by Faiz Riziq | Jan 26, 2023 | Kewangan, Keberhutangan & Pelaburan, Tips, Tinjauan & Statistik
Sekiranya rakyat memiliki perancangan untuk bersara dalam tempoh beberapa tahun mendatang, anda dinasihatkan untuk memiliki sekurang-kurangnya simpanan pencen berjumlah RM600,000 untuk berbuat tindakan sedemikian. Menurut Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ambang tersebut dilihat bersesuaian dengan penduduk bekerja yang berada di Lembah Klang, untuk menampung perbelanjaan mereka di hari tua.
Sementara di luar Lembah Klang pula, diperkira paras simpanan RM500,000 adalah ideal dengan kos sara hidup di kawasan sedemikian. Meskipun begitu, mengikut data KWSP setakat ini didapati 97% pencarum KWSP yang berusia 55 tahun dan ke bawah tidak memiliki paras simpanan sebanyak RM600,00 untuk bersara.
Hanya 2.6% daripada 13.1 juta pencarum sahaja yang berupaya berpencen kerana telah mencapai ambang simpanan tersebut. Untuk makluman, penetapan paras RM600,000 ini telah mengambilkira perbelanjaan bulanan bagi para pesara untuk tempoh 20 tahun. Di mana dengan jumlah pesara dapat berbelanja sekitar RM2,500 sebulan untuk menampung kehidupan mereka setelah bersara.
Bagaimanapun perkiraan ini dijangka akan berubah, sekiranya rakyat Malaysia merancang untuk bersara dalam tempoh 20 tahun hingga 30 tahun kelak. Mengikut bahagian strategi KWSP nilai simpanan bersara pada ketika itu dianggarkan memerlukan sekitar RM900,000 sehingga RM1 juta pada akaun simpanan untuk membantu rakyat menampung keperluan hidup.
by Faiz Riziq | Jan 20, 2023 | Kewangan, Keberhutangan & Pelaburan, Luar Negara, English & Other Country
Aliran kutipan cukai negara pada tahun 2022, ternyata memperlihatkan prestasi yang membrangsangkan. Di mana perolehan tersebut dimaklumkan telah melebihi sasaran yang ditetapkan pada tahun lalu.
Perkongsian ini dilaksanakan susulan tinjauan Kementerian Kewangan (MOF) di menara Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) semalam. Berdasarkan makluman, dijangka kutipan cukai 2022 ini melepasi sasaran yang ditetapkan sekitar RM139 bilion dan ia diberi gambaran menjadi antara rekod terbaik LHDN.
Bagaimanapun jumlah sebenar kutipan tersebut tidak didedahkan dan hanya akan diketahui umum setelah Perdana Menteri Anwar Ibrahim merangkap Menteri Kewangan laksana satu pengumuman rasmi kelak. Perolehan ini buat pengetahuan umum, merangkumi sumbangan 3 juta individu pembayar cukai aktif bersama 400,000 pembayar cukai kalangan perniagaan.
by Faiz Riziq | Jan 19, 2023 | Kewangan, Keberhutangan & Pelaburan, Tips, Tinjauan & Statistik
Pernahkah anda berdepan situasi gaji masuk hujung bulan, kemudian miskin balik setelah bayar semua komitmen bulanan seperti sewa rumah, bil air, hutang pinjaman pendidikan PTPTN, bayaran balik kad kredit, hutang loan kereta dan sebagainya. Secara asasnya, komitmen bulanan yang tinggi dan tidak dikawal boleh menjadi beban kewangan kepada anda jika tidak dirancang dengan baik.
Komitmen Hutang Melebihi Pendapatan Bulanan, Cara Berkesan Minimumkan Komitmen Bulanan
Pinjaman peribadi dan hutang kad kredit merupakan antara hutang jahat yang perlu dielakkan. Kedua-dua kategori hutang ini tertakluk pada kadar faedah yang tinggi. Jika tidak dikawal, komitmen ini boleh menyebabkan anda terbeban dengan bayaran ansuran bulanan yang tinggi untuk tempoh yang lama.
