by Faiz Riziq | Feb 7, 2024 | Fakta & Informasi, Kewangan, Keberhutangan & Pelaburan
Hari ini, terdapat pelbagai platform yang boleh digunakan untuk melaburkan wang lebihan anda. Para pelabur boleh memilih sama ada mereka mempunyai tahap risiko yang tinggi ataupun rendah. Antara platform pelaburan yang mendapat perhatian ramai pihak serta dijamin oleh Bank Negara Malaysia (BNM) adalah Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Tabung Haji. Tambahan lagi, kedua-dua platform ini menyediakan peluang pelaburan yang berbaloi serta mempunyai tahap risiko yang rendah kepada para pelabur.
Pada 2 Januari 1990 Amanah Saham Bumiputera (ASB) telah dilancarkan oleh Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) bagi menyediakan peluang simpanan kepada golongan bumiputera. Ia juga merupakan cara untuk melakukan simpanan secara konsisten dalam jangka masa yang panjang.
Tabung Haji pula adalah merupakan sebuah institusi kewangan Islam yang ditubuhkan pada 30 September 1963 oleh Ungku Abdul Aziz. Ia juga turut dikenali sebagai pusat perkhidmatan yang menyediakan pelbagai kemudahan yang menyeluruh dan sistematik demi kesejahteraan jemaah Haji Malaysia. Selain itu, Tabung Haji juga turut menyediakan peluang pelaburan yang mampu memberikan keuntungan kepada para pelabur tanpa perlu menghadapi risiko yang tinggi.
Oleh yang demikian, persoalan yang kian menjadi tanda tanya ramai pihak, di antara ASB dan Tabung Haji, platform pelaburan manakah yang merupakan tempat pelaburan yang terbaik bagi seorang pelabur?
Jom kita buat beberapa perbandingan di antara kedua-duanya.
1. Dividen

Berdasarkan graf di atas, ia jelas menunjukkan mengenai kadar pulangan dividen yang diagihkan oleh Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Tabung Haji kepada para pendeposit mereka pada tahun 2015 sehingga 2020. Hasil dapatan carian di portal rasmi Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) dan Tabung Haji, kita dapat melihat bahawa kadar pulangan dividen pelaburan di Amanah Saham Bumiputera (ASB) adalah lebih tinggi berbanding dengan Tabung Haji.
Berdasarkan rekod di atas, kita dapat melihat bahawa kadar pulangan dividen di antara Tabung Haji dan ASB mempunyai perbezaan yang amat ketara. Dimana, kadar perbezaanya adalah diantara jumlah 1.15% dan kadar perbezaan yang agak tinggi iaitu 5.25% pada tahun 2018.
2. Struktur Instrumen
ASB dan Tabung Haji merupakan instrumen yang popular dikalangan masyarakat bagi membuat simpanan masa hadapan yang baik. Namun, terdapat beberapa aspek yang membezakan antara instrument ini yang perlu diketahui kepada semua pendeposit sebelum membuat simpanan.
Tabung Haji merupakan sebuah institusi yang membantu dan memberi kemudahan kepada pendeposit untuk menyimpan dan mengumpulkan duit bagi memudahkan ibadah Haji dilakukan. Manakala, ASB adalah sebuah institusi yang berasakan pelaburan bagi meningkatkan ekonomi dan ekuiti bumiputera.
Walaubagaimanapun, pada masa kini ASB adalah salah satu instrumen yang dijadikan tempat simpanan oleh sesetengah pihak berbanding pelaburan.
3. Zakat Simpanan
Selain daripada pulangan dividen, ASB dan Tabung Haji juga adalah antara platform yang memberikan kelebihan kepada pendeposit. Dari segi pengurusan pembayaran zakat, ia menunjukkan perbezaan antara ASB dan Tabung Haji dimana zakat merupakan salah satu faktor yang dapat dipertimbangkan untuk penyimpanan yang terbaik.
