Urus Wang Dengan Bijak

Urus Wang Dengan Bijak

Adakah anda tergolong dalam golongan yang mempunyai masalah tidak tahu cara menguruskan wang dengan bijak?

Masih tak tahu cara-cara nak buat pembahagian duit gaji anda?

Jika anda sering kehabisan duit gaji sebelum dapat duit gaji seterusnya,

ya, memang sah anda punyai masalah untuk uruskan wang dengan baik.

Nak uruskan wang dengan bijak, mestilah dilakukan dengan sistematik.

Lakukan dengan teratur.

Bukan sekadar hentam ikut suka hati, takut nanti tak terkawal pula.

Baiklah, bagi yang ingin menguruskan kewangan peribadi dengan bijak, semestinya perlu mengetahui formula fasa asas ini, iaitu:

Pendapatan isi rumah mesti dibahagikan kepada beberapa komponen asas ini untuk dapatkan cara menguruskan wang dengan bijak, iaitu :

30% Simpanan, perlindungan takaful dan pelaburan.

30% bayaran hutang

30% belanja isi rumah

5% untuk pemberian (zakat, sedekah dll)

5% lain-lain.

BAYARAN HUTANG 

Dalam peruntukan bayaran balik hutang ini, termasuk bayaran ansuran kereta, ansuran rumah dan segala jenis hutang.

Contoh hutang:
– Pinjaman Perumahan
– Pinjaman Kereta
– Kad Kredit
– Pinjaman Peribadi
– Pinjaman Belajar

BELANJA ISI RUMAH 

Juga belanja isi rumah untuk makanan minum, pakaian, sekolah anak, barang dapur, petrol, bil-bil utiliti dan sebagainya.

Contoh perbelajaan isi rumah :
– Makan minum
– Minyak kereta
– Bil prabayar / telefon
– Bil api air
– Keperluan keluarga

LAIN-LAIN 

Ia sebagai ekstra untuk top-up kepada bayaran balik hutang dan belanja isi rumah tadi.
Peruntukan untuk hiburan juga termasuk di sini.

PEMBERIAN 

Ia untuk zakat, sedekah, ibu bapa dan seumpamanya

LEBIHAN 

dibahagikan kepada 3 perkara

Simpanan 10%
Takaful 10%
Pelaburan 10%

 

SIMPANAN (10%).

Instrumen simpanan mestilah:

a) Tiada caj dan risiko
b) Mudah cair

Kenapa perlu 2 ciri ini?

Untuk kegunaan kecemasan, kita boleh keluarkan bila-bila masa tanpa sebarang kos sampingan.

Atas dasar itu, Tabung Haji ialah tempat terbaik memandangkan ia tiada kos dan berikan pulangan 6% setahun dan ditolak zakat.

Sasaran minima simpanan, jumlah sama dengan 3 ke 6 bulan gaji.

 

 PERLINDUNGAN (10%),

melalui takaful.

Perkara yang perlu dilindungi ialah:

a) Perlindungan pendapatan
b) Penyelesaian hutang
c) Pengekalan aset

Ketiga-tiga di atas untuk menghadapi saat-saat musibah kematian, lumpuh kekal dan sakit kritikal.

Wajib sangat buat takaful ini untuk perlindungan.

Dan pastikan cari takaful yang hanya kos 10% sahaja dari gaji bersih kita.

 

 PELABURAN (10%),

ada pelbagai instrumen spt saham, unit trust, hartanah, emas dll.

Pelaburan, melalui kaedah:

a) Peningkatan nilai modal, dan
b) Pendapatan pasif

Jika mengikut jumlah % peruntunkan dalam formula ini, kita dapat mengurus kewangan dengan bijak.

Jika sudah tersasar atau sudah melebihi, boleh perbaiki dari sekarang.

Tips Baiki Pengurusan Kewangan Keluarga

Tips Baiki Pengurusan Kewangan Keluarga

Disini menjelaskan langkah dalam memperbaiki pengurusan kewangan keluarga yang boleh kita gunakan sebagai panduan.

Kita biasa mendengar ungkapan bahawa wang bukanlah segala-galanya tetapi segalanya memerlukan wang.

Ini jelas menunjukkan kepada kita bahawa wang merupakan sumber penting untuk meneruskan kelangsungan kehidupan seharian.