Ramai golongan muda khususnya memilih untuk membuat pinjaman peribadi atau menggunakan kad kredit tanpa disiplin yang ketat. Ada yang gunakannya sebagai jalan mudah untuk berbelanja semasa melancong ke luar negara, renovate rumah atau beli-belah barangan mewah untuk kepuasan sendiri.
Akibatnya, mereka berbelanja melebihi kemampuan untuk bayar balik pinjaman, mencapai tahap maksimum hutang dan akhirnya terbeban dengan bayaran ansuran bulanan yang tinggi. Bagi anda yang sudah terjebak dengan hutang jahat, berikut tujuh cara yang boleh anda lakukan untuk kurangkan komitmen bulanan anda:
1. Lakukan Penilaian Situasi Kewangan
Nilai situasi kewangan semasa anda – penilaian ini secara tidak langsung memberi gambaran sebenar situasi kewangan anda. Senaraikan semua perbelanjaan atau komitmen bulanan anda termasuk hutang pinjaman pendidikan, kos sara hidup, sewa dan utiliti dan sebagainya. Daripada situ, anda boleh asingkan wang perbelanjaan untuk komitmen anda, dan sebarang lebihan wang yang ada boleh digunakan untuk membuat bayaran komitmen bulanan anda.
Dengan cara ini, anda dapat ketahui jumlah komitmen bulanan, jenis pinjaman dan jadual pembayaran balik pinjaman sedia ada dengan lebih baik. Maklumat-maklumat ini penting dalam membantu anda memikirkan alternatif terbaik untuk kurangkan komitmen bulanan.
2. Sediakan Pelan Kewangan, Kurangkan Komitmen Bulanan
Bagi mengurangkan komitmen bulanan, anda perlu asingkan pendapatan bulanan. Beri fokus pada mana-mana pinjaman kewangan yang memberi impak yang lebih besar. Dalam erti kata lain, beri tumpuan kepada pinjaman dengan kadar faedah dan tunggakan yang lebih tinggi. Selain itu, kurangkan penggunaan kad kredit untuk mengelakkan anda terjebak atau menambah hutang baharu. Perbelanjaan yang tidak dikawal boleh meningkatkan risiko bankrap atau muflis.
Sebagai contoh, jika anda guna kad kredit tanpa kawalan dan anda hanya bayar amaun minimum kad kredit setiap bulan – ia akan menjadi beban kewangan yang berat. Baki hutang atau komitmen bulanan anda akan bertambah disebabkan kadar faedah kad kredit yang dikenakan ke atas baki hutang biasanya lebih tinggi.
3. Berbincang dengan Pemberi Pinjaman
Anda juga boleh berbincang dengan pemberi pinjaman atau pihak bank untuk mencari penyelesaian terbaik dalam mengurangkan komitmen bulanan anda. Anda boleh mempertimbangkan penyatuan hutang atau menyusun semula jadual pembayaran bulanan (refinance pinjaman).
Jika perlu, anda boleh mendapatkan pinjaman peribadi daripada bank atau koperasi yang menawarkan kadar faedah yang lebih rendah berbanding pinjaman sedia ada anda. Cara ini dapat membantu menyelesaikan baki pinjaman kewangan kerana semua baki pinjaman akan disatukan ke dalam satu akaun dan komitmen bulanan anda akan dapat dikurangkan. Teknik ini yang juga dikenali sebagai overlap pinjaman peribadi membolehkan peminjam berunding dengan pemberi pinjaman untuk kurangkan beban kewangan setiap bulan.
4. Tentukan Keperluan dan Kehendak
Kenal pasti komitmen bulanan anda – tentukan yang mana satu keperluan atau kehendak. Secara asasnya, cara paling efisien untuk kurangkan komitmen bulanan adalah dengan meminimumkan perbelanjaan keperluan dan mengurangkan perbelanjaan kehendak. Langganan rancangan television berbayar atau sarapan di kedai kopi mahal mungkin perlu dikurangkan bagi mengukuhkan lagi situasi kewangan anda.
