Inflasi Di Malaysia Kekal 3.7% Tapi Kos Makanan Masih Tinggi

Inflasi Di Malaysia Kekal 3.7% Tapi Kos Makanan Masih Tinggi

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini memaparkan Indeks Harga Pengguna (IHP) kekal di paras 3.7% bagi tinjauan Februari 2023. Buat pengetahuan umum IHP bertindak menjadi pengukur kepada paras inflasi utama Malaysia.

Kadar ini bagaimanapun kekal memperlihatkan kenaikan secara perlahan sekitar 0.2% dan ia didorong oleh paras inflasi kumpulan seperti Restoran dan Hotel (7.4%), Makanan dan Minuman Bukan Alkohol (7.0%) dan Pengangkutan (3.7%). Paras tersebut juga turut dicetuskan oleh kumpulan Hiasan, Perkakasan dan Penyelenggaraan Isi Rumah (3.4%), Pelbagai Barang dan Perkhidmat (2.5%) dan Kesihatan (1.8%).

Sementara itu, paras inflasi melibatkan subkumpulan Makanan dan Minuman Bukan Alkohol telah naik antara 0.6% hingga 9.0%. Ini merangkumi inflasi Makanan di Rumah (5.8%), Daging (9.0%), Beras, Roti dan Bijirin (6.7%), Ikan dan Makanan Laut (3.2%), Susu, Keju dan Telur (6.6%), Buah-Buahan (4.7%), Satur-Sayuran (5.8%), Gula, Jem, Madu, Coklat dan Manisan (3.6%) serta Makanan di Luar Rumah (8.9%).

Berdasarkan paras inflasi mengikut negeri pula, didapati 6 negeri telah mencatatkan kadar inflasi lebihi paras nasional 3.7%, di mana;

  • Wilayah Persekutuan Putrajaya (4.7%)
  • Selangor (4.3%)
  • Johor (4.1%)
  • Sarawak (4.0%)
  • Pahang (4.0%)
  • Perak (3.8%)
  • Manakala Kedah dan Wilayah Persekutuan Labuan pula kekal mencatatkan paras inflasi serendah 2.3%.

 

Secara menyeluruh, mengikut data Asia – Malaysia masih memiliki paras inflasi yang lebih rendah berbanding Indonesia (5.5%), Vietnam (4.3%), Thailand (3.8%). Namun kenaikan inflasi Malaysia secara perlahan ini wajar diberi perhatian semua pihak untuk memastikan aliran tunai rakyat Malaysia terus terpelihara dan berwaspada akan sebarang kemungkinan risiko ekonomi masa hadapan.

 

Syarikat Indeed Membuang 2200 Pekerja

Syarikat Indeed Membuang 2200 Pekerja

Nampaknya, pergerakkan ekonomi yang perlahan memberikan kesan yang meluas kepada pelbagai syarikat. Terbaru, platform pencarian pekerjaan popular, iaitu Indeed turut mengumumkan mereka akan menghentikan sekitar 15% tenaga kerja mereka, berjumlah seramai 2200 orang pekerja.

CEO Indeed turut berkongsi menyatakan pengiklanan pekerjaan yang berbayar di Indeed turut telah berkurangan sekitar 33% dari tahun ke tahun. Indeed juga menyasarkan perbelanjaan oleh bahagian sumber manusia untuk pencarian pekerja akan berkurangan pada tahun 2023 ini, dan mungkin mula meningkat semula pada 2024. Ini juga secara tidak langsung akan memberikan kesan kepada platform seperti Indeed dalam operasi – membawa kepada pengurangan pekerja pada syarikat mereka.

Khazanah Suntik Modal RM1.3 Billion Pada Malaysia Airlines

Khazanah Suntik Modal RM1.3 Billion Pada Malaysia Airlines

Khazanah Nasional kekal menyatakan sokongannya pada Malaysia Airlines Group (MAG) dan tidak memiliki hasrat untuk laksana jualan pemegangan sahamnya dalam masa terdekat. Berdasarkan tinjauan, Khazanah optimis MAG memiliki potensi yang baik untuk mengukuhkan pertumbuhan operasi mereka, termasuklah meraih pendapatan baharu di samping memiliki pesawat baharu untuk perkhidmatan.

Adanya usaha pengukuhan operasi ini ia kelak akan membantu MAG memacu kedudukan mereka pada arena penerbangan. Setelah mencapai matlamat tersebut, barulah pertimbangan berhubung perkongsian strategik MAG akan dilaksanakan bersama pihak berpotensi.

Seperti yang umum ketahui, Khazanah adalah pemegang saham tunggal MAG dan kekalkan pendirian untuk terus menyokong pemulihan MAG melalui suntikan kos berjumlah RM3.6 bilion sehingga 2025 kelak. Setakat ini, sekitar RM1.3 bilion dana telah disalurkan dan proses pemulihan tersebut akan terus dilanjutkan untuk mengimbangi kembali struktur MAG.