Menurut Majlis Fatwa Kebangsaan, mereka telah memutuskan bahawa wang deposit bagi Tabung Haji tidak lagi diperlukan untuk pengeluaran zakat pada Mei 1979. Ini bermakna pendeposit Tabung Haji tidak perlu untuk membayar zakat kerana zakat simpanan ini telah ditunaikan oleh Tabung Haji dengan menolak daripada akaun masing-masing.
Jelas sekali bahawa pembayaran zakat simpanan ini berbeza bagi ASB dimana pendeposit bagi pemegang akaun ASB perlu mengeluarkan bayaran zakat mengikut kadar yang ditetapkan setelah mencapai haul atau tempoh dan nisbah yang ditetapkan.
Walaubagaimanapun, keuntungan ASB dan Tabung Haji sama sahaja. Namun, oleh kerana ASB dikenakan bayaran zakat simpanan selepas keuntungan pendeposit maka lebih jelas Tabung Haji memberi keuntungan kepada pendeposit.
Sebagai contoh yang dapat dijelaskan berdasarkan rajah di bawah:

Berdasarkan kadar kiraan pada rajah di atas, kita dapat melihat bahawa ada perbezaan antara jumlah keuntungan yang diperoleh di ASB dan Tabung Haji. Pelabur ASB memperoleh RM55,994.35 tanpa dikira keuntungan daripada bonus tambahan kerana jumlah bonus adalah terhad mengikut unit dan mungkin berbeza mengikut tahun. Manakala, para pelabur memperoleh RM57,706.34 sebagai keuntungan di Tabung Haji.
Walaubagaimanapun, kita perlulah melihat dari segi peratusan keuntungan yang disediakan oleh ASB adalah jauh lebih tinggi berbanding berbanding tabung Haji akan tetapi para pelabur di ASB hendaklah membayar zakat simpanan mereka sendiri.
Kesimpulan
Kesimpulan akhir, kedua-dua platform iaitu ASB dan Tabung haji mempunyai kebaikan dan keburukan yang tersendiri. Seperti yang kita dapat lihat, ASB menyediakan peratus pulangan keuntungan yang jauh lebih tinggi berbanding Tabung Haji.
Akan tetapi, jumlah pulangan tersebut tidak lagi ditolakkan dengan kadar zakat simpanan. Tabung Haji pula menyediakan jumlah keuntungan yang sudah ditolak dengan kadar zakat simpanan. Oleh yang demikian, sebagai seorang pelabur kita perlulah mengambil kira semua aspek dan tidak hanya fokus keatas kadar agihan sahaja. Melaburlah di platform yang sesuai dengan objektif pelaburan anda.
Sumber: Majalah Labur
by Faiz Riziq | Feb 2, 2024 | Fakta & Informasi, Kewangan, Keberhutangan & Pelaburan, Tips, Tinjauan & Statistik
Seiring kita melangkah ke tahun baru 2024, impian dan azam baru serta cita-cita untuk mencapai matlamat kewangan dan merancang pelan tindakan menjadi keutamaan bagi ramai individu. Ada yang berazam untuk menyimpan bagi merancang perbelanjaan perkahwinan dan ada juga yang menanam hasrat untuk membeli kereta dan memiliki rumah sendiri. Bagi yang komited dan cekal untuk melunaskan hutang sedia ada, permulaan tahun baru merupakan waktu paling sesuai untuk menyusun semula situasi kewangan mereka supaya apa yang dirancang dapat direalisasikan.
Meskipun berbagai azam baru yang dibariskan di dalam pelan tahun baru, pendekatan strategik harus diutamakan bagi memastikan setiap yang diimpikan menjadi kenyataan. Mempunyai matlamat kewangan akan membantu anda mengutamakan keperluan berbanding kehendak dan mengagihkan sumber pendapatan secara berkesan. Matlamat kewangan yang ditetapkan dengan baik berfungsi sebagai peta jalan yang boleh membantu anda membuat keputusan dan tindakan kewangan yang bijak.
