by Faiz Riziq | Mar 14, 2024 | Kewangan, Keberhutangan & Pelaburan
Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) hari ini mengumumkan pengenalan penasihat robo secara terbina pada platform aplikasi myASNB, dinamakan RIA. Melaluinya, ia menyasarkan untuk membantu orang ramai dalam membuat keputusan pelaburan, disamping turut memperkasa individu dengan pengalaman pelaburan yang mesra pengguna.
ASNB menyatakan pengenalan RIA ini akan memudahkan lagi proses pelaburan oleh orang ramai. Ini termasuk dengan penawaran portfolio pelaburan yang diperibadikan, selain turut membantu dalam mengautomasi transaksi berulang.
Selari dengan pengenalannya hari ini, ASNB akan mengecualikan yuran pengurusan RIA untuk pelaburan melaluinya sebanyak 0.30% setahun, sehingga 31 Disember 2024 kelak. Pengguna yang berminat boleh memuat-turun aplikasi myASNB dan menggunakan ciri RIA yang sedang diperkenalkan secara berperingkat kepada semua.
by Faiz Riziq | Mar 13, 2024 | Ekonomi, Perniagaan & Korporat, Fakta & Informasi, Luar Negara, English & Other Country
Syarikat kosmetik paling terkenal di dunia, The Body Shop, telah muflis dan menutup ratusan kedai di Amerika Syarikat dan Kanada, lapor CNBC. Sejak 1 Mac, syarikat yang berpangkalan di UK itu tidak lagi mengendalikan ratusan kedai di Amerika Syarikat, termasuk kedai dalam talian, selepas memfailkan kebankrapan. Sementara itu, di Kanada 33 daripada 105 kedainya telah dijual.
“Inflasi yang tinggi dalam beberapa tahun kebelakangan ini telah merugikan kedai-kedai seperti The Body Shop yang kebanyakannya beroperasi di luar pusat membeli-belah dan ditujukan kepada golongan menengah,” dipetik dari laporan CNN.
Sebelum muflis, The Body Shop diasaskan pada tahun 1976 di England oleh aktivis alam sekitar dan hak asasi manusia Anita Roddick. Syarikat ini memasarkan produk kosmetik yang didakwa semulajadi dan mesra alam. Syarikat itu juga dikenali sebagai salah satu syarikat pertama yang melarang ujian produk kosmetik ke atas haiwan. Pada tahun 2019, syarikat ini telah disahkan B Corp atau memenuhi piawaian untuk ketelusan dan kesedaran alam sekitar.
Pada tahun 2023, perniagaan The Body Shop sebenarnya masih boleh berkembang dengan kehadiran 2,500 kedai runcit di lebih 80 negara. Syarikat itu juga memasarkan produknya dalam talian di lebih daripada 60 pasaran digital. Sepanjang perjalanannya, The Body Shop telah menukar pemilikan beberapa kali. Pada tahun 2006, syarikat itu dibeli oleh L’Oreal dengan harga lebih daripada AS$ 1 bilion. Kemudian pada 2017 ia dibeli oleh syarikat Brazil Natura & Co dengan harga AS$ 1 bilion.
Tambahan pula, pada penghujung tahun lepas, Th Body Shop telah dijual oleh Natura kepada syarikat pengurusan aset Aurelius dengan harga AS$ 266 juta selepas laporan kewangannya mencatatkan penurunan perniagaan tahunan sebanyak 13.5% pada 2022.
by Faiz Riziq | Mar 13, 2024 | Ekonomi, Perniagaan & Korporat, Fakta & Informasi
Kerajaan tetap komited dalam memastikan hasil petroleum dari Terengganu digunakan untuk projek dan program yang memberi manfaat kepada rakyat di negeri itu.Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata sehingga kini, kerajaan telah menyalurkan Pemberian Wang Ehsan sebanyak RM786 juta bagi membantu Kerajaan Negeri berkenaan memenuhi keperluan bayaran gaji serta komitmen kontrak.
“Kerajaan Persekutuan (juga) terbuka untuk berbincang dan mempertimbangkan cadangan dari kerajaan negeri Terengganu.
