by Faiz Riziq | Oct 20, 2022 | Kewangan, Keberhutangan & Pelaburan, Tips, Tinjauan & Statistik
Walaupun terdapat pelbagai pendedahan kesedaran berhubung kepentingan miliki instrumen perlindungan untuk para pekerja di Malaysia, namun masih ramai lagi tidak menzahirkan tahap kesedaran tersebut melalui tindakan selanjutnya. Ketika ini 1 daripada 3 rakyat Malaysia (30%) pada kumpulan usia utama antara 25 tahun hingga 40 tahun mengakui tidak miliki sebarang perlindungan seperti sokongan insurans, termasuklah insurans peribadi.
Apa yang lebih membimbangkan mengikut kajian Impak Pandemik Terhadap Perlindungan oleh Zurich Malaysia ini daripada peratusan tersebut 16% pekerja negara turut mengakui tidak merancang untuk menyediakan wang bagi tujuan sokongan insurans terhadap diri mereka.
Ini perincian lanjut, berhubung pemahaman pekerja di Malaysia akan pemilikan perlindungan;
- 22% memaklumkan tidak memiliki maklumat mencukupi
- 21% merasakan insurans yang disediakan majikan telah memadai
- 18% tidak memahami keperluan insurans secara jelas
- 16% tidak merancang miliki insurans
- 14% merasakan tiada keperluan mendapatkan insurans
- 11% pekerja maklum mereka tidak mampu
- 9% akui miliki tanggapan buruk tentang insurans
Maka melalui aspek tersebut secara jelas, pekerja Malaysia masih lagi miliki tahap kesedaran tindakan yang rendah untuk mengurangkan jurang risiko kehidupan mereka sebagai persediaan untuk berdepan hari tua kelak. Namun wajar difahami juga, situasi ini turut didorong atas faktor miliki gaji yang rendah, kekurangan simpanan dan tanggungan yang tinggi. Faktor ini telah disahkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) apabila 75% rakyat Malaysia didapati tidak miliki simpanan RM1,000 sekiranya berlaku hal kecemasan.
Sementara 6.62 juta pencarum KWSP yang berusia bawah 55 tahun pula didapati memiliki simpanan kurang daripada RM10,000 setelah negara menilai hasil pengeluaran i-Lestari, i-Sinar, i-Citra dan Pengeluaran Khas. Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya hasrat untuk memiliki instrumen perlindungan seperti insurans dan takaful diketepikan terlebih dahulu – untuk kumpulan pekerja ini memenuhi keperluan harian mereka.
by Faiz Riziq | Oct 19, 2022 | Kewangan, Keberhutangan & Pelaburan, Perbankan
Pinjaman wang berlesen adalah salah satu kategori pinjaman peribadi yang popular di negara kita. Terdapat banyak syarikat Kredit Komuniti, atau dahulunya dikenali sebagai Pemberi Pinjam Wang Berlesen (PPW) yang menawarkan pinjaman kepada individu atau peniaga yang sukar untuk mendapatkan pinjaman daripada institusi kewangan seperti bank atau koperasi. Jadi tidak hairanlah pinjaman wang berlesen sering menjadi pilihan kepada individu-individu ini.
Panduan kali ini akan menjelaskan bagaimana cara buat pinjaman wang berlesen yang selamat supaya anda dapat memanfaatkan sepenuhnya kemudahan yang disediakan oleh syarikat-syarikat Kredit Komuniti ini.
Kenapa pinjaman berlesen?
Sekiranya anda sukar untuk mendapatkan pinjaman bank atau koperasi kerana anda mempunyai masalah dengan skor kredit anda, pinjaman berlesen adalah alternatif terbaik. Seperti yang anda tahu, bank sukar untuk meluluskan permohonan pinjaman daripada individu yang telah disenaraihitamkan di dalam laporan CTOS, atau mempunyai tunggakan pinjaman dalam rekod CCRIS.
Malah, sesetengah bank dan koperasi tidak memproses langsung permohonan-permohonan ini. Di sinilah syarikat pemberi pinjam wang atau kredit komuniti memainkan peranan. Boleh dikatakan kebanyakan syarikat pinjaman berlesen akan menerima permohonan daripada individu yang telah di blacklist atau mempunyai tunggakan pinjaman.