Sebagai salah satu sumber yang terhad, wang perlu diurus secara bijak dan berhemah agar matlamat kewangan diri dan keluarga dapat dicapai sama ada dalam keadaan senang mahupun dalam situasi di luar jangkaan.

Oleh itu, jika pengurusan kewangan keluarga sudah tersasar jauh, boleh cuba 7 langkah mudah ini.

JELAS.

Berapa simpanan yang diperlukan?

Berapa pendapatan yang diinginkan?

Berapa hutang yang perlu diselesaikan?

Buat senarai.

Dengan matlamat yang jelas, memudahkan kita untuk mengambil tindakan yang betul bagi menghasilkan sasaran yang diinginkan.

2. PERBAIKI MINDSET KEWANGAN

Mengekalkan mindset kewangan yang lama untuk mendapatkan hasil yang baru adalah gila. Apabila mindset berjaya diubah, tindakan dan hasil akan berubah.

Tambah ilmu kewangan. Ini cara untuk memperbaiki mindset kewangan kita. Makin tinggi ilmu kewangan, makin mudah nak capai matlamat kewangan.

Cara paling mudah untuk tambah ilmu ialah baca buku kewangan.

Jika sebulan 1 buku, setahun sekurang-kurangnya 12 buku.

3. BUAT PLAN TINDAKAN PENGURUSAN KEWANGAN KELUARGA

Berdasarkan matlamat tadi, perlu ada plan tindakan spesifik yang perlu dilakukan sepanjang tahun. Apa yang perlu dilakukan setiap bulan, setiap minggu dan setiap hari.

Buat senarai berdasarkan matlamat pada No 1 tadi.

Buat rekod aliran tunai untuk melihat memantau perkembangan kewangan dari masa ke masa.

Ia penting untuk melihat sama ada pelan tindakan kita berjalan sebagaimana dirancang.

4. TINGKATKAN PENDAPATAN

Jangan bergantung kepada satu sumber pendapatan sahaja.

Semua jenis bisnes dan pekerjaan, mempunyai risiko ketidaktentuan pasaran masa hadapan.

Jadi, pelbagaikan.

Tidak kira anda makan gaji, kerja sendiri atau berniaga, perlu tambah sumber pendapatan melalui perniagaan baru.

Pilih perniagaan yang dapat dimulakan dengan modal rendah dengan potensi keuntungan yang tinggi.

Tingkatkan nilai diri supaya dapat memberi lebih nilai kepada orang lain dalam pekerjaan dan bisnes kita.

Nilai tambah ini mempu meningkatkan tawaran kita kepada majikan atau pun pelanggan.

5. URUS & KAWAL PERBELANJAAN

Apabila pendapatan berjaya ditingkatkan, pastikan perbelanjaan tetap terkawal.

Jangan bazirkan wang untuk membeli simbol-simbol kekayaan.

Ia tidak memberi nilai tambah kepada diri sendiri dan kepada kewangan kita.

6. SIMPANAN DAN PELABURAN

Mula-mula tingkatkan simpanan.

Apabila kita berjaya tingkatkan pendapatan dan kawal perbelanjaan, maka kita ada wang lebihan untuk tambah simpanan.

Kemudian boleh mulakan pelaburan.

Simpanan sahaja tidak memadai untuk tingkatkan kewangan. Kita perlu juga kepada pelaburan.

Boleh mulakan dengan pelaburan yang mudah dengan modal yang rendah seperti emas dan unit trust.

Untuk jangka masa panjang, boleh juga pelbagaikan pelaburan kepads hartanah, saham, private mandate dan sebagainya.

7. PENGUKUHAN DAN PERTAHANAN ASET

Lindungi harta dan aset dengan perlindungan takaful.

Pastikan takaful yang anda langgan memenuhi keperluan perlindungan pendapatan, pengekelan aset dan penyelesaian hutang.

Takaful bukan untuk pelaburan.

Buat perancangan pusaka dan wasiat untuk memastikan harta yang dimiliki dapat dimanfaatkan oleh waris dan tidak berlaku perebutan.

Perancangan cukai juga tak dilupakan supaya dapat tidak diambil tindakan undang-undang akibat lari cukai.

Sedekah dan derma juga perlu dijalankan seiring dengan peningkatan harta supaya dapat memberi manfaat kepada orang ramai.

Akhir sekali, jangan lupakan zakat untuk menyucikan harta kita.

Dalam harta kita ada milik orang lain yang ALLAH sudah tetapkan.

