by Faiz Riziq | Oct 8, 2024 | Ekonomi, Perniagaan & Korporat, Fakta & Informasi, Kewangan, Keberhutangan & Pelaburan
Tatkala nilai prestasi e-dagang pasaran Asia Tenggara memaparkan potensi perkembangan kepada nilai $305 bilion menjelang 2029 – didapati medium media sosial dan kesan kumpulan pempengaruh ke atas pengguna di Malaysia dilihat lebih rendah, berbanding negara jiran yang lain.
Tinjauan Cube Asia bersama Impact pada laporan Pemasaran Pempengaruh E-Dagang di Asia Tenggara 2024 ini memperincikan, sejumlah 75% pengguna akui tabiat berbelanja mereka dipengaruhi cadangan yang dilaksanakan kumpulan pempengaruh pada pasaran negara. Kedudukan ini sekaligus menjadi peratusan kedua terendah selepas pasaran Singapura (67%).
Situasi ini berbeza dengan kumpulan pempengaruh di Vietnam yang berupaya memberi kesan ke atas perbelanjaan 90% pengguna e-dagang negara mereka, diikuti Indonesia (88%) dan Thailand (83%).
Mengikut perincian tabiat berbelanja di Malaysia, kategori produk yang sering dipengaruhi pempengaruh melibatkan produk fesyen (64%), kecantikan (61%) dan barangan dapur (39%). Lebih menarik antara kumpulan pempengaruh dan selebriti yang menjadi pilihan pengguna negara adalah Siti Nurhaliza, Wawa Zainal dan Khairul Aming.
Secara menyeluruh, pada pasaran Asia Tenggara – platform YouTube dan Facebook kekal menjadi peratusan terbesar pilihan pengguna dengan Malaysia memperlihatkan seramai 87% pengguna YouTube, sementara Facebook 80% dan TikTok pula 80%.


by Faiz Riziq | Oct 7, 2024 | Fakta & Informasi, Kewangan, Keberhutangan & Pelaburan
Penduduk Malaysia, secara amnya masih berdepan dengan kesukaran untuk memiliki aset kewangan bersih yang kukuh berikutan paras gaji yang masih rendah disusuli tekanan kos semasa dan kadar hutang isi rumah yang lebih tinggi. Perihal ini dapat dilihat pada Laporan Kekayaan Global Allianz 2024, yang memperincikan Malaysia di kedudukan ke-40 bersama aset kewangan bersih per kapita iaitu lebih RM44,000 (EUR9,430).
Kedudukan ini secara jelas memaparkan kadar simpanan penduduk negara lebih kecil susulan paras hutang isi rumah kembali meningkat. Minggu lalu, Bank Negara Malaysia (BNM) memaklumkan nisbah hutang isi rumah di Malaysia semakin meningkat kepada 83.8% biarpun kumpulan peminjam berisiko lebih tinggi telah menurun kepada 4.4%.

Jumlah aset kewangan ini ternyata memaparkan jurang yang berbeza dengan negara jiran Singapura – apabila didapati secara puratanya rakyat Singapura miliki aset kewangan sekitar RM800,000 dengan kedudukan ke-4 dalam carta global. Kedudukan itu secara menyeluruh mengatasi Taiwan (5), diikuti Jepun (14). Jelas laporan kemajuan status aset kewangan Singapura itu diimbangi akan penurunan nisbah hutang rakyat mereka kepada 54.1% setakat akhir 2023 lalu.
Berbalik kepada data aset kewangan Malaysia per kapita ini – kebanyakkan aset tersebut adalah disumbangkan hasil penyertaan pada dana insurans dan pencen, diikuti deposit dan sekuriti.

by Faiz Riziq | Oct 7, 2024 | Fakta & Informasi, Tips, Tinjauan & Statistik
Nilai kerugian $12.8 bilion ini untuk makluman adalah bersamaan dengan 3% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berikutan semakin ramai rakyat negara berdepan isu penipuan atas talian (scam). Namun apa yang lebih membimbangkan, kerugian sebenar dianggarkan lebih tinggi susulan 70% mangsa didapati tidak melaporkan kejadian kepada pihak berkuasa.