Sebagai contoh, jika anda peruntukkan sebahagian besar belanja anda untuk kopi setiap pagi, cuba kurangkan kepada sekurang-kurangnya empat kali sebulan. Selebihnya, buat sendiri kopi di rumah atau pejabat untuk lebih penjimatan.
5. Rendahkan Standard Gaya Hidup
Setiap sen yang anda belanjakan boleh beri kesan tidak langsung kepada keadaan kewangan anda. Lakukan langkah penjimatan dan kurangkan perbelanjaan-perbelanjaan tidak penting. Dengan cara ini, anda mungkin menyedari bahawa selama ini anda banyak berbelanja untuk perkara-perkara yang tidak penting.
Jika perbelanjaan tidak dikawal dengan baik, ia boleh menyebabkan anda terbeban dengan komitmen bulanan yang tinggi setiap bulan. Lebihan wang yang ada boleh disimpan ke dalam Tabung Haji, pelaburan risiko rendah atau deposit tetap. Apabila anda merendahkan standard gaya hidup anda dan mengamalkan cara hidup yang lebih berjimat cermat, ia secara tidak langsung membantu menambah baik aliran keluar masuk wang anda.
6. Sediakan Simpanan Kecemasan
Secara asasnya, anda perlu sediakan simpanan kecemasan yang secukupnya. Pakar kewangan berpendapat anda perlu sediakan dana untuk simpanan kecemasan sekurang-kurangnya untuk tempoh tiga hingga enam bulan gaji. Namun begitu, ia bergantung sepenuhnya pada kemampuan dan komitmen anda.
Sebagai contoh, jika komitmen bulanan anda adalah sebanyak RM5,000 sebulan, anda perlu miliki simpanan kecemasan sekurang-kurangnya RM15,000 hingga RM30,000. Selain itu, tetapkan bajet dan pastikan anda berdisiplin dengan bajet yang ditetapkan. Ambil kira setiap perbelanjaan dan kenal pasti mana-mana perkara yang perlu dijimatkan. Anda boleh menggunakan formula simpan duit gaji untuk membantu anda merancang kewangan dan komitmen bulanan dengan lebih baik.
7. Cari Sumber Pendapatan Lain
Selain itu, anda juga boleh mempertimbangkan kerja-kerja sambilan sebagai sumber pendapatan tambahan bagi menampung komitmen bulanan anda. Dalam era teknologi yang semakin berkembang pesat, banyak aplikasi dan medium yang boleh dimanfaatkan bagi membantu anda buat duit secara online.
- Menjadi Pekerja Bebas (Freelance)
Anda boleh menawarkan kemahiran dan perkhidmatan secara online. Antara pekerjaan freelance yang biasa dilakukan seperti penulisan artikel, perkhidmatan terjemahan dan sebagainya.
- Pemandu atau Penghantar Makanan e-Hailing
Aplikasi popular seperti Grab atau FoodPanda membolehkan anda menggunakan kereta atau motor anda. Anda boleh menjadi pemandu sambilan atau penghantar makanan sambilan.
- KMC Freelance Consultant: Jana Pendapatan dari Rumah
Anda juga boleh jana pendapatan tambahan dari rumah dengan menyertai KMC Freelance Consultant. Anda hanya perlu iklankan produk loan kami dan nikmati komisyen 3 – 4 angka sebulan. Hubungi kami di SINI
Secara asasnya, kejayaan pelan pengurangan komitmen bulanan terletak sepenuhnya di tangan anda. Pelan tindakan yang dilakukan dengan berdisiplin semestinya akan membuahkan hasil dan secara tidak langsung membantu mengurangkan beban komitmen bulanan anda.
by Faiz Riziq | Jan 16, 2023 | Kewangan, Keberhutangan & Pelaburan, Luar Negara, English & Other Country
Setelah memperlihatkan penurunan drastik sepanjang tahun 2022 lepas, kini pelbagai kriptowang memperlihatkan peningkatan drastik kembali dari segi nilai, dan turut diterajui oleh Bitcoin. Melalui pengamatan menggunakan aplikasi Luno, kesemua kriptowang memperlihatkan peningkatan positif pada minggu ini. Bitcoin dilihat melepasi paras harga RM88,000, sementara Ethereum pula melepasi paras harga RM6,500. Cardano dan Solana juga turut memperlihatkan peningkatan dari segi nilai harga.