Pengurusan Kewangan Rakyat Malaysia

Pengurusan Kewangan Rakyat Malaysia

Pada tahun lepas, pihak Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Kewangan (MoF) telah membentangkan hasil kajian tahap pengurusan kewangan rakyat Malaysia dan seterusnya melancarkan Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2019-2023.

Kenapa pelancaran ini dibuat?

Pelancaran ini adalah bermatlamat untuk meningkatkan literasi kewangan rakyat Malaysia dan menggalakkan tabiat kewangan yang bertanggungjawab, seterusnya mensejahterakan tahap kewangan rakyat Malaysia.

Secara peribadi, saya rasa pelancaran ini adalah satu usaha yang murni daripada pihak kerajaan untuk meningkatkan lagi tahap kesedaran pengurusan kewangan rakyat Malaysia.

Lagipun, mengikut kajian yang dibentangkan semasa pelancaran strategi tersebut, tahap literasi pengurusan kewangan rakyat Malaysia masih sederhana dan boleh ditambah baik.

Saya sebenarnya rasa amat tertarik dengan hasil kajian yang dibentangkan tersebut kerana terdapat beberapa penemuan yang amat ‘menarik’.

Nak tahu bagaimana tahap literasi kewangan rakyat Malaysia?

Jom kita lihat satu per satu.

#1 – Rakyat Malaysia memiliki tahap keyakinan yang rendah terhadap pengetahuan kewangan mereka sendiri. 1 daripada 3 rakyat Malaysia merasakan mereka mempunyai pengetahuan kewangan yang rendah.

Ulasan: Maka, strategi yang dilancarkan kerajaan adalah langkah yang penting untuk meningkatkan keyakinan dan pengetahuan pengurusan kewangan rakyat Malaysia. Dan rakyat Malaysia pula, seharusnya mengambil peluang untuk sentiasa belajar bagi meningkatkan literasi pengurusan kewangan mereka sendiri.

#2 – Isi rumah yang berpendapatan rendah cenderung untuk memiliki tahap pengetahuan kewangan yang rendah.

Ulasan: Mungkin mereka yang berpendapatan rendah berpendapat bahawa mereka sentiasa kekurangan wang, maka tidak perlu untuk mereka belajar cara urus wang. Sebenarnya, tak kira anda berpendapatan rendah, sederhana atau tinggi, semua perlu mempunyai tahap pengetahuan kewangan yang baik supaya duit yang diperoleh dapat diuruskan dengan baik.

#3 – 75% rakyat Malaysia memahami bahawa inflasi bermaksud kos sara hidup akan meningkat, tetapi hanya 38% dapat mengaitkan kesan inflasi kepada kuasa beli mereka sendiri.

Ulasan: Suka atau tidak, inflasi akan tetap berlaku sepanjang masa disebabkan oleh banyak faktor. Kita sendiri pun boleh rasa kan, bagaimana harga barang meningkat dari semasa ke semasa. Amaun duit yang dulu dirasakan mewah, sekarang boleh habis dalam masa sekejap sahaja. Inflasi memang akan menjejaskan kuasa beli kita. Oleh itu, kita perlu bijak untuk mengurus wang kita agar tidak terjejas teruk dengan inflasi.

#4 – 43% rakyat Malaysia memahami bahawa wang bertambah pada asas kompaun mengikut peredaran masa, sementara 22% percaya bahawa wang bertambah secara malar.

Ulasan: Ini adalah pengetahuan asas berkaitan pelaburan wang. Bagi mereka yang melabur, adalah digalakkan untuk memahami tentang pertambahan kompaun dan seterusnya memanfaatkannya, agar pulangan yang diperoleh adalah lebih baik.

#5 – 92% rakyat Malaysia mempunyai produk deposit. Tidak ramai mempunyai produk pelaburan.

Ulasan: Produk deposit adalah seperti akaun simpanan, manakala produk pelaburan adalah seperti deposit tetap, unit amanah, bon dan saham. Nampaknya, masih ramai rakyat Malaysia yang tidak melaburkan wang mereka. Mungkin kurang ilmu dan pendedahan, mungkin juga takut nak melabur. Agak rugi sebenarnya jika tidak melabur, lagi-lagi di Malaysia ini banyak produk pelaburan yang baik. Anda sendiri, dah melabur?