Bank Untung Besar, Tidak Dikenakan Cukai Makmur

Bank Untung Besar, Tidak Dikenakan Cukai Makmur

Institusi perbankan di negara yang meraih lebihan keuntungan berikutan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebelum ini dimaklumkan, tidak akan dikenakan Cukai Makmur. Sebaliknya bank yang perolehi lebihan keuntungan ini dituntut untuk menggandakan usaha tanggungjawan sosial korporat (CSR) mereka kepada rakyat negara mengikut pendekatan operasi.

Kementerian Kewangan (MOF) menegaskan penetapan paras OPR ketika ini 2.75% secara langsung telah meredakan aliran inflasi negara, setakat ini ditakuk 3.3% dan dijangka akan lebih terkawal pada tahun 2023. Berbeza dengan inflasi di negara Asia lain dilihat masih diparas tinggi dengan Filipina 8.7%, Singapura 6.6% dan Indonesia 4.3%.

 

Cukai Makmur – adalah cukai windfall yang dikenakan sekali sahaja ke atas syarikat yang menjana pendapatan melebihi RM100 juta. Di mana RM100 juta pertama akan dikenakan kadar cukai 24% dan selebihnya akan dikenakan pada kadar 33% pada tahun taksiran.

Pinjaman Bersandarkan KWSP, Keutungan Kadar Sekitar 4-5%

Pinjaman Bersandarkan KWSP, Keutungan Kadar Sekitar 4-5%

Ekoran tindakan kerajaan membenarkan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijadikan sebagai cagaran bagi pinjaman bank melibatkan Akaun 2 – kini terdapat pelbagai persoalan diutarakan hasil langkah tersebut. Namun Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan aturan itu adalah sebahagian daripada usaha negara untuk memelihara aliran tunai rakyat yang terkesan.

Pada tindak balas itu, KWSP hari ini memaklumkan inisiatif tersebut tidak akan membebankan rakyat Malaysia kerana kadar faedah (konvensional) atau kadar keuntungan (Islamik) yang akan dikenakan oleh institusi perbankan adalah dijangka sekitar 4% sehingga 5% setahun.

Kadar ini jauh lebih rendah daripada kadar pasaran pinjaman semasa yang mengenakan kadar sekitar 8% sehingga 15%. KWSP turut mengeaskan langkah menjadikan wang KWSP sebagai cagaran adalah sah dan ia tidak bercanggah dengan Seksyen 51, Akta KWSP 1991.

Selain itu, PM Anwar pada sidang Parlimen pagi ini turut menegaskan penggunaan dana Akaun KWSP masih lagi terpakai untuk penggunaan perbelanjaan melibatkan pelunasan pinjaman pendidikan, kesihatan atau tuntutan haji.

Dividen RM500 Juta Untuk Kerajaan – Khazanah

Dividen RM500 Juta Untuk Kerajaan – Khazanah

Khazanah Nasional, terus mengekalkan momentum positif apabila prestasi kewangan 2022 memperlihatkan tahap operasi meraih RM1.6 bilion keuntungan lebih tinggi berbanding tahun 2021 (RM670 juta), ini didorong hasil aktiviti kewangan yang rancak dan kemerosotan nilai yang lebih rendah dalam portfolio berlaku. Selain itu, sejumlah RM6.6 bilion pelaburan baharu dilaksanakan bagi tahun 2022.

Namun kesan cabaran pasaran semasa, memperlihatkan sedikit peningkatan hutang kepada RM49.1 bilion berbanding RM48.5 bilion pada tahun sebelumnya. Sementara Nilai Aset Bersih (NAV) juga turut menyaksikan penurunan sebanyak 5% daripada RM86 bilion pada 2021 kepada RM81 bilion pada 2022 disebabkan oleh aliran menurun pasaran global. Manakala berhubung pengagihan dividen pula, Khazanah mengisytiharkan dividen RM500 juta bagi 2022 kepada kerajaan Malaysia dengan RM 17.1 bilion dividen kumulatifnya yang diisytiharkan sejak 2004.

Tahun 2022 turut memaparkan aturan Khazanah dalam usaha membina nilai aset negara melalui sokongan tawaran awam permulaan (IPO) seperti Farm Fresh Bhd yang berjaya di Bursa Malaysia dan menjadi IPO terbesar pada 2022, diikuti perkongsian strategik bersama SK ecoplant Korea Selatan untuk mempercepatkan pertumbuhan Cenviro Sdn Bhd sebagai peneraju pengurusan sisa serantau, dan penggabungan Celcom-Digi yang akan meningkatkan keupayaan untuk meningkatkan ketersambungan digital.

Usaha sedemikian selaras dengan matlamat negara untuk memacu pertumbuhan korporat pada tahun 2023.

Online
Hi! Boleh kami bantu?