Terdapat juga syarikat PPW yang membenarkan individu yang mempunyai Akaun Di Dalam Pemerhatian Khas (Special Attention Account – SAA), atau yang sedang mengikuti Program Pengurusan Kredit (PPK) AKPK untuk mohon.
Faktor-faktor ini adalah antara sebab utama kenapa ramai yang lebih gemar memilih untuk mohon pinjaman berlesen daripada pinjaman bank atau koperasi.
Cara buat pinjaman wang berlesen yang selamat
Sebelum anda teruja dan ingin buat pinjaman dengan syarikat pinjaman wang berlesen, terdapat beberapa perkara yang harus anda lakukan untuk memastikan anda buat pinjaman berlesen yang selamat sebagai peminjam atau penghutang. Seringkali kita dengar banyak kes penipuan atau ditindas oleh syarikat pemberi pinjam wang. Tetapi, apabila disiasat dengan lebih lanjut, kes-kes tersebut berlaku kerana pemohon tidak buat kerja rumah atau homework sebelum mohon.
Akibatnya mereka bukan meminjam dengan syarikat yang sah, tetapi dengan penipu atau scammer, atau pun buat pinjaman dengan ah long atau lintah darat. Di bawah adalah beberapa panduan bagaimana untuk buat pinjaman berlesen yang selamat.
Semak latar belakang Syarikat Kredit Komuniti/Pinjaman Wang Berlesen (PPW)
Jika anda rajin melayari media sosial, sudah pasti anda akan dihidangkan dengan pelbagai jenis iklan daripada syarikat pinjaman berlesen. Iklan-iklan tersebut membuatkan anda tidak sabar-sabar untuk mohon pinjaman. Atau pun, anda akan dihubungi oleh ejen yang mengaku kononnya mereka adalah wakil daripada syarikat kredit komuniti dan anda terpilih untuk mendapatkan pelan pinjaman yang syarikat mereka tawarkan.
Terdapat juga ejen yang sering memberikan risalah atau kad kepada umum. Jika anda sedang terdesak memerlukan wang, sudah pasti anda tidak berfikir panjang dan terus bersetuju untuk meneruskan permohonan dengan pelan yang ditawarkan. Ini adalah antara faktor utama yang menyebabkan ramai kena tipu.
Sebelum anda bersetuju, semak dahulu kesahihan syarikat tersebut. Semua syarikat Kredit Komuniti atau Pemberi Pinjam Wang (PPW) perlu berdaftar dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT). Syarikat-syarikat ini juga terikat dengan AKTA PEMBERI PINJAM WANG 1951 yang menetapkan beberapa syarat-syarat untuk melindungi hak peminjam.
Guna Sistem eMAPS
Cara paling mudah untuk menyemak sama ada syarikat tersebut sah atau tidak adalah melalui sistem eMAPS yang disediakan oleh pihak KPKT. Sistem eMAPS ini menyimpan maklumat syarikat pinjaman berlesen sah yang berdaftar dengan KPKT di dalam pangkalan data. Jadi anda boleh melakukan carian melalui sistem ini untuk menyemak kesahihan syarikat tersebut. Baca lebih lanjut bagaimana nak semak syarikat kredit komuniti/pinjaman wang berlesen melalui sistem eMAPS.
Jangan bayar sebarang deposit, upfront atau wang pendahuluan
Ini adalah antara taktik yang sering digunakan oleh penipu pinjaman berlesen untuk mengelirukan mangsa. Mereka akan meminta deposit, wang pendahuluan atau bayaran upfront daripada mangsa sebelum memindahkan wang ke dalam akaun mangsa. Syarikat pemberi pinjam wang yang sah tidak boleh dan tidak akan meminta sebarang wang pendahuluan daripada pemohon.
Semua wang pendahuluan atau caj yang dikenakan seperti caj duti setem, caj insurans, caj guaman dan lain-lain akan ditolak terus daripada jumlah pinjaman yang lulus. Dalam erti kata lain, anda tidak perlu bayar satu sen pun kepada syarikat sebelum anda dapat duit pinjaman. Jadi pastikan jika syarikat tersebut meminta deposit dalam bentuk tunai, atau perlu dipindahkan ke akaun mereka, batalkan terus pinjaman tersebut kerana sudah pasti itu bukan syarikat kredit komuniti yang sah.