Peratusan Kredit

Peratusan Kredit

Jika anda memang peka dan sentiasa ambil berat tentang skor kredit anda – tahniah saya ucapkan. Tetapi, jika anda masih samar-samar tentang apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan “credit score”, teruskan baca kerana ini adalah panduan yang paling lengkap tentang penilaian markah kredit.

Apa Itu Skor Kredit Sebenarnya

Secara ringkas, skor kredit adalah satu sistem pemarkahan yang menentukan kesihatan kredit, atau kesihatan kewangan anda.

Setiap pinjaman anda, Skor kredit adalah satu faktor terpenting yang menentukan permohonan pinjaman atau kad kredit anda lulus atau tidak. Walaupun skor pemarkahan kredit ini sangat memainkan peranan dalam permohonan pinjaman dan kad kredit, masih ramai yang tak ambil kisah atau tak nak ambil tahu tentang skor kredit.

kad kredit, bayaran ansuran, atau komitmen kewangan yang lain akan direkodkan. Rekod ini kemudiannya dipaparkan di dalam laporan kredit anda.

Laporan kredit yang paling asas ialah laporan kredit peribadi daripada Bank Negara Malaysia (BNM) yang dikenali sebagai laporan Centralized Credit Reference Information System (CCRIS). Saya rasa ramai yang dah tahu tentang sistem CCRIS ni.

Fungsi Skor Kredit

Skor atau markah yang dipaparkan di dalam laporan kredit memberikan analisis tentang komitmen anda dari segi pembayaran semula hutang-hutang anda. Sama ada anda sentiasa buat bayaran tepat pada masa, atau sentiasa terlewat dengan bayaran ansuran anda atau ada tunggakan bayaran – semua ini akan direkodkan dan akan mempengaruhi markah kredit anda.

Markah ini kemudiannya akan dirujuk oleh pihak institusi kewangan seperti bank, koperasi atau pemberi pinjaman wang berlesen (PPW) setiap kali anda mohon pinjaman atau kad kredit. Setiap institusi kewangan mempunyai akses kepada penilaian kredit anda.

Dalam erti kata lain, sebarang pinjaman yang anda mohon, sama ada pinjaman peribadi, pinjaman perumahan, pinjaman kenderaan atau kad kredit – pihak institusi kewangan akan melihat skor kredit anda untuk menentukan sama ada mereka akan meluluskan permohonan anda atau tidak.

Skor Kredit Bank

Sesetengah bank juga mempunyai cara mengira markah kredit mereka yang tersendiri. Dan, cara kiraan ini juga berbeza antara bank. Pihak institusi kewangan juga tidak akan mendedahkan bagaimana mereka mengira skor kredit individu untuk mengelakkan maklumat ini disalahguna oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Oleh itu, tidak ada cara atau kaedah “standard” yang ditetapkan untuk mengira skor kredit individu.

Tidak ada cara lain untuk anda mengetahui markah kredit anda selain mendapatkan laporan daripada pihak Biro Kredit Malaysia, CTOS atau RAMCI.

Malah, jika anda menyertakan laporan CCRIS dan laporan CTOS anda sebagai dokumen sokongan dalam permohonan pinjaman anda – bank akan melihat anda sebagai serius dan bersungguh untuk memohon pinjaman tersebut. Dalam sesetengah kes, boleh meningkatkan peluang lulus permohonan anda.

Faktor-Faktor Yang Mempengaruhi Skor Kredit Anda

1. Rekod Pembayaran

Sejarah pembayaran anda adalah komponen utama atau faktor terpenting dalam penilaian markah kredit. Adakah anda buat bayaran bulanan anda tepat pada masa, atau anda “miss payment” pada bulan tersebut.

Jika anda lewat buat bayaran sebulan mungkin tidak akan mempengaruhi credit score anda. Tetapi, jika setiap bulan anda lewat bayar – markah kredit anda mungkin terjejas.

Begitu juga tempoh tunggakan anda. Berapa bulan anda lewat bayar? Sebulan? 2 Bulan? Atau akaun anda telah diletakkan di bawah Akaun Pemerhatian Khas (Special Attention Account – SAA).

Rekod pembayaran pinjaman atau kad kredit anda boleh menentukan sama ada anda mempunyai skor kredit yang baik ataupun skor yang buruk. Sesetengah pihak menggunakan kriteria rekod pembayaran sehingga 45% daripada kiraan markah kredit anda.

