by Faiz Riziq | Mar 7, 2024 | Ekonomi, Perniagaan & Korporat, Kewangan, Keberhutangan & Pelaburan, Luar Negara, English & Other Country, Perbankan
Bank Negara Malaysia hari ini mengumumkan mereka akan mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada kadar 3.00 peratus seperti sebelum ini. BNM menyatakan langkah ini adalah selaras dengan keadaan ekonomi yang kukuh dan kekal menyokong pertumbuhan. Pembiayaan kekal juga dijangka akan membawa kepada pertumbuhan kredit yang berterusan.Pada tahun 2024 ini juga, pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka akan lebih baik, sementara inflasi dijangka akan terus menyerderhana.

by Faiz Riziq | Mar 7, 2024 | Ekonomi, Perniagaan & Korporat, Fakta & Informasi
Walaupun inflasi diunjur meningkat sedikit pada 2024, namun kadar itu masih terkawal dan boleh diuruskan oleh kerajaan dengan kerjasama semua pihak termasuk peserta industri, peniaga dan pengguna, menurut Kementerian Ekonomi.
Kementerian itu menjelaskan bahawa Kementerian Kewangan melalui penerbitan Tinjauan Ekonomi 2024 mengunjurkan kadar inflasi bagi 2024 adalah di antara 2.1 peratus hingga 3.6 peratus.
“Keadaan ini sebahagiannya disebabkan oleh jangkaan peralihan secara berperingkat ke arah mekanisme pelaksanaan subsidi bersasar bagi memastikan pengagihan sumber yang lebih saksama.
“Peratus kenaikan ini adalah dalam lingkungan unjuran oleh MIDF Research bagi 2024, iaitu 3.2 peratus,” tambah Kementerian Ekonomi menerusi jawapan bertulis bertarikh 5 Mac yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.
Jawapan itu bagi menjawab soalan Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim (PN-Kuala Terengganu) mengenai inisiatif untuk menghadapi krisis inflasi berikutan MIDF Research menjangkakan inflasi Malaysia pada tahun ini meningkat kepada 3.2 peratus.
Kementerian Ekonomi menjelaskan kedudukan fiskal kerajaan semakin mencabar dan memerlukan komitmen untuk menyasarkan semula subsidi yang merupakan antara komponen utama dalam belanjawan mengurus.
“Walau bagaimanapun, kesejahteraan rakyat secara keseluruhan perlu diutamakan.
“Oleh yang demikian, kerajaan perlu memilih kaedah penyasaran semula subsidi yang dapat mengimbangi matlamat kerajaan untuk menambah baik kedudukan fiskal dan dalam masa yang sama mengurangkan impak ke atas kos sara hidup yang ditanggung oleh rakyat,” tambahnya.
Kementerian itu memaklumkan bahawa kerajaan telah mengenal pasti beberapa program dan inisiatif bagi memastikan kebajikan rakyat terpelihara seperti meningkatkan nilai keseluruhan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) 2024 kepada RM10 bilion, meningkatkan bekalan dan jaminan makanan dengan menambah stok pelbagai barangan makanan serta menambah baik kecekapan pengagihan bagi memastikan bekalan tidak terganggu.
Kerajaan turut meneruskan inisiatif Payung Rahmah antaranya program Jualan Rahmah, Bakul Rahmah dan Menu Rahmah bagi mengurangkan kesan kos sara hidup rakyat di samping meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan harga yang berpatutan serta mengelakkan aktiviti mengaut keuntungan secara berlebihan.
SUMBER – BERNAMA
by Faiz Riziq | Mar 3, 2024 | Ekonomi, Perniagaan & Korporat, Fakta & Informasi, Luar Negara, English & Other Country
Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan kerajaan bakal peruntukkan dana sebanyak RM1 biliion, dalam usaha melahirkan generasi baharu usahawan Bumiputera, dengan fokus terhadap bidang pertumbuhan tinggi.
