalah duit lagi kan? Perancangan persaraan merupakan satu perkara yang harus diambil berat walaupun anda mungkin merasakan masih lama lagi untuk anda bersara. Artikel ini akan menerangkan cara menentukan wang persaraan anda.
Berapa Jumlah Wang yang Anda Perlukan untuk Bersara?
Jika anda merupakan pekerja sektor swasta, akan tiba satu masa nanti yang anda hanya akan bergantung kepada wang simpanan atau wang KWSP anda sahaja. Berbeza dengan pekerja sektor kerajaan yang kebiasaannya akan mendapat duit pencen setiap bulan selepas persaraan, anda sebagai persara sektor swasta akan menerima wang dalam jumlah yang banyak sekaligus melalui akaun KWSP anda.
Salah satu cabaran yang paling besar apabila anda menerima wang dalam jumlah yang banyak sebegini adalah memastikan anda boleh menggunakannya sebaik mungkin dan berjimat dengan jumlah tersebut dalam tempoh yang panjang sekitar 15 sehingga 20 tahun. Wang yang anda terima inilah yang akan digunakan untuk menanggung perbelanjaan bulanan anda selepas bersara.
Oleh sebab itu, anda perlu mempertimbangkan perkara ini dengan serius kerana situasi kewangan anda memainkan peranan yang sangat penting apabila anda bersara nanti. Perancangan persaraan yang baik dan strategik akan dapat membantu anda lebih bersedia menghadapi segala cabaran yang bakal muncul.
Jumlah Wang yang Disarankan untuk Bersara
Jawapan untuk persoalan ini adalah subjektif kerana ia bergantung kepada gaya hidup anda sendiri ataupun gaya hidup yang anda idamkan selepas persaraan. Anda juga perlu ambik kira jumlah tanggungan yang anda ada serta jumlah komitmen hutang yang anda perlu langsaikan seperti loan kereta atau pinjaman perumahan.
Pihak KWSP telah menyarankan jumlah wang minimum untuk bersara sekitar RM228,000 sehingga RM240,000 bermula 1 Januari 2019. Namun begitu, masih ramai lagi rakyat Malaysia yang tidak mampu pun untuk mencapai amaun ini apabila mencapai umur bersara iaitu 55 tahun.
Secara kasarnya, jumlah yang disarankan ini masih belum mencukupi. Bayangkan jika anda bersara pada umur 55 tahun, untuk anda menjalani kehidupan untuk tempoh 20 tahun yang akan datang selepas persaraan dengan jumlah tersebut, anda hanya boleh menggunakan sekitar RM1,000 sebulan sahaja.
Walau bagaimanapun, jumlah ini ditentukan untuk perbelanjaan keperluan harian sahaja. Untuk anda menikmati persaraan yang selesa, anda mungkin perlu memerlukan wang yang lebih untuk perbelanjaan perubatan, tanggungan keluarga, insurans, percutian dan hiburan dan sebagainya.
Setiap individu mempunyai gaya hidup yang berbeza-beza dan anda mungkin akan berbelanja lebih daripada RM1,000 sebulan terutama sekali jika anda mempunyai tanggungan seperti ahli keluarga. Bank Negara Malaysia telah mengeluarkan saranan jumlah wang perbelanjaan yang anda perlu sediakan pada setiap bulan bergantung kepada tiga kategori:
| Kategori |
Jumlah Perbelanjaan Bulanan yang Disarankan oleh Bank Negara |
| Dewasa Bujang |
RM2,700 |
| Pasangan tanpa Anak |
RM4,500 |
| Pasangan dengan Dua Orang Anak |
RM6,500 |
Berdasarkan jumlah perbelanjaan yang disarankan oleh Bank Negara Malaysia ini, anda akan menghadapi kesukaran untuk mengharungi hari-hari persaraan dengan wang simpanan RM240,000 seperti yang telah disarankan oleh pihak KWSP. Untuk hidup dalam masa 15 hingga 20 tahun akan datang dengan selesa, anda akan memerlukan simpanan yang lebih banyak.
Contohnya, individu yang berstatus bujang memerlukan RM2,700 sebulan berdasarkan saranan Bank Negara. Ini bermakna, individu tersebut memerlukan simpanan sekitar RM500,000 sehingga RM600,000 untuk menjalani kehidupan dengan selesa setelah bersara kelak.