Peningkatan nilai kriptowang ini juga dikaitkan selari peningkatan saham-saham syarikat teknologi lain pada peringkat global. Buat masa ini, ia tidak diketahui lagi sama ada momentum ini akan dikekalkan atau sebaliknya.
by Faiz Riziq | Jan 12, 2023 | Ekonomi, Perniagaan & Korporat, Kewangan, Keberhutangan & Pelaburan, Luar Negara, English & Other Country
Bagi memastikan ekonomi negara terus kukuh, pentadbiran Malaysia disasar akan melanjutkan langkah subsidi serta penyambungan semula projek pembangunan. Aturan itu sekaligus menuntut keperluan pengembangan perbelanjaan negara pada pembentangan belanjawan tidak lama lagi. Ekoran itu, terdapat jangkaan bahawa paras hutang kerajaan bakal meningkat mencapai 61.8% pada tahun ini.
Walaupun had statutori hutang negara disasar kekal di bawah 65%, menurut Kenanga Investment Bank langkah peningkatan hutang ini kemungkinan berlaku dengan aturan terbitan bon kasar kerajaan yang lebih tinggi sekitar RM178 bilion pada 2023.
Bon kerajaan akan menjadi instrumen membantu negara menampung perbelanjaan dan pembayaran hutang. Secara amnya ia berfungsi selaku pinjaman daripada para pelabur.
Pada makluman nota penyelidikan itu juga turut menyasarkan defisit fiskal negara akan mengecil sekitar 5.0% kepada RM97 bilion berbanding tahun lalu dan kerajaan akan memiliki ruang pinjaman fiskal sebanyak RM135.3 bilion sebelum melepasi had statutori hutang semasa.
by Faiz Riziq | Jan 11, 2023 | Kewangan, Keberhutangan & Pelaburan, Tips, Tinjauan & Statistik
Pejam celik, pejam celik berakhirlah sudah tahun 2022 dan ini bermakna bermula pada Bulan Mac 2023 ini pembayar cukai individu akan mula menjalankan tanggungjawab mereka untuk mengisi Borang Nyata Cukai bagi Tahun Taksiran 2022.
Dalam kesibukan untuk mengisi Borang Nyata Cukai kami pasti mungkin akan berlakunya pelepasan cukai yang lupa untuk dituntut kerana resit-resit dan dokumen-dokumen berkaitan pelepasan cukai tersebut hilang atau sudah lusuh akibat gagal disimpan dengan rapi. Selain daripada tanggungjawab menyimpan semua dokumen percukaian ini memang ada termaktub dalam undang-undang, kelebihannya juga banyak jika ia disimpan dengan rapi dan pastinya ia akan memberikan manfaat kepada pembayar cukai sendiri.
Dalam artikel ini kami kongsikan apakah manfaat yang pembayar cukai akan dapat sekiranya mereka mengamalkan tabiat menyimpan semua dokumen percukaian dengan baik dan selamat.
1. Mematuhi undang-undang cukai
Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967) memang ada menyatakan dengan jelas bahawa setiap dokumen percukaian hendaklah disimpan dengan selamat sekurang-kurangnya untuk tempoh tujuh (7) tahun. Ketetapan ini diperuntukkan menurut seksyen 82 dan 82A ACP 1967 dan kegagalan untuk mematuhi peruntukan dalam akta ini merupakan satu kesalahan yang boleh dikenakan denda atau penjara untuk suatu tempoh tertentu. Sudah pasti kami tidak mahu melihat pembayar cukai mengalami semua masalah ini, justeru ikutlah nasihat kami dan simpanlah semua dokumen percukaian dengan teratur dan selamat.
