by Faiz Riziq | Dec 16, 2024 | Fakta & Informasi, Kesihatan & Insuran
Minggu hadapan, Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengumumkan butiran lanjut berhubung langkah interim bagi menangani kenaikan kadar premium insurans yang semakin membebankan rakyat. Langkah ini bakal melibatkan kolaborasi pelbagai pihak, termasuk Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Kewangan (MOF), pengendali insurans dan takaful (ITO), serta kumpulan berkaitan dalam sektor kesihatan seperti pakar perubatan, farmaseutikal, dan hospital swasta.
Tindakan Berperingkat dan Sokongan Bantuan
MOF memberi gambaran awal bahawa tindakan akan dilaksanakan secara berperingkat, dengan sokongan khusus kepada kumpulan pengguna tertentu. Walaupun butiran penuh mengenai bentuk bantuan tersebut masih belum didedahkan, inisiatif ini diharap dapat meringankan beban rakyat, terutamanya bagi mereka yang terkesan dengan kenaikan kos perubatan.
Pelan Insurans Lebih Fleksibel
Selain sokongan bantuan, pengendali insurans dan takaful turut diarahkan untuk memperluas pilihan insurans perubatan di pasaran. Pendekatan ini bertujuan memastikan lebih banyak pelan pembayaran fleksibel tersedia untuk pengguna, sekaligus memberikan alternatif yang lebih mampu milik.
Dengan pendekatan ini, pengguna dijangka mendapat akses kepada pelan yang bukan sahaja sesuai dengan keperluan, tetapi juga mampu membantu mereka menguruskan perbelanjaan kesihatan dengan lebih baik.
Kolaborasi Sektor Kesihatan
Langkah BNM ini turut melibatkan sektor kesihatan secara menyeluruh, termasuk pemain utama seperti hospital swasta dan pakar farmaseutikal. Kerjasama ini penting untuk memastikan sebarang perubahan dalam sistem insurans kesihatan mampu menyokong keperluan pesakit dan tidak menjejaskan kualiti perkhidmatan.
Penantian Rakyat
Rakyat kini menantikan pengumuman minggu hadapan dengan harapan besar, khususnya bagi mendapatkan kejelasan tentang sokongan yang akan diberikan. Dengan kos kesihatan yang terus meningkat, tindakan tegas dan strategik diperlukan untuk memastikan sistem insurans perubatan negara kekal inklusif dan berdaya saing.
Adakah langkah ini mampu mengimbangi kenaikan kos dan memberikan kelegaan kepada rakyat? Semua pihak kini menantikan perincian lanjut daripada BNM.
by Faiz Riziq | Dec 11, 2024 | Ekonomi, Perniagaan & Korporat, Kesihatan & Insuran
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru semua pihak berkepentingan untuk meneliti sebarang kenaikan premium insurans perubatan agar tidak membebankan rakyat. Beliau menekankan bahawa langkah ini perlu dilaksanakan dengan wajar bagi mengelakkan kesan negatif terhadap kos sara hidup rakyat Malaysia.
Seruan ini dibuat semasa sesi soal jawab di Parlimen semalam, di mana PM Anwar menjelaskan bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang berbincang untuk menentukan kawalan ke atas kenaikan premium insurans perubatan. Rundingan ini bertujuan memastikan kenaikan tersebut tidak memberi tekanan tambahan kepada kadar inflasi negara.
Punca Kenaikan Premium Insurans
Kenaikan premium insurans perubatan ini dilihat sebagai tindak balas kepada kos perubatan yang semakin meningkat, termasuk harga ubat-ubatan, peralatan perubatan, dan kenaikan gaji kakitangan kesihatan.
PM Anwar turut mengulas isu monopoli dalam pembelian ubat-ubatan, yang dilihat sebagai salah satu faktor yang menyebabkan kenaikan kos. Beliau menegaskan perlunya kajian semula terhadap monopoli ini bagi mengawal harga ubat di pasaran tempatan.
Langkah Kerajaan Mengawal Kos
Sebagai sebahagian daripada usaha mengimbangi kos, kerajaan bercadang untuk membatalkan beberapa komitmen pembelian ubat-ubatan dengan syarikat tertentu. Sebaliknya, KKM disarankan untuk menjalin kerjasama dengan negara-negara tertentu bagi mendapatkan ubat generik pada harga lebih berpatutan.
“Langkah ini diharap dapat membantu negara mengurangkan tekanan kos dalam sektor kesihatan, sekali gus memastikan akses kepada perkhidmatan kesihatan yang berkualiti untuk rakyat,” kata PM Anwar.
Komitmen untuk Kesejahteraan Rakyat
Kerajaan komited untuk memastikan sebarang keputusan berkaitan premium insurans perubatan mengambil kira kepentingan rakyat. Dengan langkah-langkah proaktif ini, negara dijangka dapat mengimbangi tekanan kos sektor kesihatan tanpa menjejaskan kualiti perkhidmatan.