Bercakap mengenainya, Perdana Menteri menyatakan Malaysia mampu mencipta lebih banyak syarikat usahawan Bumpitera, seperti Aerodyne yang menerajui arena industri dron, Animonsta yang menerajui industri karya kreatif, dan sebagainya. Nama Khairul Aming turut disebut yang memperlihatkan penggunaan teknologi digital dalam pemasaran dan perniagaan.
Selain itu, Perdana Menteri turut mengumumkan akan mengkhususkan pembiayaan kredit mikro Bumiputera sehingga RM1 bilion melalui institusi kewangan seperti BSN, Agrobank, dan TEKUN Nasional, untuk menyediakan bantuan dan sokongan kepada pelbagai segmen usahawan Bumiputera.
Disamping itu, Perdana Menteri turut mengumumkan pemantauan berterusan akan dilakukan Majlis Ekonomi Bumiputera adlam memastikan setiap langkah yang diputuskan diuruskan dengan baik, serta tatakelola berkesan.
by Faiz Riziq | Mar 1, 2024 | Ekonomi, Perniagaan & Korporat, Fakta & Informasi, Luar Negara, English & Other Country
Berkuat-kuasa hari ini, 1 Mac 2024, cukai perkhidmatan SST akan ditingkatkan daripada kadar sedia ada 6%, kepada kadar baharu, 8%. Ini sekaligus memperlihatkan peningkatan sebanyak 2%. Langkah ini secara tidak langsung dijangka akan memberikan sedikit impak kepada harga jualan beberapa perkhidmatan.
Mengikut pengumuman ketika Belanjawan 2024, kadar 8% akan diperkenalkan untuk semua, kecuali perkhidmatan makanan dan minuman, telekomunikasi, parkir kereta dan logistik yang akan dikekalkan dengan 6%. Langkah ini dijangka akan membantu kerajaan dalam terus menjana pendapatan untuk negara. Untuk lebih terperinci, klik pautan di bawah untuk senarai kenaikkan SST.
PERATURAN CUKAI PERKHIDMATAN (PINDAAN) 2024
by Faiz Riziq | Feb 28, 2024 | Ekonomi, Perniagaan & Korporat, Kewangan, Keberhutangan & Pelaburan
Gabenor Bank Negara Malaysia kini berkongsi berkenaan dengan perkembangan semasa mata wang Malaysia, Ringgit. Menurut beliau, Ringgit pada masa ini adalah terkurang nilai, atau undervalued. Berkongsi lanjut, ia dikatakan memandangkan asas dan prospek ekonomi Malaysia adalah positif, ringgit sewajarnya didagangkan pada tahap yang lebih tinggi lagi banding nilai semasa.
BNM telah meningkatkan perbincangan dengan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan, GLC, syarikat korporat dan pelabur untuk menggalakkan aliran masuk yang berterusan ke dalam pasaran pertukaran asing. Sebelum ini, nilai matawang ringgit jatuh kepada RM4.80 untuk setiap dolar Amerika Syarikat, sekaligus membawa kepada tahap terendah sejak tahun 1998 lepas.
by Faiz Riziq | Feb 23, 2024 | Ekonomi, Perniagaan & Korporat, Fakta & Informasi
Penurunan nilai mata wang Ringgit Malaysia (RM) sejak beberapa tahun ini semakin membimbangkan situasi ekonomi tempatan. Ia akan turut menjejaskan sosioekonomi serta meningkatkan harga barangan import. Ramai sudah mula bosan dengan penurunan nilai mata wang ringgit sejak beberapa tahun ini. Seringkali timbul persoalan, bilakah ia akan bangkit? Sebelum berfikir lebih jauh, artikel ini akan berkongsikan 6 faktor utama kenapa mata wang ringgit susah sangat nak mengukuh sejak dua menjak ini.
1. Perubahan Pasaran Global
Perubahan naik turun mata wang ringgit dalam tempoh jangka masa pendek kini lebih bergantung kepada situasi pasaran global di Amerika Syarikat dan China. Pertumbuhan ekonomi dan paras kadar faedah yang tinggi di Amerika Syarikat memberi kelebihan kepada kekuatan mata wang dolar AS. Secara tidak langsung, ini akan menonjolkan jarak yang ketara dalam perbezaan nilai mata wang berbanding ekonomi negara Malaysia yang kecil ini.