Berikut adalah antara tip yang boleh diambil kira bagi mencapai matlamat kewangan anda pada tahun 2024:
1. Matlamat Kewangan yang Jelas dan Realistik

Tidak salah seandainya anda memulakan perjalanan tahun baru anda dengan mengumpul impian dan angan-angan. Persoalannya, bagaimanakah cara untuk menterjemahkan impian dan angan-angan ini menjadi sebuah realiti? Pastikan matlamat yang ingin dicapai mempunyai objektif dan tujuan yang spesifik, sesuatu yang boleh diukur dan dicapai (realistik) serta relevan dengan kehidupan anda. Apa yang paling utama, pastikan matlamat kewangan anda dirancang dan diukur dengan tempoh dan masa yang ditetapkan supaya impian kewangan dapat dicapai dengan jayanya dan tepat pada waktunya.
Sebagai contoh, sekiranya anda menetapkan untuk mengumpul dana sebanyak RM6,000 untuk dijadikan wang pendahuluan bagi membeli sebuah kereta yang diidamkan dalam tempoh 2 tahun dari sekarang, oleh itu, anda perlu menyimpan sebanyak RM250 sebulan untuk selama 24 bulan bagi mencapai matlamat simpanan tersebut.
2. Bajet Terperinci dan Pantau Perbelanjaan

Sediakan bajet yang komprehensif dengan memaparkan pendapatan, perbelanjaan, dan sasaran simpanan mengikut kemampuan anda. Bajet ini akan berfungsi sebagai panduan untuk membantu anda mengagihkan sumber pendapatan secara efektif bagi mencapai matlamat anda. Antara formula bajet yang efektif dan boleh diamalkan oleh individu mengikut situasi kewangan masing-masing adalah dengan membahagikan pendapatan kepada beberapa komponen seperti sekurang-kurangnya 10% pendapatan perlu diperuntukkan untuk simpanan, manakala 70% adalah untuk perbelanjaan keperluan kehidupan harian seperti perumahan, pengangkutan, utiliti, insurans/takaful dan internet.
Baki 20% boleh digunakan untuk perbelanjaan berubah lain serta budi bicara seperti makan di luar, membeli-belah dan sebagainya.
Bajet yang lebih terperinci dan dirancang lebih awal dapat membantu anda berbelanja secara berhemat dan mengelakkan pembaziran kerana had bagi setiap kategori perbelanjaan telah ditetapkan sebelum berbelanja dan di samping itu juga, ia dapat membantu anda berbelanja mengikut kemampuan kewangan dan poket sendiri.
Seterusnya, pantau kedudukan aliran tunai anda dari semasa ke semasa dengan cara merekod setiap pendapatan yang diperolehi bersama jumlah yang dibelanjakan. Rekod aliran tunai ini dapat memberikan satu gambaran yang jelas akan wang yang dibelanjakan, malahan ia dapat membantu anda memahami corak perbelanjaan dan seterusnya membantu anda mengenal pasti perbelanjaan yang boleh dikurangkan.
3. Dana Kecemasan Menjadi Keutamaan
Dana kecemasan ialah wang yang diperuntukkan untuk perkara yang tidak dijangka seperti kenderaan rosak yang perlu dibaiki, bencana alam, rawatan penyakit yang memerlukan kos rawatan tinggi atau kehilangan punca pendapatan. Sekiranya anda masih belum mempunyai dana kecemasan, pastikan ia menjadi satu keutamaan untuk tahun 2024. Sasarkan untuk miliki 3-6 bulan kos sara hidup sebagai dana kecemasan.
Sebagai contoh, sekiranya perbelanjaan keperluan bulanan keluarga anda adalah RM4,000 sebulan, jumlah minimum dana kecemasan yang perlu ada adalah sebanyak RM12,000. Memiliki dana kecemasan yang mencukupi merupakan jaringan keselamatan kewangan yang akan membantu anda menangani perbelanjaan yang tidak dijangka sewaktu berlakunya krisis dan sekali gus membantu anda terus fokus kepada usaha mencapai matlamat kewangan.