2. Memudahkan urusan pengiraan cukai
Sebelum pembayar cukai mengisi Borang Nyata Cukai, kami percaya mereka akan membuat pengiraan cukai yang mereka perlu bayar terlebih dahulu. Tujuannya ialah untuk memastikan semua perbelanjaan dan pelepasan cukai telah diambil kira sebelum ia dikunci masuk ke dalam borang cukai elektronik atau e-Filing mereka.
Mengikut pengalaman kami, kesilapan sering berlaku apabila pembayar cukai tidak bersedia dari awal dengan pengiraan cukai, resit-resit dan dokumen-dokumen percukaian mereka sehingga menyebabkan ketika mereka mengisi e-Filing mereka akan terlupa mengambil kira perbelanjaan dan pelepasan yang layak mereka tuntut. Akibatnya, amaun cukai yang mereka kena bayar kepada HASiL menjadi lebih tinggi kerana jumlah perbelanjaan dan pelepasan cukai yang mereka isi dalam e-Filing adalah rendah daripada yang sepatunya.
Keadaan ini pasti merugikan pembayar cukai kerana mereka telah membayar amaun cukai yang lebih daripada yang sepatutnya kepada kerajaan.
3. Mudahkah urusan semakan semula oleh HASiL
Penyimpanan rekod yang kemas, teratur dan selamat juga akan membantu pembayar cukai mengemukakan bukti perbelanjaan dan pelepasan cukai tersebut adalah sahih apabila ia diperlukan oleh HASiL.
Dalam Sistem Taksir Sendiri, HASiL akan menerima setiap pelaporan cukai daripada pembayar cukai secara suci hati. Maknanya, kami tidak meragui setiap pelaporan cukai yang dibuat oleh pembayar cukai sehinggalah kami dapati ada keraguan yang munasabah pada pelaporan tersebut.
Jika itu berlaku maka pegawai HASiL akan menghubungi pembayar cukai dan memohon pembayar cukai untuk mengemukakan bukti perbelanjaan atau pelepasan cukai yang dituntut dalam Borang Nyata Cukai mereka. Tujuan proses ini dilakukan adalah untuk proses semakan semula dan mengesahkan kesahihan tuntutan tersebut. Dalam hal ini pembayar cukai tidak perlu bimbang kerana selagi semua resit dan dokumen percukaian berjaya dikemukakan dan perbelanjaan serta pelepasan cukai yang dituntut dapat dibuktikan kesahihannya, maka HASiL akan menerimanya tanpa mengenakan taksiran tambahan mahupun penalti. Oleh kerana itulah pentingnya semua dokumen percukaian ini disimpan dengan teratur.
4. Membantu pembayar cukai membuat semakan semula dan memohon pengurangan cukai.
- Manfaat ini paling seronok dan sering tidak disedari oleh pembayar cukai. Tujuan dokumen cukai disimpan sebenarnya bukan untuk membantu urusan HASiL semata-mata, sebaliknya ia juga bagi memberikan peluang kepada pembayar cukai meneliti semula pelaporan cukai yang telah mereka buat sebelum ini.
- Jika pembayar cukai mendapati mereka telah tersalah lapor amaun perbelanjaan atau pelepasan yang menyebabkan mereka rugi kerana terpaksa membayar cukai yang lebih tinggi, mereka sentiasa dialu-alukan untuk menghubungi HASiL bagi urusan semakan semula sekali gus bakal menikmati pengurangan cukai.
- Maka mulai hari ini amalkan tabiat untuk menyimpan semua dokumen percukaian dengan teratur dan selamat. Ia banyak memberi manfaat kepada pembayar cukai, malah kaedah penyimpannya juga tidaklah rumit kerana dokumen-dokumen tersebut boleh disimpan dalam bentuk salinan cetak (hard copy) ataupun salinan digital (soft copy).
Sebarang pertanyaan dan maklum balas berkaitan boleh dimajukan kepada HASiL melalui:
- Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (Luar Negara);
- HASiL Live Chat; dan
- Borang Maklum Balas di portal rasmi HASiL di pautan pantas
Recent Comments