2. Jumlah Nisbah Hutang (Debt Service Ratio – DSR)

Faktor ke dua yang penting di dalam kiraan credit score adalah nisbah jumlah hutang, atau debt-service-ratio (DSR). Debt service ratio merujuk kepada jumlah hutang anda berbanding pendapatan anda.

Jumlah hutang disini merujuk kepada komitmen bulanan anda seperti pinjaman, kad kredit, gadai janji dan sebarang komitmen yang dimasukkan ke dalam laporan CCRIS. Jumlah hutang ini kemudiannya dibahagikan dengan jumlah pendapatan anda untuk mendapatkan DSR anda.

Jika nisbah hutang anda tinggi, institusi kewangan anda menganggap anda berhutang lebih daripada kemampuan anda dan akan meletakkan markah yang rendah pada skor kredit anda.

Walaupun kiraan DSR ini nampak mudah, cara kiraan ini sebenarnya lebih kompleks. Sebagai contoh anda mungkin buat pinjaman sebanyak RM10,000 – tetapi terdapat caj tunggakan lewat bayar yang dikenakan – semua ini akan dimasukkan ke dalam kiraan DSR anda.

Begitu juga penggunaan kad kredit anda. Jika anda berbelanja menggunakan kad kredit anda hampir kepada had kredit (credit limit) setiap bulan, situasi ini juga akan dikira dengan kaedah DSR. Faktor ini menyumbang kepada penilaian skor kredit anda.

3. Tempoh Rekod Kredit

Sejarah rekod kredit juga diambil kira dalam kiraan skor kredit. Berapa lama anda mempunyai rekod kredit dan bila anda mula mempunyai rekod kredit, berbanding umur anda ketika anda mohon pinjaman atau kad kredit.

Jika anda mempunyai sejarah rekod kredit yang panjang dan tidak ada bayaran lewat atau tunggakan – anda akan mempunyai skor kredit yang baik. Sebaliknya jika anda mempunyai rekod yang panjang tetapi penuh dengan bayaran lewat dan tunggakan.

4. Kes Mahkamah

Sekiranya anda terlibat di dalam kes undang-undang, skor kredit anda mungkin akan terjejas. Sebarang denda, atau apa sahaja kes yang melibatkan mahkamah akan diambil kira di dalam kiraan penilaian kredit anda.

Walau bagaimanapun ini juga adalah faktor yang tidak penting dan hanya sesetengah institusi kewangan atau pihak ketiga sahaja yang memasukkan faktor ini dalam kiraan mereka. Sebagai contoh pihak CTOS tidak menjadikan kriteria ini sebagai salah satu faktor untuk pemarkahan kredit mereka.

Faktor-faktor di atas adalah antara faktor-faktor yang digunakan untuk mengira skor kredit anda. Walau bagaimanapun, tidak semua faktor ini digunakan. Seperti yang telah dinyatakan, cara kiraan adalah bergantung kepada setiap institusi kewangan atau pihak ketiga.

Tetapi, sejarah rekod kredit yang pendek tidak semestinya menentukan anda akan mempunyai credit score yang rendah. Yang penting ialah rekod pembayaran anda. Seperti yang dinyatakan sebelum ini, faktor rekod pembayaran menentukan hampir separuh daripada markah kredit anda.

5. Jenis Kredit

Jenis-jenis hutang atau kredit anda juga memainkan peranan dalam kiraan skor kredit. Adakah anda mempunyai kategori kredit bercagar (gadai-janji rumah, sewa beli kereta) atau tidak bercagar (pinjaman peribadi, kad kredit) dan lain-lain.

Faktor ini tidak begitu penting dalam kiraan markah kredit, oleh itu tidak bermaksud jika anda hanya mempunyai sejenis kategori kredit sahaja, contoh pinjaman perumahan – anda harus memohon kategori kredit baru seperti kad kredit dan sebagainya.

6. Kredit Baru

Adakah anda baru sahaja lulus sebarang pinjaman baru-baru ini? Jika anda terlalu kerap mohon kredit dalam jangka masa yang singkat, institusi kewangan atau pemberi pinjaman akan melihat anda sebagai seorang yang suka berhutang.

Kebanyakan institusi kewangan akan melihat rekod kredit pemohon antara 6 bulan hingga 12 bulan dari tarikh permohonan – terutama untuk permohonan pinjaman peribadi. Oleh itu jika terlalu banyak rekod kredit baru dalam tempoh tersebut, ini akan beri kesan kepada skor kredit anda.

