by Faiz Riziq | Dec 8, 2022 | Kewangan, Keberhutangan & Pelaburan, Tips, Tinjauan & Statistik
Meskipun khidmat Bayar Nanti Pakai Lekas (BNPL) di negara semakin melonjak, perlu disedari masih terdapat 59% rakyat Malaysia yang tidak menggunakan produk tersebut.
Tinjauan RMFLS2022 dapati kumpulan responden ini melihat tiada kepentingan konkrit yang memperuntukkan mereka untuk menggunakan BNPL. Di mana 44% lebih gemar melaksana pembayaran penuh, diikuti kebimbangan terlepas bayaran dan pengenaan caj kelewatan bayaran (40%), perkhidmatan jenama tidak menawarkan bayaran secara BNPL (7%), miliki tanggapan kurang memuaskan (3%) dan faktor lain (5%).
Sementara 41% rakyat Malaysia yang menggunakan BNPL pula, 19% daripadanya mengakui penggunaan tersebut didorong untuk membantu kumpulan responden ini menguruskan perbelanjaan mereka, diikuti 18% pula gemar akan ganjaran yang dimiliki bagi setiap transaksi dan 15% pula akui tidak mampu laksana pembayaran penuh, memilih ansuran.
Melihat pada dinamik tersebut, tinjauan turut merumuskan rata-rata penggunaan BNPL dilaksanakan bagi pembelian barangan elektronik dan peranti pintar (45%), barangan kediaman (29%) dan kosmetik, fesyen (23%).


by Faiz Riziq | Dec 6, 2022 | Ekonomi, Perniagaan & Korporat, Kewangan, Keberhutangan & Pelaburan, Tips, Tinjauan & Statistik
Tatkala dunia sedang bersiap sedia depani jangkaan kelembapan ekonomi pada tahun 2023, ternyata status tunai rakyat Malaysia tidak menunjukkan persediaan tersebut apabila – didapati 63% akui tidak mampu bertahan bersama wang simpanan mereka, tidak lebih dari 3 bulan.
Lebih membimbangkan tinjauan di bawah kajian literasi kewangan Malaysia RinggitPlus 2022 (RMFLS2022) ini mendapati 7 daripada 10 rakyat Malaysia mampu menyimpan kurang daripada RM500 sebulan. Data ini sekaligus menjadikan ia antara dapatan yang terburuk didapati sepanjang kajian dalam 5 tahun.
Meskipun ia mengetirkan namun RMFLS 2022 memahami pelbagai faktor mendorong kepada kejatuhan status tunai rakyat negara. Khusus dikala ekonomi kembali memulih bersama tekanan inflasi yang kian meruncing. Susulan cabaran itu, 65% rakyat Malaysia yang berusia 21 tahun ke atas cenderung untuk keluarkan lebih banyak wang simpanan pencen KWSP mereka – sekiranya kerajaan membenarkan pengeluaran baharu.
Manakala berdasarkan penyertaan pelaburan pula, didapati 52% rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas masih belum mula melabur. Buat pengetahuan umum, ini perincian lanjut berhubung dapatan RMFLS 2022 berhubung status kewangan rakyat Malaysia :
Simpanan dan Perbelanjaan
- 70% responden menyimpan kurang daripada RM500 sebulan – peningkatan tahun ke tahun tertinggi sejak RMFLS bermula pada 2018
- Hanya 5% rakyat Malaysia menyimpan lebih daripada RM1,500 sebulan, turun daripada 15% pada 2021 dan 20% pada 2020
- 63% daripada responden boleh bertahan 3 bulan atau kurang dengan hanya simpanan mereka (berbanding 51% pada 2021)
- 55% rakyat Malaysia membelanjakan tepat atau lebih daripada pendapatan mereka setiap bulan (berbanding 44% pada 2021)
- 71% responden percaya bahawa mereka mengawal wang mereka. Walau bagaimanapun, 43% daripada mereka membelanjakan tepat atau lebih daripada pendapatan mereka setiap bulan
Persaraan
- 82% rakyat Malaysia percaya simpanan KWSP tidak mencukupi untuk persaraan. Di kalangan mereka yang berpendapat bahawa simpanan KWSP mereka tidak mencukupi untuk persaraan
- 41% masih belum memulakan perancangan kewangan untuk persaraan mereka
- 66% responden masih akan mempertimbangkan untuk memohon lebih banyak pengeluaran KWSP jika kerajaan membenarkannya
- 28% responden berumur 35 tahun ke atas belum mula merancang untuk persaraan mereka
Pelaburan
- 52% rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas masih belum mula melabur
- Daripada mereka yang telah mula melabur, 52% daripada responden mempunyai selera risiko yang rendah lebih suka memelihara modal
- 50% daripada kumpulan yang sama memilih pelaburan jangka sederhana 5-10 tahun
- Pelabur belia (umur 18-35) mempunyai selera risiko rendah yang sama (54%) untuk pelaburan
- 3 produk pelaburan teratas yang digemari oleh pelabur Malaysia ialah: unit amanah, saham dan mata wang kripto
- Tiga faktor paling penting apabila memilih untuk melabur dengan penasihat robo ialah jenama yang dipercayai (59%), patuh Syariah (41%) dan rekod prestasi & prestasi sejarah yang mantap (38%).