Semak kadar faedah pinjaman yang dikenakan
Apabila anda ditawarkan dengan pelan pinjaman, semak betul-betul caj kadar faedah bulanan atau tahunan yang dikenakan. Syarikat pinjaman berlesen yang terikat di bawah AKTA PEMBERI PINJAM WANG 1951 tidak boleh mengenakan caj kadar faedah tahunan tidak lebih daripada 12% setahun untuk pinjaman bercagar, dan tidak lebih daripada 18% setahun untuk pinjaman tidak bercagar.
Jika anda ditawarkan pelan pinjaman dengan caj kadar faedah tahunan lebih daripada yang dinyatakan di atas, besar kemungkinan syarikat tersebut adalah syarikat yang tidak berdaftar dengan KPKT – iaitu syarikat lintah darat atau ah long. Syarikat yang tidak berdaftar boleh suka-suka hati mengenakan sebarang caj kadar faedah untuk mendapatkan keuntungan berlipat kali ganda.
Jadi berhati-hati sebelum anda terjerat dengan perangkap syarikat pinjaman tidak berlesen seperti ah long.
Ketahui hak anda sebagai peminjam
Selain daripada semak kesahihan syarikat dan kadar faedah yang dikenakan, anda sendiri perlu mengetahui apakah hak-hak anda sebagai peminjam wang. Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah menggariskan beberapa hak-hak peminjam yang harus dipatuhi oleh setiap syarikat pinjaman berlesen yang berdaftar.
Syarikat perlu memberi informasi atau maklumat pinjaman yang lengkap dan tidak mengelirukan kepada pemohon.
Terdapat ejen atau syarikat yang akan mendesak anda untuk terus menandatangani perjanjian pinjaman tanpa melalui syarat dan terma pinjaman tersebut. Kadang-kadang situasi ini berlaku kerana terdapat perkara tersembunyi dalam perjanjian pinjaman. Jadi pastikan anda teliti betul-betul isi kandungan pinjaman dan syarat dan terma. Jika anda kurang faham, terus tanya pada ejen atau syarikat kerana mereka perlu menjelaskan perkara tersebut kepada anda sehingga anda faham.
Perlu menggunakan borang pinjaman KPKT.
Semua permohonan pinjaman daripada syarikat Kredit Komuniti / Pemberi Pinjam Wang (PPW) wajib menggunakan borang pinjaman yang telah ditetapkan oleh Kementerian, iaitu borang Jadual J untuk pinjaman tidak bercagar, atau Jadual K untuk pinjaman bercagar.
Anda berhak mendapatkan salinan perjanjian.
Sebagai peminjam, anda berhak mendapatkan sekurang-kurangnya satu salinan perjanjian pinjaman anda secara percuma. Ini bermaksud syarikat perlu memberikan salinan perjanjian kepada anda tanpa mengenakan sebarang caj.
Jika pihak syarikat mengenakan caj untuk salinan perjanjian, anda boleh membuat aduan kepada pihak KPKT.
Anda berhak mendapatkan resit bayaran balik
Jangan lupa untuk meminta resit bayaran setiap kali anda buat bayaran bulanan kepada syarikat. Ini untuk mengelakkan syarikat mendakwa bahawa anda tidak buat bayaran bulanan sedangkan anda tidak perlu miss bayar setiap bulan.
Pemberi Pinjam Wang atau wakil tidak boleh menuntut bayaran hutang pinjaman di kediaman, pejabat atau mana-mana tempat.
Tidak seperti lintah darat atau ah long, syarikat kredit komuniti tidak boleh menuntut bayaran bulanan termasuk tunggakan dengan cara mengugut anda atau keluarga anda. Sekiranya mereka berkelakuan sedemikian, mereka boleh didenda antara RM50,000 hingga RM250,000 atau penjara tidak lebih dari tempoh 3 tahun, atau kedua-duanya. Ini telah dinyatakan di bawah Seksyen 29B AKTA PEMBERI PINJAM WANG 1951.
