RM383 Juta Urus Niaga Telah Disekat Oleh Pihak Bank Pada Tahun 2023 – ABM

RM383 Juta Urus Niaga Telah Disekat Oleh Pihak Bank Pada Tahun 2023 – ABM

Institusi kewangan di Malaysia berjaya menghalang urus niaga mencurigakan dan penipuan bernilai RM383 juta dari Januari hingga Disember 2023, kata Persatuan Bank-Bank di Malaysia (ABM).

Pengerusi Pasukan Petugas Khas Membanteras Penipuan Kewangan dan Ketua Pegawai Eksekutif Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank, Datuk John Chong berkata pencapaian 15 bank di Malaysia membuktikan komitmen mereka terhadap langkah pencegahan penipuan yang kukuh.

Chong berkata pelaksanaan pelbagai langkah keselamatan, mengetatkan parameter pemantauan penipuan dan kawalan penipuan yang dipertingkatkan terus menghasilkan momentum positif dalam memerangi urus niaga yang mencurigakan dan penipuan.

“Menurut Bank Negara Malaysia (BNM), terdapat pengurangan 58 peratus urus niaga perbankan dalam talian tanpa kebenaran yang dilaporkan kepada Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) dalam tempoh lima bulan,” katanya pada Bengkel Penipuan #JanganKenaScam untuk pengamal media hari ini.

Chong berkata bank-bank telah melaksanakan lima langkah utama yang dicadangkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) untuk memerangi penipuan sejak Julai 2023.

Lima langkah utama adalah beralih daripada kata laluan satu kali SMS (OTP), mengetatkan peraturan pengesanan penipuan bank, membenarkan hanya satu peranti mudah alih atau peranti selamat didaftarkan, pengesahan dan tempoh bertenang untuk pendaftaran kali pertama e-perkhidmatan perbankan atau peranti selamat dan saluran aduan khusus untuk pelanggan yang beroperasi 24 jam sehari, tujuh hari seminggu (24/7).

Selain itu, bank juga secara proaktif melaksanakan langkah keselamatan lain seperti mengelak daripada menghantar SMS atau e-mel dengan pautan, menguatkuasakan aplikasi mudah alih untuk hanya beroperasi pada versi sistem pengendalian yang selamat, ‘kill switch’, kaedah pemantauan jenama dan pengesahan keselamatan di mesin pengeluaran wang automatik (ATM), diikuti dengan pelaksanaan tempoh bertenang.

“Dalam usaha kami untuk menangani penipuan kewangan secara holistik pada skala yang lebih luas, bank akan melaksanakan langkah menangani penipuan yang serupa untuk segmen perbankan bukan runcit dalam beberapa bulan akan datang, di bawah bimbingan BNM.

“Kami akan menguatkuasakan pengesahan berbilang faktor (MFA) yang kukuh dan tempoh bertenang untuk sebarang pengaktifan MFA bagi peningkatan had pemindahan pihak ketiga dengan penhantaran pemberitahuan kepada pelanggan yang tepat pada masanya. Turut disediakan adalah talian hotline 24/7,” katanya.

Chong berkata bank juga akan terus menilai cara praktikal lain untuk melindungi pelanggan dengan lebih lanjut seperti mengesan perisian hasad dalam Kit Pakej Android (APK).

Sumber: Bernama

OPR Kekal Pada 3% – BNM

OPR Kekal Pada 3% – BNM

Bank Negara Malaysia hari ini mengumumkan mereka akan mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada kadar 3.00 peratus seperti sebelum ini. BNM menyatakan langkah ini adalah selaras dengan keadaan ekonomi yang kukuh dan kekal menyokong pertumbuhan. Pembiayaan kekal juga dijangka akan membawa kepada pertumbuhan kredit yang berterusan.Pada tahun 2024 ini juga, pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka akan lebih baik, sementara inflasi dijangka akan terus menyerderhana.

 

Kadar Peratusan Inflasi 2024 Boleh Dikawal – Kementerian Ekonomi

Kadar Peratusan Inflasi 2024 Boleh Dikawal – Kementerian Ekonomi

Walaupun inflasi diunjur meningkat sedikit pada 2024, namun kadar itu masih terkawal dan boleh diuruskan oleh kerajaan dengan kerjasama semua pihak termasuk peserta industri, peniaga dan pengguna, menurut Kementerian Ekonomi.

Kementerian itu menjelaskan bahawa Kementerian Kewangan melalui penerbitan Tinjauan Ekonomi 2024 mengunjurkan kadar inflasi bagi 2024 adalah di antara 2.1 peratus hingga 3.6 peratus.

“Keadaan ini sebahagiannya disebabkan oleh jangkaan peralihan secara berperingkat ke arah mekanisme pelaksanaan subsidi bersasar bagi memastikan pengagihan sumber yang lebih saksama.