4. Menyelesaikan Hutang Sedia Ada

Tumpukan usaha anda untuk melunaskan hutang sedia ada sebelum membuat pinjaman baharu. Elakkan pembayaran mengikut pemilihan (alternate) iaitu pembayaran bulanan secara berselang seli atau hanya menyelesaikan sebahagian hutang mengikut pilihan, kerana amalan ini boleh menimbulkan lebih banyak masalah di kemudian hari. Jika keadaan ini berterusan, ia akan memberi kesan kepada kualiti hidup termasuklah daya tahan kewangan dan peminjam juga tiada ketenangan minda bagi meneruskan kehidupan seharian.
Selain itu, anda juga boleh merancang untuk melunaskan hutang yang mempunyai kadar faedah yang lebih tinggi seperti kad kredit dan pinjaman peribadi dalam jangka masa yang lebih pendek. Dengan mengurangkan hutang sebegini, anda akan mempunyai lebih banyak sumber kewangan untuk diagihkan ke arah matlamat dan pelaburan anda. Sekiranya anda mempunyai komitmen hutang yang tidak terurus, dapatkan bantuan segera dari Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit yang boleh membantu anda meringankan bebanan bayaran hutang dengan penstrukturan dan penjadualan semua pinjaman. Perkhidmatan yang diberikan adalah percuma.
5. Melabur Dengan Bijak

Menyimpan wang lebihan dalam bentuk akaun simpanan atau tabungan bukanlah sesuatu yang ideal kerana kadar faedah rendah yang mungkin tidak dapat mengatasi inflasi, seterusnya menyukarkan pontensi wang untuk terus berkembang. Sebaiknya, wang lebihan perlu dilaburkan. Melabur merupakan peluang untuk individu dan perniagaan menjana wang tambahan daripada modal yang telah diperuntukkan. Walau bagaimanapun, harus diingat setiap pelaburan mempunyai risiko iaitu tahap ketidakpastian atau potensi kerugian kewangan. Tahap risiko yang berani diambil oleh anda akan mempengaruhi keuntungan dan kerugian pelaburan anda. Tidak kira anda pelabur pasif atau aktif, pengetahuan tentang pelaburan berserta ketersediaan menghadapi sebarang risiko adalah kunci utama sebelum membuat keputusan untuk menanam modal dalam sesuatu kelas aset.
Teruskan usaha untuk meningkatkan pengetahuan tentang pendidikan kewangan peribadi dan strategi pelaburan. Pembelajaran berterusan membolehkan anda membuat keputusan yang berinformasi dan menyesuaikan diri dengan perubahan hidup dan landskap ekonomi pada masa hadapan terutamanya waktu kecemasan.
6. Manfaatkan Teknologi
Penguasaan aplikasi dan alat kewangan berteknologi Fintech pada masa kini sudah tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat kerana kebanyakan syarikat dan organisasi telah pun mengadaptasi penggunaanya. Kemudahan teknologi dapat membantu menguruskan pengurusan kewangan secara lebih efisien, teratur, dan memastikan anda kekal di landasan yang betul. Dapatkan Bantuan dan Nasihat daripada
7. Penasihat Profesional
Pertimbangkan untuk mendapatkan khidmat nasihat kewangan daripada agensi dan institusi yang sah seperti AKPK untuk mendapatkan panduan yang betul bagi membantu anda menambah baik kesejahteraan kewangan, mempelajari cara menangani kredit serta perihal kewangan lain dengan lebih holistik agar dapat mencapai matlamat kewangan tahun baru seperti yang dirancang.
by Faiz Riziq | Jan 30, 2024 | Ekonomi, Perniagaan & Korporat, Kewangan, Keberhutangan & Pelaburan, Luar Negara, English & Other Country
Bermula semalam, 29 Januari 2024, pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah Fasa 1 telah pun mula dikreditkan secara berperingkat kepada mereka yang berkelayakan. Melalui STR Fasa 1, kerajaan telah menaikkan bayaran sehingga RM500 kepada isi rumah, berbanding RM300 pada tahun lepas. Ini juga secara tidak langsung meningkatkan peruntukkan bagi Fasa 1 ini mencapai RM2.1 bilion.