Sebelum tandatangan borang perjanjian pinjaman berlesen
Sebelum anda tandatangani sebarang perjanjian pinjaman berlesen, semak dahulu senarai berikut untuk melancarkan proses pinjaman anda.
- Anda telah semak latar belakang syarikat dan yakin syarikat adalah sah, berdaftar dengan KPKT dan masih aktif.
- Anda tidak bayar sebarang deposit, wang pendahuluan, atau wang upfront kepada ejen atau syarikat.
- Caj kadar faedah tahunan yang dikenakan tidak melebihi daripada kadar yang ditetapkan di bawah AKTA PEMBERI PINJAM WANG 1951.
- Borang permohonan pinjaman yang digunakan adalah borang rasmi KPKT.
- Anda telah faham semua maklumat, terma dan syarat yang dikenakan oleh pinjaman tersebut.
- Jangan tandatangani borang perjanjian yang kosong atau tidak lengkap.
- Perjanjian pinjaman tersebut telah diakusaksi oleh salah satu daripada individu berikut; Peguam bela dan Peguam cara di Mahkamah Tinggi, Pesuruhjaya Sumpah, pegawai dari Perkhidmatan Kehakiman dan
- Undang-undang, Jaksa Pendamai, Pegawai Daerah atau orang-orang yang dilantik oleh Menteri untuk berbuat sedemikian.
Hanya tandatangan borang perjanjian pinjaman anda sekiranya anda telah melakukan perkara-perkara di dalam senarai semak di atas.
Ditipu pinjaman berlesen, apa langkah seterusnya
Malang tidak berbau. Kadang-kala walaupun kita telah mengambil langkah berjaga-jaga, musibah masih melanda. Sekiranya anda merasakan anda telah ditipu oleh syarikat kredit komuniti atau syarikat pemberi pinjaman wang berlesen, terdapat beberapa tindakan yang boleh anda ambil seperti buat aduan ke Bahagian Kawalan Kredit Komuniti (BKKK) KPKT,
Saya telah menulis tindakan-tindakan yang perlu diambil apabila ditipu scammer pinjaman, tidak kisahlah pinjaman bank, koperasi, mahupun pinjaman berlesen. Anda boleh baca tindakan lengkap di panduan Mengenal Penipu Pinjaman Peribadi. Cuma, sebelum anda buat aduan atau mengambil tindakan-tindakan yang dinyatakan pada panduan tersebut, pastikan anda yakin yang anda ditipu oleh syarikat sebenar, bukan scammer yang menyamar sebagai wakil syarikat.
Ini kerana seringkali terjadi mangsa diperdaya oleh penipu yang menyamar sebagai wakil syarikat yang sah, sedangkan syarikat tidak tahu-menahu akan kes tersebut. Mangsa tidak buat semakan tentang kesahihan tawaran pinjaman, lalu terpedaya dengan janji manis penipu. Setelah ditipu, mangsa menyalahkan syarikat sedangkan penipu sebenar masih bebas dan terus menipu. Jadi berhati-hati sebelum anda menandatangani sebarang perjanjian pinjaman. Baca dari mula sampai habis panduan di atas.
Sekiranya anda ingin buat pinjaman dengan syarikat yang berdaftar dan boleh dipercayai, rujuk senarai Syarikat Kredit Komuniti / Pemberi Pinjam Wang (PPW) atau senarai Pelan Pinjaman Wang Berlesen yang telah kami senaraikan di laman web ini.
Alternatif kepada pinjaman wang berlesen
Jika anda masih berasa ragu-ragu atau was-was untuk buat pinjaman peribadi berlesen, masih ada alternatif iaitu pinjaman peribadi bank dan pinjaman peribadi koperasi. Sebenarnya, syarat mohon pinjaman untuk kedua-dua pinjaman ini tidaklah begitu ketat seperti mana yang diwar-warkan.
Seringkali pihak insititusi kewangan seperti bank dan koperasi boleh berunding dan bawa berbincang tentang masalah yang dihadapi pemohon ketika memohon pinjaman. Masalah-masalah kecil seperti dokumen tidak lengkap, atau skor kredit atas pagar boleh diketepikan sekiranya pemohon melepasi syarat-syarat lain yang ditetapkan.