“Peratus kenaikan ini adalah dalam lingkungan unjuran oleh MIDF Research bagi 2024, iaitu 3.2 peratus,” tambah Kementerian Ekonomi menerusi jawapan bertulis bertarikh 5 Mac yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.

Jawapan itu bagi menjawab soalan Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim (PN-Kuala Terengganu) mengenai inisiatif untuk menghadapi krisis inflasi berikutan MIDF Research menjangkakan inflasi Malaysia pada tahun ini meningkat kepada 3.2 peratus.

Kementerian Ekonomi menjelaskan kedudukan fiskal kerajaan semakin mencabar dan memerlukan komitmen untuk menyasarkan semula subsidi yang merupakan antara komponen utama dalam belanjawan mengurus.

“Walau bagaimanapun, kesejahteraan rakyat secara keseluruhan perlu diutamakan.

“Oleh yang demikian, kerajaan perlu memilih kaedah penyasaran semula subsidi yang dapat mengimbangi matlamat kerajaan untuk menambah baik kedudukan fiskal dan dalam masa yang sama mengurangkan impak ke atas kos sara hidup yang ditanggung oleh rakyat,” tambahnya.

Kementerian itu memaklumkan bahawa kerajaan telah mengenal pasti beberapa program dan inisiatif bagi memastikan kebajikan rakyat terpelihara seperti meningkatkan nilai keseluruhan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) 2024 kepada RM10 bilion, meningkatkan bekalan dan jaminan makanan dengan menambah stok pelbagai barangan makanan serta menambah baik kecekapan pengagihan bagi memastikan bekalan tidak terganggu.

Kerajaan turut meneruskan inisiatif Payung Rahmah antaranya program Jualan Rahmah, Bakul Rahmah dan Menu Rahmah bagi mengurangkan kesan kos sara hidup rakyat di samping meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan harga yang berpatutan serta mengelakkan aktiviti mengaut keuntungan secara berlebihan.

 

SUMBER – BERNAMA

Bayar PTPTN Dengan 7 Cara Melalui KWSP

Bayar PTPTN Dengan 7 Cara Melalui KWSP

Mungkin ramai yang tidak tahu ada alternatif lain dalam membuat pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Selain melalui potongan gaji, salah satu cara yang boleh dipertimbangkan adalah dengan bayar PTPTN guna KWSP.

 

Langkah Mudah Bayar Balik Pinjaman Pendidikan PTPTN Menggunakan Akaun 2 KWSP

Bayar PTPTN guna KWSP boleh dibuat melalui Akaun 2 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja peminjam atau pasangan (suami/isteri), anak-anak dan/atau ibu bapa. Namun begitu, ia tertakluk pada syarat pengeluaran semasa yang ditetapkan oleh KWSP. Permohonan bayar PTPTN guna KWSP boleh dibuat secara online melalui e-Pengeluaran di laman web rasmi KWSP. Ada tujuh langkah yang perlu dilakukan untuk bayar PTPTN guna KWSP seperti berikut:

 

1. Log Masuk i-Akaun KWSP

Masukkan ID pengguna dan klik ‘Log masuk’. Kemudian, masukkan kata laluan dan klik butang ‘Teruskan’.

2. Permohonan Pengeluaran

Pada menu utama, pilih ‘Pengeluaran’. Kemudian, pilih ‘Permohonan Baharu’. Pilih jenis pengeluaran pendidikan dan lengkapkan maklumat pengajian yang diperlukan. Setelah selesai, klik butang ‘Seterusnya’.

3. Lengkapkan Maklumat Ahli dan Amaun Kelayakan

Isi maklumat peribadi, maklumat pengeluaran, butiran pembayaran balik serta semua maklumat lain yang diperlukan, kemudian klik ‘Seterusnya’.

4. Semakan Ringkasan Permohonan Pengeluaran

Seterusnya, anda perlu semak maklumat permohonan dan klik permohonan TAC. Masukkan nombor TAC yang dihantar ke telefon bimbit berdaftar melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dan klik butang ‘Hantar’.

5. Pengesahan Permohonan Pengeluaran

Jika maklumat anda sudah lengkap, klik ‘Setuju’ untuk membuat perakuan diri. Permohonan anda sudah berjaya dihantar.

6. Hadir ke Pejabat KWSP

Setelah selesai, anda perlu hadir ke pejabat KWSP untuk proses pengesahan Cap Ibu Jari (CIJ). Bawa bersama dokumen sokongan yang diperlukan oleh KWSP untuk melancarkan proses permohonan.