“Cadangan tersebut boleh dipersetujukan bersama untuk melibatkan program serta projek yang boleh dibiayai melalui pemberian Wang Ehsan bagi memanfaatkan langsung kepada rakyat Terengganu, terutamanya dalam usaha mengurangkan kemiskinan dan meningkatkan infrastruktur,” katanya ketika menggulung usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.
Sumber – Bernama
by Faiz Riziq | Mar 12, 2024 | Ekonomi, Perniagaan & Korporat, Luar Negara, English & Other Country
Khazanah Nasional Bhd mencatatkan keuntungan operasi yang lebih tinggi iaitu RM5.9 bilion bagi tahun kewangan 2023 berbanding RM1.6 bilion pada tahun kewangan 2022 dalam keadaan pasaran global yang tidak menentu.
Pengarah Urusan Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata prestasi lebih kukuh itu dipacu oleh dividen dan pengagihan yang lebih tinggi daripada syarikat penerima pelaburan, keuntungan nilai saksama dan pengekalan modal.
“2023 merupakan tempoh mencabar bagi Khazanah dan pasaran global, dipengaruhi oleh jangkaan kadar tertinggi Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed), keredaan daripada inflasi yang tinggi, keadaan monetari yang ketat, tumpuan berterusan dalam kecerdasan buatan (AI), pertumbuhan lemah di China dan konflik geopolitik berlanjutan,” katanya semasa taklimat media mengenai Tinjauan Tahunan Khazanah 2024 di sini, pada Isnin.
Beliau berkata namun begitu, Khazanah kekal berdaya tahan dan melaksanakan peruntukan modal yang berdisiplin untuk memberikan pulangan mampan di samping melabur demi masa depan selain menerapkan kemampanan merentas operasi.
Dana kekayaan negara itu mengumumkan dividen lebih baik iaitu sebanyak RM1 bilion untuk 2023 kepada kerajaan (tahun kewangan 2022: RM500 juta), menjadikan dividen kumulatif yang dibayar sejak 2004 kepada RM18.1 bilion.
Amirul Feisal berkata hutang Khazanah meningkat sedikit kepada RM50.2 bilion daripada RM49.1 bilion pada tahun sebelumnya dengan nisbah nilai aset boleh direalisasi (RAV) terhadap hutang kekal sihat pada 2.7x.
“NAV meningkat daripada RM33 bilion pada 2004 kepada RM85 bilion pada 2023, menjadikan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul sebanyak 5.1 peratus, memenuhi mandat Khazanah untuk memberikan pulangan mampan kepada negara dan meningkatkan kekayaan jangka panjang Malaysia,” katanya.
Beliau berkata bagi tahun ini, persekitaran makroekonomi dan pasaran global dijangka kekal mencabar dan tidak menentu, dengan konflik geopolitik berterusan di Asia Barat, kesinambungan Perang Rusia-Ukraine, dan persaingan global di antara China dengan Amerika Syarikat.
Selain itu, kitaran pilihan raya global yang signifikan melibatkan 76 negara yang mewakili lebih 60 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia akan menambahkan lebih banyak ketidaktentuan, katanya.
“Dalam persekitaran ini, Khazanah kekal berwaspada dalam aktiviti pelaburannya untuk mengekalkan daya tahan portfolio melalui kepelbagaian strategik,” katanya.
Sumber – Bernama
by Faiz Riziq | Mar 11, 2024 | Ekonomi, Perniagaan & Korporat
Pengasas Amazon, kini akhirnya berjaya mengatasi kembali nilai kekayaan Elon Musk, sekaligus kini menjadikan beliau manusia kedua terkaya dunia. Menduduki tangga pertama manusia terkaya dunia adalah Bernard Arnault, iaitu CEO jenama LVMH.
Elon Musk dilihat kekurangan nilai kekayaannya disebabkan oleh penurunan pada nilai saham Tesla kebelakangan ini. Sementara dengan fokus terhadap kecerdasan buatan dan perkembangan edagang, saham Amazon meningkat, sekaligus membawa kepada peningkatan nilai kekayaan Jeff Bezos. Pada masa yang sama juga, nilai kekayaan Mark Zuckerberg turut dilihat meningkat, meletakkan beliau pada kedudukan ke-4. Pada tangga ke-5 adalah Bill Gates.

Recent Comments