Menurut kerajaan, seramai 8.2 juta individu yang layak telah berdaftar untuk STR 2024. Dengan bantuan sumbangan ini, ia dijangka akan mengurangkan beban kos sara hidup yang kian meningkat akhir-akhir ini. Bagi orang ramai, anda boleh menyemak status kelayakan STR melalui laman rasmi di Bantuan Tunai hari ini. Anda turut dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan tidak klik pada pautan yang tidak sahih oleh pihak tidak bertanggungjawab.
by Faiz Riziq | Jan 26, 2024 | Kewangan, Keberhutangan & Pelaburan, Luar Negara, English & Other Country
Lanjutan pengenalan perkhidmatan Bursa Gold Dinar oleh Bursa Malaysia pada awal minggu ini, kini aplikasi berkenaan turut tersedia pada platform Android, selain iPhone. Menggunakanya, pengguna boleh melakukan pendaftaran, dan seterusnya mula membeli dan menjual emas menggunakan aplikasi berkenaan.
Sebaik sahaja memuat-turun dan melakukan pendaftaran, pengguna turut perlu melakukan pengesahan identiti – sebelum dapat melakukan pembelian emas. Melalui aplikasi ini, pengguna boleh melakukan pembelian emas pada harga bermula RM10.
Bursa Malaysia menyatakan platform mereka ini patuh syariah, dan pengguna turut boleh menebus emas dalam bentuk syiling fizikal. Bagi anda yang berminat, boleh memuat-turun aplikasi Bursa Gold Dinar, dan menggunakannya dalam dagangan emas hari ini!
by Faiz Riziq | Jan 22, 2024 | Kewangan, Keberhutangan & Pelaburan, Luar Negara, English & Other Country, Perbankan
GX Bank telah menjadi bank digital pertama di Malaysia dengan menawarkan aplikasi mereka kepada umum sebelum ini, dan kini mereka turut melangkah setapak kehadapan lagi dengan penawaran kad debit GX Bank. Melaluinya, para pengguna boleh menggunakan kad berkenaan untuk pembayaran secara fizikal di pelbagai peruncit, disamping mengeluarkan wang dari mesin ATM.
Kad debit ini dipautkan terus ke aplikasi GX Bank. Pengguna boleh turut mengakses kad maya untuk menggunakannya secara atas-talian. Menariknya juga adalah GX Bank menjanjikan pulangan tunai sebanyak 1% untuk penggunaan kad debit mereka, disamping turut memberikan lebih mata ganjaran apabila berbelanja di Jaya Grocer.
Pihak GX Bank mengaktifkan ciri kad debit ini secara berperingkat kepada pengguna – dimana sekiranya anda menggunakan perbankan digital berkenaan, maka anda mungkin akan menerima notifikasi. Untuk makluman tambahan juga, GX Bank adalah bank konvensional, dan tidak patuh syariah.
by Faiz Riziq | Dec 22, 2023 | Kewangan, Keberhutangan & Pelaburan, Tips, Tinjauan & Statistik
Sudah berumahtangga? Tahniah kami ucapkan. Ada masalah pasangan seperti tak berapa nak ambil kisah pasal masa depan dan keluarga? Buat korang yang baru mendirikan rumah tangga, hadamkan artikel ini. Tidak kira pasangan kita bekerja di sektor swasta atau sektor kerajaan.
Tuhan menemukan seseorang untuk melengkapkan kita. Jika pasangan kita gila modified kereta, pasangan dia mesti seorang yang bijak menguruskan kewangan. Jika pasangan kita gila beli baju online, baju dua almari tetapi masih mengadu kata takde baju nak pakai, pasangan dia mesti power kawal kewangan. Jadi, apa yang kita boleh buat untuk ajar dan beri kesedaran kepada pasangan kita tentang pengurusan kewangan?