7. Tunggu Proses Permohonan Selesai

Status permohonan bayar PTPTN guna KWSP akan dihantar melalui SMS atau melalui mesej sekuriti inbox di i-Akaun KWSP. Biasanya, proses ini akan akan mengambil masa dalam tempoh tujuh hingga 14 hari waktu bekerja setelah PTPTN memproses maklumat ini.

 

Melalui Akaun 2 KWSP, peminjam boleh bayar amaun tunggakan, menjelaskan sebahagian atau semua baki pinjaman pendidikan PTPTN sekali gus tanpa dikenakan sebarang caj pemprosesan. Selain itu, tiada had pengeluaran ditetapkan dan anda juga boleh buat pengeluaran lebih daripada sekali selagi Akaun 2 masih mempunyai baki. Bukan itu sahaja, peminjam juga berpeluang nikmati penjimatan kos ujrah serta memendekkan tempoh bayaran balik.

Bayar PTPTN Guna KWSP: Manfaatkan Simpanan Anda untuk Keperluan Masa Kini

Semoga perkongsian ini membantu anda untuk menyelesaikan bayaran balik pinjaman pendidikan PTPTN anda. Selain bayar PTPTN guna KWSP, anda juga boleh lakukan pengeluaran simpanan Akaun 2 KWSP untuk beli rumah, mengurangkan baki pinjaman perumahan dan sebagainya. Anda boleh rujuk KWSP untuk info lanjut berkaitan pengeluaran KWSP yang dibenarkan.

 

Memahami Risiko Tentang Pelaburan Sebelum Melabur

Memahami Risiko Tentang Pelaburan Sebelum Melabur

Meskipun banyak berita memaparkan penipuan pelaburan, masih ramai lagi masyarakat yang mudah percaya dan terpedaya. Kes penipuan skim pelaburan atau penipuan scammer mudah berlaku kerana sikap individu yang kurang cakna terhadap risiko pelaburan dan mengharapkan keuntungan segera dalam tempoh yang singkat. Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, seramai 1.7 juta mangsa sindiket pelaburan dilaporkan dalam tempoh empat tahun dengan anggaran kerugian sebanyak RM4.9 bilion.

 

Ambil Kira Risiko Pelaburan, 4 Risiko Biasa yang Anda Perlu Tahu

Risiko pelaburan secara umumnya berkait rapat dengan keuntungan atau kerugian yang bakal diperoleh. Ini bermaksud, semakin tinggi risiko, semakin banyak pulangan pelaburan (atau risiko kerugian) yang bakal diperoleh. Secara asasnya, setiap instrumen pelaburan mempunyai risiko dan pulangan yang tersendiri.

Namun begitu, apa yang dimaksudkan dengan risiko pelaburan? Secara asasnya, risiko pelaburan merujuk kepada ketidakpastian atau potensi kerugian yang wujud dalam pelaburan. Dalam erti kata lain, ada kemungkinan setiap pelaburan yang anda sertai menerima kadar pulangan yang kurang atau pelaburan menanggung kerugian berbanding jangkaan. Oleh sebab itu, anda perlu sentiasa bersedia dengan segala risiko yang mungkin dihadapi dalam pasaran saham. Berikut antara risiko yang sering dihadapi oleh pelabur:

 

1. Risiko Inflasi

Inflasi memberi kesan kepada kuasa beli pengguna. Ia juga menyebabkan nilai wang semakin mengecil dan berlaku kenaikan harga barangan. Jika dahulu sekeping duit RM50 boleh membeli pelbagai jenis barangan keperluan harian. Namun kini nilai tersebut hanya mampu membeli sebotol minyak masak dan lampin pakai buang sahaja. Sebagai pelabur, anda perlu mengambil kira potensi pulangan yang bakal diperoleh dan memastikan ia melebihi kadar inflasi semasa untuk memaksimumkan keuntungan.

 

2. Risiko Pasaran

Risiko pasaran merupakan salah satu risiko yang bakal dihadapi oleh pelabur. Secara asasnya, risiko pasaran berkait rapat dengan naik turun pasaran saham. Ia juga dipengaruhi oleh faktor-faktor semasa seperti ketidakpastian ekonomi, keadaan politik dan sebagainya. Sebagai contoh, turun naik harga emas hari ini di Malaysia berkait rapat dengan faktor-faktor semasa seperti ekonomi dan politik dunia, permintaan, inflasi dan harga minyak serta harga dolar USD.

 

3. Risiko Kadar Faedah

Apabila berlaku sesuatu perubahan yang tidak dijangka terhadap kadar faedah, sekuriti pendapatan tetap seperti bon akan menerima kesan yang setara. Sekuriti pendapatan tetap sangat sensitif kepada risiko kadar faedah – ia memberi impak langsung sekiranya ada perubahan pada kadar faedah. Biasanya, nilai bon akan jatuh sekiranya kadar faedah meningkat.