Faktor-faktor yang Anda Perlu Pertimbangkan Sebelum Bersara
Berikut merupakan komitmen kewangan lain yang anda mungkin perlu tanggung selepas anda bersara:
- Tanggungan kewangan untuk pasangan, anak atau tanggungan-tanggungan lain
- Yuran pengajian anak-anak
- Pinjaman Perumahan atau komitmen hutang lain yang belum diselesaikan
- Membeli polisi insurans baharu jika anda sebelum ini bergantung pada perlindungan yang disediakan oleh syarikat atau anda sudah mencapai had umur polisi sedia ada
- Kadar inflasi kerana harga barang berkemungkinan besar tidak akan kekal sama dan akan naik pada masa depan
- Gaya hidup anda seperti kekerapan anda mahu keluar bercuti, makan di luar dan sebagainya
5 Tips Simpanan Persaraan
Tidak kiralah sama ada anda masih ada sekitar10, 20 ataupun 30 tahun lagi, anda perlu memikirkan kehidupan selepas persaraan daripada sekarang. Apabila anda sudah ketahui jumlah wang yang anda perlukan untuk bersara dan tempoh yang anda ada sebelum bersara, anda perlu mencari jalan terbaik untuk mencapai sasaran anda. Ikuti lima tips simpanan persaraan di bawah ini:
1. Mengira Kos Perbelanjaan Bulanan
Penting untuk anda menentukan bajet perbelanjaan setiap bulan dengan wang yang anda akan terima dalam jumlah yang banyak daripada KWSP. Anda perlu merancang belanjawan anda atau kenal pasti cara uruskan duit gaji anda untuk supaya anda boleh meningkatkan jumlah simpanan sedia ada.
Asingkan perbelanjaan anda kepada perkara yang anda perlukan dan perkara yang anda inginkan. Utamakan perbelanjaan untuk perkara yang anda rasa lebih mustahak dan kurangkan perbelanjaan yang anda tidak perlukan.
Selepas bersara, anda tidak lagi mendapat sumber pendapatan setiap bulan, melainkan anda memilih untuk bekerja secara part time. Misi anda adalah memastikan yang anda boleh bertahan dengan jumlah simpanan anda selepas persaraan nanti.
2. Membuat Pelaburan
Pelaburan boleh bantu meningkatkan jumlah simpanan persaraan anda dan ini merupakan satu pilihan yang anda boleh pertimbangkan. Jenis pelaburan terbahagi kepada dua iaitu pelaburan risiko rendah dan pelaburan risiko tinggi. Mana satu yang patut anda pilih?
Pilihan ini wajar dibuat bergantung kepada situasi dan umur anda. Sekiranya anda sudah menghampiri umur persaraan, anda disarankan untuk melabur di platform pelaburan yang mempunyai risiko lebih rendah seperti Skim Persaraan Swasta (PRS), pelaburan ASB, Tabung Haji, Takaful dan sebagainya.
Jika anda masih muda dan baru bekerja dan ingin merancang persaraan anda, anda boleh mempertimbangkan untuk membuat pelaburan yang lebih berisiko tinggi seperti saham. Namun begitu, pastikan anda melakukan penyelidikan komprehensif sebelum membuat pelaburan. Selain itu, anda juga boleh melabur di platform risiko rendah jika anda tidak mahu mengambil risiko yang tinggi.
3. Jangan Keluarkan Duit Simpanan KWSP Jika Tidak Perlu
Meskipun kerajaan baru-baru ini membenarkan pengeluaran sebahagian daripada akaun 2 KWSP secara one-off sebanyak RM10,000, ini tidak bermaksud anda perlu mengeluarkannya. Anda tidak digalakkan untuk mengeluarkannya melainkan anda memang terdesak memerlukan wang tersebut untuk tujuan-tujuan tertentu terutamanya bagi meneruskan kelangsungan hidup. Elakkan mengeluarkan duit ini untuk pelaburan atau sebagai modal perniagaan.
Ingat, tujuan simpanan KWSP anda adalah untuk persaraan anda. Ini bermaksud, mengeluarkan simpanan KWSP anda sekarang bermakna wang persaraan anda akan berkurangan. Duit KWSP RM10,000 bukanlah jumlah yang sedikit. Bayangkan dengan kadar dividen KWSP sebanyak enam peratus setahun, RM10,000 boleh bertambah menjadi RM17,908 selepas 10 tahun, menjadi RM32,071 selepas 20 tahun dan menjadi RM57,434 selepas 30 tahun.
4. Berhati-hati dengan Scammer
Banyak kes scam yang terjadi di Malaysia biasanya berlaku pada golongan yang menghampiri umur persaraan ataupun yang sudah bersara. Scammer yang mempunyai kebolehan yang tinggi boleh ‘bau’ duit yang banyak yang masuk atau bakal masuk ke dalam akaun anda. Jika anda selalu baca berita, anda akan dapati ramai pesara yang kehilangan semua wang simpanan persaraan mereka disebabkan terpedaya dengan tipu helah scammer.
Biasanya, pihak scammer akan menjanjikan pulangan wang yang tinggi dalam masa yang singkat. Bagi anda yang mungkin ingin menggandakan simpanan untuk persaraan, ia mungkin boleh menarik minat anda untuk terjebak dengan skim sebegini. Oleh sebab itu, jika anda ditawarkan untuk masukkan wang anda ke dalam skim yang mencurigakan dan menjanjikan pulangan yang tinggi yang tidak masuk akal, jangan terburu-buru membuat keputusan dan dapatkan nasihat pakar kewangan anda.
5. Selesaikan Semua Pinjaman Sedia Ada Secepat Mungkin
Sebolehnya, rancang hutang dan komitmen anda bermula sekarang. Elakkan daripada berbelanja atau berhutang melebihi kemampuan anda. Jika perlu, simpan duit terlebih dahulu sebelum beli barangan yang anda perlukan untuk mengelakkan komitmen terkumpul yang tinggi sehingga mencapai umur persaraan.