Pendirian ini mencerminkan usaha berterusan kerajaan untuk melindungi kesejahteraan rakyat sambil menangani cabaran ekonomi yang kian meningkat.
by Faiz Riziq | Dec 5, 2024 | Ekonomi, Perniagaan & Korporat, Kesihatan & Insuran
Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) menyangkal laporan media yang mendakwa pihaknya menyatakan tiada kenaikan serta-merta berhubung isu peningkatan kadar premium pelan perubatan dan takaful (MHIT) di pasaran negara, yang dilaporkan meningkat sekitar 40% hingga 70% pada masa ini.
Menurut LIAM, mereka bersama Bank Negara Malaysia (BNM) sedang dalam perbincangan untuk mencari pendekatan terbaik bagi meringankan beban pemegang polisi. Perbincangan ini mengambil kira peningkatan tuntutan yang tidak pernah berlaku sebelum ini dalam beberapa tahun kebelakangan.
Faktor Kenaikan Premium
- Inflasi Kos Tuntutan Perubatan Data menunjukkan kos tuntutan perubatan telah meningkat sebanyak 56% dalam tempoh 2021 hingga 2023. Kenaikan ini memberi tekanan besar kepada pengendali insurans di pasaran semasa, sekali gus menjejaskan portfolio perniagaan perubatan mereka.
- Kos Penjagaan Hospital Swasta Lonjakan kos rawatan di hospital swasta, bersama peningkatan bilangan pemegang polisi yang mendapatkan rawatan, turut menyumbang kepada kenaikan kadar premium.
Pendekatan Pengendali Insurans
LIAM menegaskan bahawa walaupun perbincangan dengan BNM masih berlangsung, pengendali insurans terus mengambil langkah proaktif untuk memberikan pilihan penyelesaian terbaik kepada pengguna. Usaha ini bertujuan memastikan kesinambungan polisi dapat dicapai tanpa membebankan pemegang polisi.
Keprihatinan Terhadap Pemegang Polisi
LIAM memahami kegusaran yang dihadapi oleh pemegang polisi dalam situasi ini. Justeru, mereka berkomitmen untuk mencari solusi yang adil dan berdaya maju. Pendekatan ini melibatkan perbincangan mendalam dengan semua pihak berkepentingan bagi mencapai keseimbangan antara keperluan pengguna dan kelangsungan perniagaan pengendali insurans.
Kesimpulan
LIAM menggesa semua pihak untuk menunggu hasil perbincangan yang sedang dijalankan bersama BNM. Pihaknya akan terus berkomunikasi dengan pemegang polisi dan menyediakan maklumat terkini mengenai sebarang keputusan yang diambil. Dalam masa yang sama, pengguna digalakkan untuk berbincang dengan pengendali insurans mereka bagi memahami pilihan yang tersedia dan memastikan perlindungan perubatan mereka kekal berdaya tahan di tengah perubahan kos rawatan.
by Faiz Riziq | Nov 5, 2024 | Ekonomi, Perniagaan & Korporat, Kesihatan & Insuran, Tips, Tinjauan & Statistik
Penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti kardiovaskular, kanser, diabetes, dan penyakit pernafasan kronik kini bukan sekadar isu kesihatan, tetapi juga memberi impak besar kepada ekonomi negara. Di Malaysia, NCD menyumbang sekitar 72% daripada jumlah kematian pramatang, menjadikannya salah satu cabaran utama yang perlu ditangani segera. Selain itu, peningkatan kadar NCD ini turut meningkatkan beban kewangan dan ekonomi yang negara terpaksa tanggung.
Beban Ekonomi NCD di Malaysia
Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pada tahun 2021 sahaja, negara ini terpaksa menanggung sejumlah RM64.2 bilion sebagai beban ekonomi akibat NCD. Jumlah ini termasuk kos langsung penjagaan kesihatan yang dianggarkan sekitar RM12.4 bilion setahun, serta kos ekonomi tidak langsung seperti penurunan produktiviti dan daya saing ekonomi yang terjejas akibat penyakit ini.
Satu contoh nyata adalah pesakit diabetes yang sering mengalami kesulitan untuk fokus dalam kerja kerana keletihan, penglihatan kabur, serta risiko jangkitan yang lebih tinggi. Ini bukan sahaja memberi kesan kepada kesihatan individu, tetapi juga mengakibatkan kerugian kepada negara. Malah, kerugian sekitar RM1.8 bilion telah direkodkan akibat ketidakhadiran pesakit NCD untuk bekerja. Dalam masa yang sama, walaupun mereka hadir bekerja, tahap produktiviti yang menurun telah membawa kepada kerugian ekonomi sebanyak RM30.2 bilion.
Usaha KKM untuk Mengurangkan Tekanan Beban NCD
Bagi menangani masalah ini, KKM telah melaksanakan pelbagai langkah pencegahan dan kawalan bagi mengurangkan peningkatan kadar NCD dalam kalangan rakyat. Antaranya, sejak Julai 2022, sejumlah 4.17 juta saringan kesihatan telah dijalankan sehingga November 2024. Dari jumlah ini, 1.61 juta individu berusia 18 tahun ke atas telah disaring, dengan tujuan mengesan dan mencegah penyakit lebih awal.