Sesetengah institusi kewangan seperti bank menetapkan 3 kali permohonan kredit dalam tempoh 12 bulan adalah jumlah maksimum. Lebih daripada itu akan buat bank berasa curiga dan akan merendahkan nilai markah kredit anda.

7. Tiada Rekod Kredit

Tiada komitmen bulanan atau tiada rekod kredit sering dijadikan alasan oleh pihak institusi kewangan ketika menolak permohonan untuk pinjaman, terutama pinjaman peribadi tak bercagar. Jika anda tidak mempunyai rekod kredit di laporan CCRIS, ini bermaksud anda tidak pernah mempunyai pinjaman, kad kredit dan sebagainya.

Ini perkara biasa bagi mereka yang masih muda dan baru bekerja. Tetapi, ada juga individu yang mempunyai fahaman songsang bahawa jika mereka tidak pernah buat pinjaman, iaitu tiada rekod kredit – permohonan pinjaman mereka akan lebih mudah lulus pada masa hadapan – ini adalah fakta yang salah.

Faktor tiada rekod kredit adalah antara faktor yang diambil kira dalam penilaian skor kredit individu. Tetapi, faktor ini hanya faktor kecil dan tidak memainkan peranan besar dalam menentukan credit score anda baik atau buruk.



Tabung Asas dari Gaji Anda!

Tabung Asas dari Gaji Anda!

 

Dengan kemelesetan ekonomi sekarang ni, ramai yang menghadapi masalah menguruskan kewangan mereka. Salah satu punca utama ialah “money management” yang failed – terutama bagi yang baru bekerja.

Pengurusan Kewangan Yang Betul

Mesti ramai yang pernah rasa macam ni – gaji dah tinggi, tapi masih tak cukup untuk belanja bulan-bulan, pelik kan? Sampaikan ada yang terpaksa berhutang dengan saudara mara dan kawan-kawan.

Selalunya masalah ini timbul bukan kerana jumlah gaji yang tak cukup, tetapi cara anda menguruskan gaji anda.

Perkara asas untuk pengurusan kewangan yang baik adalah dengan membahagikan gaji anda dengan bijak. Jika anda berjaya menguruskan gaji anda setiap bulan, dengan mudah anda dapat menguruskan kewangan anda.

Tip Menguruskan Gaji

Pakar dalam bidang hartanah, Tuan Azizul Azli Ahmad telah sudi berkongsi cara terbaik untuk menguruskan gaji setiap bulan. Berikut ialah cara-cara membahagikan gaji anda.

55% Perbelanjaan

Ini adalah perbelanjaan utama anda, termasuklah hutang kereta, hutang peribadi, makan, belanja rumah, yuran gym, rokok, kesihatan, dan lain-lain – semuanya termasuk dalam kategori ni.

10% Simpanan Tetap

Ini adalah duit simpanan tetap anda. Jangan ganggu duit ni, simpan dan pejam mata. Anggap sebagai simpanan untuk hari tua. Sekali lagi diulang, jangan ganggu duit ni.

10% Simpanan Melabur

Ini adalah duit yang anda simpan untuk pelaburan. Nak beli saham, down payment rumah, down payment kereta, dan sebagainya – semua anda akan guna duit ni. Tetapi awas jangan melabur dalam MLM atau Skim Cepat Kaya.

10% Insurans/Takaful

Sediakan payung sebelum hujan. Ramai yang menganggap melabur untuk insurans merugikan. Tetapi, malang datang tak diduga. Jadi pengguna bijak dan bersedia untuk hari depan.

5% Pendidikan

Jangan anggap dah dapat ijazah, master atau PHD dah tak perlu belajar. Pendidikan adalah sepanjang zaman. Ini adalah bahagian untuk anda beli buku, yuran kursus, seminar dan apa sahaja yang boleh menambah ilmu.

5% Hiburan

Ini adalah belanja untuk anda berhibur. Pergi tengok wayang, karaoke, jalan-jalan makan angin, atau apa sahaja aktiviti yang menghiburkan.

5% Sedekah

Banyakkan bersedekah. Ambil 5% dari gaji anda untuk bersedekah. Sumbang ke masjid, atau mereka yang memerlukan. Zakat 2.5% boleh masuk kat sini.

Bijak Menguruskan Kewangan. Diharap selepas anda baca tip menguruskan kewangan ni, anda lebih bijak dalam membahagikan wang gaji anda.

Semoga berjaya!

Online
Hi! Boleh kami bantu?