1. Ajar Cipta Matlamat Kewangan
Pengurusan kewangan yang baik membabitkan matlamat kewangan jangka pendek, sederhana dan panjang. Untuk permulaan, bina matlamat paling senang nak capai. Contohnya matlamat nak simpan RM600 dalam sebulan. Jadi, istiqamah simpan RM20 setiap hari. Bila dah capai, ini akan menyuntik rasa semangat untuk menyimpan lebih banyak lagi.
2. Ajar Simpan Sebelum Berbelanja
Ajar si dia untuk simpan sebelum berbelanja. Contohnya gaji RM2000. Simpan siap-siap RM200. Kalau rasa berat, cuba simpan RM100 sebulan. Jika belanja semua pendapatan terlebih dulu dan lebih baru nak simpan, itu boleh mencipta masalah kewangan yang kronik pada masa akan datang.
Ajar dia gunakan formula ini:
Pendapatan – Simpanan = Belanja.
3. Ajar Supaya Tangguhkan Kehendak
Jika si dia menggelupur nak iPhone, cepat-cepat azan dekat telinga kanan dia. Ingatkan yang dia tu masih ada PTPTN tertunggak. Ajar dia supaya ada tabiat delay gratification iaitu menangguhkan kepuasan. Tengok dalam dompet, ada duit. “Eh, boleh belanja lagi ni”. Biarlah duit kita ada lebihan 5-6 ratus sekalipun, jangan ajar diri belanja untuk habiskannya. Tangguhkan seketika. Simpan duit untuk benda yang lebih memerlukan.
4. Ajar Supaya Berbelanja Dengan Bijak
Ajar dia buat bajet belanjawan bulanan. Catat segala perbelanjaan. Berbelanja dengan bijak ni boleh dibuat dengan
- Membandingkan harga.
- Beli masa promosi atau dengan harga borong.
- Buat senarai barang yang nak dibeli, tak perlu nak ulang-alik dua tiga kali ke pasar raya atau terbeli benda yang tiada dalam senarai.
5. Ajar Tentang Keperluan vs Kehendak
Keperluan adalah asas untuk hidup iaitu untuk makan, minum, pakaian, tempat tinggal, pendidikan dan kesihatan. Kehendak pula kalau tak ada pun boleh hidup. Contohnya nak pakai kereta mewah, telefon mahal, travel luar negara ataupun lepak minum Setarbucks. Ramai pasangan masih tidak dapat bezakan antara keperluan dengan kehendak.
6. Ajar Tentang Risiko Kewangan
Risiko kewangan adalah sesuatu yang tidak dapat dihapuskan sepenuhnya. Bagi kesedaran tentang kepentingan takaful dan risiko pelaburan. Tentang bahaya tunggakan hutang kad kredit. Ajar dia untuk mengenali penipuan skim cepat kaya dan MLM tidak berlesen. Terangkan tentang CCRIS. Terangkan kalau tak bayar hutang apa akibatnya. Apa itu muflis dan kesan muflis.
7. Ajar Tentang Pelaburan Yang Bijak
Ajar dia tentang pelaburan yang rendah risiko seperti melabur di ASB disebabkan unit berharga tetap RM1. Jadi, tidak akan rugi. Menyimpan di Tabung Haji juga boleh. Dalam Akta Tabung Haji, dinyatakan dengan jelas bahawa konsep simpanan dalam akaun Tabung Haji adalah berdasarkan konsep Wadi’ah Yad Dhamanah (simpanan berasaskan jaminan)
Kalau nak berjaya, sentiasa “laparkan diri” dan terus-menerus memburu ilmu yang bermanfaat. Sebab dengan ilmu, baru kita boleh pendekkan masa untuk mencapai kejayaan dan kekayaan.
Kalau ada seminar, pergi sama-sama. Ajak dia sekali. Sebab tak semua rajin nak baca buku-buku tentang pengurusan kewangan. Benda yang ditulis ni pun merungut kata panjang. Jadi lebih baik belajar terus dari kepakaran orang lain.
Recent Comments