Pemerhatian dan trend lain
- 45% mengaku telah berkongsi maklumat tentang kewangan peribadi mereka dalam talian
- 59% daripada responden tidak tahu atau tidak mengetahui apa itu skor kredit
- 32% rakyat Malaysia tidak mengetahui faedah skor kredit yang baik
- Hanya 55% daripada pemegang kad kredit membayar bil mereka sepenuhnya setiap bulan. Baki 45% sama ada hanya membayar jumlah minimum (18%) atau apa sahaja yang mereka mampu bulan itu (27%)
by Faiz Riziq | Nov 22, 2022 | Kewangan, Keberhutangan & Pelaburan, Tips, Tinjauan & Statistik
Di Malaysia sahaja, diperhatikan sekitar 36% ibu bapa telah memulakan langkah mendidik anak mereka tentang kewangan seawal usia 5 hingga 6 tahun. Peratusan itu lebih menggalakkan berbanding 30% ibu bapa di rantau Asia yang mula bertindak sedemikian pada purata usia 7 hingga 10 tahun.
Walaupun tahap peratusan ini mengalakkan namun masih ramai ibu bapa akui mereka tidak pasti akan pendekatan terbaik mahupun cara untuk dapatkan ilmu kewangan untuk tujuan perkongsian.
Goodday dalam usaha mereka memupuk tabiat kewangan dan membuka peluang keusahawanan kanak-kanak melalui GOODDAY KidSTART kini menyatakan pendedahan kewangan kepada anak-anak wajar dimulakan lebih awal. Ini kerana 80% beranggapan tanggungjawab tersebut adalah sebahagian daripada sukatan pelajaran di sekolah.
Malah menyokong pada kekurangan literasi kewangan dalam kalangan belia negara ini, Suruhanjaya Sekuriti (SC) mendapati ramai belia tidak dapat menguruskan kewangan dengan baik serta lebih cenderung berbelanja melebihi kemampuan mereka. Maka persekitaran ini wajar dibendung dengan lebih awal untuk mempersiapkan anak Malaysia akan risiko kewangan di masa hadapan.
Melalui tindak-balas itu, Goodday pada pelancaran semalam kini menyeru kumpulan ibubapa untuk mengambil peluang bersama anak mereka menyertai Goodday KidStart bagi berkongsikan pengetahuan kewangan dan berkongsikan idea perniagaan kecil bersama rakan industri berkaitan.
Sebarang maklumat lanjut, orang awam boleh layari Goodday Malaysia untuk memberi pendedahan kewangan berganda kepada kanak-kanak negara.

by Faiz Riziq | Nov 22, 2022 | Ekonomi, Perniagaan & Korporat, Kewangan, Keberhutangan & Pelaburan, Perbankan
Ketidaktentuan ekonomi yang membawa kepada tekanan inflasi dan kenaikan kadar faedah ketika ini secara langsung telah mengakibatkan nisbah pinjaman tidak berbayar (NPL) dalam kalangan rakyat Malaysia disasar akan meningkat 2.5% sehingga 3.0% dalam tempoh 2 tahun akan datang.
Peningkatan ini dijangka akan lebihi daripada paras NPL 1.8% sejak akhir Jun 2022 lalu.
Penelitian S&P Global Rating pada tinjauan Bank Global 2023 Mengikut Negara itu mendedahkan kenaikan segmen hutang yang tidak berbayar ini merangkumi pinjaman yang dilaksanakan oleh isi rumah berpendapatan rendah dan pemain perusahaan kecil sederhana (PKS) yang kini sedang alami situasi sukar menyeimbangkan operasi perniagaan mereka.
Tidak hanya itu kos kredit turut disasar akan berkurangan kepada 30-40% mata asas (bps) tetapi kekal lebih tinggi daripada paras sebelum pandemik COVID-19 kerana bank dilihat akan bertindak waspada di tengah ketidaktentuan global.