Jika boleh, apabila anda bersara nanti hanya tinggal sekurang-kurangnya satu loan sahaja untuk anda selesaikan. Dengan cara ini, anda dapat menikmati persaraan anda dengan lebih baik dan anda tidak perlu pening kepala untuk memikirkan komitmen dan hutang lain yang perlu ditanggung.
Mulakan Perancangan Persaraan Anda Hari Ini
Perancangan persaraan yang baik akan membantu anda menikmati kehidupan yang lebih tenang pada masa akan datang. Jika anda masih belum mula merancang kehidupan selepas bersara, anda disarankan untuk mula memikirkan mengenai perkara ini bermula daripada sekarang. Ini kerana, perancangan persaraan akan memakan masa bertahun untuk mencapai matlamat yang ditetapkan. Diharapkan perkongsian artikel kali ini dapat membantu anda.
Sekiranya anda sedang mencari insurans kereta terbaik, anda boleh dapatkannya di KMC. Selain insurans kereta, KMC juga menawarkan jenis insurans lain antaranya insurans motor dan insurans rumah.
by Faiz Riziq | Oct 31, 2022 | Luar Negara, English & Other Country, Perbankan
Industri perbankan melancarkan Kempen Kesedaran Penipuan Kebangsaan (NSAC) bersempena dengan pameran Bulan Literasi Kewangan 2022 (FLM2022) sebagai kesinambungan usaha industri untuk memerangi dan mendidik pengguna berkaitan penipuan.
Kempen itu yang disokong oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dilancarkan secara bersama oleh Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM), Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) dan Persatuan Institusi-Institusi Pembangunan Kewangan Malaysia (ADFIM).
Timbalan Gabenor BNM Datuk Marzunisham Omar berkata semasa kempen berlangsung orang ramai akan dapat melihat lebih banyak iklan kesedaran, mesej dan bantu ingat di saluran bank sendiri masing-masing serta media sosial dan arus perdana.
“Saya difahamkan juga akan ada program capaian komuniti untuk mendidik orang ramai,” katanya pada majlis pelancaran NSAC di IPC Shopping Centre, di sini, hari ini.
Marzunisham berkata keutamaan BNM ialah memastikan saluran perbankan dan pembayaran kekal selamat dan terkawal.
“Nasihat keselamatan baharu dan langkah keselamatan tambahan yang perlu diambil oleh bank akan dikeluarkan dari semasa ke semasa memandangkan taktik yang digunakan penjenayah sentiasa berubah-ubah,” katanya.
Mengenai lima langkah diumumkan BNM pada 26 September lalu untuk mengukuhkan lagi kawalan dan perlindungan bank terhadap penipuan kewangan, beliau berkata, bank-bank memberikan komitmen jitu mereka dan membuat kemajuan dalam melaksanakan langkah-langkah tersebut.
“Sebagai contoh, bank mempercepatkan peralihan daripada penggunaan kata laluan sekali saja (OTP) yang berasaskan SMS kepada bentuk pengesahan yang lebih selamat semasa melakukan transaksi dalam talian seperti melalui aplikasi perbankan mudah alih perbankan dan token perkakasan,” katanya.
Marzunisham juga menasihati orang ramai agar lebih kerap menyemak laman Amaran Scam Facebook oleh BNM, serta Cyber Crime Alert dan Semak Mule oleh Polis Diraja Malaysia, bagi maklumat terkini.
Sebagai sebahagian daripada NSAC yang dilancarkan hari ini, industri perbankan telah mencipta logo untuk membantu orang ramai mengingat tiga langkah mudah – juga dikenali sebagai peraturan tiga saat – iaitu “Stop, Think and Block” (Awas, Fikir, Blok) apabila menerima panggilan, mesej atau -e-mel daripada pihak yang tidak dikenali.
Menggunakan cogan kata “Ingat 3 Saat OK” dan tanda pagar #JanganKenaScam, industri perbankan menggesa orang ramai untuk mengingati peraturan tiga saat itu agar kekal selamat dan tidak menjadi mangsa penipuan.
Kempen NSAC itu yang akan dimulakan pada November, merupakan kesinambungan usaha industri perbankan untuk memerangi penipuan serta mendidik pengguna mengenai penipuan sambil berkongsi petua mudah untuk kekal selamat dalam talian.
Kempen tersebut juga melengkapkan lima langkah pencegahan tambahan yang diumumkan oleh BNM itu.
Turut hadir pada majlis pelancaran itu ialah Pengerusi ABM Datuk Khairussaleh Ramli, Presiden AIBIM Mohd Muazzam Mohamed dan Naib Pengerusi ADFIM Jay Khairil Jeremy Abdullah.
Senarai nombor bank anggota ABM untuk dihubungi bagi melaporkan penipuan boleh diperoleh daripada laman web ABM di https://www.abm.org.my/directory.
Recent Comments