 

4. Risiko Kredit

Selain itu, risiko kredit juga merupakan salah satu risiko yang perlu dipertimbangkan ketika membuat pilihan pelaburan anda. Jika berlaku situasi penerbit bon atau sukuk tidak mampu atau gagal membayar pulangan kepada pelabur disebabkan muflis atau sebagainya, anda mungkin akan menerima impak yang setara. Pemegang bon berkemungkinan tidak akan menerima faedah atau prinsipal yang dijanjikan jika syarikat yang mengeluarkan bon mengalami masalah kewangan.

 

5 Strategi untuk Menguruskan Risiko Pelaburan

Pengurusan risiko pelaburan merupakan salah satu elemen penting dalam memastikan anda tidak mengalami kerugian yang besar. Jika pelaburan diuruskan dengan baik, ia dapat membantu anda memaksimumkan keuntungan. Berikut merupakan lima cara yang boleh anda pertimbangkan untuk mengurangkan risiko sebelum melabur:

 

1. Pelbagaikan Pelaburan Anda

Anda tidak digalakkan untuk menumpukan kepada satu instrumen pelaburan sahaja dan mempelbagaikan pelaburan anda. Ini kerana, setiap pelaburan mempunyai impak kerugian (atau potensi keuntungan) yang tersendiri. Dengan mempelbagaikan instrumen pelaburan anda, ia secara tidak langsung dapat membantu mengurangkan risiko kerugian dan memaksimumkan keuntungan anda. Anda boleh pertimbangkan medium pelaburan seperti Tabung Haji, Amanah Saham Bumiputra (ASB), unit amanah dan sebagainya.

 

2. Risiko Pelaburan: Fahami Pelaburan Anda

Secara asasnya, setiap pelaburan yang anda sertai menawarkan tahap kerugian dan keuntungan yang berbeza bergantung pada jenis pelaburan yang anda lakukan. Oleh sebab itu, anda perlu ambil tahu setiap instrumen pelaburan yang anda sertai.

Pengetahuan yang jelas mengenai pelaburan yang disertai dapat mengurangkan risiko pelaburan yang mungkin dihadapi. Fahami potensi risiko, kaji pulangan faedah atau dividen dan prestasi setiap jenis pelaburan yang disertai bagi memastikan pelaburan anda tidak mendatangkan kerugian.

 

3. Tetapkan Objektif dan Matlamat Pelaburan Anda

Sebelum terlibat dalam mana-mana pelaburan, anda perlu menentukan objektif dan matlamat pelaburan anda. Tanpa objektif dan matlamat yang jelas, ia mungkin akan menyukarkan anda untuk membuat keputusan dan memilih instrumen pelaburan yang sesuai untuk anda. Antara matlamat biasa yang ditentukan adalah seperti simpanan persaraan, pengurusan hutang, pendidikan anak-anak, mengerjakan haji dan umrah dan sebagainya.

 

4. Risiko Pelaburan: Ketahui Toleransi Risiko Anda

Setiap pelaburan yang anda sertai mungkin berisiko mengalami kerugian. Oleh sebab itu, anda perlu mengenal pasti tahap toleransi risiko anda. Dengan mengenal pasti tahap toleransi risiko, ia dapat membantu anda memilih jenis pelaburan dan membina portfolio pelaburan yang terbaik dan sesuai untuk anda. Sebagai contoh, jika tahap risiko anda sederhana (bukan seorang yang suka mengambil risiko), anda boleh memilih pelaburan risiko rendah (skala konservatif) seperti Pelaburan Saham Koperasi Bank Rakyat, Dana Pasaran Wang atau Pelaburan Takaful. Namun jika anda seorang yang suka mengambil risiko, anda boleh mempertimbangkan pelaburan risiko tinggi yang lebih agresif.

 

5. Jangka Masa Pelaburan

Jangka masa pelaburan merupakan salah satu toleransi kerugian yang perlu anda pertimbangkan sebelum memilih pelaburan yang sesuai untuk anda. Semakin lama tempoh pelaburan anda, semakin selamat dan semakin tinggi keuntungan pelaburan anda. Di Malaysia, caruman KWSP merupakan salah satu contoh pelaburan jangka panjang terbaik yang boleh anda pilih.

 

Elak Kesilapan dalam Pelaburan untuk Minimumkan Kerugian

Risiko semestinya sesuatu perkara yang tidak dapat dielakkan dalam kehidupan seharian. Namun begitu, anda boleh meminimumkan kerugian dengan mengamalkan strategi pelaburan yang betul. Anda disarankan untuk menganalisis, mengkaji dan melakukan penilaian secara menyeluruh sebelum membuat keputusan yang terbaik untuk masa depan anda.

Online
Hi! Boleh kami bantu?