Selain saringan, beberapa inisiatif lain turut diperkenalkan, termasuk Kempen Perangi Gula yang bertujuan meningkatkan kesedaran tentang bahaya gula berlebihan, serta peralihan dari pendekatan sick-care kepada health-care, iaitu menumpukan kepada usaha pencegahan daripada rawatan.
Di samping itu, Pelan Langkah Kawalan NCD yang dijadualkan untuk dibentangkan pada 14 November di Parlimen Malaysia akan memperkenalkan kerjasama baru dengan Bank Dunia. Pelan ini diharap dapat memperkukuhkan lagi strategi KKM dalam menangani NCD dan mengurangkan impak negatifnya kepada ekonomi dan masyarakat Malaysia.
Penutup
Peningkatan kadar NCD di Malaysia merupakan isu yang tidak boleh dipandang remeh. Dengan tindakan dan inisiatif proaktif seperti saringan kesihatan awal, kempen kesedaran, serta sokongan dari organisasi antarabangsa seperti Bank Dunia, Malaysia berharap dapat melandaikan kadar peningkatan NCD dan seterusnya mengurangkan beban kewangan dan ekonomi yang ditanggung negara. Di samping itu, masyarakat perlu mengambil peranan untuk menjalani gaya hidup yang lebih sihat agar ancaman NCD dapat dikurangkan dan kualiti hidup rakyat dapat ditingkatkan.
by Faiz Riziq | Oct 14, 2024 | Fakta & Informasi, Kesihatan & Insuran
Tatkala jumlah populasi negara kian meningkat dengan jangkaan seramai 34.1 juta penduduk pada tahun 2024 – didapati masih ramai pihak tidak memiliki perlindungan diri, setakat ini sahaja, hanya 30% rakyat negara diteliti memiliki perlindungan berkaitan insurans kesihatan. Menyedari kelompongan itu, insureKU ingin bertindak selaku penyedia perlindungan untuk menutup jurang tersebut di Malaysia.
insureKU buat pengetahuan umum – adalah platform agregasi digital insurans dan takaful menyeluruh yang pertama dilancarkan di Malaysia, di mana medium ini akan menjadi suatu platform sehenti berhubung penawaran produk perlindungan di pasaran negara.
Bersama 19 rakan penyedia insurans dan takaful, InsureKu memaklumkan kini pengguna Malaysia boleh meraih akses perlindungan dengan lebih pantas. Antara penawaran perlindungan yang akan tersedia adalah melibatkan perlindungan perjalanan, kesihatan, jaminan barangan serta perlindungan untuk kumpulan peniaga. Lebih menarik, insureKU turut akan melancarkan aplikasi buat kemudahan pengguna menjelang tahun 2025.
Ketika ini, ketersediaan produk perlindungan boleh diakses menerusi portal rasmi InsureKu, ini termasuklah proses menjejaki tuntutan perlindungan bersama pengguna. Secara menyeluruh, adanya akses digital berhubung keperluan perlindungan di bawah insureKU – aturan ini akan meningkatkan lagi penyertaan lebih ramai penduduk negara pada akses insurans. Ini kerana masih terdapat 60% pengguna kekal tidak memahami akan kepentingan miliki perlindungan di masa hadapan.
by Faiz Riziq | Sep 12, 2024 | Ekonomi, Perniagaan & Korporat, Kesihatan & Insuran, Luar Negara, English & Other Country
Dalam usaha membendung penyakit berkaitan gula di Malaysia, kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan kadar cukai ke atas minuman bergula (SSB) akan alami peningkatan, di mana pelarasan tersebut akan diketahui pada pembentangan Belanjawan 2025 kelak.
Pelarasan naik kadar cukai gula ini adalah tindak-balas negara berikutan berlakunya penurunan pembelian produk minuman bergula siap minum (RTD) sekitar 9.9% pada pasaran semasa. Maka untuk menggalakkan lagi penurunan jualan tersebut, peningkatan kadar ini dilihat suatu tindakan yang relevan oleh sektor kesihatan negara.
Usaha ini secara langsung turut akan melandaikan peratusan isu obesiti yang didepani sebilangan penduduk Malaysia. Tahukah anda, menjelang 2035 terdapat potensi sekitar 41% penduduk dewasa Malaysia berdepan obesiti dan ketika ini sahaja didapati sekitar 50% penjawat awam negara sedang berdepan masalah tersebut.
Buat pengetahuan umum pada pembentangan bajet lalu, kerajaan telahpun menaikkan paras cukai bergula kepada 50 sen seliter – menerusi kadar baharu kelak ia dijangka akan memberi kesan kepada perubahan harga produk terlibat dan seterusnya mengurangkan lagi kuasa beli pengguna pada keperluan item tersebut.
Recent Comments