Jadi, tidak ada salahnya anda cuba dahulu mohon pinjaman bank atau pinjaman koperasi sebelum mohon pinjaman wang berlesen.
by Faiz Riziq | Oct 19, 2022 | Tips, Tinjauan & Statistik
“Berbaloi ke kalau aku melabur di sini”? “Tak rugi ke”?
Itu adalah antara persoalan-persoalan yang sentiasa timbul setiap kali ingin membuat pelaburan untuk sesuatu perkara. Sebenarnya, terdapat sesetengah pelaburan yang anda boleh pertimbangkan kerana ia sememangnya mampu memberikan keuntungan serta kebaikan kepada anda pada masa akan datang.
Bak kata pepatah, sediakan payung sebelum hujan. Tidak salah jika anda ingin membuat pelaburan jika ia kena pada tempat dan masanya. Bukan itu sahaja, pelaburan juga boleh menjadi salah satu cara untuk anda membuat simpanan dari peringkat awal yang seterusnya bakal memberi keuntungan lumayan kepada anda. Jadi di sini, kami kongsikan lima jenis pelaburan yang anda boleh pertimbangkan untuk masa hadapan anda. Selamat membaca!
1. Simpanan ASNB
Melabur di dalam unit amanah ASNB merupakan salah satu pelaburan yang paling lazim dilakukan oleh penduduk bumiputera di negara ini. ASB menjadi pilihan kerana ia mampu memberikan keuntungan kepada pelabur dengan pulangan dividen sehingga 7%.
ASB juga merupakan satu pelaburan berbentuk simpanan. Dengan simpanan/pelaburan yang dibuat oleh anda itu, anda juga tidak disekat malah boleh mengeluarkan wang pelaburan anda dalam tempoh 24 jam tanpa perlu melepasi tempoh bertenang selama 2 hingga 3 minggu.
Yang lebih menarik, dividen dan bonus ASB juga adalah dalam bentuk Ringgit dan bukannya Unit seperti unit amanah yang lain.
2. Pelaburan emas
Pernahkah anda melihat situasi di mana apabila berlaku krisis dunia, harga emas kemudiannya akan naik? Ya, itu yang sering berlaku malah ia turut berlaku ketika pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia termasuk Malaysia sehingga ia dijangka meningkat sehingga RM300/gram.
Jadi, anda mungkin boleh mempertimbang untuk membuat pelaburan dalam emas selepas ini. Melabur dalam emas sememangnya akan memberi risiko yang rendah kepada anda untuk mengalami kerugian. Harga emas akan meningkat dalam jangka masa panjang selari dengan kenaikan harga barang dan juga kejatuhan nilai wang.
3. Melabur dalam hartanah; beli rumah
Melabur dalam hartanah mampu memberi keuntungan jika anda memilih lokasi yang baik dan tepat. Apatah lagi jika lokasi tersebut mendapat permintaan tinggi oleh banyak pihak, sudah tentu anda akan mendapat pulangan pelaburan yang tinggi dan menguntungkan anda.
Bukan itu sahaja, dengan membeli hartanah, anda juga boleh mendapat pendapatan sampingan melalui konsep ‘sewa’. Bahkan perkara ini juga yang sering dilakukan oleh kebanyakan masyarakat kita hari ini. Memberi sewa kepada orang lain sememangnya menguntungkan dan membantu anda untuk memperoleh pendapatan bulanan.
4. Buat ‘tabung warna’ untuk simpanan
Anda pasti biasa dengar dengan ‘tabung warna’ bukan? Ya, ini juga salah satu bentuk pelaburan yang anda boleh lakukan. Bahkan ia adalah bentuk pelaburan yang paling mudah sekali dilakukan kerana ia tidak terikat dengan mana-mana pihak melainkan diri anda.
Buat ketetapan, laburkan duit anda sama ada wang kertas hijau (RM5), wang kertas merah (RM10), atau wang kertas jingga (RM20). Jika anda memperoleh wang tersebut di dalam dompet anda, segera asingkannya dan simpankan ke suatu tempat yang lain. Semakin tinggi nilai wang yang anda laburkan itu, semakin tinggi jugalah hasil yang anda akan dapat di kemudian hari. Tetapkan juga waktu untuk anda gunakan wang tersebut. Mungkin setahun, mungkin dua tahun, atau mungkin lebih lama? Buat ikut kehendak anda dan pastikan ia berhasil ya!