Selain itu, situasi pasaran ekonomi China yang alami kelembapan turut menarik pandangan pelabur pertukaran mata wang asing global yang beranggapan bahawa ekonomi Asia kurang memberi impak dalam meraih keuntungan.
2. Kadar Faedah
Penetapan kadar faedah yang kekal 3.0 peratus pada penghujung 2023 telah menyebabkan pergerakan ekonomi tempatan kekal stabil. Keputusan itu merupakan satu respon oleh Bank Negara Malaysia (BNM) bahawa situasi ekonomi negara masih dalam keadaan terkawal dan baik. Itu merupakan keputusan tidak berubah untuk empat kali berturut-turut sejak Mei 2023 hingga sekarang.
3. Data Inflasi
Kini, kadar inflasi keseluruhan Malaysia yang diukur menerusi Indeks Harga Pengguna (IHP) masih kekal pada tahap 1.5% pada Disember 2023. Ini menjadikan inflasi keseluruhan secara tahunan pada 2023 meningkat 2.5 peratus berbanding 3.3 peratus pada 2022. Dorongan positif ini akan terus membantu nilai mata wang ringgit untuk terus bertahan. Jika terdapat kebimbangan tentang kenaikan inflasi yang tidak terkawal, ia boleh menyebabkan penurunan daya beli ringgit dan menyebabkan kelemahan mata wang.
4. Keyakinan Pasaran Tempatan
Peningkatan bilangan pelabur domestik terutama melibatkan syarikat tempatan di Malaysia menunjukkan keyakinan dalam kalangan pelabur semakin tinggi berbanding tahun-tahun sebelum ini. Sepanjang tahun lepas, Malaysia telah meluluskan pelaburan bernilai RM225 bilion dalam sektor perkhidmatan, pembuatan dan utama dalam tempoh Januari hingga September 2023. Laporan itu meningkat 6.6 peratus daripada pelaburan RM211 bilion yang diluluskan dalam tempoh yang sama tahun lepas. Namun, sentimen pasaran mampu berubah arah disebabkan oleh faktor-faktor seperti ketidakstabilan politik, kelemahan ekonomi atau ketidakpastian dasar kewangan yang boleh menyebabkan kehilangan keyakinan para pelabur.
5. Pergerakan Harga Minyak Sawit
Malaysia merupakan pengeluar dan pengeksport minyak sawit yang signifikan di peringkat global. Jika harga minyak turun, ia boleh menjejaskan pendapatan negara dan memberi tekanan kepada mata wang. Harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka didagangkan lebih tinggi melepasi paras RM4,000 satu tan pada 2024 berikutan kekangan bekalan ekoran ancaman El Nino yang sederhana dan aktiviti pembajaan yang lebih rendah pada 2021 dan 2022.
6. Ketidakpastian Politik & Dasar Ekonomi
Ketidakstabilan politik dalam negara atau ketidakpastian mengenai dasar-dasar ekonomi boleh memberi kesan negatif kepada kepercayaan pelabur dalam ringgit. Sejak Pilihan Raya Umum Ke-15, kekacauan dalaman politik telah menjadi topik utama di media tempatan selepas Kerajaan Madani di bawah kepimpinan Dato Seri Anwar Ibrahim berjaya membentuk sebuah kerajaan perpaduan hasil gabungan beberapa buah parti untuk membentuk majoriti.
Namun, sejauh manakah kredibiliti yang mampu dibawa kerajaan ini dalam menstabilkan atmosfera politik serta dasar ekonomi tempatan yang lebih mampan? Jadi, ini merupakan 6 faktor besar yang menjadi penyebab utama dalam pergerakan naik turun mata wang ringgit sejak beberapa tahun ini. Semoga perkongsian ini dapat memberikan manfaat kepada semua pembaca!
Recent Comments