Tahun lalu, lebih daripada 1.6 juta ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah membuat caruman secara sukarela, menunjukkan peningkatan kesedaran terhadap kepentingan simpanan persaraan. Menariknya, daripada jumlah tersebut, 400,000 pencarum terdiri daripada golongan bekerja sendiri yang memilih skim i-Saraan, manakala selebihnya adalah pekerja yang mencarum secara automatik melalui majikan mereka.
Menurut KWSP, peningkatan ini mencerminkan keyakinan tinggi para pekerja terhadap KWSP sebagai platform tambahan untuk simpanan masa depan. Salah satu faktor yang mendorong keyakinan ini ialah potensi kadar dividen yang kompetitif, yang mampu memberikan pulangan lebih baik kepada pencarum.
Bagi mereka yang mencarum di bawah skim i-Saraan, kerajaan turut menawarkan insentif khas sebanyak 20% atau maksimum RM500 berdasarkan jumlah caruman sukarela yang dibuat. Ini memberi kelebihan kepada para pencarum untuk meningkatkan simpanan persaraan mereka secara konsisten.
Selain itu, satu lagi perkembangan positif yang diperhatikan ialah 70% pencarum KWSP tidak pernah membuat sebarang pengeluaran daripada Akaun Fleksibel, iaitu akaun ketiga dalam struktur caruman KWSP. Langkah ini dijangka akan memberi impak positif terhadap kadar dividen yang bakal diumumkan pada Mac ini, sekaligus memberikan pulangan lebih baik kepada pencarum.
Dengan kesedaran yang semakin meningkat dan pelbagai insentif yang ditawarkan, KWSP terus menjadi pilihan utama pekerja di Malaysia untuk merancang kewangan mereka demi masa depan yang lebih stabil.
Recent Comments