5. Beli insurans untuk masa depan anda
Sebenarnya, membeli insurans juga satu bentuk pelaburan yang baik. Ada sesetengah pakej insurans yang menawarkan anda untuk membuat simpanan di samping menerima perlindungan insurans di saat anda memerlukan. Elakkan daripada menganggap ia sebagai satu beban untuk diri anda. Dengan membeli insurans, ia secara tidak langsung bakal membantu meringankan beban anda khususnya dari segi kewangan sekiranya berlaku sesuatu kepada diri anda kelak.
Banyak insurans yang anda boleh beli antaranya insurans hayat, kad perubatan, insurans rumah dan sebagainya. Belanjakan 10% sahaja pendapatan anda untuk membeli insurans dan kami yakin anda tidak akan menyesal dan rugi.
Kini, anda juga boleh mendapatkan perlindungan insurans melalui kami di KMC dari harga serendah RM74, anda bakal menerima pelan lengkap semua-dalam-satu yang sememangnya terbaik untuk diri anda!
by Faiz Riziq | Oct 18, 2022 | Luar Negara, English & Other Country
Sejak kebelakangan ini, perkataan NFT menjadi sebutan ramai terutama di Malaysia dan luar negara. NFT adalah singkatan kepada Non-Fungible Token di mana NFT ini adalah sangat unik. Hal ini kerana, NFT bukanlah satu digital currency tetapi ia adalah cryptographic asset dalam blockchain yang mana mempunyai identiti kod dan metadata yang tersendiri. Tidak seperti matawang kripto yang lain, NFT tidak boleh ditukar dengan nilai yang sama antara satu dengan yang lain.
NFT boleh digunakan sebagai token untuk menilai asset dalam dunia sebenar seperti karya lukisan dan juga hartanah. Kelebihan NFT adalah ia boleh digunakan sebagai medium digital untuk aset fizikal. Oleh kerana NFT berada dalam jaringan blockchain, ia dapat menghapuskan orang tengah dengan menghubungkan artis dengan audien atau untuk pengurusan identiti sesuatu aset. NFT juga memudahkan transaksi penjualan dan pembelian asset kerana ia dilakukan dalam jaringan blockchain dan juga NFT mencipta pasaran baru untuk semua.

Pada Mac 2021, sekumpulan artis digital NFT Beeple telah berjaya menjual hasil karya yang dicipta dalam Projek 5000 hari. Jualan ini telah mencipta rekod dalam dunia NFT apabila hasil tersebut dijual pada nilai USD 69 juta. Pada waktu sekarang, dunia NFT lebih kepada barang koleksi yang rare selain daripada sport cards dan hasil karya digital. Kesemua hasil digital boleh dijadikan NFT dengan cara minting. Terbaru Jack Dorsey telah menjual ciapan Twitter yang dijadikan NFT dengan nilai USD 2.5 juta.
Memahami NFT

Seperti duit kertas, semua matawang kripto adalah fungible. Maksud mudah fungible adalah ia boleh ditukar antara satu dengan yang lain. Contoh nilai duit RM50 adalah sama dengan RM50 yang lain. Dalam dunia matawang kripto juga sama, nilai satu Bitcoin adalah sama dengan Bitcoin yang lain. Namun NFT telah mengubah paradigma ini dengan setiap satu NFT token adalah unik dan tidak boleh ditukar ganti dengan NFT yang lain.
NFT boleh dianggap sebagai digital passport yang mana setiap satu daripadanya mempunyai kod yang berlainan dan setiap satu tidak sama dengan yang lain. NFT juga boleh digabungkan dan menghasilkan NFT yang baru. Dua NFT bergabung boleh melahirkan anak NFT yang baru. Menarik bukan?
Kenapa NFT Penting?

NFT adalah evolusi kepada konsep yang mudah dalam dunia kripto. Sistem kewangan moden telah menjadi terlalu kompleks dengan perdagangan pelaburan dan sistem pinjaman untuk beberapa aset seperti hartanah dan kontrak karya lukisan. Dengan membolehkan medium perwakilan aset fizikal kepada digital NFT, ia adalah langkah pertama untuk mencipta semula struktur sistem kewangan dunia.