Meskipun alami risiko tersebut, perbankan negara dijangka akan kekal kukuh dengan menghampiri pendapatan sebelum pandemik COVID-19 pada 2023 dan akan memperlihatkan persaingan bersama kemunculan bank digital dalam mengimbangi paras hutang serta memenuhi permintaan pinjaman penduduk negara kelak.
by Faiz Riziq | Nov 7, 2022 | Ekonomi, Perniagaan & Korporat, Kewangan, Keberhutangan & Pelaburan, Luar Negara, English & Other Country
Hari ini nilai mata wang tempatan dibuka pada paras yang sama kekal sekitar 4.7425/7460, sama dengan paras penutupan Khamis, hari sebelumnya. Melihat pada nilai tersebut, pemerhatian Hong Leong Investment Bank Research melihat perubahan Kadar Dana Persekutuan (FFR)-Kadar Dasar Semalaman (OPR) dijangka akan terus melemahkan nilai Ringgit.
Untuk makluman pelebaran spread FFR-OPR dilihat telah meningkat dari pertambahan 63 bps (mata asas) kepada pertambahan 113 bps. Ini sekaligus memungkinkan aliran Ringgit lemah dan disasar mencapai paras 4.80 menjelang akhir tahun ini, sementara secara purata pula nilai Ringgit tahun ini dijangka sekitar 4.44.
Buat pengetahuan umum, Bank Negara Malaysia (BNM) pada minggu ini telah melaksanakan kenaikan OPR kepada 2.75% – situasi tersebut secara langsung turut meningkatkan tekanan kadar pinjaman kalangan rakyat negara.
by Faiz Riziq | Nov 3, 2022 | Ekonomi, Perniagaan & Korporat, Kewangan, Keberhutangan & Pelaburan, Luar Negara, English & Other Country
Malaysia telah bersetuju untuk melaksanakan “pendekatan dua tonggak” dalam percukaian untuk mewujudkan persekitaran berdaya saing bagi pelaburan langsung asing dan domestik, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. Pendekatan itu, yang turut mencegah pengelakan cukai rentas sempadan sedang dikaji pada masa ini dan dianggarkan bermula pada 2024, katanya dalam ucap tama pada Mesyuarat Tahunan ke-51 Kumpulan Kajian Mengenai Pentadbiran dan Penyelidikan Cukai Asia Pasifik (SGATAR) 2022 di sini hari ini.
Pendekatan dua tonggak itu berpandukan kepada inisiatif Hakisan Asas dan Peralihan Keuntungan (BEPS) 2.0 oleh Pertubuhan bagi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) dan G20. Tengku Zafrul berkata kerajaan berhasrat untuk memperkenalkan sistem invois elektronik (e-invois) secara berperingkat mulai tahun depan untuk meningkatkan kecekapan sistem cukai kerajaan.
“Pelaksanaan e-invois ini akan turut membantu pelaksanaan ekosistem perniagaan elektronik yang mampan dan menyediakan jejak audit lebih dipercayai, sekali gus meningkatan ketelusan cukai, dan dilihat sebagai antara strategi utama untuk menaikkan hasil cukai,” katanya.
Tengku Zafrul berkata, ini akan melengkapkan satu daripada sasaran kerajaan kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 iaitu mendigitalkan 90 peratus daripada operasi PKS menjelang 2025.
“Pelaksanaan e-invois juga akan menyokong penggunaan Nombor Pengenalan Cukai yang wajib dilaksanakan untuk semua dokumen dan instrumen.
“Ini akan menjadi satu langkah untuk meluaskan kutipan cukai pendapatan, memastikan sumber hasil yang mampan kepada kerajaan,” katanya.
Tengku Zafrul berkata, pelaksanaan itu juga konsisten dengan laporan OECD mengenai pengenalan diri digital pembayar cukai yang memperakui ciri tersebut sebagai antara elemen teras bagi pengurusan cukai secara lancar pada masa depan. Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Datuk Dr Mohd Nizom Sairi berkata e-invois tersebut akan memperketat ketirisan dalam sistem percukaian dan persiapan bagi pelaksanaannya akan dilaksanakan pada 2023.
“Kita juga berhasrat untuk menjalankan projek rintis yang berkemungkinan pada 2024,” katanya kepada pemberita di luar acara itu.
Beliau berkata, SGATAR telah memainkan peranan penting dalam mengetengahkan satu platform untuk meningkatkan prestasi pentadbiran cukai di rantau Asia Pasifik dengan menggalakkan kerjasama serta komunikasi dalam kalangan anggota pentadbir cukai.
“Kali ini, ketua-ketua delegasi ini akan menumpukan tiga aspek perbincangan iaitu menangani cabaran baharu dalam pentadbiran cukai dengan fokus merangkumi sumber manusia dan struktur organisasi; meningkatkan pematuhan secara sukarela serta perkembangan baharu dalam pembangunan pentadbiran cukai serta kemas kini berkaitan pembaharuan cukai,” katanya.
Recent Comments