Dapatan State of Scam 2024 di bawah Global Anti-Scam Alliance (GASA) ini memperincikan antara kaedah penipuan yang mendominasi adalah transaksi bank dan pembayaran secara atas talian, diikuti kad kredit dan dompet digital.
Tidak hanya itu, aktiviti scam pada tahun ini melalui teks dan SMS turut melonjak dengan peningkatan 8% berbanding tahun lalu. GASA melihat situasi ini membawa kesan kewangan yang tinggi – di mana purata kerugian bagi setiap mangsa dianggarkan sekitar $2,726 dan hanya 2% daripada mangsa sahaja dimaklumkan berjaya meraih semula dana mereka. Sementara 70% mangsa tidak berjaya dapatkan dana mereka, diikuti 25% lagi tidak pernah mencuba untuk dapatkannya. Kesan situasi ini, 57% mangsa scam kini berdepan tekanan emosi yang tinggi, menjadikan peratusan itu lebih tinggi berbanding tahun lalu.
by Faiz Riziq | Oct 4, 2024 | Ekonomi, Perniagaan & Korporat, Fakta & Informasi
Bank Negara Malaysia (BNM) menerusi Tinjauan Kestabilan Kewangan Separuh Pertama 2024 memaparkan nisbah hutang isi rumah Malaysia kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kini merekodkan 83.8%.
Angka ini menurut BNM kekal tidak berubah berikutan perkembangan kadar kegiatan ekonomi negara. Ini bermakna daya tahan pinjaman isi rumah terus disokong akan keadaan ekonomi semasa bersama pasaran pekerjaan yang menggalakkan.
Situasi itu jelas menunjukkan keupayaan isi rumah untuk kekal tindakan bayaran balik hutang, dilihat terus konsisten. Malah pada bahagian peminjaman isi rumah yang miliki risiko lebih tinggi iaitu Pinjaman Tahap 2 pula dilihat semakin menurun kepada 4.4% berbanding jumlah pinjaman isi rumah, di mana setakat Disember 2023 sekitar 4.8%.
Pinjaman Tahap 2 ialah pinjaman yang telah menunjukkan kemerosotan risiko kredit, yang memerlukan bank menyediakan peruntukan berdasarkan jangkaan kerugian kredit seumur hidup menurut Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia 9.
Secara menyeluruh, ini mencerminkan kebanyakan isi rumah kekal konsisten laksana pembayaran balik pinjaman secara berterusan.
by Faiz Riziq | Oct 3, 2024 | Fakta & Informasi, Luar Negara, English & Other Country, Perbankan
Bersempena dengan pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim selaku Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 20 Julai 2024 lalu – Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini mengumumkan pengeluaran duit syiling peringatan.
Pengeluaran duit syiling peringatan ini untuk makluman diterbitkan melalui 3 denominasi iaitu duit syiling peringatan Emas, duit syiling peringatan Perak Sterling dan duit syiling peringatan Emas Nordic Brilliant Uncirculated (B.U.).
Menurut makluman BNM, duit syiling ini antaranya akan dijual sebagai set 2 dalam 1 yang mengandungi sekeping duit syiling perak sterling dan sekeping duit syiling emas Nordic. Harga jualan setiap set dilaraskan sekitar RM330. Berdasarkan pengeluaran tersebut, hanya 1,300 set sahaja tersedia untuk pembelian buat penggunaa.
Pada pengumuman itu, bagi orang awam yang berminat kini boleh laksana tempatan menerusi pautan duit.bnm.gov.my bermula jam 11 pagi pada hari ini (2 Oktober) sehingga 11 malam pada 13 Oktober 2024.


by Faiz Riziq | Oct 3, 2024 | Fakta & Informasi, Perbankan
Bank Pertanian Malaysia (Agrobank) kini didenda RM660,000 oleh Bank Negara Malaysia (BNM) susulan gagal mematuhi Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002 (AIKP) pada 3 September lalu.
Jelas BNM, situasi ini dikesan ketika sesi pemeriksaan dilaksanakan terdapat pendedahan berlakunya kekurangan dalam dasar dan prosedur dalaman Agrobank. Tindakan itu membawa kepada kegagalan untuk menjalankan saringan sekatan tepat pada waktunya ke atas pelanggan sedia ada, bakal pelanggan dan pelanggan baharu.
Kegagalan berbuat sedemikian secara langsung mendedahkan Agrobank kepada risiko besar untuk disalahgunakan bagi pembiayaan keganasan dan pembiayaan percambahan.
Berikutan penalti tersebut, Agrobank kini melunaskan denda tersebut dan mengambil langkah pemulihan untuk menyemak semula dasar dalaman serta menambah baik sistem saringan dalamannya bagi memastikan saringan sekatan dalam dilaksanakan dengan segera.
Recent Comments