NFT penting kerana ia meningkatkan efficiency dalam pasaran. Pertukaran aset fizikal kepada digital melalui proses yang mudah dan menghapuskan monopoli pihak ketiga. Untuk menukar aset fizikal kepada digital NFT, ia tidak memerlukan agen, pemilik aset tersebut boleh terus menjual kepada peminat dan pembeli.
Selain itu, NFT juga bagus untuk pengurusan identiti sesuatu aset. Seperti passport warganegara, NFT mempunyai identiti unik yang tersendiri. Siapa saja boleh melihat dan tahu pemilik aset atau signature pemilik pada aset NFT tersebut. Seperti gambar yang dijadikan NFT, walaupun ia di copy and paste dimana-mana, ia tidak mengubah pemilikan asal kerana jika kita sudah memiliki sesuatu NFT, tiada apa dapat mengubah kod nama kita pada karya tersebut kecuali dijual pada pemilik yang baru. Semua transaksi NFT direkodkan dalam blockchain yang sangat telus dan tiada penipuan.
NFT adalah benda baru yang menjadi kegilaan ramai terutama anak muda. Hal ini kerana, NFT boleh dijadikan pelaburan yang sangat menguntungkan. Apa saja boleh dijadikan NFT dan dijual dengan sesuatu nilai yang sesuai. Namun begitu, oleh kerana ianya masih baru, pelabur memerlukan ilmu dan pemahaman yang mendalam sebelum membeli dan melabur dalam aset digital NFT.
by Faiz Riziq | Oct 18, 2022 | Kewangan, Keberhutangan & Pelaburan, Tips, Tinjauan & Statistik
Membina keluarga adalah satu tanggungjawab besar yang memerlukan perancangan kewangan yang teliti. Tanpa persediaan untuk komitmen kewangan, ia boleh memberi tekanan kepada sesebuah pasangan. Statistik Jabatan Pendaftaran Negara merekodkan masalah kewangan sebagai antara punca utama kes penceraian di Malaysia. Apakah kesilapan kewangan yang menjadi kebiasaan di kalangan ibu bapa yang dapat dielakkan?
Kesilapan Kewangan Biasa Ibu Bapa Mahu anak sendiri memiliki apa yang anak orang lain ada. Semua ibu bapa mahukan yang terbaik untuk anak.
Namun, memenuhi setiap kehendak anak boleh membawa keburukan. Ibu bapa perlu lebih praktikal, jika anak orang lain memiliki tablet dan berpakaian jenama, tidak semestinya perlu diikutkan. Jelaskan kepada anak tentang kos barang tersebut dan sebab mereka tidak dapat memenuhinya.
Tidak ajar anak tentang cara urus duit
Tak ramai ibu bapa yang membincangkan asas kewangan peribadi dengan anak-anak. Mengajar anak untuk celik kewangan adalah sama pentingnya dengan mengajar menulis dan membaca. Elakkan kesilapan ini dan mula bercakap dengan anak tentang duit. Mulakan dengan mengajar tentang bajet.
Tiada perancangan awal untuk pendidikan anak
Kos pendidikan anak bermula dari pusat jagaan harian (daycare) sehingga universiti boleh mencecah ratusan ribu ringgit. Ibu bapa boleh mula merancang pendidikan anak-anak dengan membuat pelan pelaburan seawal kelahiran anak. Dalam beberapa jenis pelaburan contohnya pelaburan saham, ibu bapa boleh menikmati pengecualian cukai hasil daripada keuntungan dividen serta kenaikan harga saham .
Tiada perlindungan insurans/takaful
Jika ibu bapa jatuh sakit, mereka tidak dapat bekerja untuk menyara keluarga. Dengan pelan perlindungan takaful, anda dapat mencipta dana keselamatan yang boleh menanggung keluarga jika malang menimpa.
Kesimpulan
Melentur buluh biarlah dari rebungnya. Anak-anak yang dibiasakan dengan pengetahuan kewangan sejak kecil cenderung untuk membuat keputusan kewangan yang lebih bijak apabila dewasa. Ibu bapa memainkan peranan besar kepada anak-anak dalam mempengaruhi minda dan tabiat kewangan ini
Recent Comments